Perkara Wajib Tahu Tentang Refinance Rumah untuk Kurangkan Komitmen Bulanan

Artikel ini terakhir diperbarui May 24, 2022 by Shafiq Wahab
Perkara Wajib Tahu Tentang Refinance Rumah untuk Kurangkan Komitmen Bulanan

Pembiayaan semula pinjaman perumahan atau refinance rumah merupakan salah satu cara untuk mengurangkan bayaran pinjaman dengan menurunkan kadar faedah pinjaman sedia ada. Secara amnya, ia merupakan alternatif terbaik yang boleh dilakukan oleh peminjam untuk menambah baik aliran tunai terutamanya bagi individu yang berdepan dengan masalah kewangan. Meskipun begitu, banyak aspek yang perlu dititikberatkan sebelum melakukan refinancing antaranya mengenal pasti kedudukan semasa kewangan, tujuan pembiayaan, serta kebaikan dan keburukan refinance rumah kepada pemohon. Di Malaysia umumnya, proses refinancing dilakukan bertujuan untuk:

  • mendapatkan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah berbanding kadar faedah pinjaman sedia ada;
  • memendekkan tempoh pinjaman sedia ada;
  • memanfaatkan nilai pasaran hartanah terkini untuk membiayai pembelian hartanah baharu;
  • menggabungkan hutang sedia ada atau penyatuan hutang;
  • menukar produk kewangan berbeza (pinjaman gadai janji bertempoh tetap, fleksi atau separa fleksi).

Pembiayaan Semula Pinjaman Perumahan: 4 Perkara Penting yang Perlu Anda Tahu

Apa itu refinance rumah? Secara amnya, refinance rumah atau pembiayaan semula pinjaman perumahan merujuk kepada proses pertukaran pinjaman perumahan sedia ada kepada pinjaman perumahan baharu. Pembiayaan semula pinjaman dilakukan bertujuan untuk mendapatkan terma atau kadar faedah pinjaman yang lebih baik dan mengurangkan amaun bayaran ansuran bulanan. Selain itu, proses refinance rumah ini juga bertujuan untuk memperbaiki aliran tunai peminjam kerana biasanya pembiayaan semula pinjaman menawarkan kadar faedah yang lebih rendah dengan tempoh pembayaran pinjaman yang lebih lama berbanding pinjaman sedia ada.

3 Jenis Refinance Rumah di Malaysia

Di Malaysia, proses refinancing atau pembiayaan semula pinjaman biasanya melibatkan dua jenis pinjaman – pinjaman kereta atau pinjaman perumahan. Anda mungkin biasa dengar dengan istilah refinancing di Malaysia. Namun begitu, anda mungkin tidak menyedari bahawa proses refinancing terbahagi mengikut jenis dan tujuan tertentu. Pinjaman perumahan misalnya terbahagi kepada tiga (3) jenis refinance rumah seperti berikut:

1. Pembiayaan Semula Kadar dan Terma

Kategori refinancing ini mengubah kadar faedah sedia ada kepada kadar faedah baharu yang lebih baik tanpa mengubah jumlah pinjaman sedia ada. Ia menyebabkan komitmen bulanan menjadi lebih rendah, sekali gus menstabilkan kedudukan kewangan anda. Sebagai contoh, berlaku perubahan pada Kadar Dasar Semalaman (OPR) menyebabkan kadar faedah sedia ada berkurangan atau menjadi lebih rendah daripada enam peratus kepada empat peratus. Sekiranya refinancing dilakukan, anda boleh nikmati penjimatan sekurang-kurangnya dua peratus daripada faedah pinjaman anda.

Jika nilai hartanah sedia ada anda bernilai RM500,000, anda boleh berjimat hampir RM10,000 setahun. Dalam erti kata lain, manfaatkan refinancing jenis ini sekiranya ada perubahan pada OPR untuk nikmati kadar bayaran bulanan yang lebih rendah.

2. Pembiayaan Semula Tunai Masuk (Cash-In)

Anda juga boleh mempertimbangkan jenis refinance ini sekiranya anda ingin menjelaskan sejumlah amaun yang besar terhadap prinsipal gadai janji (mortgage principal) sedia ada anda. Ia membolehkan anda berunding kadar faedah dan bayaran bulanan yang lebih rendah dalam pinjaman perumahan baharu. Dalam erti kata lain, ia sebenarnya menawarkan alternatif yang lebih baik sekiranya anda memiliki nilai ekuiti kurang daripada 20 peratus.

