Hati-hati dengan 7 Jenis Penipuan Scammer Ini, Ramai Dah Jadi Mangsa!

Artikel ini terakhir diperbarui March 10, 2022 by Hariz Hafiz
Hati-hati dengan 7 Jenis Penipuan Scammer Ini, Ramai Dah Jadi Mangsa!

Bayangkan simpanan yang anda ada sekarang ini lesap dalam sekelip mata disebabkan satu panggilan telefon sahaja. Bunyi macam pelik tapi inilah realiti yang terjadi pada mangsa-mangsa kes penipuan scammer ini. 

Anda pernah tak baca artikel berita tentang mangsa-mangsa penipuan scammer dan terfikir “macam mana lah boleh senang-senang je kena tipu”? Haa cakap senang tapi percayalah kalau anda berada dalam situasi yang sama tanpa menyedari taktik-taktik scammer ini, anda juga berkemungkinan besar boleh jadi mangsa. Oleh itu, untuk elak kena scam, langkah pertama yang anda perlu lakukan adalah mengetahui modus operandi penipuan scammer.

Dalam artikel ini, Qoala akan berkongsikan 7 jenis penipuan scam seperti Macau Scam, Skim Cepat Kaya, Scam Pelaburan dan banyak lagi yang sering digunakan oleh golongan scammer di Malaysia. Selepas ini, anda lebih peka dan berhati-hati apabila berada dalam situasi-situasi di mana scammer cuba untuk merompak wang simpanan anda. 

7 Jenis Penipuan Scammer, Cara Mengelakkan Diri Daripada Menjadi Mangsa Penipuan

Dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih sekarang ini, macam-macam taktik yang lebih kompleks digunakan oleh scammer-scammer di Malaysia ini. Scammer ini bijak memperdaya untuk meyakinkan mangsa-mangsa untuk berkongsikan maklumat-maklumat peribadi atau terus melakukan transaksi. Dalam bahagian ini, Qoala akan berkongsikan 7 jenis scam yang popular di Malaysia dan langkah mengatasi penipuan atas talian bila anda menghadapi situasi-situasi di bawah ini.

1. Macau Scam 

Pertama dalam senarai merupakan antara penipuan yang mempunyai jumlah mangsa yang sangat tinggi sehingga ke hari ini. Macau Scam atau sindiket penipuan macau ini bermula di tiga buah negara iaitu Taiwan, China dan Hong Kong. Apa itu macau scam? Untuk memahami Macau Scam ini, anda kena faham modus operandi sindiket ini. Teknik spoofing panggilan telefon dengan menyamar menjadi pegawai sama ada dari mahkamah atau jabatan polis, adalah salah satu taktik yang sering dilakukan oleh kumpulan ini. Berikut merupakan taktik yang biasa digunakan dalam modus operandi Macau Scam:

  • Menyamar Sebagai Pegawai Polis

Bayangkan anda terima panggilan daripada pegawai polis dan pegawai tersebut cakap dia ada waran untuk tangkap anda sebab anda telah melakukan kesalahan-kesalahan tertentu. Kalau anda tak sedar tentang modus operandi Macau Scam ini, mesti anda pun akan kena scam. Mangsa-mangsa selalunya akan berasa panik disebabkan ugutan kena tangkap ini. Dari sinilah, scammer ini akan mula meminta segala maklumat-maklumat peribadi yang akan membolehkan mereka untuk merompak duit dari anda nanti. Untuk pengetahuan anda, PDRM tak akan menghubungi anda untuk meminta maklumat peribadi. Kalau betul-betul polis cari anda, pihak polis akan meminta anda untuk terus ke balai bagi membantu siasatan-siasatan tertentu. 

