10 Cara Beli Rumah Lelong Terus yang Ramai Tak Tahu

Artikel ini terakhir diperbarui April 13, 2022 by Shafiq Wahab
10 Cara Beli Rumah Lelong Terus yang Ramai Tak Tahu

Trend beli rumah lelong semakin mendapat tempat dalam kalangan pembeli rumah. Rumah lelong secara amnya merujuk pada rumah yang dijual oleh pihak bank atau pihak ketiga yang mempunyai lesen untuk lelong rumah secara lelong.

Meskipun begitu, tidak kurang juga ramai yang mempunyai persepsi bahawa hartanah lelong kurang bernilai berbanding rumah baharu atau hartanah sekunder, sebab itu rumah lelong dijual pada harga murah.

Oleh sebab itu, penting untuk anda mengetahui beberapa perkara berkaitan hartanah lelong sebelum anda buat keputusan untuk beli rumah lelong antaranya jenis lelongan, cara beli rumah lelong, kelebihan dan kekurangan hartanah lelong dan sebagainya.

3 Perkara Anda Perlu Tahu Sebelum Ambil Keputusan Beli Rumah Lelong

Secara asasnya, banyak perkara yang perlu anda pertimbangkan sebelum membeli rumah lelong. Anda memerlukan ilmu yang betul dan cukup sebelum membuat keputusan membeli hartanah sebegini. Jom baca panduan lengkap cara beli rumah lelong ini untuk rujukan anda.

1. Jenis Rumah Lelong di Malaysia

Secara asasnya, rumah lelong merupakan satu mekanisme yang digunakan untuk memindahkan hak milik daripada satu pihak kepada pihak yang lain secara sah. Banyak sebab yang menyebabkan rumah dilelong, antaranya pemilik asal gagal membayar ansuran rumah dan baki tunggakan sehingga akhirnya terpaksa melepaskan pemilikan rumah atas arahan bank. Sebelum anda mengetahui proses beli rumah lelong, penting untuk anda mengetahui jenis rumah lelong di Malaysia. Rumah lelong terbahagi kepada dua kategori seperti berikut:

Lelongan Perjanjian Pinjaman dan Serah Hak/Loan Agreement Cum Assignment (LACA)

Secara asanya, ia dilakukan oleh pihak bank ke atas hartanah yang tidak mempunyai hak milik individu atau strata. Jumlah deposit yang perlu dibayar kepada pihak yang melelong biasanya lima peratus daripada harga hartanah. Jika proses lelongan tidak berjaya, lelongan berikutnya akan dilakukan dengan harga rizab untuk setiap lelongan akan berkurangan 10 peratus daripada harga sebelumnya. Manakala, baki bayaran perlu diselesaikan dalam tempoh 90 hari selepas bidaan berjaya.

Lelongan Perjanjian Bukan Pinjaman dan Serah Hak/Non-Loan Agreement Cum Assignment (Non-LACA)

Proses lelongan ini dijalankan melalui Mahkamah Tinggi untuk hartanah yang mempunyai hak milik individu atau strata. Jika tiada pembida yang berjaya, proses lelongan berikutnya akan diadakan kira-kira enam bulan kemudian. Sama seperti lelongan LACA, harga rizab akan berkurangan 10 peratus daripada harga sebelumnya bagi setiap lelongan berikutnya. Berbeza dengan lelongan LACA, baki bayaran boleh diselesaikan dalam tempoh 120 hari selepas pembelian.

2. Kaedah Beli Rumah Lelong

Bagi anda yang ingin beli rumah pertama atau rumah idaman melalui pasaran lelong, anda boleh mempertimbangkan dua kaedah beli rumah lelong seperti berikut:

Proses Beli Rumah Lelong Fizikal

Anda perlu mendaftarkan maklumat peribadi dan menghantar deposit kepada pihak yang melelong. Anda mempunyai beberapa cara untuk menghantar deposit iaitu sama ada melalui pindahan bank (bank transfer) atau melalui draf bank. Sekiranya anda memilih untuk membuat pembayaran deposit melalui draf bank, anda perlu menyerahkannya kepada pihak yang melelong dengan segera mengikut tempoh yang ditentukan.

