Tukar Hak Milik Kenderaan: Cara Tukar Nama Kereta Mudah, Senang dan Cepat!

Artikel ini terakhir diperbarui February 18, 2022 by Shafiq Wahab
Tukar Hak Milik Kenderaan: Cara Tukar Nama Kereta Mudah, Senang dan Cepat!

Korang pernah tak lakukan proses tukar nama kereta di JPJ? Bagi kebanyakan orang yang tidak pernah berurusan dengan perkara sebegini, ia mungkin kedengaran rumit dan sedikit complicated. Namun sebenarnya, cara tukar nama kereta atau motor ini tidaklah sesukar yang korang jangkakan. Ia sangat senang dan mudah serta tidak memakan masa yang lama! Prosedur tukar nama ini penting untuk korang lakukan sekiranya korang beli kereta terpakai atau ingin jual kereta lama korang. Kalau korang tak tukar nama kereta, kedua-dua penjual dan pembeli terdedah kepada risiko-risiko tertentu. Sebagai contoh, andaikan pembeli yang beli kereta korang lakukan kegiatan jenayah, korang mungkin dipertanggungjawabkan atas perkara yang berlaku kerana kereta masih lagi atas nama korang.

cara tukar nama kereta

Dalam kes macam ni, pihak polis mestilah cari pemilik kenderaan. Secara amnya, penama pada geran kereta adalah pemilik kereta yang sah meskipun kereta tersebut telah digunakan atau telah dijual kepada pihak lain. Orang lain yang buat salah, kita pulak yang kena tanggung.

Tukar Hak Milik Kenderaan: Proses Tukar Nama Kereta 2022

Bagi korang yang mungkin ingin jual kereta lama atau beli kereta terpakai yang telah habis dibayar namun tidak mahu melakukan prosedur tukar nama kereta melalui orang tengah, panduan cara tukar nama kereta ini mungkin boleh membantu korang. Secara amnya, proses tukar hak milik kenderaan perlu dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan kerana memerlukan pengesahan biometrik (pengesahan cap jari).

Cara Tukar Nama Kereta JPJ (Secara Sukarela)

Proses tukar nama kereta perlu dilakukan dengan segera untuk mengelakkan implikasi lain yang boleh berlaku. Jika kereta dengan nama korang disalahgunakan untuk kegiatan jenayah misalnya, penama yang tercatat pada geran kereta bertanggungjawab terhadap kereta yang dimiliki. Oleh sebab itu, penting untuk korang tukar nama kereta dengan segera sekiranya berlaku perubahan pemilik kereta untuk mengelakkan situasi sebegini daripada berlaku. Malah, ia akan menjadi lebih sukar sekiranya owner meninggal dunia kerana proses tukar nama akan menjadi lebih rumit dan memakan masa.

1. Selesaikan Baki Bayaran

Jika korang ingin jual kereta lama korang kepada individu lain, korang perlu pastikan hutang atau baki bayaran kereta dilangsaikan sepenuhnya.

2. Pemeriksaan Puspakom Tukar Nama

Kedua, korang perlu lakukan pemeriksaan kereta di Puspakom untuk tukar nama kereta kepada nama pemilik baharu. Korang boleh lakukan sendiri proses ini atau pemilik baharu boleh hadir ke Puspakom untuk lakukan pemeriksaan. Untuk mudahkan proses, buat janji temu dengan pihak Puspakom terlebih dahulu atau lakukan pemeriksaan bergerak Puspakom di lokasi pilihan korang. Pastikan korang bawa bersama kad pengenalan dan geran asal atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) ketika pemeriksaan. Setelah pemeriksaan selesai, pihak Puspakom akan mengeluarkan Borang B5 Puspakom yang akan digunakan oleh pihak JPJ semasa prosedur tukar nama kereta dilakukan. Harga tukar nama kereta Puspakom adalah sebanyak RM30 sahaja.

