7 Tanda, Cara Menurunkan Kolestrol Tinggi

Kali terakhir diperbaharui Sep 27, 2022 oleh Yahya Kus Handoyo
7 Tanda, Cara Menurunkan Kolestrol Tinggi

Tidak kira usia muda atau tua, sesiapa sahaja boleh menghadapi masalah kolesterol tinggi. Sekiranya tahap kolesterol dalam badan anda tinggi, jangan panik kerana masalah ini boleh diatasi dan tahap kolesterol anda boleh kembali kepada bacaan yang normal.

Kolesterol tinggi dikaitkan dengan risiko penyakit kardiovaskular yang bahaya seperti penyakit jantung atau strok. Selain itu, ia juga dikaitkan dengan dengan penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi. Persatuan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan masalah kolesterol tinggi telah menyebabkan kira-kira 2.6 juta kematian di seluruh dunia. 

Oleh sebab itu, anda perlu mengambil serius tentang masalah ini. Artikel ini akan berkongsikan maksud kolesterol, tanda kolesterol tinggi dan cara menurunkan kolesterol tinggi.   

Apa itu Kolesterol? Adakah Ia Membahayakan Kesihatan Anda? 

Anda mungkin pernah mendengar tentang kolesterol, tetapi anda mungkin tidak pasti maksud sebenar kolesterol. Untuk pengetahuan anda, kolesterol merupakan sejenis lemak yang dihasilkan pada hati, sel-sel badan dan darah anda. Ia memainkan peranan penting untuk kesihatan dan diperlukan oleh tubuh badan anda untuk berfungsi dengan baik.

Kolesterol menghasilkan sel-sel membran, hempedu, sesetengah hormon dan vitamin D. Badan anda berupaya menghasilkan sendiri kolesterol dan juga mendapatkannya melalui sumber makanan yang terdiri daripada produk berasaskan haiwan. Secara amnya, terdapat dua kategori kolesterol yang berada dalam badan anda:

Kolesterol Baik (High Density Lipoprotein atau HDL) 

Kolesterol yang mempunyai paras HDL yang tinggi ini amat bermanfaat untuk kesihatan anda. Ia membawa kolesterol dalam darah kembali ke hati dan kemudiannya akan memproses kolesterol serta mengeluarkannya daripada tubuh.

Kolesterol Jahat (Low Density Lipoprotein atau LDL)

Kolesterol yang mempunyai kadar LDL yang tinggi ini pula mampu memudaratkan kesihatan anda. Ia mampu mengenapkan kolesterol pada dinding saluran darah, menyumbat arteri-arteri serta meningkatkan risiko serangan jantung atau strok.

Jadual Bacaan Kolesterol

Anda mungkin tertanya-tanya cara untuk mengetahui tahap kolesterol anda. Berikut merupakan jadual bacaan kolesterol mg/dL dan tiga kategori untuk rujukan anda:

Tahap Kadar Bacaan (mg/dL)
Baik 170 ke bawah
Pertengahan 170-199
Tinggi 200 ke atas

Sumber: AIA Malaysia

Bahaya Kolesterol Tinggi: Apa Tindakan yang Boleh Anda Lakukan? 

Mempunyai kadar kolesterol yang tinggi bermaksud terdapat terlalu banyak kolesterol dalam badan yang melebihi paras normal dan ini sangat berbahaya kepada kesihatan anda. Tanpa membuat pemeriksaan bacaan kolesterol, seseorang individu mungkin tidak akan menyedari yang dirinya mempunyai kadar kolesterol yang tinggi kerana simptom-simptom kolesterol tinggi ini kebiasaannya tidak dapat dikesan daripada awal. 

Mempunyai kolesterol tinggi boleh membawa kepada pembentukan deposit lemak yang dikenali sebagai plak di dalam saluran darah. Ini sekali gus memberi kesan kepada aliran darah yang mencukupi melalui arteri anda. Kadangkala, deposit tersebut boleh pecah secara tiba-tiba dan membentuk bekuan yang menyebabkan serangan jantung atau strok.

