10 Punca, Tanda ECU Kereta Rosak Perlu Anda Tahu

Kali terakhir diperbaharui Nov 3, 2023 oleh Shafiq Wahab
10 Punca, Tanda ECU Kereta Rosak Perlu Anda Tahu

Anda mungkin pernah dengar tentang ECU kereta tetapi anda mungkin kurang pasti apa itu ECU kereta atau apa fungsi dan peranan ECU dalam sistem enjin kenderaan. Secara asasnya, unit kawalan elektronik atau electronic control unit berfungsi sebagai pusat kawalan atau sistem komputer elektrik utama kenderaan. Kebanyakan fungsi penting dalam kereta moden hari ini dikawal oleh ECU kereta.

ECU kereta berperanan mengawal prestasi dan kebolehpanduan sesebuah kenderaan. Selain itu, komponen ini juga menguruskan nisbah bahan api dan udara serta pemasaan enjin. Ia juga berfungsi mendapatkan maklumat daripada sensor dalam sistem kereta bagi mengira serta menala percikan dan bahan api yang sesuai bagi mengekalkan prestasi, kuasa dan kecekapan kenderaan.

Oleh sebab itu, jika ECU kereta rosak, ia boleh menyebabkan pelbagai risiko lain seperti kereta tak boleh startlampu dashboard menyala dan sebagainya. Artikel ini akan membantu anda kenal pasti tanda ECU kereta rosak dan punca ECU kereta rosak untuk mengelakkan risiko kerosakan lain yang lebih serius.

5 Perkara Penting Anda Wajib Tahu Tentang ECU Kereta

Jika komputer mempunyai CPU untuk beroperasi, maka kereta pula memerlukan ECU untuk mengendalikan komponen kereta dengan lebih baik. Berikut lima perkara tentang ECU kereta yang perlu anda tahu untuk rujukan dan panduan anda.

1. Apa Itu ECU Kereta?

Unit kawalan enjin (atau ECU kereta) menghubungkan komponen penting dalam enjin kereta dengan sistem komputer built-in yang menguruskan pelbagai sistem dan fungsi selain mengawal selia kebanyakan komponen kereta. ECU kemudiannya memainkan peranan memastikan prestasi kereta termasuklah kuasa, kecekapan dan penjimatan bahan api berada pada tahap optimum berdasarkan maklumat yang diterima daripada sensor, cip dan komponen dalam kenderaan.

2. Fungsi ECU Kereta

Secara asasnya, ECU kereta memainkan peranan penting dalam sistem kenderaan. Berikut merupakan fungsi ECU kereta untuk panduan anda:

  • Mengawal campuran bahan api-udara yang digunakan oleh enjin;
  • Melaraskan masa percikan atau masa pencucuhan untuk memberikan kuasa dan penjimatan bahan api yang lebih baik;
  • Mengawal kelajuan dan pemasaan serta pembukaan injap mengikut keadaan enjin;
  • Mengatur prestasi kipas penyejuk enjin;
  • Menghidupkan lampu amaran kereta sekiranya terdapat gangguan atau kerosakan.

3. Tanda ECU Kereta Rosak

Bagaimana nak tahu ECU kereta rosak dan perlu dibaiki? Biasanya, ECU kereta akan menunjukkan tanda-tanda kerosakan tertentu bagi memberi amaran kepada pemandu. Sekiranya kereta anda mengalami simptom kerosakan ini, anda disarankan untuk segera bawa kereta ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. Berikut tanda-tanda ECU kereta rosak untuk rujukan dan panduan anda:

Prestasi Enjin Menurun

Sekiranya anda mendapati kereta anda menghadapi masalah berkaitan prestasi enjin, ia mungkin berpunca daripada kerosakan pada ECU kereta anda. Biasanya, masalah kemerosotan prestasi enjin berkait rapat dengan prestasi modul kawalan enjin ini. ECU kereta yang tidak berada dalam keadaan baik boleh memberi kesan kepada pemasaan enjin, sekali gus menyebabkan kecekapan pembakaran dalaman berkurangan dan prestasi enjin untuk memecut dengan baik turut terjejas.

