Premium Insurans & 7 Istilah Insurans Lain Ramai Tak Tahu

Kali terakhir diperbaharui Jun 19, 2023 oleh Syazwani Yahya
Premium Insurans & 7 Istilah Insurans Lain Ramai Tak Tahu

Jika ini merupakan kali pertama anda membeli insurans kereta, sudah tentu anda akan menemui beberapa istilah insurans yang mungkin agak mengelirukan seperti premium insurans, NCD kereta, betterment dan banyak lagi. Jika anda tidak memahami istilah-istilah ini, ia mungkin akan menyukarkan anda untuk memahami polisi insurans anda dengan lebih baik yang boleh memberi masalah semasa anda membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan.

8 Istilah Insurans Kereta yang Anda Akan Temui Semasa Beli Insurans

Menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987, semua kenderaan di Malaysia wajib mempunyai insurans kereta dan roadtax kereta untuk digunakan di atas jalan raya. Ini bermakna, insurans memainkan peranan penting bagi membolehkan kenderaan anda digunakan di jalan. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memahami klausa, terma atau istilah berkaitan insurans sebelum membeli insurans kereta.

Memahami istilah dalam insurans kereta membolehkan anda mengetahui dan memahami perlindungan yang anda ada sekiranya berlaku kemalangan. Berikut merupakan lapan istilah insurans yang anda biasa temui yang boleh membantu anda memilih polisi insurans terbaik dan juga memudahkan urusan anda apabila membuat tuntutan insurans: 

1. Premium Insurans

Perkara pertama yang anda perlu tahu bila mendapatkan insurans kereta adalah jumlah yang perlu anda bayar untuk mendapatkan perlindungan insurans atau lebih dikenali sebagai premium insurans. Tetapi, apa yang dimaksudkan dengan premium insurans?

Secara amnya, maksud premium insurans kereta merujuk pada amaun yang anda bayar kepada syarikat insurans secara tetap pada setiap tahun atau setiap enam bulan untuk mendapatkan perlindungan insurans untuk kereta anda. Ini bermaksud, syarikat insurans anda akan membayar perlindungan yang terdapat dalam polisi insurans anda seperti yang dipersetujui sekiranya berlaku kemalangan atau kecurian kenderaan anda. Kebiasaannya, anda akan menemui premium kasar dan premium asas dalam polisi insurans anda.

Premium Kasar

Premium kasar ialah jumlah premium yang dibayar oleh pemilik polisi sebelum penolakan yuran pembrokerkan dan juga diskaun.

Premium Asas

Premium asas merujuk kepada bahagian premium standard untuk komisen ejen dan kos pentadbiran.

Kadar amaun premium anda bergantung kepada persetujuan di antara anda dan pihak insurans. Setiap syarikat insurans mempunyai kadar premium yang berbeza-beza kerana banyak faktor yang mereka pertimbangkan apabila menetapkan kadar premium insurans kereta. Berikut merupakan beberapa butiran yang mungkin dipertimbangkan oleh syarikat insurans anda semasa menetapkan kos premium.

Maklumat Peribadi

Butiran peribadi anda seperti umur, jantina, status perkahwinan dan tempat tinggal memainkan peranan yang penting dalam menentukan kos polisi insurans anda.

Jenis Kereta

Kereta mahal dan mewah kebiasaannya akan dikenakan kadar premium yang lebih tinggi. Ini kerana, ia akan melibatkan kos pembaikan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan.

Jenis Perlindungan

Semakin banyak perlindungan yang anda mahu, semakin tinggi kos premium anda. Secara amnya, sekiranya anda menambah sebarang perlindungan tambahan pada polisi insurans anda seperti perkhidmatan tunda kereta dan perlindungan bencana alam atau peril khas, ia akan meningkatkan kadar premium anda.

Kekerapan Pemanduan

Kekerapan pemanduan juga menjadi salah satu perkara yang akan diambil kira semasa menentukan premium insurans. Kadar mileage kereta juga boleh mempengaruhi kadar premium insurans. Ini bermaksud, semakin tinggi bacaan mileage, semakin mahal polisi insurans anda.