Punca Kolesterol Tinggi 

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kolesterol anda berada pada paras yang tinggi. Kadar kolesterol bergantung kepada beberapa faktor seperti gaya hidup, diet pemakanan dan sebagainya. Berikut merupakan punca-punca yang menyebabkan tahap kolesterol anda tinggi:

  • Diet tidak seimbang
  • Obesiti
  • Merokok
  • Sejarah keluarga 
  • Ubat-ubatan yang mempunyai tahap LDL yang tinggi

Kesan Kolesterol Tinggi dalam Badan

Sekiranya kadar kolesterol terus berada dalam paras yang tinggi, anda berkemungkinan besar boleh mengalami risiko kesihatan yang berikut:

  • Strok dan sakit jantung
  • Pembentukan batu hempedu
  • Kebas pada bahagian kaki
  • Penyakit alzheimer

7 Tanda Kolesterol Tinggi yang Anda Perlu Perhatikan 

Individu yang mempunyai tahap kolesterol yang tinggi harus berjumpa doktor dengan kadar segera. Pilihan rawatan biasanya bergantung pada tahap kolesterol ataua mereka mempunyai risiko lain untuk serangan jantung atau strok. Berikut merupakan antara tanda-tanda kolesterol anda mungkin berada pada tahap yang tinggi: 

1. Cepat Penat

Sering mengantuk walaupun tidak melakukan aktiviti berat boleh menjadi salah satu tanda kolesterol anda tinggi. Ia disebabkan oleh saluran darah tersumbat yang sepatutnya membawa oksigen ke otak. Apabila aliran darah tersumbat, ia akan memberi kesan pada badan seperti mudah mengantuk dan badan cepat letih.

2. Sakit Rahang

Sakit di bahagian rahang juga boleh menjadi salah satu tanda utama anda mempunyai kolesterol tinggi. Menurut American Heart Association, rasa sakit pada rahang merupakan salah satu gejala serangan jantung yang mungkin berlaku disebabkan paras kolesterol yang tinggi.

3. Sakit Dada

Apabila paras kolesterol dalam badan meningkat, ia akan menyebabkan pengumpulan lemak dalam arteri. Plak dari lemak kemudian akan menutup saluran darah dan akan menyebabkan rasa sakit di bahagian dada. Individu-individu yang mempunyai kadar kolesterol yang tinggi biasanya cenderung untuk berasa sakit pada bahagian dada.

4. Sakit Leher

Sakit di bahagian leher boleh terjadi disebabkan oleh banyak faktor seperti kesihatan mental (stres) atau faktor keletihan. Namun begitu, tahukah anda kolesterol tinggi dalam badan juga merupakan salah satu faktor sakit leher? Pengumpulan plak pada saluran darah di leher akan menyekat aliran darah dari leher ke otak sekali gus menyebabkan kesakitan pada bahagian ini.

5. Sakit Kaki

Sakit kaki juga boleh menjadi tanda kolesterol tinggi dalam badan. Pembentukan plak yang berlaku pada saluran darah di kaki boleh menyebabkan sakit di bahagian kaki.

6. Xanthoma

Xanthoma boleh berlaku pada individu yang mempunyai paras kolesterol dan trigliserida yang tinggi. Jika anda mendapati terdapat ketulan yang tidak menyebabkan sakit tapi kadangkala menyebabkan gatal, berwarna kuning atau oren, lakukan ujian darah dengan segera untuk mengetahui tahap kolesterol anda. Besar kemungkinan ketulan itu adalah sebahagian daripada simptom kolesterol tinggi yang anda alami.

7. Kaki Selalu Kebas

Kaki selalu kebas juga merupakan tanda kolesterol tinggi dalam badan. Pengumpulan plak lemak menyebabkan aliran darah ke tisu badan tersumbat. Timbunan plak pada bahagian kaki ini menyebabkan bahagian kaki terasa berat, sakit malah terasa seperti terbakar.

Sekiranya anda menghadapi situasi sebegini, anda disarankan berjumpa doktor untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

cara menurunkan kolesterol tinggi

5 Cara Menurunkan Kolesterol Tinggi

Pengambilan ubat-ubatan boleh membantu mengurangkan parasr kolesterol dalam badan anda. Selain itu, anda juga boleh mengubah gaya hidup untuk memastikan tahap kolesterol anda kembali pada tahap yang baik. 

1. Menurunkan Berat Badan

Berat yang berlebihan biasanya dikaitkan dengan masalah kolesterol yang tinggi. Menurunkan berat badan boleh menurunkan tahap kolesterol anda kerana ia boleh mengurangkan jumlah lemak yang ada dalam badan anda.

Anda boleh mula mengambil tindakan dengan melakukan perubahan-perubahan yang kecil seperti mengambil makanan rendah kalori, kurangkan pengambilan makanan dan minuman manis, mengawal kuantiti makanan yang diambil dan sebagainya. Kurangkan juga pengambilan makanan kolesterol tinggi seperti daging, telur, produk tenusu dan makanan proses.

Individu yang kehilangan sekurang-kurangnya 10 paun atau 4.5 kg sudah cukup untuk menurunkan tahap kolesterolnya. Pengurangan sekurang-kurangnya 5 peratus daripada berat badan mereka dapat mengurangkan tahap LDL dan jumlah kolesterol dalam badan.

