Deposit Rumah: Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Artikel ini terakhir diperbarui September 3, 2021 by Nadhirah Rashid
Deposit Rumah: Perkara Yang Anda Perlu Tahu
Bagikan ke Teman:

Deposit rumah adalah salah satu bayaran pendahuluan daripada jumlah jualan hartanah yang ingin anda beli. Tapi berapa banyak jumlah deposit yang perlu dibayar? Bagaimana untuk mengumpul duit yang mencukupi bagi membayar jumlah deposit tersebut? 

Pembayaran deposit rumah adalah satu jenis bayaran yang boleh dikatakan perit terutamanya bagi individu yang ingin membeli rumah  pertama. Artikel kali ini akan berkongsikan langkah-langkah mudah untuk mengumpul duit bagi menyelesaikan bayaran deposit rumah idaman anda. 

Sebelum itu, anda perlu kenalpasti jumlah deposit yang anda perlu bayar dan daripada situ, anda boleh merangka strategi untuk mengumpul duit bagi pembayaran deposit. 

5 Langkah Mengumpul Duit Deposit Rumah

Ini adalah langkah-langkah yang anda boleh ambil bagi membantu anda untuk mengumpul duit supaya dapat membayar deposit. 

  • Semak perbelanjaan Untuk Biayai Deposit Rumah

Untuk mengumpul duit sewa rumah, anda perlu menyemak perbelanjaan
Foto Kredit: kitzcorner Melalui Shutterstock

Bila dah mula untuk mengumpul duit, anda perlu semak balik perbelanjaan bulanan anda. Setiap kali mendapat gaji, mungkin anda akan terus menolak komitmen-komitmen utama bulanan anda seperti pinjaman kereta, pinjaman pendidikan PTPTN, dan sewa rumah. 

Walau bagaimanapun, anda mungkin terlepas pandang tentang perbelanjaan yang kecil namun banyak seperti: 

  1. Insurans
  2. Internet
  3. Bil telefon
  4. Bil elektrik
  5. Bil air
  6. Astro
  7. Netflix
  8. Spotify 
  9. Gym 
  10. Vape 

Dan sebagainya. Nampak macam kecil amaun setiap satu tu? Tapi kalau dilihat dari segi keseluruhan, ia sebenarnya sebuah jumlah yang besar. Untuk memudahkan anda untuk mengumpul duit bagi pembayaran deposit, semak dan potong perbelanjaan yang tidak perlu. 

Sebagai contoh, sekiranya anda sudah mempunyai internet, anda sudah tidak perlu lagi perlu menonton Astro. 

  • Bezakan kehendak dan keperluan

Sekiranya anda nak buat pembayaran deposit rumah, anda perlu memberi keutamaan kepada penyimpanan wang. Dalam erti kata lain, salurkan duit anda kepada keperluan dan bukannya kehendak. 

Keperluan di sini adalah barang-barang yang anda perlukan untuk menjalani kehidupan seharian. Seperti barangan dapur. Manakala kehendak pula adalah barang-barangan yang tidak perlu pun tak apa. Contohnya, anda tidak perlu pun sepasang kasut baru yang berharga RM200, dan thermomix yang berharga ribuan ringgit. 

‘Bukan selalu beli barang-barang tu’

Benar, bukan selalu. Tapi utamakan dahulu misi anda untuk mengumpul duit bagi pembayaran deposit rumah idaman anda. Dah dapat rumah idaman barulah beli barang-barang yang anda mahukan. 

  • Rekod setiap perbelanjaan

Tahukah anda, merekod dan mencatat setiap perbelanjaan kita sebenarnya mendatangkan pelbagai faedah? 

Pertamanya, ia memudahkan anda untuk merujuk kembali untuk mengenalpasti amaun yang telah anda belanjakan. Kedua pula anda akan jadi lebih berhati-hati untuk berbelanja. Pernah tak setiap kali dapat gaji dan tiba-tiba gaji macam cepat habis tanpa kita sedari? Ia disebabkan kita tidak merekod setiap perbelanjaan kita. 

Kedengaran leceh, namun kini ada pelbagai aplikasi yang membolehkan anda merekod setiap perbelanjaan harian anda. Apabila kita lebih berhati-hati dalam membuat perbelanjaan, ia sekaligus dapat membantu anda mengumpul wang bagi menjelaskan bayaran deposit rumah. 

  • Tetapkan matlamat

Seperti mana-mana impian, anda perlu menetapkan matlamat untuk mengekalkan motivasi. Sekiranya anda bercita-cita untuk menjelaskan bayaran downpayment rumah anda, tetap tempoh masa untuk anda kumpul. Sebagai contoh, anda perlu mengumpul RM5,000 dalam tempoh enam bulan. 

