Apa Itu Fidyah Puasa dan Cara Kira Fidyah Puasa

Kali terakhir diperbaharui Sep 9, 2022 oleh Hariz Hafiz
Apa Itu Fidyah Puasa dan Cara Kira Fidyah Puasa

Bulan Ramadan bakal menjelma dan antara soalan yang selalu ditanya menjelang puasa adalah, “Dah ganti puasa?”. Soalan ini selalu ditujukan terutamanya kepada golongan wanita yang di mana pastinya ada hari-hari tertentu yang mana mereka tidak boleh berpuasa. 

Ini juga termasuklah kaum lelaki yang tidak diwajibkan berpuasa apabila ketika sakit atau yang bekerja sebagai buruh kasar dan lain-lain. Sementara waktu masih ada, kita memang digalakkan untuk mengganti puasa yang kita tinggalkan dengan kadar segera. 

Jika kita tidak menggantikan puasa, kita akan dikenakan denda atau perlu bayar fFidyah pPuasa. Tapi apa pula fidyah puasa tu? Macam mana cara kira fidyah puasa? Dalam artikel ini, Qoala akan menceritakan info lanjut mengenai fidyah puasa.

Maksud Fidyah Puasa

Fidyah puasa adalah satu bentuk bayaran denda yang dikenakan kepada mana-mana individu yang tidak menggantikan puasa di bulan Ramadan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadan tahun berikutnya. Untuk pengetahuan anda, membayar denda Fidyah Puasa hukumnya wajib.

Ini merupakan dalil fidyah puasa:

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka sebagai qada) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (al-Baqarah: 184).

Golongan yYang Diwajibkan Qada Puasa dDan Membayar Fidyah:

  1. Perempuan hamil yang bimbangkan keselamatan kandungan jika berpuasa Ramadan
  2. Perempuan yang tidak berpuasa kerana bimbang keselamatan dirinya ketika hamil 
  3. Pemusafir dan orang yang sakit kemudiannya sembuh, jika mereka tidak segera menggantikan puasanya hingga masuk Ramadan tahun depan
  4. Perempuan yang menyusukan anak dan bimbangkan keselamatan bayinya jika berpuasa Ramadan
  5. Perempuan yang haid sehingga menghalangi puasa Ramadan dan tidak menggantikan puasanya sebelum tahun berikutnya

Golongan yYang Diwajibkan Membayar Fidyah Sahaja:

  1. Orang tua yang sangat uzur dan tidak mampu berpuasa Ramadan
  2. Orang yang sakit dan tiada harapan sembuh

Golongan yang Diwajibkan Qada Puasa Sahaja:

  1. Perempuan yang menyusukan anak dan bimbang keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan
  2. Perempuan hamil yang bimbangkan keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan
  3. Orang yang musafir dan berbuka kerana musafirnya.
  4. Orang yang sakit sehingga tidak dapat berpuasa kemudian sembuh semula.

Bila Perlu Bayar Fidyah Puasa?

fidyah puasa
Foto Kredit: Harian Metro

Ulama bersepakat menyatakan waktu membayar fidyah bermula sebaik sahaja ibadah berkenaan tidak dapat disempurnakan. Bagaimanapun waktunya luas dan tidak terhad pada satu tempoh waktu yang tertentu. Namun demikian digalakkan ia disegerakan kerana dikhuatiri tidak dapat dilaksanakan jika bertangguh.

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah bulan Ramadan tahun yang berikutnya akan dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Lupa Berapa Puasa yang Ditinggalkan?

Mungkin ramai yang terlupa nak catat berapa hari puasa yang telah ditinggalkan. Jangan risau. Menurut Mufti Wilayah, sekiranya tidak pasti atau tidak ingat bilangan hari yang telah ditinggalkan, buatlah anggaran bilangan hari yang telah ditinggalkan mengikut sangkaannya (kecenderungan) yang paling kuat dan lebih berhati-hati.

Sebagai contoh, Ali tidak tahu berapa hari dia telah tinggalkan puasa, tapi dia rasa tidak lebih dua minggu. Jadi gantilah sebanyak dua minggu kerana itu yang diyakini pasti dan lebih berhati-hati. Begitulah juga halnya dengan fidyah bagi bulan-bulan Ramadan yang telah dilangkau.

