Senggugut Teruk? Ini Cara Atasi!

Artikel ini terakhir diperbarui March 5, 2022 by Nadhirah Rashid
Senggugut Teruk? Ini Cara Atasi!

Masalah senggugut teruk ni sering dihadapi ramai wanita. Pastinya mimpi ngeri yang dialami setiap bulan. Sakit senggugut teruk ni boleh menjejaskan aktiviti harian. Ada yang terpaksa MC dek kerana sakit senggugut yang melampau sehingga tidak dapat bangun. 

Pengeluaran hormon yang banyak akan menyebabkan pengecutan rahim secara berlebihan dan ia menyebabkan sakit, bukan saja pada bahagian bawah perut yang kuat, tetapi juga pada bahagian belakang pinggang.

Dalam kebanyakan kes, sakit yang terlalu kuat boleh jadi disebabkan penyakit lain lebih serius seperti jangkitan kuman, endometriosis dan fibroid yang dapat dikesan apabila wanita itu senggugut melampau pada setiap bulan sehingga terpaksa mengambil beberapa hari cuti kerana tidak mampu melakukan kerja.

Seperti yang kita tahu, senggugut teruk boleh berlaku disebabkan kontraksi yang berlaku di rahim sebelum atau semasa permulaan kitaran haid. Tapi, sebenarnya yang membuat kesakitan itu menjadi lagi sakit bagi sesetengah wanita?

Sebab Wanita Mengalami Kesakitan Senggugut Teruk

senggugut teruk
Foto Kredit: Raleigh

Para wanita, kita kena tahu terlebih dahulu tentang punca-punca yang menyebabkan sakit yang kita alami itu sangat teruk. 

Sesetengah individu boleh mengalami masalah senggugut yang teruk disebabkan:

  1. Mempunyai tabiat merokok
  2. Mengalami pendarahan haid berat
  3. Tidak pernah hamil
  4. Mencapai akil baligh sebelum berumur 11 tahun

Selain itu, masalah senggugut teruk juga boleh disebabkan oleh keadaan perubatan seperti berikut: 

#1 Sindrom Pramenstruasi

Sindrom pramenstruasi atau PMS adalah keadaan dimana ia berpunca daripada perubahan hormon dalam tubuh yang berlaku satu hingga dua minggu sebelum haid bermula. Gejala yang berlaku kebiasaannya akan hilang selepas pendarahan bermula.

#2 Endometriosis

Endometriosis adalah satu keadaan perubatan yang berlaku apabila sel dari lapisan rahim tumbuh di bahagian lain. Contohnya seperti di fallipion tub, ovari atau tisu yang melapisi pelvik. 

#3 Fibroid pada rahim

Fibroid adalah tumor bukan kanser yang memberi tekanan pada rahim atau menyebabkan haid yang sakit dan tidak normal, walaupun selalunya tidak menimbulkan sebarang gejala.

#4 Penyakit radang pelvis (PID)

PID adalah jangkitan pada rahim, tiub fallopio atau ovari yang disebabkan oleh bakteria faraj yang mengakibatkan keradangan pada organ pembiakan dan kesakitan.

#5 Adenomiosis

Keadaan jarang berlaku ini melibatkan tisu yang biasanya melapisi rahim mula tumbuh pada dinding otot rahim, sekali gus menyebabkan keradangan, tekanan dan kesakitan. Ia juga mengakibatkan kitaran haid lebih lama dan berat.

#6 Stenosis serviks

Ini juga adalah keadaan yang jarang berlaku di mana serviks mengecil atau sempit sehingga melambatkan aliran haid 8. Ia kemudiannya menyebabkan peningkatan tekanan di dalam rahim lalu mengakibatkan senggugut teruk.

Simptom-simptom Senggugut Teruk

Untuk pengetahuan korang, kekejangan haid melibatkan sakit yang berdenyut dan disertai dengan kekejangan pada bahagian bawah perut. Sakit ini boleh merebak ke bahagian belakang badan mahupun paha. 

Kekejangan haid boleh berlaku sehari atau dua hari sebelum haid, dan klimaksnya sehingga 24 jam pertama setelah kedatangan darah haid. Lagi satu, kekejangan haid ni boleh berlanjutan sehingga tempoh dua ke tiga hari.

