7 Tabung Pendidikan Anak untuk Masa Depan

Kali terakhir diperbaharui Jul 12, 2022 oleh Hariz Hafiz
7 Tabung Pendidikan Anak untuk Masa Depan

Seperti yang anda tahu, kos untuk membesarkan anak memang tinggi daripada keperluan harian, perubatan sehinggalah pendidikan. Sebagai ibu bapa, anda bertanggungjawab untuk memastikan masa depan anak cerah dan terjamin, dan salah satu cara terbaik adalah dengan menyediakan tabung pendidikan untuk mereka. Artikel ini akan berkongsikan tujuh tabung pendidikan terbaik di Malaysia yang boleh anda pertimbangkan.

Jamin Masa Depan Lebih Baik, 7 Tabung Pendidikan Anak Anda Perlu Tahu

Secara amnya, terdapat banyak pilihan tabung pendidikan yang boleh anda pertimbangkan. Anda boleh menyimpan duit di platform pelaburan risiko rendah terbaik seperti Tabung Haji, SSPN, dan ASB untuk tujuan pendidikan anak-anak anda satu masa nanti. Seeloknya, lakukan persiapan awal dengan mula menyimpan duit seawal mungkin kerana kita tidak tahu kos pendidikan mungkin akan meningkat dalam masa 15 sehingga 20 tahun akan datang.

Tidak kiralah anak anda baru berumur enam bulan, satu tahun atau lima tahun, anda boleh mula memperuntukkan wang daripada duit gaji bulanan anda untuk disimpan dalam tabung simpanan anak anda. Dengan cara ini, anda akan dapat menggunakan wang simpanan ini apabila anak anda sudah mula mahu belajar di universiti. Berikut merupakan tujuh pilihan yang anda patut pertimbangkan:

1. SSPN-i Plus

SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Negara) ialah skim simpanan pendidikan oleh PTPTN untuk membantu rakyat Malaysia menabung untuk pengajian tinggi. Untuk pengetahuan anda, perancangan simpanan pelajaran SSPN-i Plus juga menawarkan perlindungan takafulSelain daripada menyimpan untuk pendidikan anak anda, anda juga akan dapat menikmati beberapa faedah lain seperti pelepasan cukai sebanyak RM6,000 setahun.

Selain itu, perlindungan takaful percuma juga akan disediakan untuk pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 ke atas. SSPN juga menawarkan kadar dividen yang kompetitif. 

Kadar Dividen SSPN

Berikut merupakan senarai kadar dividen SSPN untuk lima tahun yang terkini:

Tahun Kadar Dividen (%)
2021 3.00
2020 4.00
2019 4.00
2018 4.00
2017 4.00

Cara Daftar Akaun SSPN-i Plus Online

Jika anda berminat untuk menyimpan duit anak anda dalam SSPN-i Plus, ikuti 10 langkah berikut:

        1. Layari laman web SSPN
        2. Klik butang “Daftar SSPN-i Plus” dan klik butang ”Pembukaan Akaun”
        3. Pilih salah satu daripada enam pakej SSPN-i Plus bermula dari RM30 sebulan sehingga RM500 sebulan. 
        4. Pilih syarikat pengendali takaful SSPN-i Plus.
        5. Lengkapkan maklumat akaun. 
        6. Kemudian, pilih sama ada akaun SSPN-i Plus ini dibuka untuk diri sendiri atau anak.
        7. Lengkapkan maklumat pendeposit dan maklumat anak. 
        8. Masukkan jumlah bayaran mengikut pakej yang anda pilih. Minimum jumlah bayaran adalah dua bulan. 
        9. Pilih kaedah potongan pembayaran.
        10. Semak maklumat pendaftaran sebelum membuat pembayaran.

2. Tabung Haji

Bagi mereka yang beragama Islam, Tabung Haji merupakan pilihan yang wajar dipertimbangkan. Anda boleh buka akaun Tabung Haji dan menjadikannya sebagai tabung pendidikan anak. Kebiasaannya, kebanyakan ibu bapa memilih akaun simpanan Tabung Haji untuk menyimpan duit raya anak-anak kerana ia dijamin oleh kerajaan dan patuh syariah. 

