Cara Kira & Cara Bayar Zakat Pendapatan 2022

Kali terakhir diperbaharui Sep 9, 2022 oleh Hariz Hafiz
Cara Kira & Cara Bayar Zakat Pendapatan 2022

Sekiranya anda belum pernah membayar zakat pendapatan sebelum ini, anda mungkin tertanya-tanya cara pengiraan dan juga jumlah yang perlu dibayar. Artikel ini akan menjelaskan maksud, nisab dan cara pengiraan zakat pendapatan untuk panduan anda.

Maksud Zakat Pendapatan, Pendapatan Layak Dikenakan Zakat dan Syarat Wajib Zakat Pendapatan

Seperti yang anda mungkin sudah sedia maklum, membayar zakat adalah rukun Islam yang keempat dan ia merupakan satu kewajipan dalam Islam untuk memberi sumbangan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan. Secara amnya, terdapat dua jenis zakat yang anda perlu ketahui iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat pendapatan merupakan salah satu jenis zakat harta. 

Apa itu Zakat Pendapatan?

Menurut fatwa Wilayah Persekutuan selepas diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, zakat pendapatan merujuk kepada pengeluaran wajib ke atas pendapatan yang meliputi apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus (Subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505]).

Pendapatan yang Layak Dikenakan Dizakatkan 

Berikut merupakan jenis pendapatan yang boleh dikenakan dizakat yang anda perlu tahu:

  1. Gaji
  2. Elaun
  3. Bonus
  4. Komisen
  5. Jualan
  6. Royalti
  7. Lain-lain pendapatan seperti hasil ternakan, pertanian atau sewa rumah

Secara asasnya, tidak semua individu wajib membayar zakat ini kerana ia hanya dikenakan kepada individu yang mempunyai jumlah pendapatan tertentu yang telah ditetapkan oleh institusi pusat zakat mengikut negeri masing-masing. Kebiasaannya, urusan pembayaran zakat ini perlu dijelaskan sebelum 31 Disember setiap tahun untuk membolehkan anda layak mendapat pengecualian cukai pendapatan. Anda diwajibkan untuk membayar zakat pendapatan setiap tahun sekiranya anda memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. 

5 Syarat Bayar Zakat Pendapatan

Berikut merupakan lima syarat wajib mengeluarkan zakat harta yang perlu dipenuhi oleh seorang individu sebelum membayar zakat pendapatan:

1. Beragama Islam

Zakat merupakan satu ibadat yang hanya disyariatkan kepada orang Islam sahaja. Oleh sebab itu, pemilik harta yang layak dikenakan zakat mestilah seseorang yang beragama Islam. 

2. Merdeka

Perkataan merdeka di sini bermaksud bebas daripada sebarang bentuk penghambaan. Para ulama masih lagi mengekalkan ini sebagai salah satu syarat utama membayar zakat walaupun isu penghambaan tidak lagi wujud pada masa kini.

3. Memenuhi Syarat Kadar Nisab Zakat Pendapatan dan Haul

Pendapatan tahunan individu mestilah melepasi kadar yang telah ditetapkan dan cukup haul. Sekiranya, pendapatan tahunan seperti gaji dan elaun melepasi kadar nisab yang ditetapkan, anda wajib membayar zakat ini. Maksud nisab zakat harta adalah kadar harta yang ditetapkan bagi individu yang layak membayar zakat.

Kadar ini ditetapkan berdasarkan cukup haul zakat pendapatan. Perlu diingatkan, kadar nisab sentiasa berubah setiap tahun dan ditentukan oleh institusi zakat. Walau bagaimanapun, sumber kewangan daripada sumber haram dan meragukan seperti rasuah, judi dan riba tidak akan dikenakan zakat. Apa pula maksud haul? Cukup haul pula bermaksud telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki dalam perkiraan tahun Hijrah iaitu selama 354 hari atau mengikut tahun masihi iaitu selama 365 hari.

4. Memiliki Harta Sepenuhnya

Individu harus membuktikan harta atau pendapatan merupakan miliknya 100 peratus dan tidak ada orang lain yang berhak ke atasnya kecuali dirinya sendiri. 

