Enjin Kereta: Tanda-tanda Perlu Overhaul

Artikel ini terakhir diperbarui September 30, 2021 by Nadhirah Rashid
Enjin Kereta: Tanda-tanda Perlu Overhaul
Bagikan ke Teman:

Bila sebut pasal enjin kereta nak kena overhaul ni memang menggerunkan. Bukan apa, bila dah kena overhaul enjin kereta, kosnya bukan kepalang. Ada yang terpaksa ikat perut sebab perlu enjin kereta terpaksa diselenggara sepenuhnya. Jika kita membiarkan enjin kereta tanpa sebarang penyelenggaraan, kemalangan akibat masalah teknikal kereta boleh berlaku. 

Namun, perkara ini boleh dielakkan. Jangan risau. Qoala hari ini akan berkongsikan mengenai enjin kereta, tanda-tanda perlu overhaul, kenapa perlu overhaul, bila perlu overhaul dan sebagainya. 

Pertama, anda perlu tahu overhaul enjin kereta ini melibatkan proses yang teliti dan rumit. Prosesnya memerlukan mekanik melakukannya dengan penuh berhati-hati. Kosnya memang tinggi tapi ia perlu dibuat jika anda sayangkan kereta anda. 

Overhaul Enjin Kereta Secara Am

Secara amnya, maksud overhaul adalah meleraikan enjin supaya mekanik berkenaan boleh mengesan kerosakan dan masalah yang berlaku pada bahagian komponen-komponen enjin. Komponen enjin akan dibuka, dibersihkan, dan dibaiki. Ibarat jigsaw puzzle, setelah selesai menggantikan komponen-komponen kereta yang bermasalah, ia perlu dicantumkan kembali. Inilah bahagian yang paling tricky sekali. Sebabnya silap pasang, ia akan menyebabkan masalah komponen enjin menjadi lebih teruk.

Kebiasaannya, perkara ini terjadi apabila enjin kereta sudah pun mengalami masalah-masalah seperti di bawah: 

  • Enjin mengalami kepanasan yang melampau sehingga melebihi paras normal
  • Terdapat komponen yang patah, retak atau bocor
  • Timing belt atau tali sawat pemasaan putus
  • Prestasi enjin menurun
  • Minyak enjin berkurangan walaupun tiada kebocoran yang ketara pada bahagian gasket
  • Enjin bergegar

Top Overhaul VS Full Overhaul

Apakah perbezaan top overhaul dan full overhaul? Secara ringkasnya, proses top dan full overhaul dilakukan pada enjin kereta bergantung pada tahap kerosakan dan status kesihatan semasa enjin kereta yang diperiksa. 

Untuk penerangan lebih lanjut, lihat perbezaan antara kedua-dua aspek ini di bawah: 

Top Overhaul Enjin Kereta

Proses top overhaul ini dilakukan pada bahagian atas enjin kereta tanpa perlu mengeluarkan keseluruhan enjin daripada badan kereta. Ia melibatkan penukaran dan penggantian komponen seperti kepala silinder, injap, rocker arm, kedap injap/valve seal, skru silinder dan juga gasket kepala. 

Full Overhaul Enjin Kereta

Manakala proses full overhaul enjin kereta pula merujuk kepada keseluruhan enjin kereta yang dibuka dan dikeluarkan daripada rangka kereta untuk diservis dan biasanya melibatkan kerosakan pada bahagian-bahagian yang sukar untuk dicapai. 

Disebabkan itulah kos bagi full overhaul lebih tinggi berbanding top overhaul. Bagi kereta tempatan, harga bagi top overhaul adalah pada sekitar RM800-RM3000 manakala kos bagi full overhaul boleh mencecah sehingga RM5000. 

Walau bagaimanapun, harga tersebut adalah anggaran. Ia boleh berubah bergantung kepada masalah-masalah yang dikesan. Untuk mengetahui harga yang betul hanya boleh dibuat selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan. 

Restore Enjin Kereta

Restore engine adalah pembaharuan enjin sepenuhnya. Boleh dikatakan macam baru keluar dari kilang. Ini kerana pembaharuan ini menggantikan semua skru, breaker dan pelbagai lagi komponen lain.

Kos restore adalah dalam lingkungan RM5,000. Ini bermakna, jika anda nak buat restore enjin kereta, anda memerlukan bajet minima RM5,000. Siapa yang sesuai buat restore enjin? Ia adalah amat sesuai untuk kereta klasik, atau pun kereta yang mahu disimpan buat jangka masa yang panjang. 