Dengan adanya matlamat yang jelas ini, ia dapat membantu anda untuk terus kekal semangat dan tidak tersimpang jauh daripada matlamat. 

  • Kad kredit

Anda ada kad kredit? Ini masanya untuk anda kawal hutang kad kredit anda. Institusi kewangan banyak ambil kesempatan ke atas pemegang kad kredit yang hanya bayar jumlah minimum pada  setiap bulan. 

Dengan itu, anda dinasihatkan untuk membayar hutang kad kredit anda pada jumlah yang penuh. Elakkan membuat pembelian yang tidak perlu menggunakan kad kredit. Dan jangan pula memohon tambahan kad kredit. Ia boleh memakan diri.

Jadilah pengguna kad kredit yang bijak. Sekiranya hutang kad kredit anda terlalu tinggi, ia akan menyukarkan anda untuk membuat pembayaran semula. Apabila gagal membuat pembayaran, ia sekaligus menjejaskan potensi anda untuk membuat pinjaman perumahan. 

Gunakan Akaun 2 KWSP Untuk Buat Bayaran Deposit Rumah?

Kita sedia maklum yang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berfungsi sebagai simpanan hari tua. Namun, ada yang berpendapat untuk mengeluarkan simpanan yang terdapat dalam akaun 2 KWSP. Ia adalah salah satu cara juga untuk membantu anda membuat bayaran deposit rumah. 

Walau bagaimanapun, anda disarankan untuk fahami dahulu bagaiman simpanan KWSP ini berfungsi. KWSP terbahagi kepada dua akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2. 

Akaun 1: Digunakan setelah bersara

Akaun 2: Boleh digunakan untuk beli/bina rumah, pembiayaan pendidikan, dan sebagainya

Cara Guna Akaun 2 KWSP

Sekiranya anda ingin menggunakan simpanan dalam Akaun 2 KWSP, ini langkah-langkah yang perlu anda ketahui:

  • Semak kelayakan diri Untuk Pengeluaran Deposit Rumah

Berikut adalah kelayakan yang perlu anda penuhi: 

  1. Warganegara Malaysia; atau
  2. Warganegara Malaysia yang pernah membuat Pengeluaran Meninggalkan Negara sebelum 1 Ogos 1995 dan dah pilih untuk menyumbang balik pada KWSP; atau
  3. Bukan Warganegara Malaysia yang sudah menjadi ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998 dan mend dapat status penduduk tetap (PR) Malaysia.
  4. Belum sampai umur 55 tahun masa KWSP terima permohonan anda.
  5. Mempunyai ada baki simpanan minimum RM500 dalam Akaun 2.
  6. Hartanah yang hendak dibeli perlulah dengan tujuan untuk kediaman
  7. Permohonan kena buat dalam masa 3 tahun lepas tandatangan SPA.
  8. Anda sudah mengeluarkan caruman untuk perumahan sebelum ini atau hartanah dibeli dengan carumah sudah dijual/dilupuskan
  9. Pinjaman anda diluluskan oleh pembiayaan diiktiraf atau pembiayaan sendiri
  • Penyediaan dokumen

Borang-borang dibawah perlu disediakan dan diisi dengan lengkap:

  1. Borang pengeluaran KWSP [Borang KWSP 9C(AHL)].
  2. Salinan original SPA.
  3. Salinan pengenalan (myKad atau passport).
  4. Salinan surat kelulusan pinjaman dari pembiayaan anda.
  5. Info akaun bank, dalam bentuk buku simpanan atau penyata bank.
  6. Bukti perhubungan: Bukti perhubungan ini diperlukan untuk pembelian bersama yang melibatkan pasangan anda atau keluarga terdekat, ibu bapa atau adik-beradik. Untuk pembelian bersama dengan saudara terdekat, anda perlu menghantar sekali surat penerangan untuk memberitahu sebab pembelian tersebut. 
  • Pohon pengeluaran menerusi i-Akaun Untuk Biayai Deposit Rumah

KWSP turut menyediakan perkhidmatan menerusi aplikasi i-Akaun yang membolehkan anda untuk membuat permohonan pengeluaran. 

Sekiranya anda masih belum daftar, ikuti langkah-langkah dibawah: 

  1. Daftar i-Akaun kat mana-mana kiosk atau kaunter KWSP yang berdekatan. Anda akan menerima ID pengguna dan kata laluan sementara.
  2. Dalam masa 30 hari, pergi ke laman web http://www.kwsp.gov.my/ms/. Tekan pada “Log Masuk” kat sebelah atas kanan dan pilih “AHLI (I-AKAUN)”.
  3. Masukkan ID pengguna yang dapat masa daftar tu pada “ID PENGGUNA”. Lepas itu tekan “Teruskan”.
  4. Masukkan kata laluan yang dapat masa daftar pada “Kata Laluan”. Lepas itu tekan “Log Masuk”.
  5. Selepas itu, anda akan melihat  Terma & Syarat. Pilih “Setuju” dan tekan “Teruskan”
  6. Page seterusnya ialah “Pengaktifan i-Akaun” yang mana anda harus meletakkan kata laluan sendiri. Untuk tujuan keselamatan, kena juga pilih gambar dan ungkapan rahsia.
  7. Pastikan anda ingat kedua-dua ini. 
  8. Selesai. 

