Kereta Terbakar Boleh Ke Claim Insurans?

Artikel ini terakhir diperbarui September 20, 2021 by Nadhirah Rashid
Kereta Terbakar Boleh Ke Claim Insurans?
Bagikan ke Teman:

Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Segala jenis kemalangan, termasuklah kereta terbakar boleh berlaku pada bila-bila masa, tidak mengira tempat. Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 2,834 kes kebakaran kenderaan jenis pengangkutan darat pada tahun 2018 sahaja. 1,724 daripada jumlah itu melibatkan kes kebakaran kenderaan jenis kereta. Kes ini juga merekodkan trend peningkatan yang konsisten pada setiap tahun. Kebakaran boleh berpunca daripada pelbagai aspek. Namun, timbul persoalan adakah kes kebakaran kereta membolehkan pemandu menuntut pampasan daripada pihak insurans?

Akta Pengangkutan Jalan 1987 mewajibkan pemandu kereta di Malaysia untuk memiliki insurans kereta sekurang-kurangnya Insurans Pihak Ketiga. Untuk menambah perlindungan yang lain seperti Kebakaran dan Kecurian, ia adalah bergantung kepada pemandu. 

Boleh Ke Tuntut Insurans Bila Kereta Terbakar?

Foto Kredit: canon_photographer Melalui Shutterstock

Jawapan mudah, boleh. Jawapan panjang pula, boleh cuma ia bergantung kepada jenis insurans yang korang miliki ketika berlakunya kebakaran tersebut. Insurans yang melindungi kes seperti ini ada Insurans Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian. Ianya lebih mahal berbanding dengan Insurans Pihak Ketiga. 

Sama polisinya dengan Insurans Pihak Ketiga juga melindungi pemandu apabila berlaku kemalangan yang membabitkan kecederaan tubuh badan atau kematian, kerugian harta benda pihak ketiga, atau pun kerosakan yang berpunca daripada kereta korang. Cuma apa yang membezakan ia adalah pemilik insurans jenis Insurans Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian boleh membuat tuntutan sekiranya berlaku kerosakan  yang disebabkan kebakaran atau kecurian. 

Pada kebiasaannya, dalam polisi Insurans Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian, nilai yang diinsuranskan untuk kerosakan pihak ketiga adalah tinggi dan kadang kadang boleh menjadi tidak terhad. Namun, nilai yang diinsuranskan untuk kebakaran dan kecurian adalah lebih rendah. 

Kalau korang nak ketahui lagi mengenai Insurans Kereta korang boleh check out LINK ini atau jika korang nak tengok pilihan insurans kereta yang terbaik, korang boleh klik LINK ini. 

Walaupun dilindungi insurans, kita kalau boleh nak elakkan perkara ini daripada berlaku. Ini adalah punca-punca kebakaran kereta yang kita perlu tahu.

Punca-punca Kereta Terbakar 

Secara asasnya, kereta yang terbakar boleh disebabkan oleh beberapa punca dan faktor seperti berikut: 

  • Lintar pintas elektrik

Kegagalan sistem elektrik atau lintar pintas elektrik boleh menyebabkan kebakaran dan antara punca kereta terbakar yang sering dilaporkan di dada-dada akbar. Kegagalan sistem elektrik boleh berpunca daripada bateri kereta. Bateri kereta bekerja sebagai pembekal kuasa elektrik kepada starter kereta dan sistem penyalaan. Bateri kereta 12 voltan mampu untuk menghasilkan gas hidrogen semasa pengecasan dan ia juga boleh menyebabkan letupan. Ini kerana bateri dan starter cables berfungsi sebagai pembawa arus yang diperlukan untuk menghidupkan api dan ia boleh mengakibatkan kebakaran apabila berlakunya kerosakkan. 

Bukan itu sahaja, jika lampu kereta korang pecah jangan ambil mudah. Ia mampu mengakibatkan kebakaran kereta. Ini kerana filamen lampu hadapan kereta berupaya untuk menjadi panas sehingga mencecah suhu sehingga 1,400 darjah celcius. Lampu pecah yang dibiar lama boleh mengakibatkan litar pintas sekaligus menyebabkan kebakaran. 