Enjin Kereta Tersengguk-sengguk

Selain prestasi enjin merosot, masalah ECU rosak juga biasanya menyebabkan enjin kereta tersengguk-sengguk atau semput ketika sedang memecut. Namun begitu, masalah ini tidak berlaku setiap masa – biasanya enjin kereta akan semput secara tiba-tiba dan kembali normal pada bila-bila masa. Sekiranya situasi ini berlaku, bawa kereta anda ke bengkel untuk diagnosis lengkap.

Lampu Check Engine Menyala

Lampu Check Engine merupakan sebahagian daripada sistem diagnostik kenderaan atau juga dikenali sebagai on-board diagnostic atau OBD. OBD merupakan istilah automotif yang merujuk pada keupayaan kenderaan untuk melakukan self-diagnostic dan reporting capability. Ini bermaksud, lampu amaran Check Engine yang berkelip-kelip atau menyala menandakan sistem komputer mengesan potensi masalah pada bahagian enjin sama ada kerosakan sensor atau litar.

Selain itu, berikut merupakan antara punca yang menyebabkan lampu Check Engine menyala:

        1. Fius kereta putus;
        2. Terdapat risiko kerosakan pada komponen elektrik kereta;
        3. ECU kereta bermasalah atau rosak;
        4. Palam pencucuh atau spark plug kereta rosak;
        5. Masalah pada sambungan atau fius kereta seperti haus, rosak atau longgar;
        6. Masalah pada bateri kereta.
Harga Check Komputer Kereta

Sekiranya lampu Check Engine kereta menyala, dapatkan bantuan mekanik untuk mendiagnosis komputer kereta anda menggunakan alat imbasan (OBD reader) bagi memudahkan mekanik mengetahui punca sebenar kerosakan kereta dengan lebih tepat. Diagnosis yang tepat secara tidak langsung dapat membantu menangani masalah yang dihadapi oleh kereta dengan betul. Kod P0600 merupakan kos ralat yang berkaitan dengan kerosakan ECU kereta. Harga check komputer kereta biasanya sekitar RM30 hingga RM50 (atau mungkin lebih) bergantung pada lokasi, jenis kenderaan anda.

4. Kereta Kuat Makan Minyak

ECU kereta rosak juga boleh dikenal pasti melalui kadar penggunaan bahan api. Jika kereta anda menggunakan lebih banyak bahan api berbanding biasa, ini bermaksud ada kemungkinan ECU kereta anda mengalami masalah. Ini kerana, enjin kereta berdepan kesukaran untuk mengenal pasti kadar bahan api yang sesuai untuk dihantar ke enjin untuk proses pembakaran. Ia sekali gus menyebabkan enjin membakar lebih banyak bahan api untuk mengekalkan prestasi pemanduan biasa.

5. Kereta Tak Boleh Start

Jika anda menghadapi masalah kereta sukar untuk dihidupkan, besar kemungkinan ia berpunca daripada modul kawalan enjin yang telah rosak. Situasi ini berlaku kerana ECU tidak lagi dapat menghantar input elektronik kepada enjin seperti biasa. Meskipun begitu, masalah kereta tidak boleh start boleh berlaku disebabkan oleh beberapa masalah-masalah lain seperti bateri kereta kong, alternator rosak atau spark plug rosak. Anda disarankan untuk bawa kereta anda ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar permasalahan.

tanda ecu kereta rosak, punca ecu kereta rosak

5 Punca ECU Kereta Rosak yang Anda Perlu Tahu

Komponen ECU secara amnya mengawal hampir kesemua sistem dan fungsi penting dalam kenderaan anda dan biasanya, komponen ini akan menunjukkan tanda-tanda tertentu jika rosak. Jika anda tertanya-tanya penyebab atau punca ECU kereta rosak, panduan ini boleh membantu anda. Qoala menyenaraikan lima punca kerosakan ECU untuk panduan anda seperti berikut:

1. Bateri Kereta Kong

Bateri kereta dilengkapi dengan sel elektronik yang perlu berfungsi dengan baik bagi memastikan ECU kereta turut berfungsi. Jika bateri kereta kong atau sel dalam bateri mati, ia secara tidak langsung boleh menjejaskan prestasi ECU kereta. Jika dibiarkan, anda mungkin menghadapi masalah enjin kereta tak boleh start.