Apabila anda sudah berjaya mendaftar, pergi ke page “Withdrawal” dan tekan pada “New Application” untuk memulakan proses permohonan.

Beli Rumah Tanpa Deposit?

Ada cara untuk membeli rumah tanpa perlu membayar deposit rumah
Foto Kredit: sommart sombutwanitkul Melalui Shutterstock

Menjadi impian ramai orang untuk memiliki rumah sendiri. Namun, realitinya membeli rumah tidak semudah itu. Untuk membeli rumah, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan. Aspek-aspek seperti lokasi rumah, kemudahan sekeliling, jarak dan pelbagai lagi. 

Antara satu sebab yang ramai membantutkan impian ramai orang untuk mempunyai rumah sendiri adalah masalah deposit rumah. Seperti yang diketahui, kebanyakan bank hanya membenarkan pinjaman sebanyak 90 peratus daripada harga rumah. Ini bermakna anda terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk pembayaran 10 peratus daripada harga rumah. 

Sebagai contoh, jika rumah yang ingin anda beli berharga RM300,000, anda memerlukan RM30,000 untuk membayar deposit. Tak ramai ada duit sebanyak itu di dalam poket. 

Disebabkan permasalahan itu, satu skim diwujudkan bagi memberi peluang agar orang ramai dapat merasai untuk mempunyai rumah sendiri. Skim tersebut adalah skim sewa-untuk beli atau rent-to-own. Secara ringkasnya, skim sewa-untuk-beli ini membolehkan anda untuk membayar sewa bulanan sehinggalah cukup untuk anda memiliki rumah tersebut. 

Bagi pemahaman yang lebih jelas, ini perbezaan sewa-untuk-beli dan pinjaman flexi:

SEWA-UNTUK BELI PINJAMAN FLEXI 
Ia membenarkan anda untuk menyewa rumah terlebih dahulu, dengan pilihan untuk membelinya kelak pada harga yang ditetapkan. Jadi tak perlu bayar downpayment.Pembeli terus bayar downpayment untuk rumah.
Sewa bulanan adalah lebih tinggi daripada harga pasaran, sebab sebahagiannya dimasukkan ke dalam ‘tabung’ untuk membeli rumahBayar pinjaman rumah seperti biasa, tetapi pembeli ada pilihan untuk bayar lebih bagi mengurangkan kadar faedah pinjaman.
Sesuai bagi anda yang tidak dapat mencari sumber untuk membayar down paymentSesuai bagi pembeli yang mempunyai simpanan untuk membayar down payment. 

Bagaimana Skim Sewa-Untuk-Beli ini Berfungsi?

Secara amnya, skim sewa-untuk-beli ini memerlukan bakal pembeli dan juga penjual untuk menandatangani lease-purchase contract di mana kontrak ini akan menyatakan bakal pembeli akan menyewa rumah tersebut terlebih dahulu dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Sekiranya anda ingin mempunyai pilihan untuk membeli rumah tersebut, yuran akan dikenakan dan kebiasaannya pada lima peratus daripada harga rumah. Kebiasaannya, dengan skim sewa-untuk-beli, beberapa peratus daripada jumlah sewa bulanan akan dikreditkan ke dalam pembelian rumah. Ini bermakna sambil anda membayar sewa rumah, sambil itu anda menabung untuk membeli rumah tersebut. 

Kelebihan Skim Sewa-Untuk-Beli

Berikut adalah kelebihan skim sewa-untuk-beli: 

  • Tak perlu bayar downpayment
  • Pengecualian/pengurangan duti setem
  • ‘Kunci’ harga beli pada tarikh kontrak, tapi masih boleh jual kalau harga pasaran meningkat

Namun perlu diingatkan, agi lama tempoh bayaran, maka lagi tinggilah jumlah keseluruhan. 

Apa Itu Skim MyHome?

Mengetahui tentang masalah harga deposit rumah yang terlalu tinggi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan skim MyHome. Skim MyHome ini menyediakan perumahan kos rendah mampu milik bagi individu yang pertama kali membeli rumah di Malaysia. 

Ia juga diwujudkan daripada landskap dasar perumahan yang direka bagi memenuhi permintaan negara untuk perumahan kos rendah sekali gus mempromosikan pembinaan rumah mampu milik oleh pemaju swasta.