3. Urusan di JPJ Tukar Nama (Pemilik Asal)

Sekiranya korang pemilik asal kereta, korang perlu hadirkan diri ke pejabat JPJ. Bawa bersama dokumen untuk tukar nama JPJ seperti kad pengenalan dan geran asal kenderaan atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC). Isi borang tukar nama JPJ – Borang Penyata Pertukaran Milikan Kenderaan Motor Secara Sukarela Oleh Pemunya Berdaftar (JPJ K3). Korang perlukan maklumat-maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan serta alamat pemilik asal dan pemilik baharu untuk mengisi borang ini. Semakan cap jari akan dilakukan, dan pihak JPJ akan keluarkan slip thumbprint menandakan urusan tukar hak milik kenderaan kini selesai bagi pihak korang.

4. Urusan di JPJ Tukar Nama (Pemilik Baharu)

Sekiranya korang adalah pemilik baharu pula, ambil maklum bahawa roadtax kereta dan insurans kereta akan terbatal secara automatik setelah urusan pengesahan cap jari pemilik asal dilakukan. Oleh itu, korang disarankan untuk renew roadtax kereta dan insurans kereta atas nama korang terlebih dahulu. Setelah selesai, pihak JP akan mengeluarkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) dengan pemilikan atas nama korang. Untuk urusan ini, korang perlu bawa dokumen penting seperti kad pengenalan, geran asal kenderaan atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC), borang B5 Puspakom dan slip thumbprint pemilik asal.

Cara Tukar Nama Kereta Online (Secara Sukarela)

Buat masa ini, prosedur tukar nama memerlukan korang ke JPJ untuk urusan pengesahan cap jari. Meskipun begitu, pihak JPJ ada menyediakan perkhidmatan tukar nama kereta tanpa ke JPJ – semua proses berkaitan dilakukan secara online, korang hanya perlu hadir ke JPJ untuk pengesahan sahaja.

1. Daftar Akaun MySikap

Sekiranya korang tidak mempunyai akaun dengan MySikap, korang perlu mendaftarkan akaun anda terlebih dahulu. Melalui MySikap, korang boleh melakukan urusan berkaitan secara dalam talian seperti pembaharuan dan pembatalan lesen kenderaan motor, pindah milik sukarela (JPJ tukar nama online), pembaharuan lesen memandu serta permohonan permit memandu antarabangsa, rayuan lesen memandu tamat tempoh dan semakan saman JPJ.

2. Log Masuk Akaun MySikap

Setelah selesai pendaftaran, korang boleh ikuti langkah berikut untuk proses tukar nama motor dan kereta online:

i. Pemilik Asal Kereta

  • Log masuk dan pilih Kenderaan;
  • Kemudian, pilih Permohonan Pertukaran Hak Milik Kenderaan (Pemilik Berdaftar);
  • Masukkan Nombor Plat Kereta dan klik Teruskan;
  • Maklumat akan dipaparkan – sahkan maklumat kemudian sekali lagi klik Teruskan;
  • Masukkan alamat e-mel Pendaftar dan Pemilik Baharu, kemudian klik Teruskan
  • Proses Selesai. Simpan resit untuk rujukan korang.

ii. Pemilik Baharu

  • Log masuk dan pilih Kenderaan;
  • Kemudian, pilih Permohonan Pertukaran Hak Milik Kenderaan (Pemilik Baharu);
  • Masukkan Nombor Plat Kereta dan klik Teruskan;
  • Bagi ruangan Pengisytiharan Kenderaan, pilih Semenanjung dan klik Teruskan;
  • Masukkan maklumat pembayaran dan klik Bayar;
  • Sahkan maklumat dan klik Teruskan;
  • Cetak resit dan bawa bersama untuk proses selanjutnya di mana-mana cawangan JPJ berdekatan.

Syarat Tukar Nama Kereta, Dokumen untuk Tukar Nama Kereta Sukarela

Jika korang ingin lakukan proses tukar hak milik kenderaan, terdapat beberapa syarat-syarat yang perlu dipatuhi dan dokumen yang diperlukan untuk memudahkan urusan korang. Qoala menyenaraikan syarat dan dokumen yang diperlukan untuk tukar nama kereta bagi korang yang ingin lakukan proses tukar nama kereta seperti berikut:

1. Syarat Am Tukar Hak Milik Kenderaan

Berikut merupakan syarat am yang perlu dipatuhi sebelum korang lakukan prosedur tukar hak milik kenderaan:

