Serangan Jantung: Ini Puncanya

Kali terakhir diperbaharui Sep 8, 2022 oleh Hariz Hafiz
Serangan Jantung: Ini Puncanya

Serangan jantung adalah satu perkara yang tidak asing lagi. Serangan terhadap jantung ini boleh berlaku pada bila-bila masa di mana jua. Apa yang mengerikan adalah serangan jantung ini boleh membawa maut. 

Disebabkan penyakit jantung merupakan sesuatu yang lazim di Malaysia, pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah penyebab penyakit jantung?

Apakah Punca Serangan Jantung?

Serangan jantung sering dikaitkan dengan pembentukan plak pada dinding arteri. Dari masa ke masa, plak ini akan menjadi tebal dan menyempitkan saluran darah. Apabila situasi ini berlaku, ia menyukarkan untuk darah mengalir secara normal. 

Malah, ada juga risiko untuk darah beku terbentuk pada saluran darah. Darah beku yang terbentuk ini boleh menyebabkan pengaliran darah terhenti. Perkara ini sekali gus boleh menyebabkan pesakit mengalami serangan jantung ataupun strok.

Sebenarnya, serangan jantung boleh dielakkan. Malah, ramai yang terkena penyakit ini sebenarnya tidak menjalani gaya hidup yang sihat. Jika anda ingin tahu apakah penyebab serangan jantung, mari ikuti penjelasan kami di bawah.

#1 Merokok

Tabiat merokok adalah punca utama yang menyebabkan serangan jantung. Nikotin dan karbon monoksida daripada asap rokok membuatkan jantung bekerja dengan lebih pantas. Malah, dua bahan kimia ini turut meningkatkan risiko darah beku.

Merokok bukan sahaja boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, malah amalan ini juga boleh menyebabkan kerosakan pada dinding arteri.

Oleh sebab itu, berhentilah merokok untuk jantung yang lebih sihat. Bukan itu sahaja, mereka yang berhenti merokok juga boleh mengelakkan pelbagai lagi penyakit lain seperti kanser paru-paru dan sebagainya.

#2 Tekanan Darah Tinggi

Kolesterol merupakan sejenis lemak yang dihasilkan oleh limpa. Ia berasal daripada makanan yang mempunyai lemak tepu.

Walaupun badan memerlukan kolesterol, jumlah yang terlalu banyak boleh menyebabkan penyakit jantung. Oleh sebab itu, elakkanlah mengambil makanan segera dan berlemak.

#3 Mempunyai Penyakit Diabetes

Pesakit diabetes mempunyai risiko dua kali ganda untuk menghidap penyakit jantung.

Untuk pengetahuan anda, penyakit diabetes boleh membuatkan lapisan saluran darah jadi semakin tebal.

Lama-kelamaan, saluran darah ini akan menghalang pengaliran darah dan menyebabkan pesakit mengalami penyakit jantung.

#4 Darah Beku 

Jika darah beku terbentuk pada bahagian arteri, darah tidak dapat sampai ke jantung disebabkan saluran darah yang terhalang.

Selalunya, perkara ini akan menjadi punca yang menyebabkan individu tersebut terkena penyakit jantung pada masa akan datang.

#5 Kolesterol Tinggi

Jumlah kolesterol jahat iaitu low density lipoprotein dan kandungan triglyceride yang tinggi menyebabkan saluran darah mudah menjadi tersumbat. Kedua dua jenis kolesterol jahat ini sering dikaitkan dengan gaya pemakanan tidak sihat. 

Namun begitu, terdapat juga kolesterol baik iaitu high density lipoprotein  yang dikaitkan dengan aktiviti senaman yang akan mengurangkan risiko anda.

serangan jantung

Selain Sakit Dada, Ini 7 Cara Mengesan Serangan Jantung!

Tahukah anda, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 17.9 juta kematian direkodkan di peringkat global pada setiap tahun akibat masalah sistem kardiovaskular. 

4 daripada 5 kematian berkaitan dengan sistem tersebut disebabkan oleh serangan jantung dan strok.

Risiko untuk seseorang itu mati selepas mendapat serangan jantung berkait rapat dengan tempoh waktu mereka diperiksa dan dirawat.

Jadi, ambil tahu gejala serangan jantung bagi mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

Secara amnya, serangan jantung berlaku disebabkan oleh ketidakupayaan otot jantung untuk mendapatkan bekalan darah akibat salur darah yang tersumbat. Seperti sel tubuh badan yang lain, sel jantung turut memerlukan oksigen dan nutrien untuk berfungsi dengan baik. Tanpanya, sel jantung boleh beransur-ansur mati.

