11 Soalan Lazim Insurans Kesihatan Perlu Tahu

Kali terakhir diperbaharui Sep 2, 2022 oleh Hariz Hafiz
11 Soalan Lazim Insurans Kesihatan Perlu Tahu

Memilih polisi insurans kesihatan atau insurans perubatan terbaik boleh menjadi satu proses yang agak panjang dan juga boleh jadi memeningkan kerana terdapat banyak faktor penting yang anda perlu pertimbangkan. Artikel ini akan menjelaskan perkara-perkara penting tentang perlindungan ini.

Kepentingan Memiliki Insurans Kesihatan Sendiri

Jika anda merupakan seorang pekerja sektor swasta, anda berkemungkinan besar sudah ada insurans kesihatan dan medical card. Anda mungkin tertanya-tanya “Perlu ke untuk ada insurans kesihatan peribadi kalau syarikat sudah cover?”.

Pelan perubatan yang disediakan oleh majikan anda dikenali sebagai perlindungan berkumpulan kerana ia meliputi sekumpulan pekerja di bawah satu majikan. Anda sebagai pekerja akan menikmati faedah-faedah seperti kad perubatan untuk rawatan atau perlindungan kemasukan ke hospital (hospitalisation).

Tidak syak lagi, manfaat insurans perubatan yang disediakan oleh syarikat anda merupakan satu faedah yang sangat berguna tetapi terdapat beberapa situasi yang akan membuatkan anda terfikir untuk dapatkan insurans kesihatan sendiri:

  • Perlindungan tidak mencukupi sekiranya kos perubatan atau rawatan menjadi terlalu tinggi.
  • Sekiranya anda dibuang kerja, pelan insurans anda dengan syarikat akan dibatalkan.
  • Tidak melindungi anda selepas anda bersara dan ini mungkin akan menyebabkan anda terpaksa menggunakan wang persaraan untuk mendapatkan insurans kesihatan.

Oleh sebab itu, anda disarankan untuk mendapatkan insurans kesihatan sendiri atau turut dikenali sebagai pelan perlindungan individu kerana ia akan melindungi anda dan keluarga anda daripada situasi-situasi seperti yang dinyatakan di atas. Bagi membantu anda pilih insurans kesihatan peribadi terbaik, berikut antara persoalan-persoalan penting yang perlu anda pertimbangkan: 

1. Apa Maksud Insurans Kesihatan?

Tujuan utama insurans kesihatan adalah untuk melindungi anda dari segi kewangan. Insurans ini akan memberikan perlindungan sekiranya berlaku kematian atau kecacatan, menampung bil perubatan anda termasuk kos bilik hospital, konsultasi, pembedahan, rawatan dan ubat-ubatan jika anda sakit atau kemalangan.

Disebabkan kos perubatan merupakan satu kos yang sukar dijangka dan boleh menjadi sangat tinggi, anda mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menjelaskan bil hospital dengan menggunakan duit anda sendiri sama ada melalui cara pembayaran tunai, kad debit atau kad kredit. Insurans perubatan akan memudahkan urusan anda membayar bil-bil berkaitan kesihatan anda.

Anda boleh dapatkan perlindungan insurans kesihatan daripada syarikat-syarikat insurans berlesen di Malaysia. Memandangkan terdapat banyak pelan insurans di pasaran yang menawarkan perlindungan yang berbeza-beza, anda perlu membuat penyelidikan untuk mengetahui jenis perlindungan yang anda perlukan. Selepas itu, anda boleh membuat penilaian sendiri dan pilih pelan yang terbaik bagi anda dan keluarga.

2. Bagaimana Premium Insurans Kesihatan Ditentukan?

Untuk mendapatkan perlindungan insurans kesihatan, anda perlu membayar premium insurans kepada syarikat insurans anda. Terdapat beberapa faktor utama yang akan mempengaruhi harga premium insurans anda. Antaranya:

Jenis Perlindungan

Pemilihan pelan insurans kesihatan anda akan mempengaruhi kos premium insurans. Semakin banyak perlindungan, semakin tinggi kos. Selain itu, mengambil perlindungan tambahan juga akan meningkatkan kos premium insurans anda.

Umur

Usia anda juga memainkan peranan yang penting semasa menentukan harga premium insurans anda. Kebiasaannya, individu yang lebih berusia akan dikenakan premium yang lebih tinggi kerana risiko mendapat penyakit lebih tinggi.

Lokasi Geografi

Tempat tinggal anda juga boleh mempengaruhi kos yang anda perlu bayar. Hal ini kerana, setiap lokasi geografi terdedah kepada faktor persekitaran dan kos perubatan yang berbeza.

Sejarah Perubatan

Sekiranya anda mempunyai rekod kesihatan yang kurang baik atau mempunyai penyakit sedia ada, premium insurans yang dikenakan adalah lebih tinggi.