2. Kakisan

Komponen ECU dalam enjin dilengkapi dengan penutup kedap (seal) yang berfungsi menghalang kelembapan udara luar daripada memasuki ECU. Namun begitu, penutup kedap ini terdedah kepada risiko kerosakan seperti haus dan karat yang boleh menyebabkan kelembapan udara luar memasuki ECU dengan mudah. Secara teknikal, kelembapan udara tidak baik untuk ECU kerana ia boleh menyebabkan pembentukan kakisan. Jika kakisan ini dibiarkan, ia boleh menyebabkan ECU kereta rosak dan menjejaskan fungsinya.

3. Starter Kereta Rosak

Starter kereta merupakan peranti elektrik yang digunakan untuk menghidupkan enjin kereta dan mengerakkan piston dalam sistem pembakaran dalaman sehingga enjin dapat beroperasi sendiri. Biasanya, kereta akan menghasilkan bunyi crank semasa enjin kereta dihidupkan. Jika bunyi ini tidak kedengaran, besar kemungkinan starter kereta anda mungkin sudah rosak dan perlu digantikan.

Tanda Starter Kereta Rosak

Sama seperti kebanyakan komponen lain, starter kereta juga turut menunjukkan tanda-tanda kerosakan tertentu. Anda boleh mengesan tanda-tanda awal kerosakan starter kereta seperti berikut:

        1. Kereta tak boleh start tetapi lampu pada meter dashboard menyala;
        2. Kereta tak boleh start bunyi tik tik atau kereta tak boleh start bunyi tak tak;
        3. Bahagian enjin kereta berasap atau berbau terbakar semasa enjin dihidupkan;
        4. Kereta boleh start tapi tak hidup – ada bunyi starter diaktifkan, tetapi enjin tidak beroperasi.

4. Voltan Rendah

Secara purata, kadar voltan yang ideal untuk ECU kereta adalah antara sembilan volt hingga 12 volt (lebih baik). Jika kadar voltan sekitar enam volt atau kurang, ia boleh menyebabkan masalah pada ECU kereta. Anda boleh periksa kadar voltan ECU dengan menggunakan voltmeter gauge yang berfungsi mengesan jumlah voltan yang mengalir pada ECU.

5. Cara Jumper Kereta yang Tidak Betul

Cara jump start bateri kereta yang tidak betul boleh mempengaruhi ECU kereta. Sekiranya anda perlu lakukan jumper kereta, anda perlu pastikan kabel jumper dipasang dengan betul. Jika tidak, ia boleh menyebabkan aliran elektrik yang tidak stabil dan boleh memendekkan jangka hayat ECU kereta anda. Malah, anda juga mungkin perlu mengeluarkan belanja yang lebih tinggi untuk pembaikan yang boleh mencecah ribuan ringgit.

Cara Jumper Bateri Kereta yang Betul, Senang dan Selamat

Bagaimana cara jumper kereta dengan betul? Qoala menyenaraikan sembilan langkah jumper kereta yang mudah dan selamat untuk membantu anda:

        1. Matikan enjin dan pastikan peralatan serta sistem elektrik kedua-dua kereta seperti lampu kereta, radio dan sebagainya dimatikan;
        2. Letak kenderaan sedekat mungkin bagi membolehkan kabel jumper boleh dicapai oleh terminal negatif dan positif kedua-dua kereta;
        3. Sambungkan terminal positif kereta penderma dengan terminal positif kereta yang rosak. Terminal positif biasanya ditutup dengan penutup plastik berwarna merah dengan simbol tambah (+);
        4. Ulang langkah sama dengan menyambungkan klip kabel jumper berwarna hitam pada terminal negatif bateri kereta penderma, dan sambungkan klip pada mana-mana benda logam tidak bercat seperti batang besi bonet hadapan;
        5. Hidupkan enjin kereta penderma dan tunggu beberapa minit;
        6. Kemudian, hidupkan enjin kereta yang rosak. Jika enjin masih tak boleh start selepas beberapa cubaan, besar kemungkinan ia berpunca daripada masalah lain selain bateri;
        7. Jika enjin kereta hidup, biarkan seketika untuk lima hingga 10 minit;
        8. Cabut kabel jumper kereta mengikut urutan berlawanan semasa pemasangan tadi – kabel hitam kereta rosak, kabel hitam kereta penderma, kabel merah kereta rosak dan kabel merah kereta penderma.
        9. Pandu kereta dalam kelajuan normal sekitar 10 hingga 30 minit untuk mengecaj kembali kuasa bateri.

