7 Perkara Asas Sebelum Mula Melabur dalam Unit Amanah

Kali terakhir diperbaharui Sep 6, 2023 oleh Shafiq Wahab
7 Perkara Asas Sebelum Mula Melabur dalam Unit Amanah

Unit Amanah atau turut dikenali sebagai Unit Trust merupakan salah satu institusi pelaburan di Malaysia yang ditubuhkan untuk mengumpulkan dana daripada pelabur-pelabur yang bermodal kecil ke dalam dana amanah. Dana tersebut kemudiannya akan dilaburkan dalam pasaran saham dan ekuiti oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah bagi pihak pelabur menerusi ikatan amanah. Dalam erti kata lain, anda berikan kepercayaan kepada pengurus dana untuk menguruskan dan melaburkan duit bagi pihak anda.

Apa Persiapan Perlu Tahu Sebelum Memulakan Pelaburan dalam Unit Amanah atau Unit Trust?

Pelaburan Unit Trust merupakan instrumen pelaburan yang tepat bagi mereka yang bermodal kecil tetapi ingin berjinak-jinak dengan pelaburan pasaran saham. Ia sekali gus boleh membantu anda mencapai matlamat kewangan dan menikmati gaya hidup yang anda idamkan. Bagi anda yang mungkin berminat untuk menceburkan diri dalam pelaburan Unit Amanah, berikut antara perkara yang anda perlu tahu berkaitan Unit Trust untuk rujukan dan panduan anda:

1. Fahami Konsep Asas Unit Amanah

Unit Amanah (atau Unit Trust) merupakan salah satu instrumen pelaburan kolektif yang popular di Malaysia. Kolektif dalam konteks ini bermaksud wang-wang pelabur akan diletakkan atau dikumpulkan dalam dana amanah. Dana ini akan diuruskan dan dikendalikan oleh pengurus dana profesional dan bertauliah yang bernaung di bawah Syarikat-syarikat Pengurusan Unit Amanah. Ini bermaksud, anda tidak bergiat secara langsung dalam pasaran saham, tetapi hanya membeli unit dalam sesebuah portfolio amanah saham.

Urusan pelaburan ini akan diuruskan oleh pengurus dana yang memainkan peranan menjual atau membeli saham-saham syarikat yang berpotensi memberi keuntungan kepada para pelabur. Secara asasnya, konsep Unit Amanah boleh dikatakan sama seperti pelaburan ASB. Cuma bezanya, keuntungan ASB dapat dilihat melalui bonus dan dividen ASB yang diumumkan setiap tahun, manakala pelaburan Unit Trust akan memperoleh faedah pelaburan dalam bentuk dividen atau kenaikan harga Unit Amanah yang telah dibeli.

2. Kenal Pasti Toleransi Risiko

Secara asasnya, risiko pelaburan terbahagi kepada tiga – pelaburan risiko rendah, sederhana dan tinggi. Semakin tinggi risiko sesuatu pelaburan, semakin tinggi pulangan atau kerugian pelaburan yang mungkin dihadapi. Dalam konteks Unit Amanah, ia boleh dikategorikan sebagai pelaburan berisiko sederhana. Meskipun begitu, risiko pelaburan ini bergantung pada objektif dana yang dipilih itu sendiri. Pelaburan dalam Unit Amanah ada beberapa risiko termasuklah pelaburan yang berisiko rendah, sederhana dan tinggi. Oleh itu, anda disarankan untuk memilih dana pelaburan yang sesuai dengan tahap toleransi risiko anda.

3. Ambil Tahu Modal Pelaburan

Secara asasnya, pelaburan Unit Amanah tidak memerlukan modal yang besar berbanding pelaburan saham atau hartanah. Oleh sebab itu, pelaburan ini sangat sesuai untuk golongan muda yang baru bekerja yang berminat untuk terlibat dalam dunia pelaburan. Ada sesetengah dana yang memerlukan modal minimum serendah RM100, malah ada juga yang memerlukan modal yang lebih tinggi untuk mula melabur dalam Unit Trust.

Selain itu, anda juga disarankan untuk kenal pasti amaun yang perlu disediakan sekiranya anda ingin menambah bilangan unit dalam dana amanah tersebut. Ini kerana, setiap Unit Amanah menetapkan syarat yang berbeza untuk menambah pegangan unit – ada yang serendah RM50 atau RM100 bergantung pada pilihan Unit Amanah yang dipilih. Oleh sebab pelaburan Unit Amanah merupakan pelaburan jangka masa panjang, anda perlu tentukan sendiri dana yang sesuai untuk anda bagi memastikan anda melabur dengan konsisten setiap bulan.

4. Bandingkan Prestasi Dana

Setiap individu yang memilih untuk melabur semestinya mengharapkan duit pelaburan semakin berkembang, kadar keutungan yang tinggi dan kadar kerugian yang minimum. Oleh sebab itu, anda perlu bandingkan setiap prestasi dana dalam kategori yang sama sebelum memilih dana yang terbaik. Sebagai contoh, jika anda ingin melabur dalam dana ekuiti, bandingkan prestasi dana beberapa buah syarikat yang menawarkan dana yang sama. Cara ini sedikit-sebanyak dapat membantu meminimumkan risiko kerugian.