  • Kebocoran bahan api

Seperti kita sedia maklum, bahan api seperti petrol atau diesel adalah bahan yang mudah terbakar namun penting untuk kereta. Kebocoran api juga menjadi antara punca yang menyumbang tinggi terhadap kes kebakaran di Malaysia. Ia boleh berlaku apabila berlaku kebocoran bahan yang ditambah dengan kehadiran oksigen dan percikan api kecil daripada sistem pendawaian kereta yang telah rosak atau pun longgar. Kebakaran daripada bahan api ini boleh terjadi daripada dua situasi ini; saluran petrol tidak selenggara atau rosak dan sistem penyambungan serta suntikan bahan api yang bocor. 

  • Aksesori kereta

Cantik dipandang, namun ada bahayanya aksesori kereta ni. Contohnya, pemasangan aksesori kereta seperti dashcam yang tidak berkualiti tinggi dan tidak mengikut piawaian yang betul. Ia boleh mengundang kepada kebakaran semasa di jalan raya. Bila kita memasang aksesori-aksesori tersebut, ia perlu lah dipasang dengan betul. Jika tidak dipasang dengan betul, ia boleh mengakibatkan lintar pintas sekaligus menyebabkan kebakaran. Kalau korang tak tahu pasang, pastikan ia dipasang oleh yang pakar dan berpengalaman. 

  • Enjin kereta panas

Situasi enjin kereta yang panas atau overheating ini selalu terjadi pada kereta-kereta yang sudah berusia. Terutama kereta yang tidak diselenggara secara konsisten. Overheating boleh berlaku apabila kipas radiator rosak dan tidak berfungsi, kebocoran radiator atau kerosakan pam air. Apabila enjin panas, dan ditambah lagi dengan cecair-cecair yang mudah terbakar seperti minyak hitam, cecair brek hidraulik, dan minyak transmisi automatik yang merupakan gabungan yang lengkap untuk berlakunya kebakaran. 

Bagaimana kebakaran apabila enjin terlampau panas boleh berlaku? Laluan gas ekzos yang melalui sistem paip ekzos pada enjin yang panas boleh mencecah sehingga 500 darjah celsius. Suhu ini sudah cukup untuk mengakibatkan kebakaran apabila berlaku kebocoran di mana-mana bahagian komponen enjin. 

  • Barangan mudah terbakar

Sesetengah orang berpendapat, kereta bukan saja sebagai satu pengangkutan, tapi ia juga boleh menjadi tempat simpanan barangan harian. Menjadi tabiat ramai pemandu yang mengambil mudah dengan jenis-jenis barang yang disimpan dalam kereta. Tidak semua barang boleh disimpan dalam kereta. Sesetengah barang tidak boleh disimpan dalam kereta kerana ia mampu meletup dan menyebabkan kereta terbakar. Ini antara barang-barang yang perlu dielakkan daripada disimpan dalam kereta.

Tin aerosol

Tin aerosal boleh didapati dalam bentuk spray rambut, deodoran, pewangi, cat semburan dan banyak lagi adalah barang-barang yang perlu disimpan pada suhu yang tertentu. Sebabnya, tin adalah sejenis bahan yang sangat sensitif terhadap suhu-suhu yang berlainan. Apabila tin disimpan pada sesuatu tempat dengan suhu yang tinggi terlalu lama, ia boleh mengembang dan secara tidak langsung boleh mengakibatkan letupan serta kebakaran. Oleh itu, elakkan meletak tin aerosal dalam kereta. 

Pemetik api

Kecil-kecil cili padi. Pemetik api yang bersaiz kecil ini juga mampu membuatkan kereta terbakar. Lebih-lebih lagi jika kereta didedahkan dengan suhu yang panas seperti cuaca yang panas contohnya. Ini kerana, suhu dalam kereta yang terdedah dengan cuaca panas boleh mencecah sehingga 60 darjah celsius. Pemetik api boleh menjadi meletup dan mengakibatkan kebakaran jika terdedah dengan haba panas. 

Botol plastik

Walaupun nampak macam biasa dan sering dilakukan, ia sebenarnya berbahaya. Botol plastik air yang masih mengandungi air akan membiaskan sinaran matahari dan mampu untuk menyalakan api terutamanya di bahagian tempat duduk atau pun objek yang mudah terbakar yang lain. Berdasarkan kajian, botol air boleh mengeluarkan haba dan sinaran matahari yang menembusi botol berisi air boleh bertindak sama seperti penggunaan kaca pembesar.

Kesan buruk yang lain adalah, plastik botol yang ditinggalkan dalam kereta, lebih-lebih lagi yang terdedah dengan cuaca yang panas boleh menghasilkan bispenol A (BPA), sejenis bahan kimia yang berbahaya. Ia boleh menyebabkan kanser jika diminum. Jadi, elakkan diri daripada meletakkan botol air dalam kereta. 