Bagaimana ia berfungsi? Caranya adalah, kerajaan menyediakan subsidi pada setiap rumah yang terjual. Ini dapat membantu pembeli untuk mengurangkan kos serta memastikan pulangan kepada pemaju. 

Apabila pemohon MyHome berjaya, mereka tidak perlu membayar 10 peratus deposit yang selalu dikenakan dalam proses membeli rumah. Kerajaan akan membayar subsidi pendahuluan pada pemaju termasuklah 10 peratus dengan bayaran tambahan. 

Siapa Yang Layak Untuk MyHome?

MyHome disediakan untuk membantu pembeli rumah pertama yang mencari rumah kos rendah pada harga yang berpatutan. Skim ni khas untuk mereka yang berpendapatan rendah, dan kat bawah ni ada senarai kriteria kelayakan utama yang kena ditepati:

  1. Mesti berumur 18 tahun ke atas
  2. Mesti warganegara Malaysia
  3. Mesti membeli rumah pertama
  4. Pendapatan keluarga tak kurang daripada RM3,000
  5. Pendapatan keluarga tak lebih daripada RM6,000

Jenis Perumahan Yang Terlibat

Skim MyHome menyediakan kemudahan kepada beberapa jenis perumahan yang berbeza bergantung kepada pendapatan pemohohon. Jenis rumah pula berbeza mengikut wilayah dan tahap pendapatan.

Pemohon bergaji antara RM3,000 dan RM4,000 boleh memohon untuk rumah MyHome 1 yang mana lengkap dengan ciri-ciri berikut:

  1. 3 bilik tidur
  2. 2 bilik air
  3. Minimum 800 kaki persegi

Pemohon bergaji antara RM4,001 dan RM6,000 boleh memohon untuk rumah MyHome 2 yang mana lengkap dengan ciri-ciri berikut:

  1. 3 bilik tidur
  2. 2 bilik air
  3. Minimum 850 kaki persegi

Pasti ramai yang meragui tentang kualiti perumahan yang disediakan. Jangan risau, terdapat beberapa syarat kelayakan bagi pemaju, iaitu:

  1. Pemaju mestilah syarikat sah yang ditubuhkan dan diperbadankan di bawah undang-undang Malaysia.
  2. Projek tersebut mempunyai lesen yang diluluskan Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan & Jualan (APDL).
  3. Projek dilaksanakan di atas tanah milik swasta.
  4. Harga pasaran atau jualan rumah MyHome tak melebihi RM300,000.00
  5. Tidak layak untuk sebarang insentif kerajaan.

Projek MyHome juga mempunyai kriteria khas untuk pemilihannya dari segi lokasi yang strategik, memenuhi permintaan dan keperluan perumahan di lokasi yang dipohon. 

Cara Memohon MyHome Tanpa Deposit Rumah

Sekiranya anda memenuhi syarat-syarat kat atas tu dan layak untuk MyHome, cara paling senang sekali nak mohon adalah dengan daftar masuk di laman web MyHome sebagai langkah pertama. 

Bila berjaya daftar akaun, anda kena lah sediakan beberapa dokumen yang diperlukan seperti di bawah: 

  1. Salinan Kad Pengenalan pemohon dan mana-mana pasangan
  2. Salinan Sijil Perkahwinan (jika berkenaan)
  3. Salinan kad / surat pengesahan OKU (jika berkenaan)
  4. Salinan slip gaji terkini atau surat pengesahan dari majikan
  5. Salinan slip gaji atau surat pengesahan pendapatan dari Pesuruhjaya Sumpah (jika bekerja sendiri)
  6. Salinan pulangan cukai pendapatan terkini atau penyata KWSP/EPF
  7. Salinan surat pencen (jika berkenaan)
  8. Salinan Kad Pengenalan, MyKad, Sijil Lahir
  9. Laporan Kredit dari CCRIS/CTOS

Apabila permohonan kelayakan sudah berjaya dibuat, lengkap dengan semua dokumen yang diperlukan, permohonan tu akan diserahkan pada jawatankuasa pemilihan.

Ada banyak cara untuk membeli rumah pertama idaman anda, dengan deposit atau tanpa deposit rumah? Ianya bergantung dengan situasi dengan keadaan semasa kewangan anda. Mengumpul duit deposit rumah pastinya sukar bagi anda yang tidak mempunyai simpanan langsung. Namun, ia tidak bermakna anda tidak boleh. Rumah adalah pembelian sekali seumur hidup bagi ramai orang. Jadi, jadikan proses pembelian rumah anda sebuah proses yang bermakna.

Sampai di sini sahaja perkongsian Qoala. Qoala adalah sebuah platform pembelian insurans kereta dan insurans rumah yang mudah dan pantas. Jangan lupa bandingkan harga insurans dan jenis perlindungan yang terbaik hanya di Qoala!

 

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Rumah Murah Sekarang!