Insurans Nyawa: Segala Yang Anda Perlu Tahu!

Artikel ini terakhir diperbarui September 20, 2021 by Nadhirah Rashid
Insurans Nyawa: Segala Yang Anda Perlu Tahu!
Bagikan ke Teman:

Nyawa adalah segalanya. Ianya tidak ternilai. Dalam dunia yang penuh dengan risiko, kita perlu mempunyai perlindungan seperti insurans nyawa untuk diri sendiri dan juga keluarga yang tersayang daripada berlakunya insiden-insiden yang di luar jangkaan kita. Walau bagaimanapun, tahap kesedaran kebanyakkan rakyat Malaysia terhadap insurans nyawa masih rendah. Berdasarkan laporan Life Insurance Association of Malaysia (LIAM), hanya sebanyak 56 peratus rakyat Malaysia sahaja yang memiliki dan dilindungi pelan insurans nyawa. 

Ada yang berpendapat bahawa simpanan yang mereka adalah dalam tabung, atau dalam bank sudah mencukupi untuk melindungi mereka sekiranya berlaku kecemasan. Jika tabung atau duit dalam bank itu tidak dikorek langsung, mungkin ianya cukup. Dan, siapalah kita untuk menjangkakan apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Contohnya, kemalangan dan kematian. Orang kata, sediakan payung sebelum hujan, sediakan pelampung sebelum tenggelam. Disinilah peranan insurans nyawa. 

Insurans Nyawa VS Insurans Perubatan

Insurans nyawa, atau juga dikenali sebagai insurans hayat adalah sebuah skim caruman yang dikehendaki pencarumnya membayar pada sesuatu jumlah secara bulanan atau tahunan. Mungkin ramai tertanya, apa function sebenar insurans nyawa ini? Objektif utamanya ialah untuk membantu dan meringankan beban ahli keluarga terutamanya dari aspek kewangan selepas pencarum meninggal dunia. 

Insurans nyawa akan memberi manfaat kepada tanggungan si pencarum setelah pencarum itu meninggal dunia. Oleh itu, ia sangat penting untuk korang menyediakan senarai penama-penama yang akan menerima manfaat semasa memohon untuk mencarum insurans tersebut. Sebagai contoh, jika anda seorang suami yang mengambil insurans nyawa, jadi penama kepada polisi tersebut mungkin kepada isteri dan anak-anak. 

Walaupun insurans jenis ini memberi manfaat kepada penama setelah pencarum meninggal dunia, ianya tidak memberi manfaat yang sama sekiranya pencarum meninggal dunia kerana bunuh diri. 

Manakala insurans perubatan atau kesihatan pula adalah sejenis polisi caruman kewangan yang memberi manfaat dan bantuan kewangan kepada si pencarum apabila berlaku sebarang kecemasan kesihatan. Insurans ini direka khas untuk membantu individu yang akan terjejas kemampuannya untuk menjana pendapatan disebabkan masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, tidak semua jenis penyakit dilindungi insurans perubatan. Sakit-sakit kronik seperti kanser atau strok mungkin memerlukan korang untuk mencarum caruman insurans yang lain. 

Jadi, apa yang kita boleh simpulkan perbezaan kedua-duanya adalah dari segi manfaatnya. Bagi pencarum polisi insurans nyawa, manfaat bantuan kewangan akan dinikmati oleh penama-penama yang ada dalam senarai skim insurans selepas kematian pencarum. Manakala bagi pencarum insurans perubatan pula, ia memberi manfaat bantuan kewangan kepada pencarum sahaja jika pencarum didapati mempunyai masalah kesihatan.

Yang mana satu perlu korang carum? Sebenarnya, jawapan ini terletak pada kemahuan dan objektif anda. Apa yang boleh diperkatakan disini adalah ianya sangat penting untuk seseorang individu memiliki sekurang-kurangnya satu daripada banyak lagi jenis insurans. Ini kerana kita tidak tahu apa yang boleh berlaku pada masa hadapan. Lebih elok lagi jika kita dapat mencarum kedua-dua insurans tersebut. Ia dapat memberi perlindungan yang berlipat ganda. 

Apa Maksud Premium Dalam Konteks Insurans?

Mungkin ramai lagi yang tak faham apa yang dimaksudkan premium dalam konteks insurans nyawa. Dalam dunia insurans, premium adalah jumlah yang perlu dibayar pada setiap bulan kepada syarikat insurans.