Kenapa Kita Perlu Buat Overhaul?

Enjin kereta perlu diselenggara
Foto Kredit: Blue Planet Studio Melalui Shutterstock

Anda disarankan membuat top atau full overhaul jika sekiranya kereta sudah mencapai perbatuan 150,000. Walau bagaimanapun, ia cuma adalah saranan dan bukannya kewajipan. Terpulang kepada anda. Enjin kereta yang masih berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang masalah tidak perlu overhaul.

Tanda-Tanda Enjin Kereta Perlu Overhaul

Tiada kereta yang kekal baik tanpa diselenggara. Setiap kereta pasti mempunyai masalah-masalahnya yang tersendiri. Kita sebagai pemandu memang agak sukar menentukan sama ada enjin kereta kita memerlukan overhaul atau tidak. Namun, ada tanda-tanda enjin kereta perlu di overhaul yang boleh kita kesan. Tanda-tandanya ialah:

Asap Putih Keluar Dari Ekzos

Apabila anda mendapati asap berwarna putih keluar dari ekzos kereta, itu tandanya minyak enjin sudah memasuki ruang pembakaran. Perkara ini boleh berlaku kerana gelang piston atau juga dikenali sebagai piston ring sudah haus atau pun rosak. 

Enjin Meragam Disebabkan Palam Pencucuh Berkerak

Palam pencucuh yang telah dicemari oleh minyak enjin yang bocor boleh menyebabkan kerak. Palam pencucuh yang berkerak secara tidak langsung boleh menjejaskan prestasi percikan api dan menyebabkannya tidak mampu berfungsi dengan optimum. Anda boleh mengesan tanda-tanda prestasi enjin kereta anda mula merosot:

  • Enjin meragam
  • Bunyi pelik terhasil di bahagian enjin
  • Enjin tersengguk-sengguk ketika memecut

Minyak Hitam Kurang

Masalah enjin sering makan minyak ini merupakan salah satu tanda yang besar bahawa enjin kereta anda memerlukan overhaul. Macam mana nak tahu minyak hitam kereta berkurangan? Periksa paras minyak enjin kereta anda secara berkala dengan menggunakan dipstick untuk mengetahui paras sebenar minyak enjin dalam kereta anda.

Temperature atau Suhu Enjin Kereta Naik

Suhu atau temperature enjin yang kerap naik dengan tiba-tiba sehingga menyebabkan overheat menandakan terdapat masalah kebocoran pada bahagian enjin yang menjejaskan nisbah mampatan. Ia biasanya disebabkan oleh gasket kepala silinder yang rosak lalu menyebabkan air radiator berkurangan dan memasuki ruang pembakaran.

Tips Penjagaan Enjin Yang Perlu Diberi Perhatian

Ramai di antara kita mengambil mudah dalam penjagaan enjin kereta terutamanya bagi yang baru memiliki kereta. Sedangkan enjin kereta ibarat nadi sesebuah kereta. Apabila rosak enjin kereta, terpaksalah kereta tersebut bermalam di bengkel.

Tapi, perkara ini boleh dielakkan dengan membuat penjagaan dan penyelenggaraan yang rapi. Berikut adalah tips-tipsnya: 

Periksa Kualiti Minyak Hitam

Sebagai seorang pemilik kenderaan, anda perlu ada pengetahuan asas mengenai minyak hitam kereta. Antara aspek yang perlu anda ketahui adalah perbezaan kelikatan dan ukuran paras minyak dalam enjin kereta. 

Pemeriksaan yang dilakukan secara berkala boleh membantu anda untuk mengesan situasi minyak enjin berkurangan mendadak yang mungkin disebabkan kebocoran enjin. Apabila situasi kebocoran minyak enjin berlaku, ia akan menyebabkan pelbagai masalah besar yang memerlukan anda membuat overhaul. 

Oleh itu, anda disarankan untuk membuat pemeriksaan minyak hitam enjin. Anda juga perlu menggantikan minyak hitam tepat pada masanya. Pentingnya kerana minyak hitam ini berfungsi sebagai pelincir bagi bahagian enjin kereta, sekali gus memastikan ia berfungsi dengan lancar dan cekap. 

