Pengeluaran KWSP Akaun 2 untuk Rumah

Artikel ini terakhir diperbarui May 20, 2022 by Shafiq Wahab
Pengeluaran KWSP Akaun 2 untuk Rumah

Ramai dalam kalangan pembeli rumah pertama yang tidak tahu bahawa anda boleh membuat pengeluaran KWSP Akaun 2 untuk beli rumah sebelum usia 50 atau 55 tahun. Beli rumah sendiri tidak kira sama ada beli rumah subsale atau beli rumah baharu sememangnya menjadi idaman semua orang. Namun apabila memikirkan kos beli rumah yang tinggi seperti bayaran downpayment rumah, kos pengurusan, renovate rumah dan sebagainya, kebanyakan orang berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan. Artikel ini akan membincangkan tentang kelayakan memohon, syarat pengeluaran, amaun Akaun 2 yang layak dikeluarkan dan banyak lagi berkaitan pengeluaran Akaun 2 untuk rumah.

5 Perkara Anda Perlu Tahu Sebelum Buat KWSP Pengeluaran Akaun 2 untuk Beli Rumah 2022

Harga rumah yang kian meningkat dari tahun ke tahun menyebabkan ramai pembeli mengambil keputusan untuk keluarkan wang simpanan KWSP bagi menampung sebahagian kos pembiayaan rumah. Secara asasnya, kebenaran pengeluaran simpanan ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai pembelian rumah. Ia bagi membolehkan ahli memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah untuk berlindung apabila menghadapi usia persaraan nanti.

1. Kelayakan Memohon Pengeluaran Akaun 2 untuk Beli Rumah

KWSP membenarkan pengeluaran Akaun 2 bagi tujuan pembelian rumah. Sekiranya anda ingin beli rumah baharu dan ingin lakukan pengeluaran Akaun 2, berikut merupakan syarat kelayakan yang ditetapkan oleh pihak KWSP untuk tujuan ini:

  1. Ahli KWSP bertaraf Warganegara Malaysia ATAU Bukan Warganegara;
  2. Ahli belum mencapai umur 55 tahun pada tarikh permohonan;
  3. Ahli masih mempunyai baki simpanan dalam Akaun 2 (minimum RM500).

2. Syarat Pengeluaran Akaun 2

Berikut merupakan syarat yang ditetapkan oleh KWSP bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran ini:

  1. Ahli bina atau beli rumah kediaman (jenis banglo, teres, berkembar, apartment, kondominium, studio apartment, service apartment, townhouse atau SOHO, atau rumah kedai dengan unit kediaman);
  2. Surat Perjanjian Jual Beli adalah tidak melebihi tiga tahun pada tarikh permohonan diterima oleh KWSP;
  3. Tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan; ATAU telah membuat pengeluaran untuk membeli rumah pertama dan telah menjualnya atau melupuskan pemilikan dan kemudian membeli rumah kedua;
  4. Ahli ingin membeli rumah yang telah diperoleh secara sewa beli daripada pihak yang dibenarkan oleh KWSP;
  5. Ahli membeli tanah dan membina rumah di atasnya serentak secara pakej (tarikh perjanjian beli tanah dengan tarikh perjanjian bina rumah hendaklah dalam tempoh 6 bulan);
  6. Ahli mengambil pinjaman perumahan daripada institusi yang dibenarkan bagi tujuan bina atau beli rumah dengan mana-mana institusi kewangan seperti berikut:
  • Institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013;
  • Kerajaan Pusat / Negeri atau lain-lain agensi kewangan kerajaan;
  • Majikan ahli;
  • Koperasi / syarikat kerjasama yang berlesen (diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia);
  • Syarikat Insurans berlesen yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia;
  • Pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP; ATAU
  • Secara tunai.

Secara asasnya, ahli tidak layak memohon pengeluaran Akaun 2 KWSP sekiranya:

  1. Membeli tanah atau lot tapak rumah sahaja;
  2. Mengubahsuai, membaiki atau membuat kerja-kerja tambahan kepada rumah yang sedia ada;
  3. Pemilikan harta tidak melalui transaksi jual beli;
  4. Mengambil pinjaman berbentuk Overdraf;
  5. Membeli rumah ketiga;
  6. Membeli rumah di luar negara.

3. Jumlah Simpanan daripada Akaun 2 yang Layak Dikeluarkan

Anda mungkin tertanya-tanya sama ada anda layak untuk mengeluarkan semua atau sebahagian daripada amaun simpanan KWSP anda? Jadual di bawah mungkin boleh membantu anda mengetahui amaun Akaun 2 yang layak dikeluarkan untuk proses pembelian rumah.

