Senarai Pelepasan Cukai Yang Korang Boleh Tuntut Sekarang!

Artikel ini terakhir diperbarui January 13, 2022 by Nadhirah Rashid
Senarai Pelepasan Cukai Yang Korang Boleh Tuntut Sekarang!

Pelepasan cukai? Bagaimana nak tuntut?

Jika korang ingin mendapatkan pulangan kewangan yang maksimum pada tahun ini , korang mesti baca artikel ini!

Qoala akan memberikan senarai pelepasan cukai yang korang mungkin boleh claim. Jadi, baca artikel ini betul-betul dan jangan lepaskan peluang keemasan ini!

Bagaimana Boleh Dapat Pelepasan Cukai?

pelepasan cukai
Foto Kredit: Tara Winstead Melalui Pexels

Individu yang mempunyai pendapatan tahunan melebihi RM34,000 (atau pendapatan bulanan kasar sebanyak RM2,833.33 selepas potongan KWSP) perlu membuat pembayaran cukai tahunan.

Seperti yang korang mungkin dah tahu, cukai pendapatan ini merupakan cukai tahunan yang perlu dijelaskan untuk disumbangkan kepada negara.

Berikut merupakan antara jenis pendapatan yang dikenakan cukai:

  • Pendapatan diperoleh dari perniagaan atau profesion
  • Dividen
  • Diskaun
  • Royalti
  • Pencen
  • Sewa

Jadi, apa itu pelepasan cukai? Adakah ia bermakna mereka yang mendapat pelepasan ini tidak perlu membayar cukai terus?

Tidak juga sebenarnya. Pelepasan cukai ini bermaksud pengurangan sejumlah wang yang dikeluarkan pada tahun taksiran berkenaan, daripada jumlah pendapatan tahunan.

Dalam bahasa yang mudah, sesiapa yang dapat pelepasan cukai, jumlah cukai pendapatannya akan berkurang. Ini bermakna mereka dapat berjimat sejumlah wang yang besar.

Pada dasarnya, terdapat tiga kumpulan utama warganegara Malaysia yang boleh membuat tuntutan pelepasan/rebat cukai:

  • Individu berstatus bujang
  • Pasangan berkahwin dan mempunyai ibu bapa sebagai tanggungan
  • Mereka yang mempunyai anak

Tangguhan Bayaran Cukai Berikutan Banjir

Foto Kredit: Astro Awani

Sebelum kita tengok senarai pelepasan cukai, Qoala nak berkongsi info ini terutama sekali kepada mereka-mereka yang terkesan dengan tragedi banjir yang telah melanda negara baru-baru ini. 

Seperti yang korang tahu, banjir kali ini boleh dikatakan banjir yang paling teruk dalam masa yang lama. Ramai yang mengalami kerugian yang teramat teruk. Rumah dinaiki air, kenderaan semua hanyut dan sebagainya. Berat sekali ujian kali ini.

Baru-baru ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah mengumumkan penangguhan bayaran cukai bagi pembayar cukai dan majikan yang terjejas akibat bencana banjir ini.

Berikut merupakan maklumat yang korang perlu tahu:

pelepasan cukai
Foto Kredit: Bernama

Kereta korang terkesan dengan banjir? Apa nak buat? Dapatkan jawapannya dalam artikel ini.

Senarai Pelepasan Cukai 

Foto Kredit: fizkes Melalui iStock

Okay, sekarang jom tengok cara-cara yang korang guna untuk menuntut pelepasan cukai untuk pelbagai kategori seperti insurans, rawatan perubatan, yuran pendidikan dan banyak lagi!

  1. Insurans Hayat

    Pertama dalam senarai adalah insurans hayat. Siapa yang boleh menuntut?

    Sekiranya korang merupakan pekerja sektor swasta dan penjawat awam yang tak ada pencen, korang layak mendapat pelepasan cukai RM3,000 untuk insurans hayat dan RM4,000 untuk KWSP.

    Selain itu, penjawat awam yang ada pencen juga layak untuk menuntut pelepasan cukai sehingga RM7,000 untuk premium insurans hayat.

  2. Pendidikan dan Perubatan

    Korang ada tak pelan insurans pendidikan dan insurans perubatan?

    Haa, kalau ada korang memang bernasib baik sebab selain insurans hayat, korang boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas premium yang dibayar untuk pelan insurans pendidikan dan insurans perubatan. 

    Bukan insurans untuk diri sendiri je tau, insurans pasangan dan anak korang pun boleh.

  3. Skim Persaraan Swasta (PRS)

     

    Foto Kredit: Hidayahwan

    Selain caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), korang boleh merancang kewangan persaraan dengan Skim Persaraan Swasta (PRS).

    PRS ini merupakan skim simpanan pelaburan jangka panjang untuk membantu korang dari segi kewangan selepas bersara nanti.

    Kalau korang telah melabur dalam PRS pada bila-bila masa sebelum penghujung tahun 2021, Qoala nak share berita baik untuk korang.

    Korang kini layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM3,000 apabila memfailkan cukai tahun depan!

  4. Yuran Pengajian

    Bagi korang yang menyambung pengajian dengan membayar yuran sendiri di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf, korang boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM7,000! 

    Jika korang mengambil ijazah Sarjana atau Kedoktoran, maka mana-mana kursus pengajian layak mendapat pelepasan cukai ini. 

