9 Jenis Zakat Harta & Cara Kira Zakat

Kali terakhir diperbaharui Aug 11, 2023 oleh Shafiq Wahab
9 Jenis Zakat Harta & Cara Kira Zakat

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, umat Islam yang memenuhi syarat wajib membayar dua jenis zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Pembayaran zakat fitrah dilaksanakan pada bulan Ramadhan manakala zakat harta pula boleh dilaksanakan pada bila-bila masa namun disarankan untuk dibuat pada bulan Ramadhan dan hujung tahun pada bulan disember untuk layak mendapat pengecualian cukai tahun semasa. Artikel ini akan memfokuskan kepada penerangan mengenai zakat harta termasuklah kadar zakat harta, jenis zakat harta seperti zakat saham, zakat perniagaan dan cara pengiraan zakat harta.

Apa itu Zakat Harta dan Siapa yang Perlu Menjelaskan 9 Zakat Harta Ini?

Apakah maksud zakat harta? Secara amnya, zakat merupakan rukun Islam yang keempat dan bertujuan untuk menyucikan harta dengan memberikan sebahagian daripadanya kepada golongan yang memerlukan. Zakat harta ialah zakat yang merangkumi pendapatan, hasil pertanian, ternakan, perniagaan, simpanan, emas dan perak. Setiap zakat harta ada pengiraan atau anggaran harta yang akan dikenakan zakat. Jenis-jenis harta yang termasuk dalam zakat harta adalah seperti berikut:

1. Zakat Pendapatan

Zakat pendapatan merupakan jenis zakat yang dikenakan ke atas pendapatan tahunan kepada umat Islam yang telah bekerja lebih daripada setahun dan mempunyai pendapatan tahunan minimum yang memenuhi syarat. Individu beragama Islam yang memenuhi syarat nisab zakat harta diwajibkan menyumbang 2.5 peratus daripada pendapatan. Pendapatan tersebut merangkumi semua jenis upah dan bayaran yang diperoleh daripada kerja mereka seperti gaji, royalti, komisen, pendapatan sewa, bonus dan sebagainya.

Cara Kira Zakat Pendapatan

Anda boleh rujuk cara pengiraan zakat pendapatan dari artikel pengiraan zakat pendapatan 2022 ini.

2. Zakat Simpanan

Wang simpanan anda juga merupakan salah satu bentuk zakat harta. Zakat ini dikenakan ke atas jumlah wang simpanan yang disimpan dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, akaun simpanan semasa, akaun ASB serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan.

Cara Kira Zakat Simpanan

Terdapat dua situasi yang mempengaruhi cara pengiraan zakat simpanan iaitu simpanan dalam satu akaun atau simpanan dalam beberapa akaun. Berikut merupakan cara pengiraan bagi kedua-dua bentuk simpanan:

Simpanan dalam Satu Akaun

Berikut merupakan contoh cara pengiraan simpanan dalam satu akaun:

Tarikh Simpan Tarikh Keluar Amaun (RM) Baki (RM)
1/1/2022 RM120,000 RM120,000
4/3/2022 (- RM10,000) RM110,000
6/7/2022 (- RM30,000) RM80,000
8/8/2022 RM15,000 RM95,000
31/12/2022 (- RM3,000) RM92,000

Seperti yang anda boleh perhatikan dari contoh di atas, jumlah keseluruhan dalam jadual di atas adalah RM92,000. Jumlah ini melebihi kadar nisab dan genap setahun berdasarkan tahun haul dikira iaitu dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022. Jadi, zakat wang simpanan yang dikenakan adalah seperti berikut:

Baki Terakhir (Setahun) x 2.5 peratus
RM92,000 x 2.5 peratus
= RM2,300

Simpanan dalam Beberapa Akaun

Jika anda mempunyai beberapa akaun simpanan tidak kiralah di dalam bank atau lain-lain institusi kewangan, anda perlu menjumlahkan kesemua baki terakhir bagi setiap akaun simpanan. Kadar zakat yang dikenakan adalah berdasarkan jumlah kesemua baki terakhir tersebut menyamai atau melebihi nisab. Berikut merupakan contoh cara pengiraan simpanan dalam beberapa akaun:

Buku Simpanan Baki Terakhir (RM)
Akaun A RM7,000
Akaun B RM3,000
Akaun C RM10,000
Jumlah Baki Terakhir (A+B+C) RM20,000

Baki Terakhir x 2.5 peratus
RM20,000 x 2.5 peratus
= RM500.00

3. Zakat Saham

Jenis zakat harta yang ketiga adalah zakat saham. Untuk pengetahuan anda, zakat saham dikenakan ke atas pegangan ekuiti yang diperoleh melalui pasaran modal seperti saham, unit amanah, ETF, REIT, dana indeks, bon, sukuk, derivatif dan juga ke atas syarikat persendirian dan koperasi.