Pekerjaan

Persekitaran tempat kerja anda juga memainkan peranan dalam menentukan kos premium anda. Jika pekerjaan anda terdedah kepada risiko kecederaan atau kemalangan, premium yang akan dikenakan mungkin lebih mahal.

Indeks Jisim Badan (BMI)

Individu yang mempunyai BMI tinggi lebih terdedah kepada risiko penyakit berbahaya dan disebabkan ini premium yang dikenakan juga lebih mahal.

Tabiat Merokok

Kebiasaannya, perokok akan dikenakan premium lebih tinggi kerana tabiat merokok membahayakan kesihatan dan kebanyakan individu yang merokok terdedah kepada risiko penyakit berbahaya.

Bilangan Tanggungan

Kadar insurans anda juga akan ditentukan oleh status perkahwinan atau bilangan tanggungan anda. Lebih ramai orang di bawah tanggungan anda boleh menyebabkan kadar premium insurans anda lebih tinggi.

Tempoh Polisi/Sijil

Tempoh polisi memainkan peranan yang penting dalam menentukan nilai premium. Jika anda memilih polisi dengan tempoh yang lebih panjang, premium atau sumbangan anda menjadi lebih rendah.

3. Berapa Jenis Insurans Kesihatan yang Ada?

Semua pelan insurans kesihatan mempunyai tujuan yang sama iaitu memberikan perlindungan kewangan sekiranya anda memerlukan wang untuk pembedahan atau rawatan perubatan. Secara umumnya, terdapat empat jenis perlindungan yang anda perlu tahu:

Insurans Hospital dan Pembedahan

Menampung perbelanjaan anda berkaitan kemasukan hospital dan pembedahan yang berpunca daripada penyakit yang ditetapkan dalam polisi.

Insurans Penyakit Kritikal

Anda akan menerima pembayaran manfaat insurans penyakit kritikal sekiranya anda menghidap penyakit kritikal yang dilindungi oleh polisi.

Insurans Pendapatan

Memberikan anda sumber pendapatan sekiranya anda tidak dapat bekerja disebabkan kecederaan atau akibat hilang upaya.

Insurans Pendapatan Hospital

Tertakluk kepada had tahunan, anda akan menerima sejumlah wang tertentu sama ada secara harian, mingguan atau bulanan sekiranya anda perlu bermalam di hospital disebabkan penyakit yang dilindungi dalam polisi insurans.

insurans perubatan

4. Apakah Perkara yang Anda Perlu Pertimbangkan Sebelum Beli Insurans Kesihatan?

Berikut merupakan antara perkara penting yang perlu dipertimbangkan sebelum beli insurans perubatan terbaik untuk anda dan keluarga anda:

  • Pelan perlindungan
  • Jenis tuntutan insurans yang dibenarkan
  • Proses tuntutan insurans
  • Tempoh menunggu medical card
  • Jumlah had tahunan atau had seumur hidup
  • Perlindungan penyakit sedia ada
  • Senarai klinik atau hospital panel

5. Bagaimana Cara Claim Insurans Kesihatan?

Prosedur tuntutan insurans mungkin berbeza-beza untuk setiap syarikat insurans, jenis tuntutan dan ciri polisi. Anda boleh rujuk kepada syarikat atau ejen insurans untuk semak semula polisi insurans anda.

Sekiranya pelan perlindungan insurans anda berasaskan pembayaran balik (reimbursement); atau anda tidak menerima Surat Jaminan (Guarantee Letter); atau anda mendapatkan rawatan di hospital selain hospital panel, anda perlu mengetahui cara tuntut insurans kesihatan ini. Anda boleh rujuk langkah mudah seperti berikut:

  1. Maklumkan kepada syarikat insurans atau ejen insurans sebelum mendapatkan rawatan atau kemasukan hospital.
  2. Sediakan dokumen yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan, laporan kesihatan, bil dan resit perubatan asal dan laporan diagnostik.
  3. Lengkapkan borang tuntutan melalui laman web syarikat insurans anda.
  4. Serahkan borang tuntutan dalam tempoh 30 hari selepas discaj.

6. Apakah Antara Sebab Tuntutan Anda Boleh Ditolak?

Tahukah anda, tuntutan insurans kesihatan anda juga boleh ditolak? Untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku kepada anda, anda perlu elakkan situasi-situasi berikut:

Tuntutan Dalam Tempoh Menunggu

Insurans perubatan tidak akan melindungi sebarang kos perubatan yang dikenakan atas nama anda dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengaktifan polisi insurans kecuali untuk kecederaan akibat kemalangan.

Tidak Bayar Premium Insurans

Anda pasti akan menghadapi risiko kehilangan polisi insurans anda jika anda gagal membayar premium anda melepasi tarikh tamat tempoh.