Seperti proses penyakit yang lain, salur darah tersumbat tidak berlaku semalaman. Ia merupakan satu proses patologikal yang berlaku beransur-ansur sehingga ruangan salur darah terlibat menjadi sangat sempit.

Ketulan darah beku boleh terbentuk di dalam aliran darah akibat daripada penguraian plak kolesterol.Ia berupaya menyebabkan ruangan kecil yang masih tertinggal itu tersumbat, sekali gus membuatkan aliran darah ke otot jantung terganggu. Sel jantung tidak akan mendapat bekalan oksigen yang cukup dan akan beransur-ansur mati.

Disebabkan oleh proses inilah seseorang itu akan mengalami sakit dada setiap kali mereka mendapat serangan jantung. Jenis serangan jantung yang dialami boleh ditentukan berdasarkan dapatan bacaan di mesin elektrokardiogram (ECG).

Secara amnya, ia boleh dibahagikan kepada 2:

  1. Sakit jantung dengan karakter ECG yang menunjukkan peningkatan pada segmen ST (salur darah tersumbat sepenuhnya).
  2. Segmen ST tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika individu mengalami penyakit jantung (salur darah tidak tersumbat sepenuhnya).

Terdapat juga punca lain yang boleh menyebabkan serangan jantung seperti pengambilan dadah terlarang. Dadah seperti kokain dan penggunaan bahan tembakau boleh menyebabkan spasme pada salur darah arteri.

Ini bermakna, otot pada salur darah tersebut akan menyebabkan ruang menjadi sempit akibat proses pengecutan patologi.

Simptom Serius Serangan Jantung Yang Perlu Diketahui

Selain alatan mesin di hospital, anda perlu peka dengan gejala lain seperti: 

  1. Lengan di sebelah kiri, leher, dagu atau bahagian belakang terasa lemah atau kebas
  2. Sesak nafas
  3. Loya
  4. Sakit pada bahagian abdomen atas
  5. Berpeluh sejuk
  6. Kelesuan
  7. Pening kepala

Ianya sangat penting untuk kita ketahui simptom-simptom ini dengan cepat kerana ia boleh menyelamatkan diri daripada serangan jantung yang teruk. 

Walau bagaimanapun, tanda serangan jantung yang dialami boleh berbeza mengikut faktor persekitaran dan penyakit kronik yang dialami. 

Individu yang mempunyai penyakit kencing manis misalnya, mereka boleh mengalami serangan jantung tanpa mengalami sakit dada. 

Terdapat juga individu yang hanya mengalami gejala ringan.

Walau bagaimanapun, secara amnya, semakin banyak gejala sakit jantung yang dialami seseorang itu, semakin tinggilah kebarangkalian anda mengalami serangan jantung.

Sering Sakit Dada? Adakah Disebabkan Pedih Ulu Hati Atau Sakit Serangan Jantung?

Ramai individu sering mengadu sakit dada. Namun, adakah ia sakit jantung atau pedih ulu hati?

Pedih ulu hati adalah satu gejala yang sering berlaku. Tapi, sekiranya anda kerap mengalami sakit dada dan pedih ulu hati, sudah tentu tanda tanya adakah anda mengalami sakit serangan jantung akan timbul. 

Jom ketahui bezanya!

Sebenarnya, rasa pedih ulu hati atau rasa heartburn ini tidak ada kena mengena dengan jantung. Sebaliknya, rasa sakit itu adalah disebabkan oleh asid yang berada dalam perut yang melambung naik ke esofagus. 

Oleh sebab esofagus tidak mempunyai lapisan penebat bahan kimia, asid tersebut akan mencetuskan rasa pedih pada kawasan dada. Kadangkala, sensasinya dapat dirasai sehingga ke anak tekak.

Sebab itulah, heartburn selalu terjadi selepas makan, ketika anda berbaring ataupun sedang membongkok.

Manakala sakit serangan jantung pula akan terjadi apabila saluran darah ke jantung terhalang ataupun tersumbat dengan plak. Kebiasaannya, plak yang terbina di dalam arteri terdiri daripada gumpalan lemak atau pun kolesterol.

Dan apabila plak itu pecah, gumpalan darah akan terbentuk dan mengganggu peredaran darah badan anda. Saluran darah yang tersumbat akan merosakkan otot pada permukaan jantung.

Itulah yang menyebabkan sakit serangan jantung.