Cara Kira Zakat Saham

Cara pengiraan zakat saham terbahagi kepada dua kumpulan iaitu saham yang masih dimiliki melebihi setahun dan saham yang dijual beli untuk tempoh kurang daripada setahun. Berikut merupakan contoh pengiraan zakat saham:

Saham yang Dijual Beli dalam Setahun
Saham Amaun (RM)
Nilai Saham Semasa RM85,000
Baki Semasa Trust Account RM4,000
(-) Kos Berkaitan (-) RM400
Baki Akhir RM88,600

Baki Akhir x 2.5 peratus
RM88,600 x 2.5 peratus
= RM2,215.00

Saham yang Disimpan Melebihi Setahun Bertujuan Menjana Keuntungan Melalui Dividen
Saham Amaun (RM)
Nilai Saham Semasa RM130,000
Baki Semasa Trust Account RM4,000
Dividen RM1,500
(-) Kos Berkaitan (-) RM400
Jumlah Akhir RM135,100

Baki Akhir x 2.5 peratus
RM135,100 x 2.5 peratus
= RM3,377.50

zakat kwsp

4. Zakat KWSP

Jenis zakat harta yang seterusnya adalah zakat KWSP. Seperti yang anda mungkin sudah sedia maklum, pengeluaran KWSP boleh dilakukan apabila anda capai umur persaraan minimum yang ditetapkan atau mengikut permohonan penyimpan sepertimana syarat-syarat dibawah pelbagai Skim Pengeluaran KWSP. Apabila wang KWSP dikeluarkan, anda perlu menunaikan zakat KWSP tanpa menunggu tempoh haul setahun.

Cara Pengiraan Zakat KWSP

Mudah sahaja cara kira zakat KWSP. Berikut cara kira zakat KWSP untuk panduan anda:

Jumlah Wang KWSP Dikeluarkan x 2.5 peratus = Jumlah Zakat
RM50,000 x 2.5 peratus = RM1,250

5. Zakat Perniagaan

Zakat perniagaan merupakan satu jenis zakat harta yang wajiib dikeluarkan oleh peniaga-peniaga yang beragama Islam sahaja. Zakat yang dikeluarkan adalah daripada hasil perniagaan dan dikenakan ke atas semua bentuk perniagaan sama ada persendirian, perkongsian, syarikat, koperasi, perniagaan saham dan sebagainya.

Cara Kira Zakat Perniagaan

Secara asasnya, cara pengiraan zakat perniagaan dilakukan melalui tiga kaedah yang berbeza mengikut jenis perniagaan. Berikut merupakan tiga kaedah untuk panduan anda:

Modal Kerja

[Aset Semasa – Liabiliti Semasa] x Peratus Pemilikan Saham Muslim x 2.5 peratus

Kebiasaannya, digunakan oleh syarikat-syarikat seperti Syarikat Berhad, Sdn. Bhd., Koperasi, Enterprise, Trading dan sebagainya di mana terdapat pengkelasan aset semasa dan liabiliti semasa.

Modal Berkembang

[Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Separuh Tetap] x Peratus Pemilikan Saham Muslim x 2.5 peratus

Sesuai digunakan bagi Institusi Kewangan dan Perbankan Islam, Takaful dan Syarikat Berhad yang tidak ada pengkelasan aset semasa dan liabiliti semasa.

Untung Rugi

[Hasil/Jualan/Perolehan – Belanja/Kos yang Ditanggung] x 2.5 peratus

Sesuai digunakan bagi jenis perniagaan yang tidak ada akaun atau penyata kewangan seperti peniaga kecil dan runcit. Contohnya adalah seperti pasar tani, pasar malam, restoran, dan lain-lain perniagaan yang berkaitan.