5. Harta Berpotensi untuk Berkembang

Ini bermaksud, harta tersebut adalah harta yang berpotensi untuk berkembang dan boleh beri pulangan kepada pemilik. Contohnya, jika anda membayar zakat, tidak akan berlaku penyusutan nilai.

zakat pendapatan

Kadar Nisab Zakat Pendapatan 2022 Mengikut Negeri di Malaysia 

Setiap negeri telah menetapkan nisab zakat pendapatan yang berbeza-beza. Ini bermakna anda perlu merujuk kepada pusat zakat negeri masing-masing untuk mendapat kepastian jumlah yang perlu dibayar. Anda boleh gunakan sistem kalkulator zakat pendapatan termasuk cara bayar zakat pendapatan online yang disediakan oleh setiap pusat zakat di Malaysia.

Cara Kira Zakat Pendapatan 

Secara amnya, terdapat dua cara pengiraan zakat pendapatan iaitu:

1. Kaedah Tanpa Penolakan 

Cara ini jauh lebih ringkas dan mudah. Anda hanya perlu mengambil jumlah pendapatan tahunan anda dan membuat pengiraan zakat pendapatan sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan. Contohnya, pendapatan tahunan anda adalah sebanyak RM42,000, jumlah yang layak dikenakan ke atas anda adalah sebanyak RM1050 setahun iaitu bersamaan 2.5 peratus.

Pengiraan Zakat

Jumlah

Pendapatan Kasar Setahun x 2.5 Peratus

RM42,000  x 2.5 Peratus

Zakat yang Wajib Dibayar

RM1050

2. Kaedah Selepas Penolakan 

Konsepnya sama seperti pelepasan cukai, pengiraan dibuat berdasarkan jumlah pendapatan bersih iaitu selepas ditolak jumlah pelepasan zakat pendapatan.

Jenis pelepasan yang ada adalah berbeza bagi setiap negeri. Berikut merupakan antara perkara-perkara yang boleh ditolak untuk pengiraan zakat:

          1. Perbelanjaan asas diri sendiri
          2. Nafkah isteri
          3. Perbelanjaan anak-anak
          4. Pemberian kepada ibu bapa
          5. Caruman KWSP
          6. Caruman kepada institusi kewangan, koperasi dan sebagainya (membayar zakat bagi pihak pencarum atau pendeposit seperti Tabung Haji)

Anda boleh rujuk contoh dalam jadual di bawah:

Jumlah

Pendapatan dari Semua Sumber

RM50,000

Perbelanjaan yang Dibenarkan:

    1. Diri Sendiri (RM10,000)
    2. Nafkah Isteri (RM6,000)
    3. Perbelanjaan Anak (RM5,000)
    4. Pemberian kepada Ibu Bapa (RM2,400)
    5. KWSP (RM5,500)

(-) RM28,900

Pendapatan yang Layak Dizakat

(Pendapatan dari Semua Sumber – Perbelanjaan yang Dibenarkan)

RM21,100

Zakat yang Wajib Dibayar 

(2.5 Peratus daripada Pendapatan yang Layak Dizakat)

RM527.50

Cara Bayar Zakat Pendapatan Online dan Juga Secara Fizikal

Umat ​​Islam di Malaysia digalakkan untuk membuat pembayaran zakat di pusat pungutan zakat negeri masing-masing untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Secara asasnya, terdapat beberapa cara yang boleh anda praktikkan untuk membayar zakat anda:

        1. Bayar secara online melalui laman web rasmi Lembaga Zakat setiap negeri
        2. Perbankan internet
        3. MYEG
        4. Pembayaran secara fizikal di cawangan rasmi Lembaga Zakat
        5. Pejabat pos
        6. Kaunter bank atau ATM terpilih
        7. Ejen rasmi yang dilantik

kiraan zakat pendapatan

Laksanakan Kewajipan Membayar Zakat Anda

Pembayaran zakat merupakan satu ibadat yang akan dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan. Golongan-golongan yang akan menerima zakat adalah golongan fakir dan miskin, mualaf, ibu tunggal, anak yatim, pelajar dan sebagainya. Jangan lupa semak jumlah zakat pendapatan yang perlu anda bayar!

Diharapkan artikel ini dapat membantu anda memahami cara pembayaran zakat pendapatan yang dilaksanakan di Malaysia. Sekiranya anda layak untuk membayar zakat pendapatan, anda disarankan untuk menunaikan tanggungjawab ini dengan baik pada setiap tahun.

P.S Anda tengah cari insurans kereta murah? Tidak perlu cari jauh-jauh, dapatkan insurans kereta anda dengan Qoala! Selain insurans kereta, anda juga boleh mendapatkan insurans motor dan insurans rumah di Qoala.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60