Sebelum ini, harga premium insurans kereta ditentukan oleh nilai, jenis model, usia dan kapasiti enjin kereta. Namun kini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan kadar atau tarif baharu berkuat kuasa pada 1 Julai 2017 untuk menentukan premium insurans kereta. Syarikat insurans perlu mengambil kira faktor-faktor seperti pekerjaan, umur, kekerapan penggunaan kereta, rekod pemanduan, ciri-ciri keselamatan yang ada pada kereta dan sebagainya sebelum menentukan harga premium kereta.

2. Claim

Claim dalam polisi insurans bermaksud anda membuat tuntutan pembayaran daripada syarikat insurans berdasarkan terma polisi insurans anda. Apabila anda sebagai pemegang polisi insurans mengalami kemalangan, anda berkemungkinan besar akan mengalami kerugian yang akan memberi kesan kepada kewangan anda. Berikutan kerugian yang anda alami, anda boleh membuat tuntutan daripada syarikat insurans untuk membayar mengikut kadar kerugian yang anda perlu tanggung. 

Cara claim insurans kereta bergantung pada punca kemalangan dan jenis tuntutan insurans anda. Syarikat insurans akan menyemak tuntutan untuk memeriksa kesahihannya dan kemudian membayar pampasan kepada anda setelah diluluskan. Namun begitu, claim insurans boleh ditolak oleh syarikat insurans disebabkan oleh beberapa faktor seperti berikut:

  • Tidak membuat laporan polis dalam masa 24 jam selepas kemalangan
  • Memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah
  • Memberikan maklumat yang tidak tepat kepada syarikat insurans dan sebagainya.

premium insurans

3. No Claim Discount (NCD)

No Claim Discount atau lebih dikenali sebagai NCD kereta merujuk pada diskaun yang diberikan kepada anda sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan insurans dalam tempoh setahun. Anda boleh menganggap ini sebagai satu bentuk ganjaran sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan atau tidak tuntutan dilakukan oleh pihak ketiga ke atas polisi anda. Ia sekali gus membantu mengurangkan kadar premium insurans yang anda perlu bayar semasa renew insurans pada tahun yang seterusnya.

Sekiranya anda tidak terlibat dalam mana-mana kemalangan dan tidak membuat sebarang tuntutan insurans sepanjang pemilikan, peratusan NCD kereta akan meningkat dari tahun ke tahun sehingga jumlah maksimum 55 peratus. Berikut merupakan jadual kadar NCD untuk kereta persendirian:

Tahun Peratus (NCD %)
Pertama 0.00
Kedua 25.00
Ketiga 30.00
Keempat 38.33
Kelima 45.00
Keenam dan ke atas  55.00

Bagaimana kalau anda terlibat dalam kemalangan? Adakah NCD akan hilang disebabkan anda membuat tuntutan insurans? Sebenarnya, ia bergantung kepada punca kemalangan tersebut. Jika kemalangan itu berlaku disebabkan oleh pihak lain, anda boleh membuat tuntutan insurans tanpa kehilangan NCD. Anda hanya akan kehilangan NCD sekiranya anda didapati bersalah menyebabkan kemalangan.

4. Perlindungan Tambahan Kereta

Kebanyakan polisi insurans kereta akan menawarkan perlindungan tambahan seperti peril khas, insurans cermin kereta dan sebagainya kepada anda. Perlindungan tambahan merupakan perlindungan yang tidak termasuk dalam polisi insurans yang standard. Berikut merupakan antara perlindungan tambahan yang anda boleh pertimbangkan:

Perlindungan Peril Khas (Special Perils)

Perlindungan peril khas merupakan perlindungan tambahan insurans kereta yang melindungi kereta anda daripada kehilangan atau kerosakan yang disebabkan oleh bencana alam. Perlindungan peril khas ini meliputi kerosakan kereta akibat banjir, tanah runtuh, kereta dihempap pokok tumbang dan sebagainya.

