Cara Daftar ASB Online, Semakan Dividen ASB 2021

Artikel ini terakhir diperbarui April 22, 2022 by Hariz Hafiz
Cara Daftar ASB Online, Semakan Dividen ASB 2021

Kini, anda boleh daftar ASB online dengan MyASNB. Tak perlu lagi keluar rumah, ambil nombor giliran dan pergi ke kaunter. Anda hanya perlukan sebiji telefon pintar atau laptop untuk buka akaun ASB. Inilah masanya untuk anda simpan duit dan menjadi seorang pelabur dalam masa yang sama!

Apa itu ASB? Amanah Saham Bumiputera atau ASB merupakan salah satu jenis pelaburan risiko rendah terbaik yang hanya terbuka untuk golongan bumiputera sahaja. Risiko kerugian melabur dalam ASB amatlah rendah dan anda boleh mendapat pulangan dividen dan juga bonus pada setiap tahun.

Kalau anda nak tahu cara daftar ASB online, semakan dividen ASB 2021 dan cara keluarkan duit ASB online, anda kena baca artikel ini sampai habis. Qoala akan menerangkan semua yang anda perlu tahu tentang urusan ASB online ini.

MyASNB Login: Pendaftaran ASB Online & Semakan Baki / Dividen

MyASNB merupakan portal yang memudahkan urusan pengguna Amanah Saham Nasional Berhad, anda boleh melakukan semuanya secara atas talian atau online dengan telefon pintar atau laptop sahaja. Dengan platform ini, anda boleh mendaftar, membuat semakan baki/dividen dan membuat pengeluaran. Untuk anda memulakan perjalanan anda sebagai pelabur ASB, pertama sekali anda boleh mendaftar Akaun ASNB dengan pelaburan permulaan serendah RM10.

Untuk pengetahuan anda, ASB ini mempunyai had input maksimum sehingga RM200,000. Ini bermakna pelabur hanya dan pelabur hanya boleh meningkatkan jumlah pelaburan mereka sehingga had ini.  Walau bagaimanapun, dana tak mempunyai had atas nilai akaun. Oleh itu, keuntungan modal yang disimpan dalam akaun ASB mungkin melebihi RM200,000. Pelabur bebas menentukan jumlah untuk melabur pada bila-bila masa dan boleh menambah nilai atau melanggan unit tambahan melalui ejen ASB yang terpilih.

Sekarang jom tengok cara daftar ASB Online sekiranya anda merupakan pemilik akaun sedia ada.

Cara Daftar ASB Online Melalui Portal myASNB (Bagi Pemilik Akaun Sedia Ada)

Anda perlu memastikan anda telah mengemaskini semua maklumat peribadi sebelum anda menggunakan perkhidmatan myASNB ini. Maklumat-maklumat peribadi seperti alamat surat-menyurat, nombor telefon bimbit dan alamat e-mel boleh dikemaskini melalui mana-mana cawangan ASNB atau ejen sah ASNB seperti bank-bank terpilih atau pejabat pos. Anda boleh terus ke kaunter dan menyatakan hasrat anda untuk update maklumat anda sebab nak menggunakan ASB online.

Selepas anda dah selesai mendaftar, anda kini boleh daftar di myASNB dan menggunakan perkhidmatan ASB online. Ikuti langkah-langkah berikut: 

  1. Layari laman web myASNB
  2. Klik “Daftar di sini” Baca dan fahamkan terma dan syarat.
  3. Isikan butiran akaun myASNB anda.
  4. Cipta akaun anda dan tentukan username 
  5. Proses mendaftar selesai dan anda akan diminta untuk membuat Log Masuk Kali Pertama dengan menggunakan kata laluan sementara.
  6. Klik ‘Log masuk’ pada halaman yang memaparkan kata laluan sementara anda. Masukkan ID Pengguna dan diikuti dengan kata laluan sementara.
  7. Kemaskini dan tukar kata laluan untuk tujuan keselamatan. Kemudian, log masuk semula menggunakan kata laluan yang baru tadi.
  8. Urusan selesai.
asb online
Foto Kredit: MyASNB

Cara Buka Akaun ASNB Online (Pendaftaran Akaun Baru)

Anda tak perlu bayar yuran pendahuluan (0%) apabila nak mula melabur dalam ASB. Ini bermakna lebih banyak wang anda digunakan untuk pelaburan, bukannya yuran. Selain itu, Dana ASB hanya dikenakan yuran pengurusan tahunan sebanyak 0.35%. Sebaliknya, dana unit amanah ekuiti lain boleh menanggung sekitar 1.5% dalam yuran pengurusan tahunan. Dari segi security atau keselamatan, ASB sentiasa memastikan wang pelabur-pelabur sentiasa selamat. Jadi anda tak perlu risau kalau anda rancang nak mula melabur dengan ASB ini.

Untuk pendaftaran kali yang pertama, pastikan kad pengenalan ada bersama dengan anda. Anda boleh melakukan pendaftaran melalui aplikasi sahaja:

  1. Muat turun aplikasi myASNB di App Store, Google Play, atau App Gallery.
  2. Isi butiran kad pengenalan dan juga butiran akaun bank.
  3. Buat proses verifikasi identiti. Anda akan diminta untuk mengambil gambar bahagian depan dan belakang kad pengenalan.
  4. Cipta akaun dengan menetapkan ID dan kata laluan.
  5. Dapat pengesahan dan anda boleh mula melabur.

