Perkara Wajib Tahu Sebelum Beli Motor Second Hand

Artikel ini terakhir diperbarui June 2, 2022 by Shafiq Wahab
Perkara Wajib Tahu Sebelum Beli Motor Second Hand

Ramai dalam kalangan generasi muda hari ini membuat pilihan beli motor second hand berbanding motor baharu. Ini kerana, harga motor second hand lebih murah berbanding harga motor baharu dan motor terpakai menampilkan kualiti yang setanding dengan motor baharu jika buat pilihan yang betul. Namun begitu, tanpa ketahui cara beli motor atau amalkan tips beli motor second hand yang betul, anda mungkin perlu menanggung kos pembaikan yang lebih tinggi berbanding harga motor terpakai itu sendiri.

6 Cara Beli Motor Second Hand di Malaysia

Ramai orang yang ingin beli motor baru tetapi mempunyai bajet yang terhad dan memilih untuk beli motor secondhand atau motor terpakai. Namun begitu, ramai yang bimbang akan keadaan motor terpakai yang ingin dibeli kerana pembeli tidak tahu cara pemanduan atau aspek penjagaan dan servis kenderaan pemilik sebelum ini. Secara asasnya, beli motor second hand amat berbaloi jika anda tahu cara beli motor dan pilih motor terpakai yang betul. Anda boleh ikuti tips beli motor secondhand berikut:

1. Pastikan Ada Geran Motor Second Hand

Pastikan motor yang ingin dibeli memiliki dokumen motor yang sah. Geran motor secara asasnya merupakan dokumen yang penting untuk mengesahkan identiti motor yang dibeli. Ia mempunyai nombor siri serta maklumat pemilik berdaftar dan maklumat kenderaan seperti Nombor Enjin, Nombor Casis Buatan, Model, Kelas Kegunaan dan lain-lain. Info ini penting untuk mengesahkan penggunaan motor tersebut di jalan raya. Selain itu, geran motor turut memaparkan maklumat seperti rekod bayaran yang telah dilunaskan, termasuk bayaran roadtax motor, pertukaran hak milik dan alamat. Maklumat ini penting bagi mengelakkan anda daripada terbeli motosikal curi.

2. Jangan Pentingkan Rupa Luaran Sahaja

Ramai dalam kalangan pembeli motor terpakai beranggapan rupa luaran mencerminkan keseluruhan kualiti motor. Pendapat ini secara asasnya kurang tepat. Meskipun rupa motor sempurna tanpa sebarang cela, ini tidak bermaksud motor yang dibeli tiada masalah langsung. Anda disarankan untuk periksa keadaan motosikal tersebut terlebih dahulu dan buat pertimbangan sewajarnya. Berikut antara aspek pemeriksaan yang perlu diberi perhatian:

Periksa Minyak Hitam

Perkara pertama yang anda boleh lakukan sebelum beli motor second hand adalah dengan memeriksa paras minyak hitam. Jika minyak hitam berlebihan, ia akan menghasilkan bunyi enjin yang lebih perlahan. Ia secara tidak langsung menyembunyikan bunyi asal motor yang berkemungkinan lebih kasar.

Mileage Motor Second Hand

Perhatikan mileage motor yang ingin dibeli. Jika motor masih baru dan mempunyai bacaan mileage yang tinggi, ini bermakna pemilik asal kerap menggunakan motor tersebut. Secara asasnya, semakin tinggi bacaan mileage motor anda, semakin tinggi risiko kerosakan komponen motor dan kos pembaikan yang perlu ditanggung.

Bahagian Badan Motor

Anda disarankan untuk berdiri di hadapan motosikal dan periksa sama ada tayar depan dan belakang motor berada dalam kedudukan selari atau tidak. Jika kedudukan tayar motor tidak selari, besar kemungkinan ia disebabkan motor pernah terlibat kemalangan atau pernah terlanggar sesuatu.

Periksa Batang Fork, Komponen Penting Motor

Perhatikan batang fork pada motor, jika terdapat kesan minyak ia mungkin berpunca daripada getah pengadang minyak yang telah rosak atau tidak pernah ditukar oleh pemilik terdahulu. Selain itu, periksa juga komponen-komponen lain seperti swing arm, rim tayar dan sebagainya.