Sekiranya anda tidak mengambil polisi tambahan ini, anda tidak boleh membuat tuntutan insurans untuk perkara-perkara tertentu dan perlu menanggung kerugian sendiri. 

Perlindungan Cermin

Cermin kereta merupakan salah satu bahagian yang paling terdedah dengan risiko. Apabila cermin kereta retak, anda perlu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk menggantikan kerosakan cermin ini. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mengambil perlindungan tambahan insurans cermin kereta, anda boleh membuat tuntutan sekiranya berlaku insiden cermin retak atau pecah, atau masalah lain pada cermin depan, cermin belakang, cermin sisi dan sebagainya tanpa menjejaskan NCD kereta anda.

Pemandu Tambahan

Sekiranya kereta anda terlibat dalam kemalangan dan individu yang memandu tidak termasuk dalam senarai pemandu tambahan yang dilindungi polisi, anda boleh dikenakan bayaran penalti sebanyak RM400 apabila membuat claim insurans. Disebabkan itu, anda disarankan untuk mengambil jenis perlindungan tambahan ini. 

Kebanyakan syarikat insurans di Malaysia membolehkan anda menambah nama pemandu tambahan pertama secara percuma. Untuk setiap pemandu tambahan seterusnya, anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM10. Bilangan maksimum pemandu yang boleh dilindungi dalam polisi insurans kereta biasanya ditetapkan kepada lima orang.

Insurans Aksesori Kereta

Aksesori tambahan kereta seperti sistem bunyi yang canggih, rim tayar dan aksesori kereta lain tidak diinsuranskan oleh pelan insurans standard anda. Sekiranya aksesori-aksesori ini dicuri, polisi insurans kenderaan tidak akan memberi perlindungan dan membayar ganti rugi kepada pemilik. Oleh sebab itu, anda dinasihatkan untuk mendapatkan perlindungan tambahan untuk aksesori kereta sekiranya anda seorang yang suka menambah aksesori yang mahal pada kereta anda. 

Rusuhan

Apa-apa jenis kerosakan yang menimpa kereta anda apabila berlakunya rusuhan, claim insurans kereta tidak dapat dibuat kerana tidak dilindungi oleh polisi insurans. Walaupun mogok, rusuhan dan kekecohan awam jarang berlaku di Malaysia, anda boleh mengambil perlindungan tambahan ini untuk sebagai langkah keselamatan.

5. Excess

Excess merupakan bayaran yang anda perlu jelaskan terlebih dahulu semasa membuat tuntutan insurans kereta kemalangan. Pembayaran awal ini perlu dibuat terlebih dahulu walaupun anda tidak bersalah atau tidak menyebabkan kemalangan.

Amaun excess ini ada dinyatakan dalam polisi anda. Contohnya, anda mengambil polisi insurans dengan excess sebanyak RM400. Kos baik pulih kereta anda yang rosak disebabkan kemalangan adalah sebanyak RM2,500. Ini bermakna anda perlu membuat pembayaran excess sebanyak RM400 terlebih dahulu sebelum membuat tuntutan insurans kereta. Pihak insurans anda akan menanggung baki RM2,100 untuk kos baik pulih kereta anda.

Walau bagaimanapun, sebarang kerosakan yang berlaku disebabkan kebakaran kereta, letupan atau kecurian tidak termasuk dalam excess. Terdapat dua jenis excess insurans:

Excess Wajib (Compulsory Excess)

Compulsory Excess bermakna anda wajib membuat pembayaran excess sebanyak RM400 iaitu amaun yang telah ditetapkan sebelum anda membuat tuntutan insurans. Compulsory excess ini dikenakan sekiranya anda:

        1. Berumur 21 tahun dan ke bawah
        2. Pemegang lesen P dan lesen L
        3. Tidak dinamakan dalam polisi insurans anda sebagai pemandu kedua