  1. Pemilik asal kereta dan pembeli hendaklah hadir sendiri ke mana-mana cawangan JPJ untuk urusan pengesahan cap jari secara biometrik di JPJ;
  2. Bagi proses tukar nama kereta tanpa owner, wakil hanya boleh dilantik bagi pihak pemilik berdaftar atau pemilik baharu (pembeli) bagi kenderaan selain hak milik persendirian individu;
  3. Tiada sekatan kepada prosedur tukar nama kereta seperti rekod tuntutan hak milik oleh syarikat kewangan, rekod cukai kastam yang belum diselesaikan, rekod senarai hitam dan sebagainya;
  4. Kenderaan yang ingin ditukar nama (kecuali motosikal) telah melalui pemeriksaan di Puspakom;
  5. Permit kenderaan perdagangan bagi pemilik asal berdaftar telah dibatalkan;
  6. Fi telah dijelaskan;
  7. Dokumen diperlukan untuk tukar nama kereta (pemilik asal kereta dan pembeli) adalah seperti berikut: 
  • Dokumen pengenalan diri seperti MyKad, MyTentera, MyPR atau passport;
  • Jika kereta yang ingin ditukar nama bukan hak milik persendirian individu, surat rasmi lantikan wakil hendaklah dibawa bersama oleh wakil;
  • Borang JPJK3 yang telah lengkap diisi;
  • Perakuan pendaftaran kenderaan motor;
  • Pengesahan identiti Kerajaan / Bank / Syarikat Kewangan / Insurans / Pertubuhan /  Koperasi / Syarikat Sendirian Berhad / Syarikat Berhad / Perniagaan Milikan Tunggal / Perniagaan Perkongsian / Badan Berkanun / Pihak Berkuasa Tempatan / Kedutaan / Pesuruhjaya Tinggi / Konsulat / Pertubuhan Antarabangsa seperti:
    1. Salinan Borang 49 (WAJIB);
    2. Salinan resolusi/minit mesyuarat berkaitan persetujuan penjualan kenderaan;
    3. Borang 9 atau Borang 13 yang disahkan oleh setiausaha syarikat atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) (mana-mana yang berkenaan);
    4. Salinan Borang D yang disahkan SSM;
    5. Dokumen-dokumen lain berkaitan pengesahan identiti (yang berkaitan);
    6. Surat persetujuan penjualan kenderaan motor.

2. Syarat Khas Tukar Hak Milik Kenderaan

Berikut pula merupakan syarat khas yang perlu dipatuhi sebelum korang lakukan prosedur tukar hak milik kenderaan:

  1. Bagi pemilik berdaftar yang berada di luar negara, korang perlukan salinan passport yang disahkan oleh Kedutaan Malaysia di mana pemilik berdaftar berada. Selain itu, korang juga perlukan akuan persetujuan penjualan yang ditandatangani oleh pemilik berdaftar dihadapan dan disahkan oleh pegawai Kedutaan Malaysia di mana pemilik berdaftar berada;
  2. Pemilik berdaftar yang tidak dapat dikesan atau tidak dapat dihubungi pula, korang perlukan perintah mahkamah untuk tukar hak milik kenderaan;
  3. Kenderaan milik syarikat / perkongsian yang telah digulungkan / dalam proses pembubaran yang diuruskan oleh Receivers and Managers / Liquidators, korang perlukan dokumen seperti berikut:
  • Surat persetujuan penjualan kenderaan;
  • Salinan borang 59 yang disahkan oleh SSM;
  • Salinan borang 70 yang disahkan oleh SSM;
  • Salinan borang 72 yang disahkan oleh SSM.
  1. Bagi kenderaan perdagangan pula, korang perlukan perkara-perkara berikut:
  • Kenderaan off-road khususnya perlu menjalani Pemeriksaan Khas (B2) di Puspakom terlebih dahulu;
  • Kenderaan jentera/kenderaan bomba/trak tunda/kenderaan mayat hendaklah menjalani pemeriksaan awalan PG11A / PG13B;
  • Surat pembatalan permit/surat kelulusan ubahsyarat oleh SPAD/LPKP/Kementerian Pelancongan;
  • Surat tawaran kelulusan lesen atau surat kelulusan ubahsyarat;
  • Borang JPJK1 yang lengkap diisi sekiranya kenderaan motor akan beroperasi sebagai decontrolled;
  • Borang JPJK11 yang lengkap diisi sekiranya kenderaan motor akan beroperasi sebagai off-road;
  • Salinan surat pengecualian daripada Perbendaharaan/ MITI/Kastam yang disahkan (jika berkenaan).