Bukan itu sahaja, dengan menyimpan duit di Tabung Haji juga membolehkan anda mendaftarkan anak anda untuk menunaikan ibadah Haji dengan syarat jumlah wang minimum RM1,300 dalam akaun anak anda. Selain itu, Tabung Haji juga menawarkan kadar dividen dan bonus yang akan memberikan pulangan tambahan kepada akaun Tabung Haji anak anda.

Perlu diingatkan, anda perlu menukar status akaun anak dari “Akaun Kanak-kanak” kepada “Akaun Dewasa” apabila usianya telah mencecah 18 tahun ke atas. Selagi status akaun kekal sebagai akaun kanak-kanak, penjaga akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas akaun tersebut walaupun anak telah melebihi umur 18 tahun. Penukaran status akaun boleh dibuat di mana-mana cawangan TH dan ia hanya boleh dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga yang sah sahaja. 

Cara Buka Akaun Tabung Haji Anak 

Kini anda boleh mendaftar atau buka akaun Tabung Haji anak online. Berikut merupakan cara daftar Tabung Haji Anak online. Ikuti langkah-langkah berikut:

        1. Layari laman web THiJARI atau melalui aplikasi THiJARI.
        2. Mula mendaftar dengan klik pada bahagian “Pembukaan Akaun Kanak-kanak”.
        3. Isi maklumat anda dengan lengkap dan hantar. Anda akan menerima e-mel pengesahan daripada Tabung Haji.
        4. Pergi ke cawangan pilihan anda untuk urusan pendaftaran di kaunter, dan bawa dokumen buka akaun Tabung Haji Anak seperti surat beranak anak (dan salinan), MyKid anak (dan salinan), MyKad ibu/bapa (dan salinan).
        5. Anda perlu mengemukakan deposit akaun pembukaan dengan jumlah minimum RM10.
        6. Jika anda mahu daftar Haji untuk anak, anda boleh masukkan RM1,310.00.
        7. Urusan anda akan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. 

tabung pendidikan

3. Amanah Saham Bumiputera Didik (ASB 3 Didik)

Bagi Bumiputera, anda boleh pertimbangkan untuk menyimpan duit anak anda dalam akaun ASB Didik 3. Simpanan dalam akaun ini akan menyediakan keperluan kewangan masa depan untuk perbelanjaan pendidikan anak anda. Akaun ASB 3 Didik boleh dibuka dengan kadar serendah RM100 sahaja. Anda boleh membuka “Akaun Bijak” untuk dijadikan sebagai tabung pendidikan anak anda. 

Status akaun ini ditukarkan secara automatik menjadi akaun dewasa apabila anak anda telah mencapai usia 18 tahun. Dana ini diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad, iaitu sebuah anak syarikat Permodalan Nasional Berhad. Untuk rekod, dividen ASB 3 Didik bagi tahun 2021 adalah sebanyak 4.25 peratus.

Cara Daftar Akaun ASB 3 Didik

Berikut merupakan cara daftar akaun ASB 3 Didik untuk rujukan dan panduan anda:

        1. Muat turun aplikasi MyASNB.
        2. Klik butang Daftar.
        3. Pilih jenis ID jika anda pilih nombor kad pengenalan, masukkan no IC anda bersama-sama dengan nombor telefon anda.
        4. Masukkan nombor OTP yang dihantar ke telefon bimbit anda untuk tujuan pengesahan.
        5. Lengkapkan maklumat peribadi, maklumat pekerjaan, pengesahan identiti dan sebagainya.

4. Amanah Hartanah Bumiputera

Anda boleh membuka “Akaun Remaja” di Amanah Hartanah Bumiputera sebagai tabung pendidikan untuk anak anda. Apa itu AHB? Ia merupakan dana unit amanah patuh Syariah yang melabur dengan tujuan memberikan aliran pendapatan yang tetap dan konsisten kepada pelabur Bumiputera sambil mengekalkan modal pelaburan pelabur. 