Bagi proses lelongan fizikal, anda boleh mewakilkan ejen lelong atau menghadiri sendiri sesi bid rumah lelong tersebut. Meskipun begitu, anda disarankan untuk mengunjungi beberapa acara lelongan hartanah terlebih dahulu sebelum bida kediaman idaman anda. Cara ini membolehkan anda kenal pasti bidaan hartanah yang berjaya yang sepadan dengan kawasan, bajet dan spesifikasi rumah yang anda idamkan. Bandingkan harga lelong yang berjaya ini dengan platform jual beli rumah dalam talian yang ada.

Cara Beli Rumah Lelong Online

Selain secara fizikal, proses beli rumah lelong juga boleh dilakukan secara online. Secara asasnya, terdapat beberapa laman web dan syarikat yang menawarkan khidmat lelongan secara online seperti e-Lelong dan sebagainya. Untuk beli rumah lelong melalui e-Lelong, anda perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu sebelum anda dibenarkan untuk melihat penyenaraian hartanah. Anda juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat penting berkaitan hartanah yang ingin dibina seperti harga rizab, lokasi, jenis hartanah, tempoh pegangan hartanah, kawasan binaan atau saiz tanah.

3. Kelebihan & Kekurangan Pembelian Rumah di Pasaran Lelong

Sebelum membuat sebarang pembelian, anda disarankan untuk kenal pasti sebarang kelebihan dan kekurangan beli rumah dalam pasaran lelong. Berikut senarai kelebihan dan kekurangan rumah lelong untuk panduan anda:

Kelebihan Rumah LelongKekurangan Rumah Lelong
Harga pasaran rumah lelong lebih rendah daripada rumah subsaleProses lelongan boleh dibatalkan (unit called off) pada bila-bila masa meskipun pada hari lelongan kerana pemilik telah membayar baki tunggakan
Tiada sekatan pembelian rumahHarga rumah dilelong melebihi harga pasaran terutama jika tidak membuat sebarang kajian harga pasaran
Pelbagai pilihan lokasi yang menarikPinjaman perumahan berpotensi tidak diluluskan
Harga rumah boleh dipilih berdasarkan kesesuaian bajetKerosakan unit rumah yang serius atau tunggakan bil utiliti oleh pemilik lama yang tinggi perlu ditanggung oleh anda
Pulangan sewa yang lebih tinggi berbanding rumah subsalePemilik lama enggan keluar dari rumah

proses beli rumah lelong

10 Cara Mudah Beli Rumah Lelong Pertama Anda

Secara asasnya, proses beli rumah bergantung pada jenis pasaran rumah yang ingin dibeli. Ini bermaksud, proses beli rumah lelong tidak sama dengan proses beli rumah subsale atau rumah baru. Macam mana cara nak beli rumah lelong? Berikut 10 prosedur beli rumah lelong mudah yang perlu anda tahu untuk rujukan dan panduan anda:

Sebelum Beli Rumah Lelong

Jika anda berminat untuk beli rumah lelong, berikut merupakan antara langkah-langkah yang perlu anda tahu sebelum beli rumah lelong:

1. Tentukan Bajet

Proses beli rumah lelong memerlukan anda untuk membayar duit muka atau deposit rumah sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga rumah. Namun begitu, anda juga perlu mempertimbangkan kos-kos beli rumah lain seperti yuran guaman, laporan penilaian, kos renovate atau baik pulih dan sebagainya.

Bagi kos baik pulih, ia biasanya bergantung pada keadaan semasa rumah lelong tersebut. Ada sesetengah rumah lelong hanya perlu dicat semula atau memerlukan pendawaian elektrik dibuat semula. Jika bernasib baik, anda berkemungkinan dapat memiliki rumah lelong tanpa perlu dibaik pulih. Oleh sebab itu, penting untuk anda menentukan bajet rumah dan pilih jenis rumah yang bersesuaian dengan tunai yang ada di tangan.

2. Semak Kelayakan Pinjaman

Jika anda ingin beli rumah lelong secara tunai, kelayakan pinjaman mungkin tidak menjadi masalah bagi anda. Namun sekiranya anda perlu memohon pinjaman bank untuk pembiayaan rumah anda, anda disarankan untuk semak kelayakan pinjaman perumahan anda terlebih dahulu bagi mengelakkan anda kehilangan wang deposit. Anda boleh semak kelayakan kredit anda di mana-mana bank yang menawarkan loan rumah bagi mengetahui jumlah pembiayaan yang layak. Bawa slip gaji dan dokumen berkaitan dan tanyakan jumlah yang layak dipinjam berdasarkan komitmen semasa.