      1. Jika batang fork depan bengkok, ada kemungkinan motor pernah terlibat kemalangan;
      2. Goyangkan swing arm ke kiri atau ke kanan, jika terasa longgar ia mungkin disebabkan bush swing arm yang telah haus;
      3. Periksa juga suspension motor sama ada ia masih berada dalam keadaan baik atau tidak.

3. Periksa Enjin Motor

Secara asasnya, enjin kenderaan merupakan komponen terpenting untuk motosikal. Jika enjin tidak berfungsi dengan baik, ia mungkin akan mengganggu operasi keseluruhan motor. Periksa sama ada terdapat sebarang kebocoran atau sebarang keretakan pada komponen ini. Ini kerana, ia boleh mendatangkan masalah yang serius. Minyak hitam kurang disebabkan kebocoran enjin boleh mendatangkan risiko kerosakan kepada komponen-komponen penting motor dan secara tidak langsung meningkatkan kos untuk pembaikan.

Selain itu, cuba hidupkan motor dan periksa keadaan motor semasa enjin dihidupkan. Kenal pasti sebarang bunyi pelik yang terhasil daripada blok enjin motor. Biasanya, bunyi tertentu yang terhasil semasa enjin dihidupkan menandakan ada masalah atau kerosakan komponen motor tertentu. Periksa juga asap yang keluar daripada ekzos motor. Asap putih atau asap hitam yang keluar daripada ekzos motor menandakan masalah tertentu dalam enjin seperti proses pembakaran enjin yang tidak sempurna.

motor second hand

4. Sistem Wiring Motor dalam Keadaan Baik

Periksa juga sistem pendawaian motosikal yang ingin dibeli. Pastikan wiring dilakukan dengan baik dan tiada sebarang elemen potong dan sambung. Ini kerana, pendawaian yang tidak dilakukan dengan baik boleh meningkatkan risiko kenderaan terbakar atau litar pintas. Selain itu, periksa lampu depan, lampu belakang termasuk signal dan lampu brek. Pastikan ia berfungsi dengan baik.

5. Pandu Uji Motor untuk Nilai Prestasi

Antara cara paling selamat untuk ketahui kualiti atau prestasi motor terpakai adalah dengan memandu uji motosikal tersebut. Pandu uji motor second hand yang ingin dibeli merupakan perkara penting yang perlu dilakukan dalam membantu anda membuat keputusan pembelian yang tepat. Dengan cara ini, anda dapat merasai sendiri pengalaman menunggang motosikal, mengenal pasti sama sebarang kerosakan yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar dan mengelakkan anda daripada sebarang kekecewaan atau masalah di kemudian hari.

Cuba tunggang dalam kelajuan antara 100 hingga 110 km/j, dan periksa sama ada terdapat gegaran. Jika motor bergegar dengan kuat, ini mungkin membabitkan masalah pada enjin. Selain itu, ambil perhatian aspek-aspek berikut:

  • Periksa sama ada terdapat sebarang masalah pada bahagian klac atau gear motor;
  • Perhatikan sama ada motor melencong ke kiri atau ke kanan semasa pemanduan. Ia mungkin berpunca daripada masalah pada bahagian tayar;
  • Perhatikan sama ada motor mengambil masa yang lama untuk berhenti sepenuhnya atau anda perlu menekan brek dengan kuat untuk memberhentikannya;
  • Lakukan pandu uji di kawasan jalan tidak rata atau berbonggol untuk menguji pengendalian dan prestasi pemanduan;
  • Kenal pasti sama ada terdapat sebarang bunyi dihasilkan.

6. Ada Waranti Motor Second Hand

Bagi motor secondhand, antara aspek yang paling dirisaukan oleh pembeli sudah semestinya kualiti motor yang dibeli. Motor secondhand sudah semestinya tidak dijamin 100 peratus berada dalam keadaan baik. Jika boleh, beli motor terpakai yang dilengkapi dengan jaminan waranti. Biasanya, pihak kedai motor second hand akan memberikan waranti selama sebulan atau lebih bergantung pada situasi. Jika terdapat sebarang kerosakan dalam tempoh waranti itu, anda boleh bawa motor ke kedai itu semula untuk pemeriksaan.

Semoga perkongsian tips beli motor second ini dapat membantu anda membuat keputusan dan memilih motor second hand terbaik untuk anda. Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan insurans motor murah untuk motor terpakai anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang mudah, selamat dan cepat.

Kongsi:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.
Beli Insurans Motor Murah Sekarang! 🏍️