Duit KWSP: Antara Banjir, Pandemik dan Hari Tua

Artikel ini terakhir diperbarui March 5, 2022 by Nadhirah Rashid
Duit KWSP: Antara Banjir, Pandemik dan Hari Tua

Duit KWSP atau duit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah satu skim yang dilancarkan oleh Kerajaan pada tahun 1991 untuk membantu individu menyimpan wang bagi mengharungi hari-hari tua di mana majoriti tidak mampu lagi bekerja pada waktu itu. 

Duit KWSP adalah duit yang disumbang oleh pencarum (pekerja) dan juga majikan sebanyak jumlah yang tertentu. Pada usia 50 tahun, warganegara Malaysia dan penduduk tetap dibenarkan mengeluarkan sehingga 30% simpanan mereka, dan pada umur 55 tahun mereka boleh mengeluarkan simpanan mereka sepenuhnya. Pengeluaran penuh duit KWSP juga boleh dibuat sekiranya anggota KWSP bermigrasi atau kehilangan upaya.

Duit KWSP Di Kala Pandemik 

Umum sedia maklum bahawa KWSP membenarkan pencarumnya untuk membuat pengeluaran duit KWSP dari Akaun 1 melalui i-Sinar pada Januari 2021 yang lepas. Kebenaran pengeluaran duit KWSP itu dihadkan kepada maksimum RM60, 000. 

Motif utama kebenaran ini diberikan adalah bagi membantu individu-individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Menurut akhbar Berita Harian, lebih 800,000 hilang mata pencarian sejak wabak Covid-19 melanda dunia. 

Melalui inisiatif ini, sebanyak RM52.48 billion duit KWSP telah dikreditkan kepada akaun pencarum. 

Wujud pelbagai respons apabila kebenaran ini diumumkan. Ada yang positif dan ada juga yang negatif. 

Ramai pakar merasakan pengeluaran duit KWSP Akaun 1 ni patut jadi pilihan yang last sekali – salah sorangnya adalah Desmond Chong Kok Fei, naib presiden Majlis Perancangan Kewangan Malaysia. Beliau berpendapat pengeluaran ini sama seperti moratorium pinjaman, iaitu penyelesaian sementara sahaja.

“Sekiranya ia tidak dapat diselesaikan walaupun setelah enam bulan, apa yang membuat seseorang berfikir bahawa mereka dapat menyelesaikan masalah pendapatan mereka dengan mengeluarkan dana dari Akaun 1?”

Namun, bagaimana pula dengan kelangsungan hidup sebelum hari tua? 

Ada yang berpendapat, jika tiada inisiatif seperti i-Sinar ini, mungkin mereka tidak sempat merasai menempuh hari tua kerana sudah hilang mata pencarian.

Tidak cukup dengan i-Sinar, i-Citra pula diperkenalkan. 

Sama motifnya dengan i-Sinar, i-Citra diwujudkan bagi membantu individu-individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang berlaku. 

Amaun pengeluaran yang boleh dikeluarkan adalah:

  • Sehingga maksimum RM5,000
  • Bayaran bulanan akan dibuat sehingga 5 bulan
  • Bayaran yang ditetapkan adalah RM1,000 sebulan atau tertakluk kepada jumlah baki simpanan
  • Bayaran minimum adalah RM50
  • Meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1
  • Amaun kelayakan pengeluaran adalah berdasarkan jumlah simpanan ahli pada tarikh permohonan diproses setelah ditolak bayaran i-Sinar yang akan datang (jika ada)

Sehubungan inisiatif ini, KWSP meluluskan sebanyak 4.98 juta permohonan i-Citra melibatkan amaun pengeluaran berjumlah RM20.58 billion. 

Jika dilihatkan kepada amaun keseluruhan duit KWSP yang dikeluarkan, tak mustahil ramai pencarum KWSP hanya tinggal baki yang sikit dalam akaun KWSP masing-masing. 

Banjir Teruk Yang Melanda Hampir Seluruh Negara

duit kwsp
Foto Kredit: Syafiq Adnan Melalui Shutterstock

Seperti yang diduga, setiap hujung tahun beberapa negeri di Malaysia seperti Kelantan, Terengganu pasti akan dilanda bencana banjir. 

