Hibah Takaful: Maksud, Kepentingan Hibah Takaful Anda Perlu Tahu

Kali terakhir diperbaharui Jan 31, 2024 oleh Shafiq Wahab
Hibah Takaful: Maksud, Kepentingan Hibah Takaful Anda Perlu Tahu

Masyarakat di Malaysia kini memiliki kesedaran yang tinggi berkaitan hibah terutamanya hibah takaful. Apa maksud hibah? Hibah secara asasnya merujuk pada pemberian sukarela daripada pemberi kepada penerima atas dasar kasih sayang tanpa mengharap sebarang bentuk balasan. Hibah tidak termasuk dalam harta pusaka dan penerima hibah boleh menggunakan harta tersebut untuk dirinya secara mutlak.

Perkara Penting Anda Perlu Tahu Berkaitan Hibah Takaful

Perancangan harta merupakan sesuatu yang amat digalakkan dalam Islam. Ia bagi memastikan waris atau keluarga yang ditinggalkan tidak akan menghadapi masalah terutamanya berkaitan kewangan. Selain itu, hibah juga bertujuan untuk mengelakkan pertelingkahan semasa urusan pembahagian harta pusaka dilakukan.

Oleh sebab itu, hibah merupakan salah satu instrumen yang digalakkan bagi membolehkan anda melakukan perancangan kewangan dan harta dengan baik.

Apa itu Hibah Takaful?

Hibah takaful atau hibah bersyarat digunakan oleh syarikat takaful untuk kaedah pembayaran tuntutan wang pampasan takaful apabila pemilik takaful meninggal dunia. Melalui takaful hibah ini, pembahagian wang pampasan takaful akan diberikan kepada penerima hibah yang dinamakan di dalam polisi hibah setelah kematian pemilik takaful. Ahli keluarga atau waris yang lain tidak boleh mempertikaikan harta yang dihadiahkan kepada penerima hibah tersebut.

Hukum Hibah Takaful

Hukum melakukan hibah adalah sunat dan digalakkan dalam Islam. Takaful ditakrifkan sebagai permuafakatan sekumpulan individu untuk saling menjamin dan membantu antara satu sama lain. Ia bagi memenuhi keperluan tertentu yang dipersetujui seperti memberi pampasan sekiranya berlaku apa-apa musibah serta keperluan kewangan yang lain.

Majlis Penasihat Syariah pada mesyuarat ke-24 bertarikh 24 April 2002 telah memutuskan bahawa model perniagaan takaful yang berasaskan tabarru` (sesama peserta) dan wakalah (antara peserta dan syarikat takaful) adalah dibenarkan. Mengambil kira pampasan dibayar adalah berdasarkan konsep hibah, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara memutuskan bahawa pembayaran manfaat takaful tidak akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka.

Ia juga tidak tertakluk kepada hutang peserta takaful yang meninggal dunia sama seperti pampasan yang diperoleh daripada kematian peserta, wang pampasan tuntutan mahkamah, wang SOCSO dan seumpamanya. Sumber: Mufti WP

Rukun, Syarat Hibah Takaful

Secara asasnya, terdapat empat hukum hibah iaitu:

  1. Pemberi hibah;
  2. Penerima hibah;
  3. Barang atau harta hibah;
  4. Akad.

Selain hukum hibah, sebelum melakukan hibah anda perlu mengetahui syarat hibah. Berikut merupakan syarat hibah yang perlu diikuti untuk rujukan dan panduan anda:

Syarat Hibah Takaful Keterangan
Syarat Pemberi Hibah
  • Pemberi mestilah pemilik harta;
  • Dilakukan dengan rela hati dan tanpa paksaan;
  • Waras;
  • Cukup umur;
  • Layak untuk menguruskan hartanya.
Syarat Penerima Hibah
  • Mestilah masih hidup ketika hibah berlaku;
  • Cukup umur untuk terima barang hibah. Sekiranya masih belum cukup umur, barang atau harta tersebut akan dipegang dahulu oleh pemegang amanah yang dilantik.
Syarat Barang/Harta yang Dihibahkan
  • Harta sah disisi syarak;
  • Harta tersebut perlu wujud ketika ijab dan qabul berlaku;
  • Harta tersebut perlulah bernilai;
  • Harta tersebut merupakan milik pemberi hibah.

hibah takaful: kepentingan hibah takaful

Kepentingan Hibah Takaful: 5 Sebab Kenapa Perlu Hibah Takaful

Seperti dinyatakan di atas, pembahagian wang pampasan hibah takaful di Malaysia tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka dan hukum Faraid. Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang diinginkan sama ada waris atau bukan waris, dan penerima hibah merupakan penerima mutlak bagi wang pampasan tersebut.

1. Pengganti Pendapatan

Kematian ahli keluarga yang merupakan tonggak utama keluarga merupakan suatu kehilangan yang boleh memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga. Kehilangan sebegini secara tidak langsung menyebabkan waris hilang sumber pendapatan dan nafkah serta perbelanjaan bulanan untuk isteri, anak-anak atau ibu bapa menyara kehidupan akan terhenti.