kereta tak boleh start bunyi tak tak

Repair ECU Kereta: Anggaran Kos Tukar ECU

Harga repair ECU kereta boleh menelan belanja yang agak tinggi, kadar caj biasanya bergantung pada jenama dan model kereta anda. Kos penggantian komponen ECU kereta Myvi misalnya boleh menelan kos antara RM350 hingga RM1,200. Meskipun begitu, terdapat alternatif lain yang lebih murah yang boleh anda pertimbangkan iaitu membaiki dan memprogramkan semula (ECU refurbished) ECU kereta yang telah rosak. ECU terpakai biasanya boleh didapati pada harga yang jauh lebih murah iaitu sekitar RM300 hingga RM500 bergantung pada jenis ECU, tahap kerosakan dan kualiti kerja.

Cara Baik Pulih atau Reset Semula ECU Kereta

Selain menukar ECU, anda juga boleh reset semula ECU kereta untuk jimatkan perbelanjaan. Berikut merupakan dua langkah reset ECU kereta yang boleh anda lakukan bagi memastikan ia kembali berfungsi seperti biasa:

1. Kaedah Pertama

Untuk reset semula ECU kereta yang bermasalah, anda perlu mencabut kabel negatif bateri kereta anda dan biarkan seketika selama 10 minit. Setelah 10 minit, pasang semula kabel negatif bateri dan hidupkan enjin kereta.

2. Kaedah Kedua

Jika kaedah pertama tidak berjaya, anda boleh reset semula ECU dengan mencabut fius dan relay ECU, biarkan seketika kira-kira untuk 10 minit. Kemudian, pasangkan semula dan hidupkan enjin kereta.

Sekiranya kedua-dua kaedah ini tidak berjaya, anda disarankan untuk menghantar kereta anda ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut oleh individu yang lebih pakar bagi mengetahui punca sebenar masalah dan mengelakkan kerosakan lain yang lebih serius.

Selain itu, sekiranya anda ingin beli dapatkan perlindungan insurans kereta terbaik untuk kereta anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans yang menawarkan rangkaian pilihan insurans kereta murah dan terbaik untuk pilihan anda.

Kongsi:
About Writer
Ramen Hasniran
Berpengalaman dalam Pemasaran Media Sosial, kini meluaskan kepakaran ke arah kandungan SEO dan penjenamaan.

5 comments

  1. Sy pengguna kereta Axia 1.0 G. Masalah kereta sy, power tdk kuat, tdk sampai atau tdk laju walau tekan pedal minyak pling bawah. Slalu dlm pemanduan, tiba kelajuan berubah dan semput, mcm trsangkut. Kdg2 tiba2 brhenti dan bunyi spt mengerang. Sy baru guna 5yrs dn sy tdk prnh bawa laju melebihi 120km/jm. 100km/jm pn jarang. Mileage skrg 48,950. Apakah penyebab atau kerosakkan pd kereta tsbt?

  2. Enjin kereta saya selalu semput waktu berjalan. Tak boleh laju dan naik bukit. Lepas tu off, start hidup balik. Kereta saya Toyota RAV4 1998. Kadaan ini berlaku selepas kena banjir. Berapa buah bengkel dah hantar tp belum berjaya. Tq.

  3. sy menggunakan kia rio 2014..kereta tiba² termati engin nya ketika sedang memandu dan sukar untuk hidupkan kembali apabila telah mati..mohon bantuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60