Tapi, apa yang mengejutkan pada tahun 2021 ini, beberapa daerah Selangor dan Kuala Lumpur turut ditimpa musibah ini dalam keadaan yang tidak bersedia. Tempat tinggal, kenderaan dan juga nyawa hilang begitu sahaja dalam tempoh yang amat singkat disebabkan bencana ini. 

Bukan itu sahaja, hasil tanaman dan ternakan musnah disebabkan banjir teruk yang melanda. 

Berikutan dengan banjir yang melanda, ramai buntu untuk mencari wang bagi membaiki tempat tinggal dan juga kerugian yang dihadapi apabila tempat mencari rezeki lenyap ditenggelami air banjir.

Sehubungan itu, kerajaan tampil memberi bantuan kewangan bayaran bantuan banjir Rm1000 one off kepada isi rumah yang terjejas kerana jadi mangsa banjir seperti di Kuala Lumpur hulu langat klang Shah Alam Selangor Perak Pahang Kelantan dan Terengganu.

Mangsa tidak perlu sama sekali mengisi borang permohonan bantuan banjir dan pembayaran bantuan 1000 akan diuruskan nama berdasar senarai nama penerima yang diserahkan oleh Pejabat Daerah atau PBT masing-masing. 

Walau bagaimanapun, timbul persoalan adakah cukup bantuan kewangan secara one-off yang diberikan? 

“Sekarang ini memang serabut sangat nak fikir. Rumah rosak. Kenderaan habis. Nak kena beli balik perabot dan barang elektrik serta buat wiring rumah lagi. Risau juga yang terendam lama ini bahaya.

“Ini simen semua terkeluar. Banyak benda nak baiki. Tak berada di tempat kami, tak rasalah betapa susahnya mangsa banjir sekarang ini.

“Mana kami nak ‘cekau’ duit. Nak keluar duit sendiri pun susah. Kena pinjam sana sini pula.”

Berikut adalah rintihan seorang mangsa banjir yang berada di Shah Alam. Shah Alam adalah satu daerah yang sangat terjejas dengan banjir. 

“Inilah kali pertama penduduk di kawasan ini berdepan bencana banjir, saya sendiri tak menjangka akan menjadi mangsa selepas lebih 32 tahun tinggal di sini,” kata Badarudin Dawam.

Bekas nazir Masjid Al Ehsan Seksyen 24 Shah Alam itu antara ratusan mangsa yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam selepas kawasan perumahan di situ, dinaiki air sejak awal pagi tadi.

Katanya, bencana itu mengundang panik kerana kawasan itu tidak pernah ditenggelami air sebelum ini.

“Ia pengalaman pertama kepada rata-rata penduduk di sini. Kawasan Seksyen 24 ini tidak pernah banjir dan inilah yang paling teruk.

“Mujur paras air tidak terlalu tinggi dan penduduk dipindahkan ke sekolah segera untuk keselamatan,” katanya.

Rata-rata memberi pendapat dan mendesak kerajaan untuk membenarkan pengeluaran duit KWSP i-Citra bagi melangsungkan kehidupan. Ia mengambil kira jumlah kerugian untuk membaiki kereta rosak akibat dimasuki air secara purata RM4,000 dan ada yang mencecah belasan ribu.

Ini tidak termasuk dengan kerosakan rumah yang lain seperti rumah, perkakas elektrik, perabot dan pelbagai keperluan yang lain untuk memulakan kehidupan baharu.

Hakikatnya, bantuan wang ihsan yang dijanjikan untuk mangsa banjir dikatakan tidak mencukupi.

Duit KWSP: Kerajaan dah bagi bantuan kewangan, tiada i-Citra RM10,000, kata PM

Kerajaan tidak bercadang membenarkan pengeluaran duit KWSP i-Citra RM10,000 sekali lagi walaupun didesak beberapa pemimpin politik selepas rakyat berdepan bencana banjir.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata ia berikutan kerajaan sudah menyediakan bantuan kewangan kepada syarikat dan individu bagi meringankan beban mereka yang terjejas.

“Kalau beri alasan nak buka perniagaan baru kerana terjejas banjir, TEKUN sudah tawar RM10,000, pinjaman mudah tanpa faedah dan moratorium tak perlu bayar setahun.

“Bank seperti BSN juga akan beri pinjaman RM10,000 secara pinjaman persendirian untuk beli barangan keperluan asas rumah dengan tanpa faedah dan enam bulan moratorium,” katanya.