Cara Semak Baki/Dividen ASB Online

Seperti yang telah dinyatakan di atas, ASB ini risikonya rendah dan potensi kerugian itu sangatlah tipis bila melabur dengan ASB. Katalah anda masukkan RM20,000. Jumlah wang yang anda masukkan tak akan turun RM19,000, RM18,000 dan sebagainya. Sebaliknya, anda akan mendapat pulangan dividen tahunan. Walaupun jumlah peratusan dividen berubah-ubah dan tak tetap setiap tahun, anda masih akan menikmati keuntungan. 

Kalau anda bandingkan ASB dengan instrumen pelaburan seperti saham, emas, NFT, Robo-Advisor atau kripto yang berisiko tinggi, memang tak wajar sama sekali. Konsepnya begini, risiko tinggi, pulangan juga boleh tinggi tetapi dalam masa yang sama kerugian juga boleh tinggi kalau anda salah strategi.

ASB ini sepatutnya anda bandingkan dengan simpanan tetap. Daripada anda simpan duit dalam simpanan tetap, lebih baik anda simpan duit dalam dana ASB. Setakat ini, sejak tahun 1990 sehingga 2021, ASB telah memberikan pulangan dividen di antara 5% sehingga 14%. Simpanan tetap pula menjanjikan kadar faedah yang agak rendah di antara 1.4% sehingga 2.4%. Jadual di bawah menunjukkan pulangan dividen ASB dan bonus dari tahun 2017 sehingga 2021.

TahunPulangan Dividen ASB + Bonus 
20177.00% + 1.25%
20186.50%+0.50%
20195.0%+0.5%
20204.25%+0.75% (untuk 30 ribu unit pertama sahaja)
20214.25% Sen Seunit + 0.75 Sen Seunit

Sumber: Mypt3

Dengan adanya MyASNB, anda boleh menyemak baki  atau dividen ASB terkini anda pada bila-bila masa dan di mana jua anda berada. Cara nak semak dividen ASB:

  1. Log in ke portal atau aplikasi MyASNB.
  2. Klik menu ‘Akaun saya’.
  3. Jumlah baki anda akan dipaparkan.
  4. Klik ‘Penyata’ untuk download penyata tahun terkini atau tahun sebelumnya.

Cara Keluarkan Duit ASB Online

Anda boleh mengeluarkan duit ASB anda pada bila-bila masa sahaja untuk tujuan-tujuan tertentu melalui portal myASNB atau aplikasi myASNB. Liquidity, wang di ASB mudah diakses. Maksud liquidity atau kecairan di sini adalah sama ada wang yang telah dilabur mudah untuk diambil semula atau tak. Untuk ASB, ya, wang anda mudah diakses. Tetapi anda akan tertakluk kepada beberapa syarat:

  • Had pengeluaran minimum RM100 untuk setiap transaksi
  • Had pengeluaran maksimum secara online adalah RM2,000 sebulan daripada mana-mana akaun unit amanah ASNB.

Anda perlu ada akaun myASNB untuk membuat pengeluaran secara wang ASB anda secara online. Bagi yang dah ada akaun, sila rujuk panduan pengeluaran (jualan balik) ASB, ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Log In ke akaun MyASNB anda melalui portal atau aplikasi.
  2. Klik portfolio pada bahagian menu,
  3. Kemudian klik ‘Transaksi’ pada unit amanah yang anda mahu dan pilih ‘Jualan Balik’.
  4. Pastikan maklumat bank anda tepat dan klik Seterusnya.
  5. Isi maklumat dan buat pengesahan untuk pengeluaran.
  6. Masukkan amaun, tandakan kotak pengisytiharan dan klik Seterusnya.
  7. Semak semula butiran bank dan pastikan semua maklumat betul.
  8. Klik permintaan TAC, isikan dan klik Seterusnya. Kemudian transaksi anda berjaya!

Cara Keluarkan ASB di Kaunter ASNB, Bank dan Pejabat Pos

Anda juga boleh melakukan pengeluaran secara fizikal. Sekiranya anda nak mengeluarkan jumlah yang lebih besar dan menerima wang dengan lebih cepat, anda boleh pergi ke cawangan ASNB atau ejen-ejen ASB yang berdekatan. Ikuti langkah-langkah di bawah:

  1. Pergi ke kaunter dan maklumkan yang anda mahu membuat pengeluaran.
  2. Anda akan diberi borang jualan balik unit dan anda perlu mengisi maklumat dengan lengkap.
  3. Ambil nombor giliran dan tunggu giliran anda.
  4. Anda perlu serahkan IC anda untuk pengesahan diri.
  5. Proses pengeluaran duit dilakukan dan selesai.

apa itu asb

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, pelaburan ASB ini merupakan pilihan pelaburan berisiko rendah yang anda patut pertimbangkan. Anda boleh anggap ASB ini sebagai simpanan alternatif. Mungkin buat masa sekarang, anda hanya simpan duit dalam bank. Jika anda simpan dalam ASB, hampir pasti akan ada pulangan dividen ASB secara konsisten setiap tahun. Tinggi atau rendah itu cerita lain, yang pastinya, risiko kerugian anda memang rendah dengan ASB. 

Dengan ASB online atau MyASNB, urusan anda kini lebih mudah. Diharapkan perkongsian Qoala di dalam artikel ini dapat membantu anda menguruskan kewangan anda dengan lebih baik selepas ini. Semoga berjaya!

P.S Anda tengah cari insurans kereta terbaik di Malaysia? Tak perlu cari jauh-jauh, dapatkan insurans kereta anda dengan Qoala ya!  Selain insurans kereta, anda juga boleh mendapatkan insurans motor di Qoala.

Hariz Hafiz
Pernah menulis puluhan berita surat khabar, beratus artikel marketing, kini, misi Hariz adalah untuk membantu anda mempelajari bidang insurans di Pesan by Qoala!
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