Punca-punca Loan Kereta Ditolak

Artikel ini terakhir diperbarui September 2, 2021 by Nadhirah Rashid
Punca-punca Loan Kereta Ditolak
Bagikan ke Teman:

Salah satu kaedah membeli kereta yang digunakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia adalah melalui loan kereta atau juga dikenali sebagai pembiayaan sewa beli kereta dan pinjaman kereta. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak arif lagi dengan perkara-perkara yang melibatkan pinjaman kereta seperti syarat-syarat kelayakan, dokumen-dokumen yang diperlukan dan banyak lagi. Ketidakarifan mereka mengenai loan kereta ini boleh menyebabkan permohonan pinjaman kereta ditolak. Artikel kali ini akan menerangkan bagaimana loan kereta anda boleh ditolak dan cara yang betul untuk membuat permohonan pinjaman kereta. 

Sebelum kita ke topik yang lebih mendalam, kita perlu tahu apa itu loan kereta. Pinjaman kereta adakah salah satu kaedah pembelian kereta. Iaitu dengan cara pembeli membuat permohonan pada bank untuk tujuan membeli kereta. Apabila loan kereta yang dimohon lulus, peminjam harus membayar balik bayaran termasuk dengan jumlah faedah yang dikenakan oleh bank. Bayaran balik perlu dibuat secara bulanan dalam jangka masa tertentu. Sekiranya peminjam gagal membuat bayaran balik, ia boleh mengakibatkan kereta ditarik balik oleh pemberi pinjaman iaitu pihak bank. 

Sebab-sebab Loan Kereta Ditolak Bank

Jangan terkejut kalau permohonan anda ditolak. Pihak bank juga berhak untuk menolak permohonan anda. Ini kerana mereka meletakkan kriteria-kriteria yang sangat ketat. Ada pelbagai sebab dan punca loan kereta anda ditolak bank, ini antaranya;

  • Skor kredit

Skor kredit yang baik dapat membantu meluluskan loan kereta daripada bank.
Foto Kredit: garagestock Melalui Shutterstock

Kredit skor berkait rapat dengan istilah Central Credit Reference Information System (CCRIS) atau Credit Tip-Off Service (CTOS). Buat anda yang tak familiar dengan istilah-istilah tersebut, inilah masanya untuk tambah pengetahuan. CCRIS adalah sebuah agensi kewangan yang dikelolakan oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia, manakala CTOS pula adalah sebuah agensi yang dikendalikan oleh syarikat swasta. Peranan mereka ini penting. Ini kerana kebanyakan institusi kewangan menyemak dan membuat penilaian terhadap kedudukan kredit anda. 

Antara perbezaan lain bagi CCRIS dan CTOS adalah, CCRIS tidak mengira skor kredit. Sebaliknya, ia berperanan untuk menyenaraikan maklumat-maklumat kredit pengguna daripada pembekal perkhidmatan kewangan termasuk broker insurans, syarikat telekomunikasi dan sudah tentu, pihak bank. Ia sekaligus memudahkan pihak-pihak tersebut untuk melihat setiap komitmen kewangan anda. 

Skor kredit dihasilkan dengan mengambil kira kriteria-kriteria ini: 

  1.  Sejarah pembayaran 
  2.  Amaun pinjaman lain
  3.  Tempoh sejarah kredit
  4.  Permohonan kredit baharu
  5.  Rekod prestasi undang-undang 

Skor kredit anda akan terjejas apabila anda gagal membuat bayaran balik mana-mana pinjaman seperti pinjaman pribadi, kad kredit atau pun pinjaman pendidikan. Apabila kredit skor merekodkan satu rekod yang tidak cantik, pihak bank boleh menolak permohonan loan kereta anda. Untuk pemahaman yang lebih mudah, bank kayak menolak permohonan anda kerana bank tidak yakin dengan kebolehan anda untuk membayar balik pinjaman jika diikutkan prestasi anda daripada kredit skor. 

Lagi satu, jika anda tidak mempunyai apa-apa pinjaman yang menyebabkan anda tiada skor kredit, bank turut berhak menolak permohonan anda. Ini kerana bank tidak dapat nilai kemampuan anda untuk membayar balik pinjaman kerana prestasi kewangan anda tidak direkod. 