Perbezaan Simptom Pedih Ulu Hati Dan Sakit Serangan Jantung

Anda yang sering mengalami pedih ulu hati pasti risau. Takut-takut ia adalah salah satu simptom sakit serangan jantung. Tambah-tambah lagi jika ia datang tanpa sebarang warning. 

Menurut Mary Ann Bauman, Pengarah Bahagian Kesihatan Wanita di Pusat Kesihatan INTEGRIS, jika anda mengalami kesukaran bernafas, mungkin itu tanda anda menghidap sakit jantung.

Ini dia perbezaan simptom pedih ulu hati dan sakit serangan jantung:

  • Simptom Pedih Ulu Hati 

      1. Bermula dengan rasa pedih di bawah perut yang perlahan-lahan bergerak ke bahagian dada.
      2. Selalunya terjadi selepas makan ataupun ketika berbaring.
      3. Boleh membuatkan anda terjaga daripada tidur, lebih-lebih lagi jika anda baru makan pada 2 jam yang lepas.
      4. Pedih ulu hati boleh menjadi lega selepas makan ubat antasid.
      5. Boleh menyebabkan anda rasa masam pada lidah.
      6. Mungkin disertai dengan muntah kecil yang terasa di dalam mulut.
  • Simptom Sakit Serangan Jantung

    1. Rasa sakit dada. Anda akan rasa sakit pada tengah atau kiri dada seperti ditekan-tekan. Rasa sakit juga akan memakan masa selama beberapa minit.
    2. Rasa lemah, pening dan ingin pitam. Anda juga mungkin berpeluh secara tiba-tiba.
    3. Rasa sakit pada rahang, leher atau belakang badan.
    4. Rasa sakit pada salah satu atau kedua-dua belah tangan dan bahu.
    5. Nafas tercungap-cungap.

Walau bagaimanapun, jika anda mengalami sakit dada yang berpanjangan, jangan lengah lagi, terus berjumpa doktor dan dapatkan rawatan dengan segera. 

Serangan Jantung Di Usia Muda

Menurut rekod yang diambil dari Pangkalan Data Kardiovaskular Negara, purata usia bagi individu yang berisiko mendapat serangan jantung adalah sekitar 58 tahun.

Namun, jika dilihat sejak belakangan ini, makin ramai golongan muda yang mengalami masalah sakit serangan jantung. 

Apakah puncanya? 

Masalah ini dikaitkan dengan gaya hidup yang tidak aktif, pengambilan makanan yang mempunyai tinggi yang gula dan berlemak, dan banyak lagi. 

Menurut laman sesawang kesihatan Harvard, setinggi 10% insiden penyakit jantung berlaku pada golongan yang berusia di bawah 45 tahun. Keadaan ini membuktikan bahawa golongan muda tidak boleh mengabaikan simptom awal yang dialami berkemungkinan disebabkan oleh sakit jantung.

Asalan “Muda lagi” dah tak boleh pakai bila anda dah mula rasa sakit dada. Ia adalah perkara yang penting untuk anda ketahui tanda-tanda awal sakit serangan jantung supaya rawatan kecemasan boleh diambil secepat mungkin. 

Semakin cepat dirawat, semakin tinggilah peratusan otot jantung boleh diselamatkan. 

Semasa anda mengalami serangan jantung, bekalan darah kepada otot jantung terganggu. Ini seringkali disebabkan oleh salur darah yang membawa nutrisi dan oksigen kepada otot jantung tersumbat.

Tanpa oksigen, jantung tidak dapat berfungsi dengan baik dan otot yang terlibat akan mula mengalami proses nekrosis (mati). Oleh sebab itulah mereka yang mengalami serangan jantung akan merasai sakit pada bahagian dada kecuali jika mereka mempunyai kencing manis yang tidak terkawal.

Dalam kalangan pesakit kencing manis tidak terkawal, saraf yang berada pada jantung sudah pun rosak. Ini bermakna, mereka boleh hadir ke hospital dengan simptom kesukaran bernafas tanpa merasai sakit pada bahagian dada.

Apa Yang Perlu Dibuat Sekiranya Ada Individu Terkena Serangan Jantung?

Dalam situasi ini, masa adalah amat penting. Masa merupakan penentu kepada tahap klinikal semasa mengalami serangan jantung. Apa yang perlu dibuat adalah membawa individu yang mengalami serangan jantung ini terus ke hospital dengan kadar segera.

