Ketahui Penyakit Bawaan Banjir Yang Perlu Korang Elakkan

Artikel ini terakhir diperbarui January 6, 2022 by Nadhirah Rashid
Ketahui Penyakit Bawaan Banjir Yang Perlu Korang Elakkan

Seperti kebiasaan, tiba saja hujung tahun, beberapa negeri di Malaysia akan dilanda banjir dek kerana musim tengkujuh yang berlaku pada September sehingga Februari. 

Hujan lebat yang berpanjangan ini boleh mendatangkan masalah dan impak yang besar seperti banjir besar yang menenggelamkan kediaman, memusnahkan harta benda, menghanyutkan barang termasuklah meragut nyawa.

Risiko kematian boleh berlaku jika kedudukan rumah di kawasan rendah dan berhampiran sungai – Ini jelas terbukti arus sungai boleh bertukar-tukar arah disamping menghanyutkan sampah sarap, sisa najis yang mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Namun begitu, masih ramai yang tidak tahu akan bahayanya penyakit bawaan banjir. Masih ramai yang bermain dengan air banjir termasuklah kanak-kanak. 

Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak semasa dan selepas banjir adalah seperti jangkitan pernafasan akut, konjunktivitis (sakit mata), leptospirosis, cirit-birit, disentri, hepatitis A, taun, demam kepialu, keracunan makanan, demam denggi, jangkitan kulit dan sebagainya.

Empat Jenis Penyakit Berjangkit Bawaan Banjir

Berikut adalah empat jenis penyakit berjangkit yang mudah tersebar ketika musim banjir.

#1 Penyakit Bawaan Air dan Makanan

Penyakit bawaan air dan makanan kerap berlaku semasa dan selepas kejadian banjir adalah seperti Demam Kepialu (Typhoid), Taun/Kolera, Hepatitis A, Disentri dan keracunan makanan.

Gejala penyakit ini seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut, dan sakit kepala. Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui meminum air atau memakan makanan yang telah dicemari oleh kuman-kuman penyakit tersebut.

Penyakit ini sangat mudah berjangkit dan berbahaya. Oleh itu, elakkan lah diri daripada memakan atau minum makanan yang sudah tercemar. 

#2 Penyakit Leptospirosis

Penyakit Leptospirosis adalah disebabkan oleh bakteria Leptospira yang terdapat di dalam air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya.

Penyakit ini boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang telah tercemar dengan air kencing haiwan yang telah terjangkiti dengan bakteria ini.

Antara tanda-tanda penyakit Leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman.

#3 Penyakit Konjunktivitis

Foto Kredit: Sergey Granev Melalui Shutterstock

Konjunktivitis atau sakit mata juga merupakan penyakit yang kerap terjadi semasa banjir. Penyakit ini mudah merebak dengan cepat dari seorang pesakit kepada orang lain melalui perkongsian alat-alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang mengalami sakit mata.

Penyakit yang disebabkan oleh kuman (bakteria atau virus) atau alahan ini merupakan radang pada bahagian putih mata. Antara gejala sakit mata ialah mata merah, berair dan pedih; discaj tahi mata yang berlebihan, mata terasa gatal dan mata sensitif terhadap cahaya.

#4 Demam Denggi

Selepas banjir surut, banyak kawasan-kawasan yang berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan tiada tempat yang boleh menakung air seperti plastik, tin-tin minuman dan bekas makanan polisterin yang digunakan atau hanyut semasa banjir.

Bekas-bekas ini perlulah dibuang dengan betul. Setiap penghuni rumah juga perlu memastikan persekitaran rumah mereka bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes ini.

Jadi, lepas ni jika berlakunya banjir, elakkan diri daripada mandi, main atau makan makanan atau minuman yang sudah tercemar. Ia boleh mendatangkan pelbagai penyakit sehingga boleh meragut nyawa.

 

Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.