Melebihi Had Tuntutan

Terdapat dua had yang perlu anda tahu iaitu had tahunan dan had seumur hidup. Jika bil hospital terkini anda adalah RM80,000, tetapi had tahunan anda hanya pada RM50,000, anda mungkin perlu membayar baki jumlah tersebut.

Namun begitu, untuk pengetahuan anda, kebanyakan pelan insurans perubatan menetapkan perlindungan kepada ‘seperti yang dikenakan’ atau as charged. Ini bermakna syarikat insurans anda akan membayar jumlah keseluruhan yang dicaj oleh hospital.

insurans kesihatan terbaik

7. Bagaimana Jika Anda Tidak Membuat Sebarang Tuntutan Insurans?

Anda perlu merujuk kepada syarikat atau ejen insurans anda untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang insentif ditawarkan sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan pampasan. 

Kebanyakan pelan insurans menawarkan No Claims Bonus (NCB) yang anda boleh tuntut. Maksud NCB adalah manfaat kewangan atau bonus yang diberikan kepada pemegang polisi untuk setiap tahun tanpa tuntutan. Ganjaran diberikan kerana anda kekal sihat sepanjang tempoh polisi dan tidak membuat sebarang tuntutan ke atas polisi insurans kesihatan anda.

8. Berapa Kali Anda Boleh Buat Tuntutan Insurans dalam Masa Setahun?

Kebanyakan syarikat insurans tidak menetapkan jumlah tuntutan maksimum bagi polisi insurans kesihatan. Syarat utamanya adalah asalkan anda tidak melepasi had tahunan yang ditetapkan. Dengan kata lain, ia bergantung kepada pelan perlindungan yang anda ambil. Untuk maklumat lanjut, anda disarankan untuk rujuk syarikat atau ejen insurans anda untuk mendapatkan kepastian.

Namun begitu, katakanlah anda sudah menggunakan sepenuhnya had tahunan atau had seumur hidup, insurans kesihatan anda tidak lagi akan menanggung kos rawatan atau perubatan anda. Ini bermaksud, anda perlu keluarkan duit dari poket sendiri untuk menanggung apa-apa kos rawatan atau perubatan.

9. Apakah yang Anda Boleh Jangkakan dengan Pelan Insurans Kesihatan?

Secara asasnya, ia bergantung kepada jenis polisi insurans yang anda beli. Anda boleh tahu manfaat, perkara yang dilindungi atau tidak dilindungi dan sebagainya. Kebiasaannya, anda akan dapati polisi kemasukan ke hospital dan pembedahan memberikan perlindungan-perlindungan berikut:

  • Penginapan hospital dan belanja rawatan
  • Belanja pembedahan (fi pakar bedah dan kos berkaitan pembedahan)
  • Kos doktor perubatan
  • Ujian saringan sebelum pesakit masuk wad

10. Apa yang Insurans Kesihatan Tidak Cover?

Syarikat insurans tidak melindungi semua perkara. Seperti yang telah dinyatakan, setiap pakej insurans menawarkan perlindungan dan pengecualian yang berbeza-beza. Oleh sebab itu, anda perlu tahu perkara-perkara yang insurans anda tidak cover supaya anda lebih berhati-hati. Berikut adalah antara perkara yang tidak dilindungi:

  • Kos bersalin
  • Penyakit kongenital (penyakit yang wujud sejak lahir)
  • Kecederaan akibat kemalangan atau sakit kerana terlibat dalam perlumbaan
  • Pembedahan kosmetik atau pembedahan plastik
  • Rawatan pergigian termasuk pembedahan mulut

11. Bila Anda Perlu Ada Insurans Kesihatan?

Kalau boleh, ambil polisi insurans kesihatan seawal mungkin. Hal ini kerana, faktor umur boleh memainkan peranan yang penting dalam menentukan pelan perlindungan anda. Contohnya, individu yang mula mengambil polisi pada usia muda dan semasa berada dalam keadaan yang sihat, anda boleh mendapatkan pelan yang lebih komprehensif yang memenuhi keperluan anda pada harga yang sangat berpatutan.

kepentingan insurans kesihatan

Sentiasa Bersedia dengan Memilih Pelan Insurans Perubatan Terbaik

Memang tidak dinafikan, kos-kos berkaitan perubatan boleh mencecah sehingga berpuluh-pulih ribu ringgit. Insurans kesihatan dicipta untuk melindungi anda di saat anda memerlukan bantuan perubatan. Diharapkan perkongsian 11 soalan lazim insurans kesihatan di atas dapat membantu anda membuat penilaian yang lebih baik semasa memilih pelan insurans kesihatan yang terbaik untuk anda dan keluarga tersayang.

Salah satu cara terbaik untuk beli insurans kesihatan terbaik adalah dengan melalui Qoala. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia yang akan membantu membandingkan pelan insurans perubatan berbeza bagi memastikan anda mendapatkan pelan insurans kesihatan dan perubatan yang sesuai dengan keperluan anda.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60