  • Menyamar Sebagai Pegawai Bank/ Bank Negara

Panggilan dari bank atau bank negara ini pun ramai yang dah terkena sebab scammer-scammer ni memang pandai berlakon. Anda mungkin akan menerima panggilan seperti pegawai bank menyatakan maklumat bank atau kad kredit anda telah terjejas, atau bahawa pembelian besar baru sahaja dibuat menggunakan butiran anda. Selepas itu, mereka akan meminta maklumat tentang kad bank, nombor pin dan sebagainya. Jadi, sekiranya anda mendapat panggilan sebegini, jangan panik. Letak telefon anda dengan segera. Selepas itu, pergi ke laman web bank anda, dapatkan nombor telefon centre dari situ. Kemudian anda telefon nombor tersebut untuk dapatkan kepastian.  

  • Menyamar Sebagai Pegawai Kastam

Lagi satu, scammer ni pun pandai berlakon sebagai pegawai kastam ya. Anda mungkin akan mendapat panggilan seperti anda mempunyai bungkusan yang telah ditahan oleh Kastam Malaysia. Jadi, untuk anda mendapat bungkusan itu, anda perlu membayar jumlah wang yang tertentu. Perlu diingatkan scammer-scammer ni sentiasa belajar untuk cuba helah-helah yang baru. Sesetengah scammer sangat bijak sehingga mereka boleh memalsukan ID pemanggil mereka.

Maksudnya, mereka berpura-pura membuat panggilan daripada institusi sebenar dengan menggunakan nombor talian hotline bank anda apabila mereka sebenarnya membuat panggilan daripada nombor lain. Jika anda menerima mana-mana panggilan ini, sebaiknya tutup telefon dengan segera dan hubungi mereka semula menggunakan nombor hotline institusi. Anda boleh tengok sama ada panggilan anda akan dijawab oleh orang sama atau tak. Ini merupakan salah satu langkah mengelakkan diri daripada menjadi mangsa macau scam.

Sehingga hari ini, sindiket Macau Scam ini masih lagi mampu memperdayakan ramai mangsa baharu. Laporan Berita Harian pada 27 Januari 2022 yang lalu berkongsikan kisah seorang warga emas kerugian RM1 juta selepas menerima panggilan daripada scammer yang menyamar menjadi seorang pegawai Telekom Malaysia dan juga scammer yang menyamar menjadi seorang pegawai polis. Artikel Harian Metro pada 19 Januari 2022 melaporkan seorang jururawat rugi RM350,000 ditipu Macau ScamSearch je “Macau Scam” di Google dan anda akan jumpa banyak artikel berita tentang Macau Scam ini. Kalau anda dah tahu modus operandi sindiket ini, anda akan lebih berhati-hati.

2. Scam KWSP  

Duit KWSP ini macam yang anda tahu merupakan duit simpanan untuk hari tua nanti. Kebiasaannya, golongan yang dah pencen dan yang dah mengeluarkan simpanan mereka ini yang menjadi sasaran scammer. Selain itu, para scammer ini juga menyasarkan golongan yang nak mengeluarkan duit i-Sinar dan i-Citra. Berikut merupakan antara taktik penipuan KWSP yang digunakan oleh scammer:

  • Panggilan daripada “Ejen KWSP”

Sekiranya anda mendapat panggilan daripada seseorang yang claim dirinya sebagai seorang ejen KWSP, anda boleh letak terus telefon. KWSP tak pernah melantik mana-mana ejen untuk menguruskan simpanan anda. Jadi, anda jangan layan sekiranya scammer ini call dan menyatakan dia boleh bantu anda untuk membuat pengeluaran atau meminta IC. 

  • Scam melalui SMS

Kalau anda mendapat mesej yang mengandungi nombor OTP walaupun anda tak pernah memohon, ini bermakna scammer sedang menggunakan data peribadi anda. 