    Jika tidak, sebarang kursus pengajian sehingga peringkat pengajian tinggi dalam undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, teknikal, vokasional, perindustrian, serta saintifik atau teknologi juga boleh digunakan untuk menuntut pelepasan cukai ini.

  5. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

    Korang pernah dengar tak tentang Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) ni?

    SSPN ini merupakan pelan simpanan yang disokong kerajaan untuk menggalakkan ibu bapa melabur dalam pendidikan tinggi anak-anak.

    Kalau korang mempunyai anak dan melabur dengan SSPN, korang boleh dapat pelepasan cukai sehingga RM8,000 untuk deposit bersih tahunan mereka. Setakat ini, kadar dividen atau pulangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah direkodkan pada kira-kira 4%.

  6. Perbelanjaan Rawatan Perubatan

    pelepasan cukai
    Foto Kredit: Asawin_Klabma Melalui iStock

    Korang juga boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM8,000 untuk perbelanjaan perubatan yang telah digunakan untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

    Namun, terdapat beberapa kriteria yang korang kena penuhi untuk layak menuntut pelepasan cukai ini.

    Pertama, jumlah tersebut terpakai untuk perbelanjaan perubatan untuk penyakit serius yang terpilih untuk diri sendiri, pasangan atau anak. Kos perubatan untuk rawatan kesuburan untuk diri sendiri atau pasangan juga termasuk.

    Kedua, perbelanjaan pemeriksaan kesihatan diri sendiri, pasangan dan anak juga membolehkan korang untuk layak mendapat pelepasan cukai tetapi sehingga RM1,000 sahaja.

    Selain itu, di bawah pakej rangsangan Permai oleh Kerajaan, perbelanjaan perubatan seperti pneumokokal, influenza dan COVID-19 juga boleh menuntut pelepasn cukai.

    Pelepasan cukai itu diberi ke atas perbelanjaan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak-anak terhad kepada RM1,000.

  7. Gaya Hidup

    Gaya hidup pun boleh dapat pelepasan cukai? Ya betul, korang boleh manfaatkan dengan mudah ialah kategori gaya hidup. 

    Untuk YA2021, korang dibenarkan menuntut pelepasan cukai sehingga RM5,000 di bawah kategori ini (bukan RM2,500 biasa yang diperuntukkan pada tahun-tahun sebelumnya), tetapi terdapat syarat untuknya.

    RM2,500 pertama daripada jumlah itu boleh dituntut untuk pembelian peralatan gaya hidup untuk kegunaan peribadi oleh anda dan keluarga anda, termasuk:

    • Bahan bacaan seperti buku, jurnal, majalah, akhbar bercetak dan penerbitan lain (tidak termasuk e-akhbar)
    • Keahlian gim dan pembelian peralatan sukan
    • Yuran langganan Internet
    • Komputer peribadi, komputer riba, telefon pintar atau tablet

    Sementara itu, baki RM2,500 hanya boleh dituntut untuk pembelian gajet teknologi seperti komputer riba, telefon pintar dan tablet yang dibuat antara 1 Jun hingga 31 Disember 2021.

    Pelepasan cukai khas ini mula diperkenalkan pada pertengahan 2020 di bawah Pelan pemulihan ekonomi PENJANA bagi memudahkan pelaksanaan dasar kerja dari rumah dalam usaha kerajaan memerangi COVID-19. 

    Ia kemudiannya dilanjutkan kepada 31 Disember 2021 di bawah pakej rangsangan Permai (dan sehingga 31 Disember 2022 di bawah Bajet 2022).

  8. Pelancongan Tempatan

    Foto Kredit: Engin_Akyurt Melalui Pixabay

    Melancong dalam negara pun boleh dapat pelepasan cukai tau! Jadi korang boleh lah bincang dengan pasangan, keluarga atau kawan-kawan korang nak cuti dekat mana lepas ni. Tujuan kerajaan memberikan pelepasan cukai untuk pelancongan tempatan adalah merangsang sektor pelancongan domestik.

    Berapa banyak yang korang boleh tuntut dan apa syarat-syarat lain yang korang kena penuhi?

    Korang boleh menuntut sehingga RM 1,000 untuk perbelanjaan perjalanan domestik jika anda menginap di penginapan berdaftar atau membeli bayaran masuk ke tempat pelancongan berdaftar. 

    Skim ini telah dilancarkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 dan sejak itu telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021 juga. 

    Baru-baru ini, di bawah Bajet 2022, pelepasan cukai khas ini juga telah dilanjutkan lagi untuk YA2022.

    Perlu diingat, ini hanya terpakai untuk penginapan yang berdaftar secara rasmi dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia – yang boleh anda semak melalui laman web kementerian di sini.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Selepas ini, korang boleh lah jimat duit lebih sikit dengan memanfaatkan pelepasan cukai yang korang layak menuntut.

Diharapkan senarai yang Qoala telah kongsikan dalam artikel ini akan dapat membantu korang untuk menguruskan kewangan dengan bijak dan kalau korang nak baca lagi artikel-artikel kewangan, korang boleh klik di sini!

Hariz Hafiz
Pernah menulis puluhan berita surat khabar, beratus artikel marketing, kini, misi Hariz adalah untuk membantu korang mempelajari bidang insurans di Pesan by Qoala!