  • Gaji minima

Satu aspek yang paling penting dalam memastikan bank meluluskan permohonan loan kereta adalah tahap kemampuan anda untuk membayar balik. Gaji minima menjadi salah satu penanda aras. Apabila pemohon memohon pinjaman untuk sebuah kereta yang tidak setara dengan gaji minima, bank tidak teragak-agak untuk menolak permohonan tersebut. Ini kerana bank tidak akan mengambil risiko untuk melulus pemohonan tersebut sekiranya gaji minima anda tidak memberi gambaran yang kuat untuk anda membuat bayaran balik. 

Bank turut menetapkan had minima gaji yang membolehkan anda membuat pinjaman. Lain bank, lain had minimanya. Sebagai contoh:

  • Maybank – RM 2,500 ke atas
  • AmBank – RM 3,000 ke atas
  • Public Bank – RM 2,500 ke atas
  • BSN – RM 2,000 ke atas

Had gaji minima berubah dari masak ke masa. Untuk mengetahui had gaji minima bagi bank pilihan anda, anda boleh membuat semakan tersebut melalui bank atau menerusi website mereka. 

  • Pemohon baru bekerja

Anda akan diminta untuk menyediakan beberapa dokumen penting berkenaan pekerjaan. Ia merupakan salah satu proses dalam membuat permohonan loan kereta. Namun, jika anda seseorang yang baru berpindah kerja, atau anda seorang lepas ijazah yang baru mula bekerja, ia dapat menyukarkan proses permohonan pinjaman kereta anda. 

Majoriti bank memerlukan dokumen pekerjaan seperti slip gaji, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekurang-kurangnya selama enam bulan bagi memastikan anda mempunyai pendapatan yang cukup stabil untuk membuat pembayaran balik pinjaman. Kegagalan menyediakan dokumen-dokumen penting dengan tempoh yang diperlukan, ia boleh membuat bank untuk menolak permohonan anda. 

Oleh itu, anda disyorkan untuk menangguh pembelian kereta sehingga selepas enam bulan bekerja pada syarikat yang sama. Pastikan juga majikan anda membayar KWSP tepat pada waktunya kerana pembayaran KWSP yang tidak konsisten akan menjejaskan permohonan pinjaman kereta anda. 

  • Debt Service Ratio

Anda mungkin mempunyai dokumen-dokumen lengkap yang diperlukan, dan anda juga telah bekerja lebih daripada enam bulan tapi loan kereta anda masih ditolak. Jangan terkejut. Ini mungkin disebabkan anda mempunyai Debt Service Ratio (DSR) yang terlalu tinggi. DSR yang tinggi boleh terjadi sekiranya anda mempunyai kad kredit. Ia akan direkod dalam laporan CCRIS dan CTOS. Melalui laporan tersebut, pihak bank akan merujuk kepada pembayaran balik kad kredit tersebut sebagai komitmen kewangan bulanan anda. Pihak bank juga akan mengira DSR untuk mengetahui sama ada anda mampu membuat pembayaran balik kereta yang anda mohon atau tidak setelah menolak komitmen lain.

DSR adalah satu kriteria yang penting dalam memutuskan keputusan permohonan anda.  Setiap had DSR adalah berbeza mengikut bank. Sebagai contoh, jika had DSR bank ialah 70 peratus, sebarang peratusan DSR melebihi 70 berkemungkinan besar akan ditolak atau tertakluk pada semakan yang lebih ketat. DSR yang sihat adalah antara 30 dan 40 peratus. 

DSR dikira dengan membahagikan komitmen kewangan bulanan anda (pinjaman, kad kredit dan sebagainya) dengan jumlah pendapatan bulanan anda. 

  • Penjamin tidak kukuh

Antara elemen lain yang menguatkan lagi permohonan pinjaman anda adalah dengan menggunakan penjamin. Secara am, penjamin adalah seorang yang akan turut terikat secara sah dari segi undang-undang untuk menjelaskan hutang pinjam kereta tersebut sekiranya peminjam utama gagal membuat bayaran balik dalam tempoh masa yang ditetapkan. Disebabkan ini, bank akan lebih menimbangkan peminjam yang mempunyai penjamin dengan dokumen-dokumen yang kukuh kerana ia melibatkan risiko-risiko yang bakal dihadapi pihak bank sekurang peminjam utama gagal membuat bayaran balik. Anda dinasihatkan untuk menyediakan penjamin yang kukuh kerana bank lebih cenderung meluluskan permohonan.  Sekiranya anda telah menyediakan penjamin, dan permohonan anda masih ditolak, itu mungkin berpunca daripada penjamin anda yang tidak kuat. 