Menariknya, korang boleh pilih berapa banyak premium yang korang nak bayar dan mampun untuk bayar. Adakah makin tinggi premium, makin baik perlindungan yang akan diterima? Tak semestinya, korang mungkin akan dapat perlindungan ke atas perkara yang korang tidak perlukan pun. Dan jumlah premium yang terlalu rendah juga tidak disyorkan, kerana ia mungkin akan menyebabkan korang tak dapat perlindungan yang korang perlukan.

Kepentingan Insurans Nyawa 

Malang sesungguhnya tidak berbau. Kita sebagai manusia tidak tahu dan tidak boleh anggar bila kecelakaan atau musibah akan berlaku. Jika korang tak pasti sama ada nak mencarum atau tidak, ini adalah kepentingan insurans nyawa: 

  • Menyara keluarga

Foto Kredit: Evgeny Atamanenko Melalui Shutterstock

Kehilangan ahli keluarga yang merupakan tulang belakang keluarga bukan saja meninggalkan kesan sedih, malah ia juga meninggalkan kesan dari segi kewangan. Kewangan keluarga boleh terjejas selepas kematian ahli keluarga yang menyara ahli keluarga. Sebagai contoh, seorang suami, yang tidak mencarum insurans nyawa, meninggal dunia akibat kemalangan meninggalkan seorang isteri yang tidak bekerja, dan tiga orang anak yang masih kecil. Isteri tersebut pasti terkesan dari segi kewangan untuk menyara anak-anaknya. Kos persekolahan, bil air dan elektrik, dan pelbagai bil lagi. 

Apabila mencarum insurans nyawa, korang sebenarnya melindungi dan bertanggungjawab ke atas kebajikan keluarga walaupun sudah meninggal dunia. Dengan jumlah wang perlindungan yang diberikan oleh syarikat insurans keluarga, keluarga mampu menyara kehidupan sehingga mereka mampu untuk mencari sumber pendapatan alternatif. Walau bagaimanapun, jumlah wang perlindungan yang diberi adalah bergantung kepada saiz perlindungan yang diambil. 

  • Kos pengebumian

Hidup memerlukan kos. Meninggal dunia juga memerlukan kos. Kadang-kadang proses pengebumian jenazah boleh memakan jumlah kos yang tinggi. Malang tidak berbau. Bayangkan kita ditakdirkan meninggal dunia di luar negara dan keluarga mahu menguruskan pengebumian di negara sendiri. Kosnya pastilah berlipat ganda lebih mahal dan boleh mencecah ribuan ringgit. Di sesetengah kawasan di Malaysia, termasuk di bandaraya Kuala Lumpur, kos menggali dan menimbus boleh mencecah sehingga RM700 untuk setiap pengebumian. Ini tidak termasuk dengan harga tapak perkuburan yang juga perlu dilangsaikan.

Jika korang merupakan pencarum insurans nyawa, ahli keluarga tidak perlu pening kepala, korek simpanan untuk menguruskan kematian kita kerana insurans ini boleh membantu keluarga menguruskan kos pengebumian. 

  • Hutang

Hutang adalah satu perkara yang wajib dilangsaikan. Antara hutang yang kebanyakkan individu ada adalah hutang pinjaman kereta, hutang pinjaman peribadi, hutang pembiayaan rumah dan juga hutang pinjaman pendidikan. Menurut Bank Negara Malaysia, tahap hutang isi rumah adalah pada tahap yang tinggi, iaitu 82.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dan hutang peminjaman rumah merangkumi sebahagian besar daripada keseluruhan jenis-jenis hutang. Ini tidak termasuk hutang dengan individu seperti hutang dengan rakan-rakan, ahli keluarga dan sebagainya. Menjadi tanggungjawab ahli keluarga untuk melangsaikan hutang si mati. Jadi, di sinilah peranan insurans nyawa. Pampasan insurans boleh digunakan untuk membayar hutang-hutang si pencarum. 

  • Pelan simpanan

Insurans nyawa turut boleh digunakan sebagai pelan simpanan. Pelbagai pelan insurans di pasaran menawarkan feature simpanan yang membolehkan si pencarum untuk menuntut balik simpanan sebaik sahaja polisi insurans tersebut sudah matang. Selalunya, jumlah simpanan adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan premium yang korang kena bayar. Korang boleh mendapatkan pelbagai lagi maklumat lanjut mengenai ciri simpanan daripada syarikat pengeluar insurans. Ianya sangat menarik kerana dapat menawarkan perlindungan dan juga simpanan pada masa yang sama. 