Gadget

Gadjet atau barangan elektrik seperti telefon bimbit boleh dikatakan keperluan majoriti orang. Ia juga kini dilengkapi dengan barangan elektronik yang lain seperti powerbank untuk memberikan kuasa tambahan pada telefon tersebut di saat-saat kecemasan. Walau bagaimanapun, ramai yang tak tahu betapa bahayanya meninggalkan powerbank dalam kereta. Ia boleh menjadi terlalu panas dan meletup lalu menyebabkan kebakaran. Ada pelbagai kes kereta terbakar yang melibatkan power bank yang diletakkan dalam kereta tersebut. 

Foto Kredit: Nor Gal Melalui Shutterstock

Alat elektronik lain seperti rokok elektronik, kamera, komputer bimbit dan pelbagai lagi gadget yang mempunyai bateri juga boleh menyebabkan kereta terbakar. Oleh itu elakkan dari meletakkan dalam kereta kerana ia boleh mendatangkan risiko terbakar apabila mencecah suhu yang tinggi. 

  • Memandu sambil merokok

Umum mengetahui bahawa merokok adalah satu perbuatan yang membahayakan kesihatan diri. Ia juga berbahaya kepada keselamatan diri dan kereta apabila pemandu memandu kereta sambil merokok. Perbuatan ini sering dilihat sehingga menjadi perkara yang biasa apabila dilihat di jalan raya. Walau bagaimanapun, apabila aspek keselamatan dipandang remeh, ia berpotensi menjadi penyebab kebakaran kereta. Situasi ini boleh dilihat apabila seorang pemandu yang membuang puntung rokok ke luar kereta melalui tingkap kereta. Ia boleh berpotensi untuk memasuki kereta yang lain yang mempunyai bahan mudah terbakar – kebakaran boleh berlaku dengan sekelip mata. 

  • Kemalangan teruk

Bahagian-bahagian kereta yang penting seperti tangki minyak, enjin kereta, bateri dan komponen-komponen yang lain kebiasaannya dilindungi dengan zon remuk apabila kemalangan. Namun begitu, ianya bergantung kepada impak pelanggaran dan juga bagaimana kemalangan tersebut berlaku. Jika impak pelanggaran itu besar dan kuat, bahagian-bahagian ini berpotensi untuk mengalami kerosakan. Apabila komponen kereta seperti bateri atau alternator yang rosak, ia mampu menghasilkan percikan api dan boleh terkena pada bahagian-bahagian yang mudah terbakar  sekaligus menyebabkan kereta terbakar. 

 Ini Yang Perlu Dilakukan Apabila Berlaku Kebakaran Kereta

Benda pertama yang perlu dibuat apabila bahagian kereta korang terbakar adalah hadapi cabaran tersebut dengan tenang dan jangan panik. Apabila kita bertindak melulu, ia akan menyebabkan kita melakukan tindakan yang berbahaya. Kebakaran kereta mampu merebak dengan cepat apabila angin di luar membekalkan oksigen yang mempercepatkan kebarakn merebak. Ini yang apa yang perlu dilakukan apabila menghadapi situasi-situasi kecemasan seperti ini:

  1. Berhentikan kereta secara perlahan-lahan dan letakkan di bahu jalan. 
  2. Segera matikan enjin, dan tarik brek tangan serta tukarkan gear kepada P. Apabila kita tidak mematikan enjin dengan cepat, api kebakaran boleh merebak dengan cepat.
  3. Cabut tali pinggang keledar. Jika kemalangan tersebut menyebabkan tali keledar tidak dapat ditanggalkan, potong tali tersebut. Adalah dinasihatkan untuk menyimpan sekurang-kurangnya gunting untuk membantu kita dalam perkara ini daripada berlaku.
  4. Segera keluar daripada kereta. Bantu ahli keluarga lain (jika ada) dengan membukakan pintu kereta jika mereka tersangkut di dalam kereta. 
  5. Jika gagal membuka keret, jangan teragak-agak untuk memecahkan tingkap pintu kereta. 
  6. Jangan lupa untuk tutup mulut dan hidung bagi mengelakkan diri daripada tersedut asap yang berbahaya.
  7. Apabila dah berjaya keluar, pastikan diri dan keluarga berada jauh daripada kereta yang terbakar sekurang-kurangnya 30 meter. Ini untuk mengelakkan daripada api kebakaran terkena kita dan keluarga.
  8. Jika ada barangan dalam kereta, jangan bahayakan diri untuk memasuki ke dalam kereta yang terbakar. 
  9. Segera hubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan.
  10. Sebagai seorang amatur, jangan ambil keputusan untuk cuba mengawal atau memadamkan api kereta. Ia boleh menimbulkan ketakutan untuk api tersebut terus merebak dan boleh membahayakan diri jika kita tersalah cara untuk memadamkan api tersebut. Serahkan saja pada yang pakar. 
  11. Sekiranya api berpunca daripada bonet atau but kereta, jangan buka. Ini kerana ia akan mempercepatkan lagi proses api merebak dengan penambahan oksigen.