Kekejangan haid ini juga boleh disertai dengan gejala lain seperti:

  1. Loya
  2. Keletihan
  3. Sakit kepala
  4. Pening

Cara Kurangkan Rasa Sakit Senggugut Teruk

Berikut adalah beberapa cara dan petua kurangkan rasa senggugut teruk yang boleh dicuba di rumah:

#1 Mampatan haba

Cara ini adalah cara yang paling ramai guna pakai. Mudah saja. 

Letakkan pad panas atau botol berisi air panas (yang dibalut tuala kecil) pada bahagian belakang bagi mengurangkan kesakitan. Cara ini juga dapat membantu menenangkan otot pinggul, sekali gus meredakan rasa sakit.

Sekarang ni pad panas dah mudah didapati di kedai-kedai seperti Watson, Guardian dan banyak lagi. Simpan pad pemanas di dalam bag ini untuk hari-hari kecemasan. 

#2 Ubat Tahan Sakit

Ubat tahan sakit atau ubat antiradang nonsteroid (NSAID) yang berkesan untuk mengurangkan kesakitan dan keradangan. Ubat ini boleh dibeli di farmasi, atau korang boleh juga dapatkan daripada preskripsi doktor. 

Satu kajian klinikal mendapati ubat tahan sakit amat berkesan untuk mengurangkan kesakitan senggugut teruk. Ia juga menunjukkan kesan lebih baik berbanding aspirin.

Walau bagaimanapun, korang disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan sebelum menggunakan sebarang jenis ubat tahan sakit. 

#3 Lakukan Senaman Ringan Boleh Kurangkan Senggugut Teruk

Pemerhatian dan kajian kesihatan menunjukkan wanita yang melakukan senaman ringan mendapat manfaat kelegaan bagi sakit senggugut yang dirasai.

Senaman yang ringan seperti yoga terbukti memberikan pengurangan tahap kesakitan yang besar apabila haid jika dibandingkan dengan mereka yang tidak bersenam. 

Senaman yang dilakukan adalah selama 45 sehingga 60 minit, sebanyak 3 kali seminggu. Kajian itu juga mendapati:

  1. Bersenam untuk mengatasi masalah senggugut mungkin mampu mengurangkan pengambilan ubat tahan sakit
  2. Tidak ada bukti daripada kajian ini bahawa melakukan senaman dengan masalah senggugut mengundang bahaya
  3. Kualiti kajian yang dilakukan ini masih dikategorikan sebagai ‘rendah,’ maka penyelidikan yang lebih lanjut diperlukan

Jenis Senaman Yang Boleh Dilakukan

Hari pertama haid adalah hari yang digeruni ramai wanita. Ini kerana sesetengah mereka boleh mengalami sakit senggugut teruk. 

Oleh itu, berikut adalah beberapa idea aktiviti senaman berintensiti rendah yang boleh dipraktik semasa haid:

  • Berjalan atau kardio ringan

Korang disarankan untuk melakukan jenis senaman yang ringan sahaja. Oleh itu, pastikan senaman kardiovaskular atau aerobik dilakukan pada intensiti yang lebih rendah. 

Korang juga boleh try senaman kardio ringan seperti berjalan kaki atau latihan aerobik yang lebih mudah. 

  • Yoga

Dua atau tiga hari sebelum tibanya menstruasi, korang disarankan untuk melakukan aktiviti seperti yoga untuk membantu badan dan berpotensi mengurangkan simptom seperti kekejangan, kesakitan payudara, keletihan dan kesakitan otot. 

Yang paling penting, jangan paksa diri korang untuk lakukan senaman ketika haid sedang berlangsung. Badan korang juga perlukan rehat. 

#4 Penjagaan Makanan

Kita juga disarankan untuk memperbanyakkan minum air, makan buah-buahan dan sayuran bersama makanan anti radang lain untuk mengurangkan keradangan dan melegakan gejala senggugut teruk. 

Elakkan daripada memakan makanan pedas dan air gas. 

Sakit Belakang Ketika Haid: Apakah Puncanya?

Selain kekejangan, sakit belakang boleh berlaku. Rasa sakit belakang ini dianggap sebagai “normal” dan berlaku disebabkan perubahan hormon. 