Tapi sebenarnya, apakah yang dimaksudkan dengan penjamin yang ‘kuat’ dan ‘kukuh’? Penjamin yang kuat dan kukuh ini merujuk kepada tahap prestasi kewangan penjamin tersebut serta kemampuan penjamin memberi komitmen sekiranya anda tidak dapat melunaskan hutang tersebut. 

  • Status jawatan

Yes, status jawatan juga memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan pihak bank untuk meluluskan permohonan loan kereta anda. Sekiranya jawatan anda berstatus kontrak, sambilan, atau sementara, bank sukar meluluskan permohonan anda. Ini kerana bagi bank, status-status jawatan ini adalah jawatan yang kritikal. Ia menjadi satu keputusan yang sukar untuk sesebuah bank untuk memberikan kelulusan. 

Ini kerana status-status tersebut adalah status yang tidak menentu. Bank khuatir jika anda tidak mampu bayar bayaran pinjam kereta tersebut jika anda sudah ditamatkan kontrak dan sebagainya. Dan disebabkan itulah individu yang mempunyai pekerjaan yang tetap lebih mudah mendapatkan kelulusan. 

Walau bagaimanapun, status kontrak kerajaan masih boleh dipertimbangkan bergantung kepada sesuatu faktor. Ia boleh disebabkan faktor track record hutang lampau yang bersih dan juga gaji minima jawatan yang tinggi. 

Panduan Sebelum Membuat Pinjaman

Kereta boleh dikatakan sebuah keperluan kepada sesetengah individu. Ini kerana kebanyakan mereka perlu menggunakan kereta untuk mencari rezeki. Ini adalah tips-tips untuk memudahkan dapat kelulusan bank untuk loan kereta yang anda boleh cuba. 

  • Ikut kemampuan

Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Tapi dalam konteks ini, kita boleh cakap untuk ukur kereta di poket sendiri. Kita perlu sedari kemampuan kita dari segi kewangan sebelum memohon loan kereta yang anda perlukan.  

Misal kata,  anda mengidamkan kereta jenama Honda Civic yang berharga RM 108,165 (dengan SST), maka, secara kasar, tahap kemampuan anda untuk membeli kereta ini ialah “harga kereta / 12 bulan = pendapatan kasar”; RM 108,165 / 12 = RM 9,013.75. Ini tidak termasuk dengan kos penyelenggaraan. 

Jika anda mempunyai kemampuan dari segi kewangan, ia tidak mendatangkan masalah. Namun, jika anda tak mampu, bank tak akan teragak-agak untuk tolak permohonan anda. Disebabkan itu, pilihlah kereta yang mengikut kemampuan kewangan anda. 

  • Semak nama jika disenaraihitamkan

Seorang lelaki menunjukkan simbol blacklist pada telefonnya.
Foto Kredit:
Anton Veselov Melalui Shutterstock

Antara tips lain untuk memastikan anda tak kecewa bila loan kereta anda ditolak adalah dengan menyemak nama anda sekiranya disenarai hitamkan. Apa yang anda boleh buat sebagai langkah awal adalah untuk membuat pemeriksaan CTOS untuk memastikan status kewangan anda bebas daripada mana-mana saman atau perintah muflis. Anda juga boleh disenaraihitamkan oleh institusi peminjam disebabkan anda seorang peminjam yang gagal membuat bayaran balik atau anda seorang penjamin kepada seorang peminjam. Jangan lupa juga untuk semak dan rujuk PTPTN, MARA, Courts Mammoth, Coway atau skim sewa beli yang lain jika anda mendapati nama anda disenaraihitamkan. Ia berkemungkinan anda mempunyai kes yang telah dibawa ke mahkamah atas kegagalan membuat pembayaran balik. 

  • Kenalpasti risiko pinjaman

Sama seperti pinjaman yang lain, pinjaman kereta daripada bank turut mempunyai risiko-risikonya yang tersendiri. Peminjam boleh terdedah dengan risiko seperti risiko bayaran tambahan, penalti, kenderaan ditarik balik atau pun dilelong. Ini boleh disebebkan sekiranya peminjam tidak dapat menjelaskan bayaran dengan tempoh yang telah ditetapkan. Anda dinasihatkan untuk mengenalpasti risiko-risiko yang anda bakal berdepan jika anda mengalami kesukaran membuat bayaran balik.

  • Semak jenis kadar faedah

Kadar faedah sama ada kadar faedah tetap, boleh ubah, atau rata juga secara tidak langsung mempengaruhi kos keseluruhan pinjaman anda. Kadar faedah rata atau flat interest rate adalah kadar. Kebiasaannya, kadar faedah rata dikira berdasarkan jumlah pinjaman pokok atau jumlah asal pinjaman sepanjang tempoh pinjaman.