  • Tabung pendidikan anak-anak

Jika korang mempunyai anak, korang juga boleh menganggap insurans nyawa ini sebagai satu alternatif untuk simpanan pendidikan mereka, terutamanya untuk anak-anak yang bakal melanjutkan pengajian ke tahap universiti. Sesetengah pelan insurans nyawa menyediakan ciri simpanan yang akan berkembang. Sebaik sahaja anak-anak meningkat dewasa, dana yang bakal mereka peroleh menjadi lebih banyak daripada apa yang kita simpan. 

Walau bagaimanapun, pencarum perlu menunggu sehingga pulangan tersebut melebihi jumlah premium yang harus dibayar. Kebiasaannya, ia akan mengambil masa lebih kurang 30 tahun. Ianya adalah satu perbuatan yang merugikan apabila wang tersebut dikeluarkan sebelum masanya. Lain produk insurans, lain syarat dan tempoh yang diperlukannya. Jadi dengan itu, pastikan korang semak terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. 

Jenis-jenis Polisi Insurans Nyawa

Ada pelbagai jenis polisi insurans nyawa. Ianya bergantung kepada kemahuan kita. 

  • Pelan Endowment

Menariknya mengenai pelan ini adalah, pelan ini merupakan satu kombinasi perlindungan dan juga penjimatan. Pembayaran hanya akan dibuat pada akhir tempoh yang ditetapkan selepas pencarum meninggal dunia ataupun kehilangan upaya yang kekal. Pelan ini sesuai untuk anda yang mahukan simpanan, pemindahan, atau pun pemeliharaan dan pengumpulan kekayaan dengan cukai tertunda.

  • Insurans Berkaitan Pelaburan

Polisi insurans nyawa jenis ini pula adalah satu kombinasi pelaburan dan perlindungan di mana premium korang akan dibahagikan kepada liputan insurans nyawa dan pelaburan ke atas dan yang kita pilih. Pelan ini juga membenarkan pencarum untuk menentukan sendiri nisbah peruntukan premium pencarum. Ianya sesuai untuk simpanan, pemindahan, atau pun pemeliharaan dan pengumpulan kekayaan dengan cukai tertunda.

  • Anuiti Hidup

Anuiti adalah satu produk kewangan yang direka bagi membayar aliran kewangan kepada pemegang anuiti pada suatu masa yang ditetapkan. Untuk anuiti hidup pula, syarikat insurans akan membuat pembayaran anuiti untuk satu jangka masa yang tertentu sehingga pencarum meninggal dunia. Jenis bayaran anuiti ini termasuk sekali dengan anuiti serta merta atau pun anuiti tertunda. Pelan jenis ini sesuai untuk penabungan bagi persaraan dan pengumpulan kekayaan dengan cukai tertunda.

  • Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTA)

Pelan ini pula berfungsi dengan menyelesaikan baki pembiayaan perumahan pencarum sekiranya pencarum meninggal dunia, alami kehilangan upaya yang kekal ataupun disahkan menghidap penyakit yang kritikal. Pelan ini sesuai untuk pencarum yang ingin membuat perancangan harta dan pemindahan aset. 

  • Perlindungan Tambahan (Rider)

Rider adalah merupakan sebuah perlindungan tambahan yang dilampirkan sekali bersama pelan insurans asas contohnya endowmen atau seumur hidup. Rider yang selalu diambil adalah rider perubatan, kemalangan dan juga penyakit kritikal. Pelan ini sesuai untuk pencarum yang mahu membayar perbelanjaan yang berkaitan dengan perubatan, kemalangan dan juga penyakit kritikal. 

  • Insurans Bertempoh

Insurans bertempoh ini membawa maksud kepada pelan yang terhad kepada jangka masa tertentu. 10 tahun contohnya. Kebiasaannya, pelan ini lebih murah berbanding pelan insurans nyawa yang lain. Ianya sesuai untuk penggantian pendapatan semasa masih bekerja. 

  • Insurans Seumur Hidup

Insurans seumur hidup ini dirangka khas bagi melindungi individu untuk seumur hidup mereka. Maka, premiumnya lebih tinggi jika dibandingkan dengan polisi insurans bertempoh. Jumlah premium biasanya telah ditetapkan dan ia mempunyai nilai tunai yang berfungsi sebagai simpanan dan boleh ditunda cukai di masa depan. Pelan ini sesuai untuk pemindahan, atau pun pemeliharaan dan pengumpulan kekayaan dengan cukai tertunda.