Cara Ketahui Kedudukan Ekuiti Semasa

Bagi mengetahui kedudukan ekuiti semasa, anda perlu kira nisbah Pinjaman kepada Nilai atau Loan-to-Value (LTV) terlebih dahulu. Andaikan nilai hartanah semasa anda ialah RM200,000 dan anda telah jelaskan RM10,000 daripada keseluruhan pinjaman, ini bermaksud anda mempunyai baki hutang sebanyak RM190,000. Dalam kes ini, nisbah LTV semasa anda ialah 95 peratus dengan nilai ekuiti lima peratus – nisbah LTV melebihi 80 peratus boleh dipertimbangkan untuk jenis refinancing ini. Anda boleh memohon pembiayaan semula cash-in ini dan membayar RM30,000 secara lump-sum untuk mengurangkan prinsipal pinjaman sedia ada kepada RM160,000. Nisbah LTV kurang daripada 80 peratus tidak digalakkan untuk memohon pembiayaan semula jenis ini.

3. Pembiayaan Semula Tunai Keluar (Cash-Out)

Cash-out refinancing membolehkan anda meminjam 90 peratus daripada nilai keseluruhan hartanah semasa anda. Jika nilai hartanah yang dibeli 10 tahun lalu bernilai RM300,000 dan meningkat kepada RM500,000 hari ini, margin pinjaman maksimum yang dibenarkan untuk membiayai semula pinjaman ialah 90 peratus iaitu kira-kira RM180,000. Wang ini boleh digunakan untuk membayar baki pinjaman sedia ada untuk nikmati bayaran bulanan yang lebih rendah. Meskipun begitu, RM180,000 yang diperoleh ini bukanlah percuma –

  • 90 peratus daripada jumlah pinjaman semasa ialah RM270,000 daripada nilai hartanah sedia ada RM300,000;
  • Hartanah semasa meningkat kepada RM500,000 dalam tempoh 10 tahun;
  • Anda keluarkan pinjaman 90 peratus daripada RM500,000 bersamaan RM450,000;
  • Sekiranya tempoh dan faedah pinjaman kekal dengan anggaran kadar 4.25% setahun, kadar faedah pinjaman lama bernilai RM1,236.31 sementara kadar faedah pinjaman baharu bernilai RM2,060.52;
  • Ini bermaksud, anda perlu menanggung penambahan kos sebanyak RM824.21 sebulan;
  • Anda mungkin boleh nikmati lebihan wang untuk digunakan untuk perkara-perkara lain, namun bayaran ansuran bulanan akan meningkat yang mungkin boleh meningkatkan komitmen bulanan anda.

cara refinance rumah di Malaysia

Syarat Refinance Rumah untuk Kurangkan Komitmen Bulanan

Bagi tujuan pembiayaan semula pinjaman perumahan, terdapat beberapa syarat dan kelayakan yang perlu dipatuhi oleh peminjam. Qoala menyenaraikan syarat refinance pinjaman perumahan untuk panduan anda seperti berikut:

1. Kelayakan Pinjaman

Salah satu perkara penting yang perlu dilakukan sebelum anda memohon pembiayaan semula pinjaman perumahan adalah dengan memeriksa syarat kelayakan pinjaman semasa. Banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk menyemak kelayakan pinjaman anda sama ada menggunakan kalkulator refinance rumah secara dalam talian atau berurusan secara terus dengan pihak bank. Cara ini membolehkan anda mendapatkan gambaran awal status kelayakan pinjaman semasa anda.

2. Semakan CCRIS

Laporan CCRIS atau Central Credit Reference Information System (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) menyediakan Laporan Kredit Peribadi peminjam yang akan diakses oleh pihak bank bagi mendapatkan maklumat kelakuan kredit peminjam (pinjaman tertunggak, saman dan status muflis). Ia juga membolehkan pihak bank mengakses maklumat untuk mengenal pasti kemampuan peminjam untuk membayar balik pinjaman dan menilai sejarah pembayaran pinjaman sebelum ini sama ada baik atau tidak. Jika laporan CCRIS tidak baik, besar kemungkinan permohonan pembiayaan semula pinjaman perumahan anda akan ditolak.

5 Cara Refinance Rumah untuk Mudahkan Proses Permohonan

Sekiranya anda merasakan pembiayaan semula pinjaman merupakan pilihan yang tepat dan sesuai untuk anda, Qoala menyediakan panduan untuk rujukan anda seperti berikut:

1. Sediakan Dokumen Diperlukan

Sediakan dokumen lengkap yang diperlukan oleh pihak bank seperti maklumat peribadi, perakuan pendapatan dan sebagainya untuk melancarkan proses permohonan anda.