Formula Pengiraan Kadar Rata:

(Jumlah Pinjaman Asal x Bilangan Tahun Pinjaman x Kadar Faedah Setahun) ÷ Bilangan Ansuran (Bulan) = Faedah Dibayar Setiap Bulan

(RM50,000 x 5 x 7%) ÷ 60 = RM292

  • Bandingkan kadar pinjaman

Untuk pengetahuan anda, setiap bank menetapkan kadar pinjaman yang berbeza bagi faedah pinjam, jenis produk, fi dan juga caj. Disebabkan itu, sebelum membuat permohonan pinjaman, anda digalakkan untuk membandingkan kadar faedah pinjaman yang dikenakan oleh sekurang-kurangnya tiga institusi kewangan yang berbeza sebelum menetapkan sebuah keputusan. 

  • Periksa rekod kewangan 

Sebelum nak buat permohonan loan kereta, anda dinasihatkan untuk menyemak dahulu keadaan rekod kewangan. Ini kerana perkara pertama yang akan disemak oleh bank adalah rekod kewangan anda yang memohon pinjaman. Sekiranya anda mempunyai rekod kewangan yang tidak baik seperti ada tunggakan bayaran kad kredit, pihak bank akan menolak permohonan anda. Jika anda berada dalam situasi ini, ambil masa terlebih dahulu untuk meningkatkan rekod tersebut sebelum membuat permohonan. Bank Negara juga menyediakan sistem CCRIS yang mengumpulkan semua maklumat kredit pinjaman dari pihak bank. 

  • Berdisiplin

Anda juga harus menekankan sifat berdisiplin dengan membayar semua komitmen kewangan anda pada masa yang telah ditetapkan. Ia termasuklah pembayaran balik kad kredit, pinjaman pribadi, pinjaman perumahan sebagainya. Jika anda seseorang yang culas dari segi pembayaran, anda perlu membina sikap ini sekurang-kurangnya enam bulan sebulan anda membuat permohonan loan kereta. Lebih awal, lebih baik. Tapi amalan ini bukan saja perlu dibuat kerana anda nak beli kereta. Amalan berdisiplin dalam membuat bayaran balik tepat pada masa perlu dilakukan untuk keperluan bank akan datang.

Sikap disiplin anda dalam membayar balik ini juga akan menentukan bagaimana keadaan rekod kewangan anda nanti. Ini kerana jika anda sering lambat atau lebih teruk, tidak melakukan pembayaran untuk komitmen kewangan anda yang lain ini akan tertera di rekod kewangan anda.

  • Mula rekod kredit

Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang hutang atau komitmen, ia juga akan menyebabkan permohonan loan kereta anda ditolak. Ini kerana bank tidak dapat menilai rekod pretasi kewangan anda. Oleh itu, sebelum anda membuat permohonan kepada pihak bank, anda dinasihatkan untuk memulakan rekod kredit. Ia dapat meningkatkan lagi peluang permohonan pinjaman kereta anda untuk diluluskan. 

Bagaimana untuk mula rekod kredit? Mudah saja. Anda boleh mulaan dengan mendapakan kad kredit asas dan gunakan kad tersebutuntuk pembelian harian anda. Antara manfaat yang anda boleh dapat selain rekod kredit adalah rebat, cash back dan juga diskaun. Tapi anda kena ingat untuk membuat pembayaran balik kad kredit tersebut pada amaun dan masa yang tepat. Bila anda lambat bayar dan menyebabkan hutang tertunggak, ia akan menyebabkan bank menolak permohonan anda. 

Untuk memahami kenapa bank boleh menolak permohonan loan kereta anda, letakkan diri anda di tempat bank. Melalui cara ini, anda akan dapat menilai diri anda dengan cara pihak bank menilai anda. Apa-apa pun, anda dinasihatkan untuk menjaga rekod kewangan anda. Lebih baik rekod kewangan tersebut, lebih cerahlah peluang anda untuk permohonan anda diluluskan oleh pihak bank. Anda juga dinasihatkan untuk tidak memohon pinjaman kereta yang luar dari kemampuan anda. 

Bila dah lulus permohonan loan kereta, jangan lupa untuk meletakkan insurans pada kereta anda. Sayanglah kalau kereta dah cantik, tapi tak ada insurans. Dapatkan insurans kereta pada harga yang berpatutan di Qoala. Mudah dan pantas! 

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