2. Berhenti Merokok

Tabiat merokok boleh menjejaskan tahap kolesterol dalam badan anda. Anda akan menjadi lebih sihat jika anda berhenti merokok sekali gus membantu menurunkan tahap kolesterol anda.

          1. Dalam masa 20 minit selepas berhenti merokok, tekanan darah dan degupan jantung anda bertambah baik
          2. Dalam masa tiga bulan selepas berhenti merokok, peredaran darah dan fungsi paru-paru anda mula bertambah baik
          3. Dalam tempoh setahun selepas berhenti merokok, peratus risiko penyakit jantung anda separuh lebih rendah berbanding sekiranya anda merokok

3. Bersenam & Gaya Hidup Aktif

Gaya hidup aktif juga boleh membantu menurunkan paras kolesterol anda. Bersenam di rumah misalnya boleh membantu meningkatkan HDL yang merupakan kolesterol baik. Bergantung pada nasihat doktor anda, lakukan senaman ringan selama 30 minit sekurang-kurangnya lima kali seminggu atau aktiviti aerobik yang lebih mencabar selama 20 minit sebanyak tiga kali seminggu. Pertimbangkan aktiviti-aktiviti seperti:

          1. Berjalan pantas (brisk walk)
          2. Berbasikal
          3. Senamrobik

4. Diet Pemakanan

Melakukan beberapa perubahan dalam diet anda juga boleh membantu mengurangkan kolesterol dan dalam masa yang sama meningkatkan kesihatan jantung. Bagaimana cara untuk menurunkan kolesterol dengan diet? Ikuti langkah-langkah di bawah ini:

Elakkan Makanan dengan Lemak Trans

Lemak trans akan meningkatkan tahap kolesterol keseluruhan. Elakkan makanan seperti marjerin, kentang goreng dan kebanyakan snek kerana makanan sebegini mempunyai asid lemak trans yang tinggi. 

Kurangkan Pengambilan Makanan Lemak Tepu

Lemak tepu paling tinggi datang daripada haiwan dan makanan berasaskan haiwan seperti mentega, susu penuh krim, keju, mayonis, lemak daging dan sebagainya. Pengambilan secara berlebihan akan meningkatkan kadar kolesterol anda.Pengambilan lemak tepu secara bersederhana boleh mengurangkan kadar LDL atau kolesterol jahat.

Perbanyakkan Pengambilan Makanan Tinggi Serat, Serat Larut

Serat larut mampu mengurangkan serapan kolesterol di dalam aliran darah anda. Serat larut boleh didapati daripada makanan seperti oat dan kekacang serta buah-buahan seperti epal dan pir. 

5. Makan Ubat, Suplemen Jika Perlu

Jika doktor anda mengesyorkan ubat atau suplemen untuk membantu menurunkan kolesterol anda, ambil seperti yang ditetapkan sambil menjalankan gaya hidup baharu yang lebih aktif. Perubahan gaya hidup boleh membantu anda mengekalkan pengambilan dos ubat yang rendah.

Diet dan aktiviti fizikal yang sihat boleh membantu ramai orang mencapai tahap kolesterol yang sihat, tetapi sesetengah pesakit mungkin memerlukan ubat untuk menurunkan kolesterol mereka. 

tanda kolesterol tinggi

Ambil Tindakan Segera & Baiki Bacaan Kolesterol Anda

Mengetahui status kolesterol anda boleh membantu anda menjadi lebih peka dengan status kesihatan anda. Bagi memastikan kadar kolesterol anda berada di tahap normal, lakukan pemeriksaan kadar kolesterol secara rutin. Bagi individu berusia 20 tahun ke atas, anda disarankan untuk melakukan pemeriksaan kadar kolesterol sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun. Namun, jika anda merupakan golongan yang berisiko tinggi, anda perlu membuat pemeriksaan dengan lebih kerap.

Diharapkan perkongsian artikel kali ini dapat membantu anda memahami topik kolesterol ini dengan lebih baik. Anda perlu peka dengan keadaan kesihatan anda untuk mengelakkan risiko penyakit yang mungkin boleh membahayakan nyawa anda. 

Selain itu, sekiranya anda ingin mendapatkan insurans kesihatan terbaik, lawati laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala menyediakan rangkaian produk insurans perubatan dan kesihatan daripada beberapa syarikat insurans terbaik dan popular di Malaysia dengan jaminan proses yang mudah, pantas dan selamat. Selain itu, anda juga boleh dapatkan insurans kereta, insurans motor dan juga insurans rumah di Qoala!

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60