Geran Motor, Geran Kereta Hilang? Ikuti 3 Cara Ini

Artikel ini terakhir diperbarui April 6, 2022 by Hariz Hafiz
Geran Motor, Geran Kereta Hilang? Ikuti 3 Cara Ini

Sekiranya geran motor atau geran kereta hilang, anda tidak perlu panik kerana ia biasa berlaku dalam kalangan pemilik kenderaan. Biasanya, geran kereta hilang disebabkan kecuaian sendiri atau geran anda rosak disebabkan kejadian tidak diingini seperti terbakar atau ditenggelami banjir.

Persoalannya, adakah geran kereta atau geran motor ini penting? Secara umumnya, terdapat beberapa situasi yang mungkin memerlukan anda mengemukakan geran kereta original atau geran motor original seperti menjual kenderaan anda kepada pihak ketiga.

Jika geran kereta atau geran motor hilang, anda boleh mendapatkan geran yang baharu melalui tiga cara iaitu melalui bank, pejabat JPJ dan kiosk JPJ yang akan dijelaskan dengan lebih terperinci dalam artikel ini.

3 Cara yang Boleh Anda Pertimbangkan Jika Geran Motor, Geran Kereta Hilang

Geran kenderaan atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) merupakan dokumen yang mengandungi maklumat lengkap tentang pendaftaran kenderaan anda yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Anda boleh menganggap geran kenderaan sebagai kad pengenalan untuk kereta atau motor anda. 

Adakah geran kereta atau geran motor diperlukan apabila anda mahu renew roadtax atau tukar hak milik kenderaan? Jawapan pendeknya, tidak. Anda tidak memerlukan geran original untuk tujuan-tujuan sebegini. Namun begitu, sekiranya anda mahu menjual kereta atau motor anda kepada pihak ketiga, anda perlu menyerahkan geran original kepada pembeli. Berikut merupakan tiga perkara yang anda boleh lakukan sekiranya anda kehilangan geran kereta atau geran motor: 

1. Geran Kereta/Motosikal di Bank

Cara pertama yang anda boleh lakukan adalah dengan mendapatkan salinan geran kereta atau motor original daripada mana-mana cawangan bank yang telah meluluskan atau memberi loan kereta kepada anda. Kebiasaannya, pihak bank memegang geran kereta original anda sekiranya pinjaman kereta masih belum habis bayar. 

Namun begitu, anda masih boleh meminta salinan geran original sekiranya anda membuat permohonan secara bertulis mengikut Akta Sewa Beli Pindaan 2010 yang memerlukan bank mengemukakan VOC kepada pemohon apabila dipohon secara bertulis. 

Cara Dapatkan Geran Kereta/Motor dari Bank:

Berikut merupakan cara dapatkan geran kereta atau motor dari bank:

          1. Kunjungi mana-mana cawangan bank yang memberi pinjaman kereta anda. 
          2. Lengkapkan borang yang diperlukan.
          3. Serahkan kad pengenalan (MyKad) kepada pegawai yang bertugas.
          4. Selepas proses pengesahan (imbasan cap jari), pegawai yang bertugas akan menyerahkan geran kereta original kepada anda.
          5. Jika anda ingin mendapatkan salinan geran untuk tuntutan insurans, anda hanya perlu membuat panggilan kepada pihak bank.Setelah disahkan, salinan geran akan dihantar kepada anda melalui e-mel.

2. Geran Kereta/Motosikal di JPJ

Anda boleh mendapatkan sijil geran yang asal daripada mana-mana cawangan JPJ yang berdekatan dengan anda. Bayaran sebanyak RM50 akan dikenakan untuk geran kereta dan RM20 akan dikenakan untuk geran motor. 

Cara Dapatkan Geran Kereta di JPJ

Setelah segala dokumen telah disediakan, ikuti langkah-langkah berikut apabila berurusan di kaunter JPJ:

          1. Bawa kad pengenalan anda (MyKad) dan dokumen lain yang diperlukan.
          2. Isi dan lengkapkan borang JPJ K7.
          3. Serahkan MyKad dan borang JPJ K7 yang telah lengkap diisi kepada pegawai yang bertugas.
          4. Selepas proses pengesahan, anda akan menerima salinan geran asal seperti yang anda perlukan.

Sebagai pemilik kenderaan yang berdaftar, anda perlu sediakan dokumen-dokumen berikut sebelum berurusan dengan JPJ.

Dokumen-dokumen yang Diperlukan oleh Pemilik Berdaftar

Berikut merupakan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh pemilik berdaftar:

          1. Borang Senarai Semak Geran Pemilikan Kenderaan.
          2. Dua salinan Borang JPJ K7 yang telah lengkap diisi.
          3. Kad Pengenalan Asal (MyKad) untuk pengenalan diri.
          4. Bayaran fi yang telah ditetapkan.
          5. Untuk pemilik motosikal, surat kebenaran daripada institusi kewangan sekiranya mempunyai tuntutan hak milik kurang dari dua tahun.