Cara Kira Fidyah Puasa

Fidyah pada asalnya dibayar dengan makanan asasi. Di Malaysia, beras adalah makanan asasi. Kadar fidyah pula ialah 1/4 daripada harga beras fitrah. Misalnya di Selangor, harga beras fidyah adalah RM7, maka harga fidyah ialah RM1.75 iaitu bersamaan dengan secupak beras. Namun begitu, sesetengah negeri atau negara mempunyai jenis makanan dan harga fidyah yang berbeza-beza.

Untuk memahami kaedah kiraan fidyah puasa dengan lebih tepat, ikuti contoh di bawah berdasarkan situasi:

Situasi 1

Rohayu belum menggantikan puasa sehingga memasuki Ramadhan berikutnya pada tahun 1439H (2018). Andaikan kadar fidyah ialah RM4.

Formula Kiraan: [Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah]

7 hari x RM4.00 = RM28.00

Situasi 2

Rohayu belum menggantikan puasa sehingga memasuki beberapa Ramadan tahun-tahun berikutnya. Dia tidak berpuasa pada Ramadan 1438H (2017) dan puasa ini masih belum berganti sehingga 1441H (2020). Rohayu berkemampuan untuk menggandakan bayaran fidyah puasanya.

Formula Kiraan: [(Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah) X Bilangan Tahun Yang Ditinggalkan]

(7 hari x RM4.00) x 3 Tahun = RM84.00

Kiraan akan bermula dari tahun 1439H hingga 1441H = 3 tahun. Tahun pertama yang bermula dari 1438H hingga 1439H tidak termasuk dalam kiraan fidyah kerana masih dalam tempoh puasa boleh digantikan dan belum memasuki Ramadhan yang berikutnya.

Gunakan Kalkulator Fidyah untuk pengiraan lebih tepat. 

Apakah Itu Gandaan Fidyah?

Apabila seseorang individu itu meninggalkan puasa sehingga beberapa tahun, ada sesetengah negeri yang menetapkan fidyah perlu didarab dengan bilangan tahun yang ditinggalkan. Contohnya,  jika puasa ditinggalkan pada tahun 2015 (1436 H), bilangan tahun perlu dikira bermula tahun 2016 (1437 H) sehingga 2021 (1442 H). Tahun pertama 1436 H hingga 1437 H tidak perlu dikira kerana ia masih dalam tempoh boleh qada puasa dan belum masuk Ramadhan berikutnya. Maka, kiraan bagi negeri yang perlu digandakan adalah seperti berikut:

Bilangan Hari Tidak Berpuasa X Kadar Fidyah X Bilangan Tahun yang Ditinggalkan = Fidyah yang Perlu Dibayar

Senarai negeri fidyah puasa berganda dan tidak berganda:

Berganda Tidak Berganda
Wilayah Perseketuan Selangor
Melaka Perlis
Johor
Pahang
Terengganu
Kelantan
Kedah
Penang
Perak
Negeri Sembilan
Sarawak
Sabah

Cara Bayar Fidyah Puasa Online

Fidyah puasa kini boleh dibayar secara dalam  talian. Berikut adalah pautan mengikut negeri yang boleh anda lihat: 

Negeri Harga (RM) Gandaan Kalkulator Online
Perak 1.80 Ya https://fidyah.maiamp.gov.my/
Kedah 1.80 Pilihan atas kemampuan http://www.maik.gov.my/e-fidyah/
Perlis 5.00 Tidak dikenakan https://www.maips.gov.my/ (Bayaran bank melalui bank transf
Pulau Pinang 1.75 Ya http://zakatpenang.com/zpp/ppzakat/fidyah.php
Selangor 1.80 Tidak dikenakan https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/fidyah/
Wilayah Persekutuan 4.00 Pilihan atas kemampuan https://www.zakat2u.com.my/kalkulator/fidyah
Negeri Sembilan 1.75 Ya https://www.mains.gov.my/v1/web/fidyah.php
Melaka 1.80 Ya https://fidyah.maim.gov.my/
Sarawak 1.75 Ya https://www.tbs.org.my/calc-fidyah/
Johor 1.75 Ya https://www.maij.gov.my/baitulmal/kadar-fidyah
Pahang 1.75 Ya http://new.zakatpahang.my/index.php/khidmat/kira-fidyah
Terengganu 1.75 Ya http://app2.maidam.gov.my/sistemfidyah/index.php
Kelantan 1.75 Ya https://www.e-maik.my/v2/pautan-eperkhidmatan/taksiran-fidyah-puasa
Sabah 1.75 Ya https://baitulmal.sabah.gov.my/kalkulatorFidyah1.php