Selain itu, pastikan anda tidak disenarai hitam dan rekod CCRIS, CTOS anda berada dalam keadaan baik. Jika anda membuat keputusan tergesa-gesa dan tidak menyemak kelayakan pinjaman terlebih dahulu, anda boleh kerugian deposit yang telah dibayar begitu sahaja kerana baki bayaran perlu dijelaskan dalam tempoh 90 atau 120 hari dari tarikh lelongan. Deposit anda tidak akan dipulangkan sekiranya pinjaman tidak diluluskan bank meskipun anda telah memenangi lelongan.

3. Cari Maklumat Rumah Lelong, Kenal Pasti Lokasi

Tidak kira rumah lelong dibeli untuk kediaman sendiri atau sebagai pelaburan, anda disarankan untuk lakukan survei berkaitan rumah yang ingin dibida. Anda boleh dapatkan maklumat rumah yang dilelong melalui platform dalam talian atau melalui iklan akhbar. Selain itu, pertimbangkan aspek pemilihan lokasi sebelum beli rumah lelong yang sesuai. Kenal pasti sama ada terdapat kemudahan-kemudahan asas seperti sekolah, pengangkutan awam, aspek keselamatan dan sebagainya. Kemudian, bandingkan aspek-aspek ini dengan matlamat sebenar pemilikan hartanah tersebut.

Sebagai contoh, jika anda ingin menjadikan rumah lelong yang dibeli sebagai kediaman sendiri, lokasi kediaman yang dekat dengan tempat kerja dan fasiliti asas seperti masjid, pasaraya dan sebagainya boleh menjadi faktor utama dalam membuat keputusan. Jika rumah ini mahu dijadikan pelaburan pula, banyak aspek lain yang perlu diambil kira seperti lokasi rumah berdekatan institusi pendidikan, kilang atau dilengkapi kemudahan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan sebagainya.

4. Buat Semakan Harga Pasaran

Bagi memastikan anda tidak membuat sebarang pembelian yang merugikan atau membeli rumah melebihi bajet yang ditetapkan, lakukan semakan harga pasaran terlebih dahulu. Anda boleh membuat semakan harga pasaran melalui platform jual beli hartanah secara dalam talian bagi mendapatkan gambaran harga terkini hartanah. Nilai pasaran rumah lelong biasanya 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran rumah baharu bergantung pada lokasi.

Buat pengiraan dengan teliti, dan tetapkan harga maksimum bidaan anda. Dengan cara ini, anda dapat mengelakkan diri anda daripada membida harga rumah lelong terlalu tinggi atau lebih mahal daripada harga pasaran yang boleh merugikan anda. Ada juga rumah lelong yang ditawarkan penurunan harga sehingga 50 peratus.

Jika anda berminat dengan hartanah ini, anda disarankan untuk memeriksa keadaan fizikal rumah terlebih dahulu. Biasanya, rumah lelong yang dijual terlalu murah mengalami kerosakan serius yang memerlukan anda untuk mengeluarkan belanja tambahan lain untuk baiki kerosakan rumah tersebut.

5. Lakukan Site Visit

Hartanah lelong biasanya dijual ‘as it is’. Ini bermaksud, anda akan mendapat rumah yang sama seperti keadaan rumah yang anda lihat semasa survei. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk melihat dahulu rumah yang anda ingin dibeli sebelum membuat bidaan. Lawatan ke lokasi penting bagi membolehkan anda menilai sendiri kerosakan dan keadaan semasa rumah. Sebarang kerosakan pada rumah tersebut perlu ditanggung oleh anda sendiri dan anda tidak boleh membuat sebarang tuntutan kerosakan. Oleh sebab itu, jangan buat keputusan tanpa berfikir panjang dan terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan.