Voluntary Excess

Voluntary Excess ini merupakan jumlah yang anda bayar secara sukarela apabila membuat tuntutan insurans kereta. Tidak semua syarikat insurans mengenakan excess ini tetapi ada juga syarikat insurans yang memerlukan anda untuk membayar voluntary excess. Biasanya, bayaran voluntary excess ini akan dikenakan sekiranya anda:

        1. Berumur 21 tahun dan ke bawah
        2. Risiko kereta dicuri lebih tinggi
        3. Kereta lama

6. Loading

Syarikat insurans mengenakan loading ke atas premium asas insurans anda. Untuk pengetahuan anda, loading ini merupakan caj tambahan yang dikenakan untuk menampung kerugian yang lebih tinggi daripada jangkaan. Caj ini dikenakan kepada pemegang polisi yang lebih berisiko menghadapi kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan atau kereta rosak tepi jalan. Berikut merupakan antara faktor yang diambil kira:

  • Sejarah memandu
  • Tabiat memandu
  • Kapasiti enjin

Kadar peratusan loading yang dikenakan adalah berbeza-beza kerana ia bergantung kepada syarikat insurans anda, biasanya kadar yang dikenakan setimpal dengan risiko yang perlu ditanggung oleh syarikat insurans. Kebiasaannya, caj loading yang dikenakan adalah antara 15 sehingga 35 peratus.

7. Nilai Pasaran & Nilai Dipersetujui

Perlindungan insurans kereta ditentukan dalam dua nilai yang berbeza iaitu nilai pasaran (Market Value) dan nilai dipersetujui (Agreed Value).

Nilai Pasaran

Nilai Pasaran bermakna syarikat insurans akan menilai kereta anda berdasarkan nilai pasaran kenderaan semasa, jenama dan tahun kereta anda. Ini bermakna sekiranya anda mengemukakan tuntutan untuk sebarang kerugian atau kecurian, syarikat insurans akan menilai tuntutan anda berdasarkan nilai pasaran semasa kenderaan anda pada masa tersebut. Anda mungkin mendapat bayaran yang lebih rendah daripada jumlah yang diinsuranskan kerana nilai kereta anda akan menyusut apabila tuntutan dibuat.

Nilai Dipersetujui

Nilai Dipersetujui pula bermaksud kereta anda diinsuranskan berdasarkan jumlah yang telah dipersetujui antara syarikat insurans dan anda. Jika anda memfailkan sebarang kerugian atau tuntutan kecurian, syarikat insurans akan memberi pampasan penuh kepada anda mengikut jumlah yang dipersetujui semasa perbaharui insurans walaupun nilai kereta anda mungkin telah menyusut semasa tuntutan dibuat.

8. Betterment

Betterment merupakan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh anda sebagai pemegang polisi sekiranya komponen kenderaan yang rosak digantikan dengan komponen yang baharu. Ini kerana syarikat insurans hanya menanggung kos untuk menggantikan komponen yang rosak dengan alat ganti terpakai bagi kenderaan yang berusia 5 tahun ke atas.

Sebagai contoh, bampar kereta anda dilanggar dari belakang dan mengalami kerosakan teruk. Bahagian ini didapati sukar dibaiki dan perlu digantikan dengan komponen yang baharu. Menggantikan bahagian yang rosak dengan bahagian baharu akan menelan kos yang lebih tinggi. Oleh sebab itu, anda akan dicaj amaun tertentu untuk betterment.

perlindungan peril khas

Anda Kini Boleh Membuat Penilaian & Memilih Polisi Insurans Terbaik

Memahami istilah-istilah insurans yang telah dikongsikan di atas akan membantu anda memperbaharui polisi anda dengan lebih baik. Kereta baharu atau kereta terpakai, kereta tempatan atau kereta import, jika anda memiliki kereta anda perlu mempunyai insurans kereta yang sah untuk memandu di jalan raya.

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik, anda boleh menggunakan platform Qoala yang menyediakan perlindungan pelan insurans terbaik daripada pelbagai syarikat insurans yang diiktiraf. Layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60