Prostaglandin (hormon yang dihasilkan semasa kitaran haid untuk mendorong pengecutan rahim bagi menyingkirkan lapisan rahim) boleh mempengaruhi otot punggung bawah.

Prostaglandin yang terhasil secara berlebihan menyebabkan senggugut teruk atau haid yang menyakitkan. Kontraksi yang berat kemudiannya mendorong sakit bahagian belakang. Sakit bahagian belakang ini juga boleh merebak daripada perut bawah ke pinggul bawah.

Senggugut Teruk Jejas Sistem Peranakan?

Masalah senggugut teruk yang menyakitkan akan menganggu rutin harian seseorang ranita. Tidak kira lah masih belajar atau sudah berkarier, kadang-kadang mereka terpaksa mengambil MC kerana sakit yang melampau.  

Ramai yang mengabaikan senggugut teruk yang berlaku pada mereka hampir setiap bulan. Namun, tabiat ini adalah sebenarnya bahaya. 

Jika korang mengalami sakit senggugut teruk yang berpanjangan, korang amat disarankan untuk buat pemeriksaan teliti oleh doktor dengan segera. Tujuannya adalah untuk memastikan korang tidak mengalami masalah yang lebih serius iaitu penyakit endometriosis. 

Kajian melaporkan hampir 1 daripada 7 wanita yang berumur antara 30 dan 45 menghidapinya.

Endometriosis adalah penyakit yang berpunca daripada sebahagian lapisan tisu dalam rahim, tumbuh dan berada di bahagian lain dalam badan.

Apa Itu Endometriosis?

Endometriosis boleh dijumpai seperti di bahagian pelvis iaitu usus, pundi serta organ reproduktif. Selain itu, ia kerap dijumpai di bahagian ovari dan otot ligamen posterior yang menyokong uterus.

Sekiranya ia dibiarkan, endometriosis mampu menjadi penyebab susah hamil dan boleh mewujudkan kesakitan ketika mengadakan hubungan seks. Kajian yang dilakukan mengatakan punca sebenar endometriosis masih tidak jelas.

Teori yang sering disimpulkan merujuk kepada retrograde menstruation atau pembalikan darah haid di mana sebahagian daripada darah haid mengalir secara terbalik ke arah pembukaan peritoneal melalui saluran fallopio.

Ini adalah tanda-tanda endometriosis yang perlu korang ketahui: 

  1. Masalah senggugut yang menyakitkan
  2. Sakit semasa mengadakan hubungan kelamin
  3. Haid yang banyak dan tak teratur
  4. Sakit di bahagian pelvis dan bawah perut

Endometriosis selalunya dikesan setelah doktor meneliti sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan lanjut pada pelvis.

Selain itu, pembedahan laparoskopi yang menggunakan satu peralatan khas untuk mengesan tisu dalam pelvis juga boleh menjadi diagnosis yang tepat.

Rawatan-rawatan endometriosis

Rawatan yang diberikan kepada pesakit endometriosis bertujuan bagi mengurangkan tahap estrogen dan progesteron wanita yang berfungsi dalam merangsang ketumbuhan endometriosis.

Antara jenis-jenis rawatan endometriosis:

  1. Ubat hormon progesteron dengan dos tinggi, pil kontraseptif oral dan hormon tiruan lelaki (danazol)
  2. Analog GnRH iaitu hormon pembebasan Gonadotropin: Suntikan yang diambil setiap bulan atau setiap 3 bulan untuk kawal penghasilan estrogen dengan menggalakkan menopause-induced
  3. Pembedahan: Laparoskopi atau pembedahan biasa
  4. Ablasi: Pembuangan rahim dan kadangkala ovari bagi mengurangkan kesakitan teruk setelah kaedah rawatan lain gagal

Segala jenis rawatan ini diberikan berdasarkan tahap penyakit, keperluan dan kepentingan seseorang individu tersebut. Selalunya penyakit ini akan dapat dirawat dengan baik pada peringkat awal.

Kalau korang ada masalah senggugut yang tidak normal, segera berjumpa dengan doktor ok!

Itu sahaja perkongsian Qoala, semoga bermanfaat! Kalau nak renew insurans kereta, renew je dengan Qoala. Mudah saja!

Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