‘Hanya tinggalkan RM100’ – 30 peratus ahli KWSP keluarkan hampir semua simpanan Akaun 1

Hampir 30 peratus daripada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka di dalam Akaun 1 ketika pandemik COVID-19 melanda negara sejak Mac tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya memaklumkan ini di sebalik kejayaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan dividen yang agak tinggi kepada ahli-ahlinya meskipun berdepan pelbagai cabaran pada tahun 2020.

“Kita dapati banyak simpanan ahli telah menurun, kita percaya lebih kurang 30 peratus daripada mereka telah keluarkan hampir kesemua wang persaraan mereka di dalam Akaun 1. Mereka cuma terpaksa tinggalkan RM100 di dalam akaun sebagai syarat.

“Kita jangka 60 peratus ahli pula akan menggunakan wang daripada Akaun 2. Akaun ini adalah untuk memudahkan ahli untuk membeli rumah, bil perubatan dan pendidikan serta meningkatkan skil mereka.

Badan KWSP juga menzahirkan rasa bimbang ramai individu yang tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk kegunaan hari tua. 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) gusar mengenai risiko majoriti pencarum berkemungkinan menjalani hari tua dalam kemiskinan kerana pengeluaran akibat Covid-19 memburukkan keadaan menyebabkan jumlah simpanan mereka tidak mencukupi.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, perkara ini bukan hanya memudaratkan kehidupan individu, tetapi landskap sosioekonomi negara dan fiskal kesihatannya juga mencabar.

Beliau berkata, pada masa ini 48 peratus pencarum KWSP di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP pada tahap kritikal.

Katanya, ini peningkatan 28 peratus ahli KWSP yang mempunyai simpanan duit KWSP amat kritikal berbanding sebelum pandemik.

Sehingga 31 Oktober lalu, sejumlah RM101.1 bilion duit KWSP dikeluarkan di bawah skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Ia adalah 22 peratus daripada program rangsangan kerajaan berjumlah RM530 bilion bagi membantu rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Berkaitan isu kecukupan, Ahmad Badri berkata, perlindungan sosial adalah hak asasi manusia untuk semua, yang merangkumi semua bentuk pekerjaan, sama ada sektor formal atau tidak.

“Secara kasarnya, hanya tiga daripada 10 orang dewasa di Malaysia dilindungi perlindungan sosial seperti skim pencen kerajaan dan perlindungan KWSP.

“Kami melihat hanya 7.5 juta daripada 23.5 juta populasi pada usia bekerja pada ketika ini menetap di negara ini.

“Pandemik ini juga telah merubah landskap pekerjaan ke arah tidak formal. Peningkatan dalam golongan bekerja sendiri dan tidak formal dijangka akan meningkat daripada 5.7 juta masa ini kepada 8.8 juta pada tahun 2040,” katanya.

Dalam menangani kecukupan simpanan dan pendapatan persaraan, beliau berkata, negara memerlukan penyelesaian yang meluas, meliputi program jaringan keselamatan berkesan, sistem perlindungan kitaran hayat sosial komprehensif, dasar pasaran buruh dan gaji teguh, pertumbuhan ekonomi mampan, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga buruh, selain dasar menggalakkan automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti.

“Dalam konteks ini, KWSP ingin menyumbang untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kami amat menyokong inisiatif Bajet 2022 kerajaan bagi menambah program i-Saraan dengan memasukkan mereka yang berusia 55 ke 60 tahun.

Kesimpulan

Isu ini mewujudkan satu dilema terhadap kerajaan yang komited untuk membantu rakyat dengan membenarkan pengelua­ran KWSP mereka, namun dalam masa sama enggan membiarkan rakyat sengsara ketika hari persaraan susulan ketiadaan wang simpanan untuk digunakan.

Bagi rakyat pula, meskipun sedar akan keadaan yang bakal menanti mereka ketika tempoh persaraan nanti, mereka tiada pilihan selain terpaksa mengeluarkan wang tersebut untuk digunakan pada hari ini bagi membantu ‘melepaskan’ diri daripada belenggu hutang-piutang serta segala jenis perbelanjaan ketika waktu sukar ini.

Ia sekaligus menimbulkan satu konflik antara rakyat dengan kerajaan yang diibaratkan seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa.

 

Kongsi:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