6. Zakat Emas

Dalam Islam, emas merupakan simbol kekayaan harta yang bernilai dan mempunyai potensi untuk berkembang dari segi nilai. Oleh sebab keistimewaan yang dimilik oleh emas dan menjadi ukuran kekayaan maka Islam mewajibkan zakat ke atas emas.

Pengiraan Zakat Emas

Secara umumnya, terdapat dua jenis pengiraan emas untuk dizakatkan dan setiap kiraannya berbeza-beza bagi dua situasi berikut:

Emas Perhiasan Dipakai

Berikut merupakan contoh pengiraan bagi emas perhiasan dipakai:

Berat Emas Dipakai (Jika Melebihi Nilai Uruf) x Harga Emas Semasa x 2.5 Peratus Kadar Zakat

900 gram x RM165.68 (contoh) x 2.5 peratus
= RM3,727.80

Emas Yang Disimpan (Tidak Dipakai)

Berikut merupakan contoh pengiraan bagi emas perhiasan dipakai:

Berat Emas Dipakai x Harga Emas Semasa 1 Gram x 2.5 Peratus Kadar Zakat
200 gram x RM165.68 (contoh) x 2.5 peratus
= RM828.40

7. Zakat Perak

Zakat perak dikira ke atas logam perak yang dimiliki sama ada dalam bentuk jongkong, bar, syiling atau matawang, perkakas, barang perhiasan dan barang kemas perak. Nisab zakat perak adalah 200 dirham atau bersamaan 595 gram perak.

Cara Kira Zakat Perak

Tidak seperti zakat emas yang membahagikan kaedah pengiraan mengikut situasi-situasi berbeza, zakat perak cuma dikira berdasarkan satu kaedah sahaja tak kira sama ada perak tersebut digunakan sebagai perhiasan, disimpan atau dicagarkan. Zakat perak dikira berdasarkan harga semasa logam perak yang dimiliki.

Timbangan Perak x Nilai Perak x 2.5 Peratus

1000 gram x RM1.97 (contoh) x 2.5 peratus
= RM49.25

zakat pertanian

8. Zakat Pertanian

Zakat pertanian merujuk kepada hasil tanaman jenis bijirin yang merupakan makanan yang mengenyangkan seperti padi, kurma, jagung dan gandum. Nisab zakat pertanian adalah cukup atau melebihi sukatan lima Ausuk bersamaan 363 gantang Malaysia atau 907 kg. Bagi tanaman yang tidak berada dalam kategori makanan asas pula seperti kelapa, getah, lada hitam, kelapa sawit dan lain-lain tidak termasuk dalam kategori zakat pertanian. Sebaliknya, zakat perniagaan akan dikenakan sekiranya hasil tanaman tersebut diniagakan.

Pengiraan Zakat Pertanian

Kadar zakat pertanian dikira secara berbeza mengikut kaedah penghasilan atau siraman atau pengairannya.

Kaedah 1

Jika penghasilan, siraman, atau pengairan dilakukan manusia atau binatang ternakan atau menggunakan teknologi moden, maka kadar zakat pertanian adalah lima peratus atau 1/20.

Kaedah 2

Jika penghasilan, siraman atau pengairan menggunakan kaedah semulajadi seperti aliran sungai, parit atau hujan, maka kadar zakat pertanian adalah 10 peratus atau 1/10. Jika menggunakan kedua-dua kaedah, maka kadar zakat pertanian adalah 7.5 peratus.

9. Zakat Ternakan

Zakat ternakan dikeluarkan untuk binatang-binatang yang dijadikan ternakan seperti lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan unta. Binatang-binatang ternakan ini akan dikenakan zakat dengan syarat binatang ternakan itu dipelihara dan mendapat hasil daripadanya sama ada dijual hidup-hidup atau terima hasil daripada penjualan daging atau susu. Namun begitu, binatang yang digunakan untuk bekerja seperti membajak sawah atau mengangkut barang tidak dikenakan zakat ternakan.

Cara Pengiraan Zakat Ternakan

Kadar zakat ternakan bergantung kepada jenis binatang, jantina dan juga bilangan.

Kesimpulannya, anda wajib melaksanakan kewajipan membayar jenis-jenis zakat harta sekiranya anda memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik, insurans motor murah atau insurans rumah terbaik, anda boleh layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform beli insurans yang mudah, telus dan pantas dengan tawaran harga kompetitif dan berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60