harga tukar nama kereta

Cara Tukar Nama Kereta Owner Meninggal Dunia

Bagi kes owner kereta meninggal dunia pula, prosedur tukar nama kereta boleh dikatakan sedikit complicated lebih-lebih lagi jika pemilik asal tidak meninggalkan sebarang wasiat. Berikut merupakan panduan lengkap cara tukar nama kereta owner meninggal dunia untuk panduan korang:

1. Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah

Sekiranya pemilik asal tidak meninggalkan sebarang wasiat, waris boleh lakukan tuntutan pembahagian harta pusaka kecil terlebih dahulu. Setelah pengagihan selesai, waris akan menerima surat perintah pembahagian pemilikan harta yang ditinggalkan. Waris yang menerima kenderaan atas nama si mati boleh melakukan proses tukar nama menggunakan surat perintah pembahagian sebagai sokongan pemilikan. Urusan ini perlu dilakukan dengan segera sebelum cukai jalan tamat tempoh. Ini kerana, cukai jalan kereta yang masih berdaftar atau nama pemilik yang telah meninggal dunia hanya boleh diperbaharui sekali sahaja untuk tempoh enam (6) bulan oleh waris terdekat.

2. Pemeriksaan Puspakom Tukar Nama

Setelah urusan pembahagian harta pusaka selesai, waris perlu membawa kenderaan dan geran asal ke Puspakom untuk pemeriksaan. Sama seperti proses tukar nama kereta secara sukarela, pihak Puspakom akan mengeluarkan laporan B5 Puspakom yang akan digunakan semasa proses tukar nama dilakukan.

3. JPJ Tukar Nama

Setelah selesai kedua-dua proses di atas, waris boleh melakukan urusan tukar nama di mana-mana pejabat JPJ berdekatan. Harga tukar nama kereta JPJ adalah seperti berikut:

  • Motor: RM30;
  • Kereta: RM100;
  • Kenderaan perdagangan: RM40;
  • Kenderaan off-road: RM100

Bagi melancarkan urusan hak milik kenderaan, waris atau pemohon dinasihatkan untuk hadir sendiri ke JPJ. Sekiranya pemohon ingin menghantar wakil bagi pihak mereka, pemohon perlu menyediakan maklumat pengesahan diri serta surat rasmi lantikan wakil. Bagi urusan ini juga, pemohon perlu sediakan dokumen tukar nama kereta seperti berikut:

  • Salinan perintah Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah; atau
  • Salinan Surat Geran Probet yang disahkan oleh Mahkamah; atau
  • Salinan Surat Pentadbir Pusaka yang disahkan oleh Mahkamah; atau
  • Salinan Perintah Pembahagian/Perintah Pemberian Surat Kuasa Mentadbir di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian)  1955 yang disahkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian; atau
  • Salinan Perintah Faraid yang disahkan oleh Mahkamah Syariah;
  • Akuan sumpah (dibuat oleh pewaris seperti dalam perintah faraid) berkenaan penolakan harta hendaklah disertakan bersama;
  • Akuan sumpah hendaklah dibuat dihadapan pesuruhajaya sumpah yang berkhidmat dengan kerajaan/Majistret/Hakim;
  • Akuan sumpah ini hendaklah disertakan bersama apabila Perintah Faraid tidak menyatakan penama/pewaris kepada kenderaan motor milik si mati.
  • Salinan Jadual Tiga oleh Mahkamah Anak Negeri Sabah yang disahkan oleh Mahkamah Anak Negeri Sabah; atau                             
  • Salinan Perintah dalam bentuk Form C yang disahkan oleh Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah.

Semoga perkongsian tukar hak milik kenderaan ini dapat membantu memudahkan urusan korang. Selain itu, jika korang ingin mendapatkan insurans kereta dan insurans motor terbaik untuk korang, layari laman web rasmi Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia dengan tawaran harga yang menarik dan berpatutan.

Kongsi:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