Jika anda mengalami simptom serangan jantung, atau ada individu lain yang mengalami, ini apa yang anda perlu buat: 

  1. Dapatkan bantuan kesihatan atau hantar individu yang mengalami sakit jantung ke hospital berdekatan
  2. Jika tidak berkemampuan untuk bergerak kerana sakit atau keadaan lain, hubungi talian 999 atau minta orang awam untuk bawakan anda ke hospital berdekatan dengan kadar segera
  3. Jangan memandu kereta semasa mengalami simptom sakit dada atau simptom masalah jantung yang lain
  4. Jika anda tiada sejarah alergi kepada ubat aspirin, ambil pil aspirin 300 mg yang boleh dikunyah dengan kadar segera
  5. Sebelum ambulans sampai, ikut langkah-langkah bantuan kecemasan yang diberikan melalui talian 999 jika perlu (contoh semasa situasi pesakit pengsan)
  6. Jika pesakit mempunyai ubat glyceryl trinitrate, kemam sebiji di bawah lidah dan dapatkan bantuan perubatan dari hospital berdekatan

Bantuan awal ini bukan sahaja dapat membantu menjadikan simptom sakit jantung lebih terkawal, bahkan ia juga berupaya untuk meminimumkan kematian sel kardium (jantung) bagi mengekalkan fungsi jantung pada tahap yang optimum.

serangan jantung

Tips Untuk Mengelakkan Daripada Terkena Penyakit Jantung

Untuk mengelakkan daripada terkena penyakit atau serangan jantung, beberapa perubahan gaya hidup perlu dilakukan. 

#1 Diet Pemakanan Yang Sihat

Pemakanan adalah faktor utama yang menyebabkan sakit serangan jantung dan banyak lagi penyakit lain. 

Makanan punca sakit jantung  yang paling lazim dalam kalangan masyarakat kita ialah makanan bergoreng, makanan bersantan dan makanan manis. Pengambilan diet yang sihat boleh melindungi jantung anda, mengelakkan darah tinggi dan risiko untuk kencing manis. Diet jantung sihat merangkumi:

  1. Sayur-sayuran dan buah-buahan
  2. Kacang dan kekacang
  3. Daging tanpa lemak dan ikan
  4. Makanan tenusu rendah lemak atau tanpa lemak
  5. Bijiran penuh
  6. Lemak sihat seperti minyak zaitun

#2 Pemeriksaan Kesihatan Rutin

Dengan melakukan pemeriksaan kesihatan, kita dapat mengesan sekiranya terdapat sebarang penyakit dengan awal. 

Anda juga harus menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun terutamanya jika anda mempunyai sejarah keluarga berkaitan hipertensi, kolesterol tinggi dan kencing manis setelah umur anda mencecah 35 tahun.

#3 Berhenti Tabiat Merokok

Merokok juga adalah punca kepada pelbagai penyakit termasuklah sakit serangan jantung. Bahan kimia lain dalam rokok tembakau boleh merosakkan jantung dan saluran darah anda. Asap rokok mengurangkan oksigen dalam darah anda, lalu menyebabkan tindak balas sistem badan anda untuk meningkatkan tekanan darah dan kadar degupan jantung. 

Jantung anda terpaksa bekerja lebih keras untuk terus membekalkan oksigen ke seluruh badan dan yang paling penting, otak anda.

#4 Bersenam Selalu

Seperti yang kita tahu, bersenam ni banyak manfaatnya. Aktiviti bersenam mempunyai pelbagai manfaat seperti menguatkan hati anda dan penambahbaikkan pengaliran darah anda. Langkah ini merupakan cara mencegah jantung tersumbat. 

Aktiviti fizikal juga membantu anda mengurangkan berat badan yang berlebihan, merendahkan kolesterol dan tekanan darah.Anda disarankan untuk bersenam 5 kali seminggu selama 30 minit dengan senaman yang sederhana intensitinya. 

#5 Kawal Stress

Stres merupakan faktor yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung. Ia boleh meningkatkan tekanan darah anda. Stres yang keterlaluan boleh menjadi pencetus kepada serangan jantung. Tambahan pula, ramai yang memaling kepada makan secara berlebihan, minum alkohol secara berlebihan dan merokok untuk menangani stres. Tabiat ini sangat berbahaya untuk jantung anda sekiranya berterusan untuk jangka masa yang lama. 

Sampai di sini sahaja perkongsian Qoala. Ingat, jangan lupa jaga kesihatan!

Selain itu, sekiranya anda ingin dapatkan insurans perubatan terbaik, layari laman web Qoala! Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia yang akan membantu membandingkan pelan insurans perubatan berbeza bagi memastikan anda mendapatkan pelan insurans kesihatan dan perubatan yang sesuai dengan keperluan anda.

Qoala juga menawarkan insurans kereta, insurans motor dan insurans perjalanan untuk anda pilih!

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60