Periksa Kabel dan Palam Pencucuh

Untuk pengetahuan anda, palam pencucuh dan kabel berfungsi untuk mencetuskan percikan api yang akan membantu proses pembakaran dalam enjin. Kabel tersebut akan mengalirkan arus elektrik dari ignition coil kepada palam pencucuh. Ia seterusnya mencetuskan percikan api pada palam pencucuh dan membantu proses pembakaran campuran bahan api dan oksigen dalam kebuk pembakaran dan seterusnya menggerakkan omboh. 

Dalam jangka masa panjang, lebihan gas dan bahan api yang tidak terbakar akan mewujudkan lapisan karbon pada palam pencucuh. Ia akan mengurangkan prestasi enjin dan pada masa yang sama membuatkan anda sukar menghidupkan enjin. 

Oleh demikian, kita dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan kabel dan juga palam pencucuh bagi mendapatkan prestasi enjin yang mantap. 

Periksa Radiator Kereta

Fungsi utama kipas radiator adalah untuk mengurangkan haba daripada radiator supaya enjin kereta tidak menjadi terlalu panas. Apabila kipas radiator rosak, ia akan menaikkan suhu kereta secara mendadak kerana ia tidak lagi dapat menyejukkan bahagian radiator yang membawa aliran panas sebelum ditukar dengan aliran sejuk. 

Kereta moden zaman kini dilengkapi dengan dua jenis kipas radiator iaitu kipas elektrik dan kipas visco. Antara elemen yang anda boleh semak sekiranya kipas radiator anda tidak lagi berfungsi dengan baik adalah bilah kipas, kabel atau fius, tali kipas dan juga thermostat. 

Periksa Timing Belt Kereta

Timing belt adalah sebahagian daripada enjin kereta
Foto Kredit: ThomsonD Melalui Shutterstock

Sekali timing belt ni rosak, memang koyak poket kita nak membayarnya. Timing belt biasanya diletakkan pada konfigurasi tertentu dan di bahagian sisi enjin. Fungsi utamanya pula adalah untuk menggerakkan komponen-komponen pada bahagian atas enjin terutamanya camshaft agar seiringan dengan pergerakan crankshaft yang berada di bawah enjin. 

Timing belt perlu ditukar setiap kali kereta mencecah 90,000 km atau 100, 000 km. Kos menggantikan ia juga agak mahal. Apabila timing belt putus, ia akan melibatkan kos yang tinggi kerana komponen-komponen dalam enjin banyak yang akan rosak, patah dan retak. Disebabkan itu, anda perlu menukar timing belt tepat pada masanya.

Bersihkan penapis udara

Anda sebenarnya boleh membersihkan penapis udara kereta tanpa memerlukan bantuan professional. Kebanyakan kereta moden pada hari ini, penapis udara kereta terletak di ruang kompartemen pada dashboard di bahagian tempat duduk penumpang hadapan. 

Ruang kompartmen ini mudah dibuka. Ia memudahkan anda untuk mengeluarkan dan membersihkan kotoran yang mengganggu aliran penapis udara. Selepas membersih, anda perlu memastikan penapis tersebut betul-betul kering sebelum dimasukkan semula ke dalam ruang kompartmen. 

Cara Cuci Enjin Dengan Betul

Sebenarnya, ramai yang masih tak tahu yang kita perlu mencuci enjin. Walaupun ia bertutup, debu, habuk dan serangga masih boleh masuk ke bahagian enjin melalui celahan-celahan kecil dan dari ruang bawah enjin yang terbuka. 

Sekiranya ia dibiarkan, debu akan berkumpul dan menebal sehingga menyebabkan enjin kotor. Hal ini nampak macam leceh dan remeh, namun, debu yang menebal di bahagian enjin boleh membuatkan enjin kereta tidak optimum. Lebih teruk lagi, ia mampu merosakkan komponen elektrik. 

Walau bagaimanapun, kerja pembersihan enjin tidak boleh dibuat sembarangan. Ketahui caranya dibawah: 

Langkah Pertama: Tutup Semua Bahagian Sensitif Enjin Terlebih Dahulu

Pertama sekali, pastikan anda tutup atau cover kesemua bahagian sensitif enjin seperti wayar dan fius. Pastikan juga ia ditutup dengan kemas menggunakan apa-apa bahan yang kalis air. Ini untuk mengelakkan komponen-komponen sensitif itu daripada terkena air. Ia boleh rosak sekiranya didedahkan kepada air. 