Faktor-faktor Yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Mencarum

Insurans nyawa berperanan untuk melindungi anda, dan keluarga anda seumur hidup. Jadi, ianya penting untuk korang buat semakan secara teliti dan pertimbangkan dari setiap aspek sebelum membuat apa-apa keputusan untuk mencarum. 

  • Matlamat Kewangan

Foto Kredit: Nokuro Melalui Shutterstock

Korang kena kenal pasti matlamat kewangan korang terlebih dahulu sebelum memilih mana-mana pelan insurans. Ini kerana, insurans nyawa bukan saja membantu meringankan beban keluarga dari segi kewangan selepas kematian pencarum, malah ia juga boleh membantu pencarum untuk pelbagai aspek lain lagi. Ada orang mahu mendapatkan insurans ini untuk manfaat pembayar ketika bersara, ada orang nak buat simpanan untuk pendidikan anak-anak, dan ada juga yang mahu meringankan jumlah cukai yang perlu dibayar. 

Sebab itulah pentingnya untuk ketahui matlamat kewangan kita. Tidak kisah apa pun matlamat korang, ia berperanan besar dalam menentukan jenis insurans nyawa yang korang perlukan. 

  • Kos premium

Ukur baju di badan sendiri. Macam membuat pembiayaan yang lain, ianya harus sesuai dengan kemampuan kewangan kita. Memang betul, insurans nyawa dicarum bagi membantu kita untuk merealisasikan matlamat kewangan kita. Tapi, ia juga bergantung kepada kemampuan kita. Harga kos premium seharusnya berpatutan dan sesuai dengan kemampuan diri kita. Ini kerana, pembiayaan kos premium yang terlalu mahal boleh menyebabkan pembayaran polisi kita ditunda dan boleh menyebabkan krisis kewangan yang teruk. 

Kos premium yang ideal adalah kos premium yang merangkumi hanya enam peratus sahaja daripada jumlah pendapatan kita. Sebagai contoh:

Pendapatan bulanan: RM5,000

Kos premium  yang ideal: Tidak melebihi RM300

Apakah Polisi Insurans Nyawa Yang Sesuai Dengan Saya?

Memilih polisi insurans nyawa haruslah tepat dan sesuai dengan keperluan kewangan kita dan juga keluarga. Ini antara spesifikasi yang koran boleh rujuk:

  • Professional bujang

Keperluan: Memerlukan perlindungan seumur hidup dan juga inginkan matlamat kewangan pada masa hadapan.

Perlindungan yang disarankan: Insurans Nyawa Seumur Hidup, Insurans Nyawa Bertempoh

  • Pasangan berkahwin

Keperluan: Simpanan masa depan, perancangan cukai dan juga perlindungan selepas kematian

Perlindungan yang disarankan: Insurans berkaitan pelaburan dan insurans nyawa seumur hidup. 

  • Pasangan yang mempunyai anak

Keperluan: Merancang cukai, keperluan masa depan dan pendidikan anak

Perlindungan yang disarankan: Insurans nyawa seumur hidup dan juga insurans bertempoh gadai janji berkurangan.

  • Individu bakal bersara

Keperluan: Simpanan persaraan dan pelan jaminan

Perlindungan yang disarankan: Anuiti nyawa dan endowmen

  • Pesara

Keperluan: Simpanan bagi perubatan, dan pendapatan berterusan

Perlindungan yang disarankan: Anuiti nyawa dan insurans nyawa bertempoh

Amat penting untuk kita kenal pasti pelan insurans yang sesuai dengan keperluan kita. Ini kerana apabila kita salah memilih, ia akan merugikan kita. Antara kesilapan yang sering dilakukan orang ramai adalah mereka gagal untuk membuat semakan secara teliti ke atas polis mereka dari masa ke masa. Keperluan kita akan berubah mengikut waktu, dan perlindungan kita haruslah mengikuti perubahan itu. 

Artikel ini jelas menunjukan kepentingan insurans nyawa, Jika korang belum mencarum, inilah masa yang terbaik untuk korang mula mencarum. Tidak salah untuk kita membuat persiapan bagi waktu-waktu sukar yang boleh berlaku. 

Benar, wang tidak boleh menggantikan nyawa sesiapa sekali pun. Tapi, dengan adanya polisi insurans nyawa, ia boleh memberi perlindungan untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan kejutan. 

Jika korang baru nak kenali mengenai insurans, artikel insurans takaful boleh memberi penjelasan yang lebih terang. Semoga bermanfaat!

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