5. Pastikan Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti

Di Malaysia, terdapat banyak pilihan pelaburan yang boleh anda pilih bergantung pada keperluan dan objektif anda. Namun begitu, anda perlu berhati-hati untuk mengelakkan anda daripada menjadi mangsa penipuan scammer. Ambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan Unit Amanah yang dipilih berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti terlebih dahulu sebelum mula melabur. Suruhanjaya Sekuriti (SC) merupakan sebuah badan berautoriti yang mengawal-selia semua jenis pelaburan di Malaysia.

Senarai Unit Trust di Malaysia

Pelaburan Unit Trust merupakan salah satu langkah terbaik untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan dan mendapatkan akses kepada pasaran yang berbeza. Bagi membantu anda memilih pelaburan Unit Amanah yang sesuai untuk anda, berikut merupakan antara Unit Trust terbaik di Malaysia yang boleh anda pertimbangkan:

      1. Amanah Mutual Berhad;
      2. Amanahraya Investment Management Sdn Bhd;
      3. BIMB Investment Management Berhad;
      4. Maybank Asset Management Sdn Bhd;
      5. Hong Leong Asset Management Berhad;
      6. KAF Investment Funds Berhad;
      7. Amanah Saham Nasional Berhad;
      8. Saham Sabah Berhad;
      9. Manulife Asset Management Services Berhad;
      10. Kenanga Investors Berhad;
      11. Permodalan BSN Berhad;
      12. RHB Asset Management Sdn Bhd;
      13. Affin Hwang Asset Management Berhad;
      14. Amanah Saham Sarawak Berhad.

Anda boleh lakukan tinjauan dan pilih mana-mana yang sesuai dengan objektif pelaburan anda. Selain senarai ini, terdapat banyak lagi Unit Trust di Malaysia yang boleh anda terokai. Untuk rekod, terdapat sebanyak 38 buah Syarikat Pengurusan Unit Amanah yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia setakat April 2021.

6. Pilih Dana Pelaburan Unit Amanah Patuh Syariah

Sekiranya anda beragama Islam, anda perlu pastikan dana yang ingin dilaburkan mematuhi syariah Islam. Ia bertujuan untuk memastikan pulangan yang diperoleh daripada pelaburan patuh syariah adalah daripada sumber pelaburan yang halal dan tidak mempunyai sebarang unsur-unsur riba, judi atau ketidakpastian.

7. Ambil Kira Kos Pelaburan yang Perlu Ditanggung

Pelaburan Unit Trust tertakluk pada kos-kos tertentu yang perlu dibayar kepada Syarikat Pengurusan Unit Amanah bergantung pada jumlah pelaburan anda. Berikut antara yuran pelaburan Unit Amanah yang perlu ditanggung sekiranya anda melabur dengan Unit Trust:

Yuran Pengurusan

Ia merujuk kepada bayaran yang perlu dibayar untuk memastikan dana anda diuruskan secara profesional. Biasanya, kadar yuran pengurusan adalah sekitar 0.4 peratus hingga 1.5 peratus daripada nilai aset bersih (NAV), bergantung pada jumlah dana yang dilaburkan.

Yuran Pemegang Amanah Tahunan

Caj ini dikenakan untuk bayaran pentadbiran dan pengurusan penjagaan dana biasanya antara 0.04 peratus dan 0.1 peratus setahun daripada NAV anda. Caj ini juga bergantung pada jenis dana yang dipilih.

Yuran Pertukaran

Secara asasnya, pemegang unit boleh bertukar daripada satu dana kepada satu dana terurus yang lain. Pelaburan minimum yang boleh ditukar dalam setiap transaksi ialah sebanyak RM1,000 dan unit ditukar diurus niaga pada nilai aset bersih (NAV) seunit. Biasanya, caj untuk bertukar daripada dana pasaran wang (money market fund) kepada dana pasaran yang lain adalah sekitar RM24 untuk setiap transaksi atau sehingga enam peratus daripada jumlah dana yang ditukar.

Yuran Jualan

Caj jualan ini dikenakan semasa anda beli Unit Trust. Biasanya, anda perlu membayar tambahan sebanyak enam peratus apabila anda beli secara terus atau melalui perunding. Manakala, caj tiga peratus akan dikenakan ke atas semua dana yang diluluskan jika unit dibeli melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP. Walau bagaimanapun, tiada caj yang akan dikenakan untuk pembelian semula.

Salah satu perkara lain yang anda perlu tahu sebelum melabur dalam Unit Trust ialah Unit Amanah TIDAK dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Oleh sebab itu, anda disarankan untuk mempertimbangkan situasi kewangan anda sebelum atau yang mungkin berlaku setelah anda melabur. Apa yang penting, jangan takut untuk bertanyakan pendapat atau nasihat lanjut daripada mereka yang pakar berkaitan Unit Trust.

Unit Trust Malaysia: Adakah Melabur di Unit Amanah Pilihan Tepat?

Pelaburan Unit Trust merupakan pelaburan jangka masa panjang. Ia merupakan salah satu instrumen pelaburan yang boleh dijadikan pilihan jika anda berani menanggung risiko yang tinggi. Wang yang dilaburkan sama ada duit pencen atau wang persaraan akan dimasukkan ke dalam dana amanah yang akan diuruskan oleh pihak yang memegang tanggungjawab. Oleh sebab itu, anda perlu pilih dana yang sesuai bagi membantu anda mencapai matlamat kewangan anda. Selain itu, sekiranya anda sedang merancang untuk mendapatkan insurans kereta dengan proses yang mudah, cepat, selamat dan berpatutan, layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60