Langkah Kedua: Sembur Enjin Dengan Tekanan Air Yang Rendah

Langkah seterusnya ialah anda sudah boleh sembur air pada enjin kenderaan supaya segala debu yang melekat pada permukaan enjin hilang. Dalam pada masa yang sama anda juga diingatkan supaya tidak menyembur dengan menggunakan tekanan air yang tinggi supaya ia tidak menanggalkan komponen enjin yang kecil.

Langkah Ketiga: Bersihkan Kotoran Degil Dengan Menggunakan Cecair Khas

Untuk menghilangkan kotoran degil seperti minyak, anda disarankan supaya menggunakan cecair khas yang boleh menghilangkan kesan minyak. Ini kerana kesan degil seperti minyak sangat sukar untuk di tanggalkan dan memerlukan cecair khas untuk meninggalkannya.

Langkah Keempat: Gunakan Berus

Beruskan enjin kenderaan tersebut menggunakan sabung. Bagi celahan enjin, anda disarankan untuk menggunakan berus yang kecil supaya mudah untuk anda cuci. Sental pada setiap bahagian enjin sehingga kotoran degil hilang.

Langkah Lima: Bilas

Akhir sekali, bilas enjin kenderaan anda menggunakan air yang bersih. Pastikan setiap bahagian enjin kereta telah dibilas.

Tips Cuci Kereta

Selain enjin, seluruh kereta juga perlu dicuci. Mencuci pun ada caranya yang betul. Ini adalah beberapa panduan dan tips yang boleh anda cuba:

Tempat Teduh

Pertama, anda disarankan untuk mencuci kereta di tempat yang teduh dan bukannya di bawah terik matahari. Ini kerana bahang daripada cahaya matahari akan menyebabkan sisa sabun dan kotoran kering dengan lebih cepat. Ia sekali gus meninggalkan waterspot yang boleh menjejaskan dan memudarkan warna asal cat kereta anda. Masa yang disrotkan adalah pada awal pagi atau lewat petang di mana cuaca redup pada ketika itu.

Basuh dan Bilas Dengan Betul

Seterusnya, pakar turut menyarankan untuk mulakan mencuci kereta bermula dari bahagian bumbung sehingga ke bahagian bawah. Anda tidak digalakkan untuk mencuci kereta dari bawah ke bahagian atas. Ini kerana ia akan menyebabkan air sisa kotoran dari bahagian atas akan mengalir ke bahagian bawah yang sudah dicuci. Ia boleh menyebabkan kerosakan pada warna car kenderaan anda.

Pemilihan Sabun Yang Betul

Adakah anda selalu membasuh kereta dengan hanya menggunakan sabun pencuci pinggan? Atau pun sabun pencuci baju? Tahukah anda, dengan menggunakan sabun-sabun ini ia dapat melunturkan warna cat kereta anda. Ini kerana sabun-sabun ini mempunyai peluntur yang kuat. Dengan memilih sabun yang betul dan berkualiti, ia dapat mengelakkan kerosakan daripada berlaku pada warna car. Pada kebiasaannya, sabun cuci kereta akan mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Ianya bergantung kepada jenama yang dipilih. Bahan pencuci khusus untuk kereta mempunyai pH yang seimbang yang direka khusus untuk melindungi dan mengelakkan calar pada permukaan bercat.

Gunakan Pengelap Yang Betul

Pengelap yang sesuai seperti span lembut atau mikro fiber dapat membantu anda menjaga bahagian luar kereta dan mengelakkan kesan calar yang boleh menjejaskan nilai kenderaan anda. Ia amat disarankan kerana kain mikro fiber mudah menyerap air dan dapat menghasilkan cucian yang lebih bersih.

Kering dan Kilatkan

Tompok air sering kelihatan pada badan kenderaan anda? Antara sebabnya adalah kereta yang selesai dibersih dan dicuci dibiarkan kering dengan sendiri. Sisa air yang dibiarkan boleh meninggalkan kesan tompokan air pada badan kereta. Anda disarankan untuk mengelap badan kereta anda setiap kali selepas dicuci dengan menggunakan kain tuala kering untuk menjaga warna cat kereta supaya tahan lebih lama.

Elakkan penggunaan tuala biasa – gunakan material seperti kulit chamois (jenis sintetik atau asli) untuk mengelap badan kereta anda.

Sampai disini sahaja perkongsian yang dapat dikongsikan. Harap dapat membantu!

Jika anda masih mencari-cari platform untuk membuat pembaharuan road tax dan insurans kereta, Qoala lah tempatnya. Mudah, murah dan pantas!

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