Selain itu, minta salinan Proclamation of Sale (POS) dan Condition of Sale (COS) bagi mendapatkan rujukan hartanah yang ingin dibeli. Kedua-dua dokumen ini menerangkan tentang pengisytiharan dan keadaan hartanah yang ingin dibida. Selain itu, anda juga boleh melakukan perkara berikut bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan hartanah yang bakal dijual:

        1. Kenal pasti kawasan persekitaran unit;
        2. Unit-unit lain di sekitar unit yang bakal dibeli;
        3. Semakan bil penyelenggaraan, bil utiliti pemilik terdahulu.

bid rumah lelong

6. Pastikan Tiada Kaveat

Ramai dalam kalangan pembeli rumah lelong terlepas pandang perkara berkaitan kaveat. Apa itu kaveat? Kaveat atau caveat berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud “memberi amaran kepada seseorang”. Dari sudut hartanah, kaveat merupakan langkah sementara untuk melindungi hak individu di bawah perjanjian jual beli buat sementara waktu dan menghalang mana-mana proses daripada pendaftaran sehinggalah pertukaran hak milik sewaktu kaveat berkuat kuasa.

Rumah lelong berpotensi memiliki kaveat persendirian. Ini bermaksud, meskipun anda telah memenangi bidaan rumah tersebut, anda masih perlu mencabar pihak ketiga yang mendaftarkan kaveat bagi membatalkan kaveat tersebut. Selain itu, rumah lelong yang memiliki kaveat persendirian juga bermakna anda tidak boleh membiayai pembelian rumah tersebut dengan pinjaman perumahan. Hal ini demikian kerana bank tidak akan meluluskan pinjaman jika adanya kaveat persendirian didaftarkan untuk sesebuah hartanah.

7. Sediakan Deposit, Wang Tunai Tambahan

Secara asasnya, beli rumah lelong memerlukan kos dan belanja yang gak besar. Berikut merupakan antara perkara yang perlu anda sediakan dan kos yang perlu anda pertimbangkan sebelum buat keputusan beli rumah lelong:

        1. Salinan kad pengenalan;
        2. Deposit rumah 10 peratus daripada harga rumah yang dibeli (draf bank atau cek bank);
        3. Wang tunai tambahan (sekiranya ada kos lain yang perlu dibayar atau tidak mencukupi).

Semasa Beli Rumah Lelong

Berikut pula merupakan antara langkah-langkah penting semasa beli rumah lelong untuk rujukan dan panduan anda:

8. Datang Awal

Anda disarankan untuk datang awal pada hari bidaan. Jika terlewat, anda mungkin terlepas peluang untuk membida kediaman idaman anda. Selain itu, datang awal ke lokasi bidaan juga membolehkan anda membuat persediaan bagi memudahkan proses pendaftaran dan penyerahan dokumen bidaan.

9. Proses Bidaan

Sebelum proses bidaan bermula, staf di lokasi lelongan akan menyerahkan kad pembida yang akan digunakan semasa proses lelongan. Biasanya, individu dengan kad pembida ini sahaja yang biasanya dibenarkan masuk ke dalam ruang bidaan. Anda perlu naikkan kad pembida ini jika ingin lakukan bid terhadap unit rumah lelong tersebut. Unit akan terjual kepada pembida dengan harga yang tertinggi.

Selepas Beli Rumah Lelong

Selepas selesai proses bidaan rumah lelong, berikut antara langkah terakhir yang perlu anda lakukan:

10. Menang Lelong atau Kalah Lelong

Setelah proses bidaan selesai dan anda memenangi bidaan unit idaman anda, anda perlu tandatangan borang Kontrak Jualan atau COS. Anda juga perlu membayar perbezaan jumlah sekiranya harga akhir lelong lebih tinggi daripada harga asal yang ditetapkan. Selain itu, anda juga akan diberi masa oleh pihak yang melelong antara 90 hingga 120 hari untuk menjelaskan baki 90 peratus harga rumah. Buat permohonan pembiayaan perumahan dengan segera untuk membolehkan anda layak menerima rumah lelong tersebut. Namun begitu, sekiranya lelongan unit yang dibida kalah, deposit rumah anda akan dipulangkan semula.

Semoga perkongsian ini boleh membantu anda sekiranya anda ingin memohon pinjaman perumahan kerajaan untuk beli rumah baharu anda. Selain itu, sekiranya anda sedang mempertimbangkan insurans rumah terbaik dan komprehensif untuk anda, layari laman web Qoala, platform insurans terbaik di Malaysia untuk info lanjut.

Kongsi:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