Golongan yang Berhak Menerima Fidyah Puasa

Berdasarkan surah Al-Baqarah, golongan yang berhak menerima fidyah adalah fakir miskin. Fakir miskin adalah golongan yang tidak mempunyai harta sehingga tidak berupaya untuk memenuhi keperluan harian. Namun begitu, timbul persoalan bolehkahn melangsaikan fidyah puasa dengan membayarnya kepada ahli keluarga sendiri?

Menurut Mufti Wilayah, sekiranya membayar fidyah atau zakat kepada kaum kerabat dibawah tanggungan nafkah seperti, ibu, bapa dan ke atas, atau anak, cucu dan ke bawah adalah tidak sah dan diwajibkan untuk membayarnya semula. Namun, sekiranya menunaikan fidyah atau zakat dengan membayar kepada kaum kerabat yang bukan dibawah tanggungannya seperti adik beradik, ibu dan bapa saudara kerana ia lebih afdhal dan perlu diutamakan.

Tak Pernah Puasa dari Mula Akil Baligh, Macam Mana Nak Bayar Fidyah Puasa?

Jangan terkejut. Kes-kes sebegini memang wujud. Ada segelintir individu yang tidak pernah berpuasa sejak dari akil baligh lagi. Jadi, macam mana nak buat pengiraan? Pengiraannya berbeza bagi lelaki dan wanita. 

Untuk kaum lelaki, mereka perlu tentukan usia baligh dan usia baligh paling lewat adalah 15 tahun. Sekiranya usianya kini telah mencecah 50 tahun, maka dia wajib mengqada puasanya dengan kiraan berikut, 35 tahun x 30 hari = 1,050 hari. Bukan itu sahaja, dia juga wajib membayar fidyah sebanyak 1,050 hari x RM1.75=RM1,837.50. 

Untuk kaum wanita pula, mereka perlu tentukan usia baligh. Kebiasaannya, wanita baligh lebih awal daripada lelaki. Katakan usia baligh pada umur 12 tahun, dan kini usianya mencecah 50 tahun. Tentukan juga jumlah hari haid yang menghalangi daripada berpuasa. Katakanlah 10 hari sebulan. Maka, setiap bulan dia hanya wajib berpuasa 20 hari.

Maka, dia wajib mengqada puasanya dengan kiraan, 38 tahun x 20 hari = 760 hari. Bukan itu sahaja, dia juga wajib membayar fidyah sebanyak 760 hari x RM1.75 = RM1,330. 

Bagaimana Jika Sudah Meninggal Dunia dan Masih Ada Baki Fidyah?

Sekiranya ada individu yang meninggal dunia dan masih mempunyai bayaran fidyah yang belum lunas, maka pihak waris wajib mengambil harta si mati untuk melunaskan semua baki fidyahnya. Jika si mati tidak berharta, maka pihak waris boleh menggunakan harta mereka sendiri untuk membantu menjelaskannya.

Hukum jika seseorang itu tidak membayar fidyah puasa adalah berdosa. Sekiranya fidyah puasa tidak dilunaskan di dunia, ia akan menjadi hutang di sisi Allah SWT dan akan dituntut di akhirat kelak. 

Kesimpulan

Bab fidyah puasa perlu sentiasa diberikan perhatian. Takut kita terleka dan terlupa untuk bayar dan bakal dituntut di akhirat nanti. Sampai di sini sahaja perkongsian Qoala. Semoga artikel ini membawa manfaat. 

Sedang mencari insurans kereta terbaik? Dapatkan insurans kereta terbaik di Qoala. Mudah dan pantas!

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60