  • Aplikasi Palsu i-Sinar

Ada juga scammer yang gigih membuat aplikasi yang nampak real kononnya untuk memudahkan urusan pengeluaran duit KWSP. Sebagai langkah keselamatan, anda boleh menghubungi pihak KWSP untuk memastikan sama ada aplikasi tersebut milik mereka atau tak.

penipuan scammer

3. Scam Cinta (Love Scam)

Dengan adanya platform online dating, para scammer ini juga mengambil kesempatan untuk mencari mangsa-mangsa baharu. Dengan menggunakan profil palsu, scammer akan berpura-pura berminat untuk bercinta dengan anda.  Oleh itu, berhati-hati dengan sesiapa sahaja yang anda temui secara online. Scammer yang akan berkomunikasi dan membina kepercayaan dengan mangsa dalam tempoh beberapa minggu atau bulan. Antara taktik yang digunakan adalah seperti:

  • Ada Kecemasan Kewangan

Kalau pasangan online yang anda belum betul-betul kenal tiba-tiba cakap kecemasan yang memerlukan bantuan kewangan, jangan terus percaya. Kemungkinan besar ini percubaan untuk menipu anda. Anda mungkin akan diminta untuk transfer duit untuk “membantu” pasangan anda.

  • Barang Ditahan Kastam

Ini pun taktik yang anda kena tahu. Pasangan online anda mungkin cakap yang dia ada membeli hadiah tapi barang tersekat di kastam. Bila ini berlaku, scammer ini akan meminta anda untuk membuat pembayaran supaya barang boleh lepas di kastam. Banyak kes tentang love scam ni berlaku di Malaysia ini sebenarnya. Pernah ada kes seorang wanita kehilangan hampir RM400,000 kerana kononnya bercinta dengan lelaki yang bekerja di United Kingdom. Selain itu, ada juga seorang penoreh getah juga kehilangan RM99,000 selepas terpedaya dengan love scam ini.

Ingat, scammer di luar sana memang mensasarkan kutipan wang yang besar. Jadi, anda bila nak bercinta secara online tu, berhati-hatilah dan tinggalkan saja pasangan online anda apabila dia mula meminta wang.

4. Scam Pinjaman Peribadi

Anda jangan terpedaya dengan kadar faedah 0% dan dijamin kelulusan pinjaman 100%. Bila anda nampak perkara yang too good to be true ini, anda jangan lah mudah percaya. Ada scammer yang menyamar jadi platform pinjaman dengan menggunakan nama syarikat yang dipercayai untuk menarik mangsa untuk membuat pinjaman dengan mereka.

Jom tengok tanda-tanda yang anda boleh perhatikan bila berhadapan dengan panggilan scam pinjaman peribadi ini:

  • Scammer Meminta Bayaran Pendahuluan

Jika anda diminta untuk membayar yuran pendahuluan atau deposit untuk mendapatkan pinjaman, anda buat tak tahu dan jangan layan, Tiada pemberi pinjaman yang sah akan meminta anda membayar apa-apa sebelum anda menerima pinjaman

  • Didesak Membuat Keputusan Terburu-buru

Jika pemberi pinjaman atau ejen pinjaman terus mendesak anda untuk membuat keputusan dengan segera, anda jangan buat keputusan dengan terburu-buru pula. Anda bertenang je, kadang-kadang scammer ni terdesak untuk membuat kerja dengan cepat.

  • Tak Apply Loan Tapi Dapat Tawaran

Anda tak ada apply apa-apa loan tapi dapat tawaran. Anda menerima panggilan atau e-mel yang mengatakan bahawa anda layak untuk pinjaman dengan kadar faedah yang rendah. Ini juga salah satu taktik yang biasa digunakan. Banyak dah kes scam pinjaman peribadi ini. Antaranya seorang juruteknik telah mengalami kerugian sebanyak RM11,000 kerana terpedaya dengan taktik suspek yang menyamar sebagai pihak bank yang terkemuka. Disebabkan ini, anda perlulah berhati-hati bila nak membuat pinjaman peribadi ini.

