Kereta Terbakar Boleh Claim Insurans Tak?

Artikel ini terakhir diperbarui April 28, 2022 by Shafiq Wahab
Kereta Terbakar Boleh Claim Insurans Tak?

Situasi kereta terbakar boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja sama ada disebabkan oleh perbuatan khianat atau secara tidak sengaja seperti kemalangan atau masalah pendawaian. Apabila kereta terbakar, banyak persoalan yang timbul dalam kalangan pemilik kenderaan sama ada kereta terbakar boleh claim insurans kereta atau tidak. Pada 15 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan sembilan buah kereta terbakar dalam sebuah kejadian di sekitar kawasan parkir Damansara Kim Wisma TA SS 20/20, Damansara.

Punca Kereta Terbakar

Sebelum membincangkan tentang proses tuntutan insurans kereta, penting untuk anda kenal pasti punca kebakaran kereta berlaku untuk mengelakkan anda berdepan situasi sebegini. Meskipun situasi kereta terbakar jarang berlaku berbanding kereta hilang atau kereta kemalangan, anda masih disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Biasanya, kebakaran kenderaan berpunca daripada lima sebab seperti berikut:

  1. Kereta overheat sehingga terbakar;
  2. Pengabaian aspek selenggara atau servis kereta;
  3. Litar pintas dalam sistem elektronik kereta (short circuit);
  4. Kemalangan disebabkan kecuaian;
  5. Masalah reka bentuk.

Adakah Kereta Terbakar Boleh Claim Insurans Kereta Kebakaran?

Apabila berlaku kebakaran kenderaan, sudah pasti pemilik kenderaan menerima impak yang paling ketara. Selain buntu memikirkan kos yang perlu ditanggung, pemilik mungkin risau memikirkan sama ada tuntutan insurans kereta yang terlibat dalam kebakaran boleh dibuat.

Secara asasnya, YA, anda boleh membuat tuntutan sekiranya kereta anda terbakar. Meskipun begitu, ia tertakluk pada jenis polisi insurans kereta yang anda miliki. Bagi membuat tuntutan insurans kereta akibat kemalangan yang tidak disengajakan, anda perlu mematuhi aspek-aspek berikut:

1. Kereta Anda Dilindungi Insurans Kereta Komprehensif atau First Party

Anda boleh membuat tuntutan jika kereta anda dilindungi oleh Insurans Kereta Komprehensif. Secara asasnya, Insurans Komprehensif menawarkan perlindungan yang paling menyeluruh kepada pemegang polisi. Ia memberi perlindungan kepada kenderaan sekiranya berlaku kerosakan, kebakaran dan kecurian selain turut menawarkan perlindungan kepada pihak ketiga.

Selain kebakaran, insurans pihak ketiga juga turut melindungi kejadian-kejadian yang menyebabkan kerugian dan kerosakan pada harta benda seperti berikut:

  1. Berlanggar atau terbalik akibat kemalangan, kerosakan mekanikal, haus dan lusuh (wear and tear);
  2. Rosak akibat dihempap objek (tertakluk pada pengecualian tertentu);
  3. Kebakaran, letupan atau disambar kilat;
  4. Cermin depan atau belakang pecah, tingkap atau sunroof rosak;
  5. Kereta rosak disebabkan pecah masuk atau kecurian;
  6. Perbuatan khianat.

2. Kereta Dilindungi Insurans Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian

Sekiranya anda mempunyai perlindungan Insurans Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kerugian, anda juga boleh claim sekiranya berlaku kebakaran. Namun begitu, sekiranya anda mempunyai polisi Insurans Pihak Ketiga sahaja, maka tuntutan insurans tidak boleh dilakukan untuk kereta terbakar.

Kereta Terbakar Boleh Claim Insurans Tak?

Jika Kereta Terbakar Disebabkan Kereta Lain, Boleh Claim Guna Insurans Orang Lain?

Jika kereta anda terbakar disebabkan oleh kereta lain, anda masih boleh membuat tuntutan insurans. Namun begitu, ia biasanya bergantung pada keputusan pihak syarikat insurans. Dalam kebanyakan kes kebakaran kenderaan yang berlaku, tuntutan insurans akan dibuat ke atas insurans kereta sendiri terlebih dahulu kerana proses tuntutan biasanya lebih cepat berbanding tuntutan ke atas pihak yang bersalah.

Meskipun tuntutan insurans dibuat ke atas syarikat insurans anda, anda tidak perlu risau kerana kelayakan NCD kereta anda tidak akan hilang atau terjejas sama sekali. Ini kerana, pihak insurans akan menuntut semula daripada syarikat insurans pihak yang bersalah sekali gus mengekalkan kadar NCD kereta anda seperti biasa. Proses ini dikenali sebagai tuntutan knock for knock. Walau bagaimanapun, tuntutan ini hanya boleh dilakukan jika anda merupakan pemegang polisi Insurans Komprehensif.

Cara Buat Tuntutan Insurans Kereta Terbakar

Sekiranya anda layak dan ingin membuat tuntutan insurans kereta akibat kebakaran, anda boleh ikuti langkah-langkah seperti berikut:

  1. Ambil gambar kereta yang rosak atau hangus akibat kebakaran;
  2. Buat laporan polis dan bomba dalam tempoh 24 jam;
  3. Hubungi ejen insurans anda untuk mengemukakan borang tuntutan kebakaran dan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan;
  4. Pihak insurans akan mengambil alih kes dan melakukan siasatan;
  5. Tunggu keputusan siasatan daripada pihak insurans, polis dan bomba sebelum menerima pampasan.

Dokumen yang Diperlukan

Berikut merupakan senarai dokumen yang diperlukan bagi memudahkan proses tuntutan insurans kereta terbakar:

  1. Borang tuntutan;
  2. Salinan Kad Pengenalan dan Lesen Memandu pemilik kereta;
  3. Salinan geran kereta;
  4. Laporan polis dan bomba;
  5. Salinan perjanjian pinjaman kereta (jika kereta masih berhutang).

Dapatkan Perlindungan Insurans Menyeluruh

Malang tidak berbau. Situasi tidak diduga seperti kemalangan atau kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk mengambil langkah selamat dengan mendapatkan perlindungan insurans kereta yang menyeluruh bagi membolehkan kereta anda mendapatkan perlindungan yang sewajarnya.

Walaupun insurans kereta asas membantu anda menjimatkan wang, namun jika mengambil kira kos yang perlu ditanggung sekiranya ditimpa musibah, pembelian insurans kereta komprehensif sememangnya lebih berbaloi dan menguntungkan. Jika anda sedang mencari insurans kereta murah, layari laman web Qoala dan bandingkan insurans kereta terbaik daripada beberapa syarikat insurans popular di Malaysia.

Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