2. Semak Skor Kredit

Lakukan pemeriksaan skor kredit sebelum melakukan permohonan pembiayaan semula – skor kredit yang baik boleh membantu anda mendapatkan kadar faedah terbaik dan memudahkan permohonan anda diluluskan. Pemeriksaan skor kredit boleh dilakukan secara percuma dengan merujuk Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit atau agensi-agensi kewangan lain yang berkaitan.

3. Ketahui Harga Pasaran Rumah

Anda juga disarankan untuk menganggarkan kedudukan semasa atau nilai pasaran wajar hartanah anda. Anda boleh melakukan tinjauan harga semasa melalui laman web yang menyediakan perkhidmatan berkaitan, atau anda juga boleh menggunakan kalkulator refinance rumah yang tersedia secara online. Jika nilai hartanah semasa lebih tinggi daripada baki hutang, pembiayaan semula pinjaman perumahan adalah keputusan yang terbaik untuk anda.

4. Ambil Maklum Kos Pembiayaan Semula yang Perlu Ditanggung

Proses refinancing tertakluk kepada kos-kos tersendiri (moving cost). Moving cost secara amnya merujuk pada duit yang mungkin anda perlu belanjakan bagi mendapatkan pinjaman baharu. Duit setem, yuran penilaian, yuran guaman, disbursement merupakan antara kos tambahan yang perlu ditanggung – kira-kira dua hingga tiga peratus daripada keseluruhan pinjaman. Sekiranya anda melakukan pembiayaan semula untuk menjimatkan faedah, bandingkan kos sedia ada dengan penjimatan faedah yang bakal diperoleh melalui pembiayaan semula.

5. Hantar Permohonan

Sebelum menghantar permohonan pembiayaan semula pinjaman kepada pihak bank, teliti pakej refinancing yang ditawarkan. Buat perbandingan kadar faedah, bank mana yang menawarkan pakej pinjaman terbaik dan berbaloi untuk anda. Sekiranya tidak pasti, minta nasihat daripada rakan atau bantuan daripada pegawai bank yang berpengalaman.

Berapa Lama Proses Refinance Rumah Mengambil Masa?

Setelah pihak bank menerima permohonan anda, pihak bank akan melantik penilai untuk memeriksa rumah anda. Penilai kemudian akan menyediakan laporan penilaian hartanah sebelum diserahkan kepada pihak bank untuk proses lanjut. Biasanya, proses refinance rumah mengambil masa antara dua hingga enam bulan bergantung pada kes-kes tertentu seperti mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada pihak berkuasa negeri bagi kes hartanah pegangan pajak dengan hak milik strata atau individu.

Kebaikan, Keburukan Refinance Rumah

Kebaikan dan Keburukan Pembiayaan Semula Pinjaman Perumahan

Secara amnya, pembiayaan semula pinjaman atau refinancing boleh membantu memperbaiki aliran kewangan serta mengurangkan beban komitmen bulanan anda. Meskipun begitu, refinancing juga mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Berikut merupakan antara kebaikan dan keburukan refinance rumah untuk panduan anda seperti berikut:

Kelebihan Refinance RumahKeburukan Refinance Rumah
Nikmati kadar faedah yang lebih rendahCaj penalti mungkin dikenakan
Tempoh bayaran balik boleh dipendekkanNilai bayaran terdahulu yang dibuat mungkin tiada jika pembiayaan hampir selesai
Boleh ditunaikan untuk membiayai keperluan lain (renovate rumah, rancangan perniagaan, pendidikan dll.)Tertakluk pada kos tambahan untuk pembiayaan semula (contoh: moving cost)
Hutang sedia ada digabungkan untuk menjimatkan faedahKelulusan tidak dijamin kerana bank perlu mengambil kira skor kredit dan pendapatan sedia ada
Menjimatkan wang, terutamanya jika kadar faedah semasa lebih rendah

Semoga panduan tentang refinancing ini boleh membantu sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk membuat pembiayaan semula pinjaman perumahan. Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta dan insurans motosikal terbaik, layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Kongsi:
Shafiq Wahab
Bukan berjiwa kelajuan dan suka berangan, banyak menghabiskan masa lapang dengan tidak berbuat apa-apa.
Dapatkan Insurans Kereta Terbaik Sekarang! 🚗