penipuan scammer

5. Scam Pelaburan

Sekarang ni macam-macam jenis pelaburan yang ada dan memang bagus kalau anda nak cuba-cuba belajar untuk membuat pelaburan. Namun, anda perlu berhati-hati apabila nak mula melabur sebab scam pelaburan ini perkara yang dah banyak terjadi sejak kebelakangan ini. Anda pun tak nak jadi mangsa kan? Perhatikan 3 perkara di bawah ini:

  • Tak Ada Risiko Pelaburan Langsung, Jaminan Untung Besar

Anda anggap je ini janji manis yang hanya sekadar janji. Apabila anda dah mula komited untuk melabur, anda akan lihat sendiri untuk mendapat untung besar, memang akan ada risiko yang tinggi. Ia merupakan lumrah melabur. 

  • Tak Ada Pemegang Amanah

Kalau tak ada pemegang amanah, anda jangan melabur di situ sebab pengarah syarikat tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan duit daripada akaun yang dipegang oleh pemegang amanah.

  • Pengambilan Deposit Tanpa Lesen yang Betul

Bila tak ada lesen yang betul dari Bank Negara untuk mengambil wang daripada orang ramai, jauhkan diri anda daripada melabur di situ.

6. Scam Skim Cepat Kaya

Anda ada impian nak jadi kaya? Jangan ambil skim cepat kaya sebab nanti anda akan kena scam. Skim ini menjanjikan pulangan yang sangat masyuk dan tak masuk akal. Bunyi macam menarik tapi anda jangan terpedaya sebab skim cepat kaya ini selalunya indah khabar dari rupa. Skim cepat kaya ini selalunya menggunakan taktik MLM.

  • Multi-Level Marketing (MLM)

Juga dikenali sebagai skim piramid, skim ini merupakan strategi kewangan yang digunakan untuk menggalakkan pelabur sedia ada merekrut pelabur baharu. Ini bermakna pelabur hanya perlu melakukan pelaburan yang kecil dan mendapat pulangan yang tinggi. Apabila tiba masanya, scammer akan melarikan semua duit pelabur-pelabur MLM ini. Habis semua wang, hilang begitu saja.

penipuan scam

7. Scam Parcel

Adakah anda selalu shopping secara online? Memang seronok bila membeli barang secara online ni. Klik, klik saja di telefon kemudian ada servis penghantaran yang akan memberi anda barang yang anda pesan. Tapi sekarang ni, anda kena berhati-hati sebab ada sindiket scam parcel. Berikut merupakan 2 taktik yang digunakan oleh para scammer di luar sana:

  • Cash-on-delivery (COD)

Scammer perkhidmatan COD untuk menipu pelanggan untuk membayar sesuatu yang mereka tak beli pun. Sekiranya anda menerima barang COD tapi anda tak order, jangan bayar.

  • Klik Link yang Berbahaya

Yang kedua, scammer menyatakan penghantaran tak boleh dibuat ke rumah mangsa dan scammer ini akan cuba yakinkan scammer yakinkan parcel ini datang dari keluarga atau rakan mangsa. Kemudian, mangsa diminta untuk periksa emel dan klik satu link yang berbahaya. Akibatnya, maklumat peribadi semua tersebar.

Kesimpulannya, penipuan scammer ini boleh berlaku kepada sesiapa saja. Mujur anda jumpa artikel ini dan dah baca sampai habis. Ingat, jangan sesekali panik apabila mendapat panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai rasmi sebuah institusi, inspektor polis dan sebagainya. Dalam keadaan yang ketakutan, scammer ini akan mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap mangsa-mangsa sekaligus memusnahkan hidup mereka.

P.S Anda tengah cari insurans kereta terbaik di Malaysia? Tak perlu cari jauh-jauh, dapatkan insurans kereta anda dengan Qoala ya!  Selain insurans kereta, anda juga boleh mendapatkan insurans motor di Qoala.

Hariz Hafiz
Pernah menulis puluhan berita surat khabar, beratus artikel marketing, kini, misi Hariz adalah untuk membantu anda mempelajari bidang insurans di Pesan by Qoala!
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