Langkah Keselamatan Untuk Elakkan Kereta Daripada Terbakar

Pepatah ada mengatakan, sediakan payung sebelum hujan. Tiada sesiapa yang mahukan keretanya terbakar. Jadi, untuk mengelakkan kereta kita daripada terbakar, ini langkah keselamatan yang perlu diambil;

  • Matikan enjin kereta semasa mengisi minyak

Petrol adalah bahan mudah terbakar. Malah, wap petrol juga mudah terbakar berbanding cecair petrol itu sendiri. Apabila enjin tidak dimatikan semasa mengisi minyak, ada beberapa komponen kereta yang berfungsi untuk menghasilkan percikan yang boleh mengakibatkan kebakaran. 

  • Elak tinggalkan barang mudah terbakar

Jangan sesekali meninggalkan barang-barang mudah terbakar seperti tin aerosol, telefon bimbit, power bank, rokok elektronik di dalam kereta di bawah cuaca yang panas kerana ia berpotensi untuk meletup dan menyebabkan kebakaran. 

  • Elak Pasang Aksesori Kereta Yang tidak Mengikut Spesifikasi

Pemasangan aksesori yang tidak berkualiti dan tidak mengikut spesifikasi bukan sahaja membazirkan duit, malah turut membahayakan diri. Gunakan aksesori yang berkualiti. Bukan saja dapat melindungi diri daripada bahaya, malah dapat memanjangkan jangka hayat kereta. 

  • Penyelenggaraan Yang Konsisten

Lakukan penyelenggaraan kereta mengikut jadual yang ditetapkan untuk menggantikan komponen kereta yang usang dan rosak. Kegagalan membuat penyelenggaraan secara konsisten dapat membuatkan komponen penting dalam kereta rosak sekaligus boleh menjadi punca kebakaran kereta. 

Alat Pemadam Api Kereta

Pemilik kereta disyorkan untuk menyimpan alat pemadam api dalam kereta untuk dijadikan sebagai langkah pencegahan dan keselamatan bagi mengelakkan daripada berlakunya insiden kereta terbakar. Ini beberapa perkara tentang pemadam api yang perlu diketahui:

  • 1KG ABC Dry Powder

Pemilihan alat pemadam api juga penting. Ini kerana tidak semua alat pemadam api sesuai dengan kereta. Alat pemadam api bersaiz satu kilogram adalah alat pemadam api yang paling sesuai untuk disimpan dalam kereta kerana ia mempunyai discharge time atau juga dikenali sebagai masa pelepasan yang cepat iaitu enam saat sahaja daripada saat pin keselamatan ditarik. 

  • Tempat letak

Tempat meletak yang paling sesuai untuk meletakkan alat pemadam api kereta adalah di bawah tempat duduk penumpang kerana ia senang untuk dicapai apabila berlaku kecemasan kebakaran kereta. Jangan letakkan di bawah tempat duduk pemandu, ini kerana ia mampu menganggu pemanduan dan bergolek ke pedal minyak apabila pemandu membuat brek secara mengejut. 

  • Servis

Sama seperti kereta, alat pemadam api juga perlu diservis selepas digunakan. Meskipun, alat pemadam api hanya terguna pada jumlah yang sedikit, serbuk ABC dalam alat pemadam api itu boleh mengakibatkan nozel berkarat dan dapat mengurangkan tekanan udara daripada alat tersebut secara perlahan-lahan. Pemandu perlu menghantar alat pemadam api tersebut sebaik sahaja pin itu dibuka dan disembur walaupun pada amaun yang sikit. 

Itu sahaja yang Qoala dapat kongsikan pada artikel kali ini. Diharapkan agar korang dapat melakukan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan daripada kereta terbakar. Jika korang nak tahu pasal perlindungan  terhadap kes kereta yang terbakar, korang boleh check out di laman web Qoala. Semoga bermanfaat!

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