Di sinilah kepentingan hibah takaful, waris yang ditinggalkan tidak perlu mencari kerja tambahan untuk menyara keluarga atau mengikat perut demi kelangsungan hidup. Bagaimana nak tahu berapa jumlah hibah yang anda perlukan? Secara asasnya, anda boleh ikuti formula berikut bagi mengetahui jumlah hibah yang sesuai dengan pendapatan anda

Bujang: [Pendapatan Sebulan X 12 Bulan] X 3 Tahun = Nilai Hibah Takaful
Berkahwin: [Pendapatan Sebulan X 12 Bulan] X 3 Tahun = Nilai Hibah Takaful

2. Penyelesaian Hutang

Islam sangat menuntut penyelesaian hutang meskipun setelah kematian. Oleh sebab itu, ia menjadi perkara utama yang diselesaikan sejurus selepas kematian. Jumlah hutang yang kecil mungkin boleh dilangsaikan oleh waris. Namun begitu, ia menjadi masalah sekiranya melibatkan komitmen hutang yang lebih besar seperti hutang perniagaan, pinjaman peribadi dan sebagainya.

Sudah semestinya situasi sebegini boleh membebankan waris. Meskipun anda mungkin beranggapan banyak lagi ikhtiar lain yang boleh dilakukan seperti:

        1. Keluarkan wang simpanan dari bank, ASB atau unit amanah (unit trust);
        2. Jual kereta, jual rumah atau apa-apa sahaja harta yang anda miliki; atau
        3. Minta bantuan daripada ahli keluarga yang lain.

Namun begitu, kita semua tahu bahawa perkara ini bukanlah suatu perkara yang senang untuk dilakukan. Ini kerana;

        1. Apa-apa aset tunai, rumah pertama atau kereta yang anda miliki akan dibekukan oleh pihak bank;
        2. Pindah milik (tukar nama geran tanah) atau proses jual beli aset si mati memerlukan surat kuasa daripada mahkamah;
        3. Anda mungkin tidak dapat jual hartanah atau harta benda pada harga yang sepadan kerana terdesak untuk mendapatkan wang dalam tempoh yang singkat.

Oleh sebab itu, hibah takaful merupakan jalan terbaik dalam memastikan kehilangan anda tidak menyukarkan ahli keluarga atau waris dengan hutang yang ditinggalkan. Waris dapat menggunakan wang yang anda tinggalkan melalui hibah ini untuk melangsaikan semua hutang yang anda ada dan menggunakan lebihan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa buat sementara waktu.

3. Penerima Mutlak, Tidak Boleh Dipertikai

Berbeza dengan wasiat dan pembahagian harta pusaka, hibah takaful dibuat atas dasar kasih sayang tidak kira dalam bentuk wang tunai atau harta benda tanpa mengharap sebarang bentuk balasan. Dalam erti kata lain, penama merupakan pemilik mutlak dan tidak boleh dipertikaikan. Ia sekali gus dapat mengelakkan persengketaan atau perebutan harta yang ditinggalkan dengan ahli keluarga yang lain.

apa itu hibah takaful

4. Proses Tuntutan yang Mudah

Selain itu, tuntutan hibah takaful juga dilakukan dengan mudah tanpa melibatkan proses tuntutan yang rumit. Hibah takaful boleh dikategorikan sebagai aset mudah cair. Ini bermaksud, proses tuntutan boleh dilakukan dengan lebih cepat dan tidak memakan masa yang lama. Anda tidak perlu melatik peguam atau pihak ketiga untuk menguruskan proses pembahagian ini bagi pihak anda.

Oleh sebab hibah merupakan salah satu bentuk hadiah, penerima akan menerima manfaat 100 peratus tanpa sebarang penolakan. Malah, ada juga syarikat insurans yang turut menawarkan manfaat tambahan kepada waris seperti manfaat ihsan sebanyak RM2,000 sekiranya peserta meninggal dunia.

5. Dana Pendidikan Anak-anak

Sudah menjadi tanggungjawab anda sebagai ibu bapa untuk menyediakan pendidikan yang terbaik dan berkualiti untuk anak-anak. Namun begitu, kos pendidikan yang semakin meningkat saban tahun menyukarkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dengan hibah takaful, anda boleh menyediakan perbelanjaan yang mencukupi untuk menanggung kos pendidikan anak-anak meskipun anda sudah tidak bersama mereka pada ketika itu.

Secara asasnya, hibah memainkan peranan dan kelebihan yang tersendiri. Wang yang dihibahkan boleh digunakan oleh waris untuk perbelanjaan kehidupan buat sementara sebelum waris mencari sumber pendapatan lain. Oleh sebab itu, anda perlu rancang kewangan anda dengan baik.

Hibah takaful secara asasnya memainkan peranan penting dalam melindungi ahli keluarga atau waris apabila berlaku kehilangan. Jika anda masih belum mencarum dan ingin hadiahkan hibah takaful kepada keluarga anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia yang menawarkan proses beli insurans yang mudah, cepat dan selamat.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

4 comments

  1. Assalamualaikum.
    Adakah Takaful Hibbah ini membayar sejumlah wang setiap bulan ?
    Bagaimana kaitan dengan menghibahkan wang simpanan di bank, harta kekal yang lain yang ditakafulkan… kurang jelas proses bagaimana menghibahkan harta kepada orang lain melalui takafi.

    Harap maaf … kerana kurang masih faham.

  2. Terbaik perkongsian yang dibuat oleh cik/puan. Moga sentiasa dirahmati Allah. Kadar penembusan kesedaran kepentingan Takaful dimalaysia masih di tahap rendah. moga rakyat malaysia membuka mata berkenaan kepentingan Takaful sebagai pengurus risiko.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60