Kelebihan simpan wang dengan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) adalah pemegang akaun akan mendapat akses untuk melabur dalam hartanah komersial utama di Malaysia. Ini bermakna anak anda yang masih kecil sudah boleh melabur hartanah dengan modal minimum hanya sebanyak RM100. Wang pulangan akan masuk ke dalam akaun anak anda dan boleh dikeluarkan apabila tiba masanya.

5. Insurans Pendidikan

Walaupun insurans biasanya dikaitkan dengan perlindungan insurans nyawa, insurans kereta dan banyak lagi, anda juga boleh memilih insurans pendidikan yang dijadikan tabung simpanan untuk pendidikan anak anda. Dengan insurans pendidikan, anda bukan sahaja menyediakan wang simpanan pendidikan untuk anak-anak anda tetapi dalam masa yang sama anda juga akan memberikan perlindungan kepada mereka.

Pertimbangkan komitmen sedia ada dan jumlah wang yang anda ingin peruntukkan untuk pendidikan anak anda. Dengan cara ini, anda dapat pastikan yang anda mampu membayar premium kerana ia merupakan komitmen jangka panjang. Pilih polisi yang boleh memberikan anda fleksibiliti supaya anda boleh meningkatkan jumlah simpanan anda secara beransur-ansur pada masa hadapan sekiranya pendapatan bulanan anda bertambah. Anda juga boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM3,000 jika anda mendapatkan insurans pendidikan untuk anak anda.

6. Simpanan Tetap

Anda juga boleh menggunakan akaun simpanan tetap atau dikenali juga sebagai akaun fixed deposit untuk menyimpan duit sebagai tabung pendidikan anak anda. Dengan menyimpan duit anda dalam simpanan tetap, simpanan anak anda akan bertambah dari semasa ke semasa tanpa risiko kewangan yang tinggi.

Simpanan tetap merupakan pelaburan jangka panjang –amaun yang anda simpan dalam bank akan disimpan untuk tempoh tertentu sehingga mencapai tempoh matang yang telah ditetapkan. Menyimpan wang anak anda dalam simpanan tetap merupakan satu langkah yang baik kerana kadar faedah yang ditawarkan agak tinggi dan tabung pendidikan anak anda juga akan semakin bertambah.

7. Akaun Simpanan

Akaun simpanan merujuk pada akaun bank yang membolehkan anda menyimpan wang simpanan anda dengan selamat. Anda boleh membuka akaun simpanan dengan amaun serendah RM1 bergantung pada bank pilihan anda kerana setiap bank mempunyai polisi yang berbeza.

Walaupun kadar faedahnya lebih rendah berbanding dengan platform tabung pendidikan lain yang telah disebutkan di atas, akaun simpanan ini masih lagi pilihan yang baik sebagai tabung simpanan pendidikan untuk anak anda berbanding menyimpan dalam tabung biasa. 

tabung pendidikan anak

Persediaan Kewangan untuk Masa Depan Anak Anda

Menyediakan tabung pendidikan anak dari awal dapat membantu anda membuat perancangan kewangan yang lebih baik untuk masa depan yang lebih cerah. Ini bermaksud, anda tidak perlu menggunakan duit KWSP anda untuk menampung kos pembelajaran anak di universiti kerana wang simpanan dalam tabung pendidikan anak sudah mencukupi. 

Selain daripada anda menyediakan tabung pendidikan untuk anak anda, anda juga disarankan untuk memupuk tabiat menabung untuk anak anda supaya mereka akan menghargai nilai wang ringgit dan ini mungkin dapat membantu mereka untuk menguruskan wang mereka sendiri pada satu masa nanti.

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik di Malaysia, dapatkan insurans kereta anda dengan Qoala. Selain insurans kereta, anda juga boleh mendapatkan insurans motor dan insurans rumah di Qoala.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60