Selain pemilik berdaftar, permohonan VOC hanya boleh dilakukan oleh mana-mana pegawai agensi kerajaan, syarikat, pegawai organisasi atau waris sahaja. Berikut merupakan dokumen-dokumen yang perlu disediakan:

Dokumen-dokumen yang Diperlukan Bagi Wakil Pihak Pemilik Berdaftar

Berikut merupakan dokumen-dokumen yang perlu disediakan oleh wakil pihak pemilik berdaftar:

          1. Borang Senarai Semak Salinan Geran.
          2. Dua salinan Borang JPJ K7 yang telah lengkap diisi.
          3. Surat rasmi daripada Agensi/Syarikat/Pertubuhan Kerajaan.
          4. Bayaran fi yang telah ditetapkan.
          5. Untuk motosikal, surat kebenaran daripada institusi kewangan sekiranya mempunyai tuntutan hak milik kurang dari dua tahun.

Dokumen-dokumen yang Diperlukan oleh Waris

Berikut merupakan dokumen-dokumen yang perlu disediakan oleh waris:

          1. Borang Senarai Semak Salinan Geran.
          2. Dua Borang JPJ K7 yang telah lengkap diisi.
          3. Salinan Kad Pengenalan (MyKad) pemilik berdaftar.
          4. Salinan Kad Pengenalan (MyKad) penerima.
          5. Dokumen sokongan yang menjelaskan sebab pemilik berdaftar kenderaan tidak dapat hadir untuk pertimbangan Pengarah Negeri atau pegawai yang diberi kuasa.
          6. Dokumen sokongan yang membuktikan hubungan antara benefisiari dan pemilik berdaftar.
          7. Sekiranya pemilik berdaftar atau owner kenderaan telah meninggal dunia, borang JPJK7 hendaklah ditandatangani oleh waris yang telah dilantik oleh Mahkamah atau Pesaka Kecil/Executor/Executrix/Administrator yang telah ditetapkan oleh Mahkamah dalam Surat Pentadbiran (Grant of Letter Administration) atau Surat Probate (Grant of Probate)/Amanah Raya;.
          8. Bayaran fi yang diperlukan.
          9. Untuk motosikal, surat kebenaran daripada institusi kewangan sekiranya mempunyai tuntutan hak milik kurang dari dua tahun.

geran kereta hilang

3. Geran Kereta/Motosikal di Kiosk JPJ

Selain memohon geran di kaunter, anda juga boleh mendapatkan salinan geran kereta atau geran motosikal dari mana-mana kiosk JPJ yang terdapat di seluruh Malaysia. Langkah ini lebih mudah jika dibandingkan dengan dua cara yang telah dijelaskan di atas. 

Cara Print Geran Kereta di Kiosk JPJ

Berikut merupakan langkah-langkah yang anda perlu ikuti sekiranya mahu mendapatkan geran kereta atau geran motor di kiosk JPJ:

          1. Masukkan MyKad anda dan letakkan ibu jari kanan anda pada pengimbas cap jari.
          2. Pilih Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).
          3. Semak maklumat berkaitan yang dipaparkan untuk tindakan lanjut.
          4. Masukkan kad debit anda untuk membuat pembayaran.
          5. Anda akan dicaj RM50 (untuk geran kereta original) untuk setiap transaksi yang berjaya.
          6. Pilih cetakan resit sekiranya anda memerlukannya.

Kesimpulan

Sebaik sahaja anda mendapat salinan geran kereta atau geran motor yang baharu, pastikan anda menjaganya dengan baik supaya ia tidak hilang sekali lagi. Anda boleh membuat beberapa salinan untuk disimpan atau simpan dalam fail bersama dokumen kenderaan yang lain. Walaupun VOC ini boleh diakses secara online, anda masih memerlukan geran kereta atau geran motor original apabila hendak menjual kereta atau motor anda.

Selain itu, jika anda mempertimbangkan untuk mendapatkan insurans kereta terbaik di Malaysia? Tak perlu cari jauh-jauh, dapatkan insurans kereta anda dengan Qoala!  Selain insurans kereta, anda juga boleh mendapatkan insurans motor dan insurans rumah di Qoala.

Hariz Hafiz
Pernah menulis puluhan berita surat khabar, beratus artikel marketing, kini, misi Hariz adalah untuk membantu anda mempelajari bidang insurans di Pesan by Qoala!
Insurans Kereta 🚗 Terbaik di Qoala!