Pembelian Rumah Individu
  • Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10 peratus daripada harga rumah – (Harga SPA – Amaun Pinjaman) + (10% daripada Harga SPA); ATAU
  • Semua simpanan Akaun 2.
Pembelian Bersama Ahli Keluarga atau Individu Lain
  • Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman perumahan dan tambahan 10 peratus daripada harga rumah – (Harga SPA – Amaun Pinjaman) + (10% daripada Harga SPA); ATAU
  • Semua simpanan Akaun 2 pembeli berkaitan, tertakluk kepada amaun maksimum yang layak dikeluarkan.
Pinjaman Perumahan 100 Peratus
  • 10 peratus daripada harga rumah; ATAU
  • Semua simpanan Akaun 2.
Pembelian  Rumah Secara Tunai/Tanpa Pinjaman
  • Harga rumah dengan tambahan 10 peratus daripada harga rumah; ATAU
  • Semua simpanan Akaun 2

4. Cara Pengeluaran KWSP Akaun 2 untuk Rumah di Kaunter KWSP

Untuk permohonan pengeluaran, ahli perlu hadir ke pejabat KWSP berhampiran bagi urusan pengecaman cap jari dan memastikan permohonan dibuat oleh pemilik akaun sendiri.

Dokumen Diperlukan untuk KWSP Akaun 2 Pengeluaran

Bagi urusan pengeluaran Akaun 2 KWSP, ahli perlu mengemukakan dokumen-dokumen berikut untuk memudahkan urusan pengeluaran anda. Meskipun begitu, pihak KWSP juga berhak meminta ahli mengemukakan apa-apa dokumen tambahan dan menolak permohonan yang tidak lengkap dan tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan:

      1. Borang Pengeluaran KWSP Akaun 2 atau Borang Pengeluaran KWSP 9C (AHL) (D5);
      2. Salinan dokumen pengenalan diri (jika bukan pemegang Mykad);
      3. Maklumat Akaun Bank (Ahli digalakkan membawa buku akaun bank atau salinan akaun semasa membuat permohonan);
      4. Surat Perjanjian Jual beli Rumah;
      5. Borang KWSP 3 (pindaan) – jika pengecaman cap ibu jari gagal di kaunter/permohonan melalui pos;
      6. Bukti Hubungan (sekiranya melibatkan pembelian bersama dengan pasangan, ahli keluarga, ibu bapa atau adik-beradik).

Pengeluaran akaun 2 KWSP

5. Cara Pengeluaran KWSP Akaun 2 Online melalui i-Akaun

Selain itu, selari dengan era digitalisasi, urusan pengeluaran duit KWSP juga boleh dilakukan secara online melalui i-Akaun KWSP. Jika anda belum berdaftar, anda boleh ikuti langkah-langkah berikut:

Cara Daftar i-Akaun KWSP

Berikut panduan pendaftaran i-Akaun KWSP untuk panduan anda:

      1. Daftar i-Akaun di mana-mana kiosk atau kaunter KWSP yang berdekatan – anda akan menerima ID pengguna dan kata laluan sementara;
      2. Kemudian, layari laman web KWSP dalam tempoh 30 hari daripada tarikh anda menerima ID pengguna dan kata laluan sementara;
      3. Klik butang Log Masuk di bahagian atas kanan, dan pilih Ahli.
      4. Masukkan ID pengguna sementara yang diterima, kemudian tekan butang Teruskan;
      5. Masukkan kata laluan yang diterima semasa pendaftaran dan tekan butang Log Masuk;
      6. Terma & Syarat akan dipaparkan, pilih Setuju dan kemudian tekan Teruskan;
      7. Anda akan dibawa ke halaman Pengaktifan i-Akaun. Anda perlu menukar kata laluan sendiri dan pilih gambar dan ungkapan rahsia bagi tujuan keselamatan.
      8. Selesai.

Cara Keluarkan Duit KWSP Akaun 2

Setelah selesai pendaftaran, ahli boleh ikuti langkah ini untuk keluarkan duit KWSP bagi tujuan pembelian rumah:

      1. Log Masuk, kemudian pergi ke halaman Withdrawal/Pengeluaran;
      2. Tekan butang New Application atau Permohonan Baharu untuk memulakan proses permohonan.
      3. Bayaran akan dikeluarkan dan dibayar kepada pemohon dalam tempoh 15 hari selepas permohonan dibuat dengan syarat dokumen yang lengkap dikemukakan.
      4. Semakan permohonan boleh dibuat dengan melihat kepada transaksi dalam i-Akaun KWSP ahli.

Semoga perkongsian ini boleh membantu anda sekiranya anda ingin lakukan pengeluaran simpanan daripada Akaun 2 KWSP untuk beli rumah baharu anda. Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans rumah terbaik dan komprehensif untuk anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia yang menyediakan pelbagai jenis insurans seperti insurans rumah dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
Shafiq Wahab
Bukan berjiwa kelajuan dan suka berangan, banyak menghabiskan masa lapang dengan tidak berbuat apa-apa.
Beli Insurans Rumah Terbaik Sekarang! 🏠