8 Faktor yang Mempengaruhi Kadar Susut Nilai Kereta Anda

8 Faktor yang Mempengaruhi Kadar Susut Nilai Kereta Anda

Apabila anda membeli kereta, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan seperti model, spesifikasi dan harga kereta, kos tambahan yang perlu ditanggung seperti kos minyak petrol, penyelenggaraan kereta serta kemampuan anda membayar balik pinjaman kereta. Selain itu, terdapat satu lagi perkara penting yang ramai terlepas pandang iaitu kadar susut nilai kereta tersebut. Artikel kali ini akan menerangkan semua yang anda perlu tahu tentang kadar susut nilai kereta termasuk faktor mempengaruhi susut nilai dan sebagainya. 

Faktor yang Mempengaruhi Susut Nilai Kereta  

Kadar susut nilai kereta merujuk pada perbezaan antara nilai asal kereta pada masa pembelian dan nilai akhir pada masa penjualan kereta tersebut. Untuk pengetahuan anda, nilai kereta yang anda beli akan menurun atau menyusut dari tahun ke tahun. Jika anda berhasrat untuk jual atau trade-in kereta anda pada satu hari nanti, anda mungkin akan mendapati nilai pasaran kereta anda jauh lebih rendah berbanding harga kereta semasa anda beli. 

Secara asasnya, banyak faktor yang mempengaruhi susut nilai kereta. Biasanya, setiap kereta mempunyai kadar susut nilai yang berbeza bergantung pada situasi seperti tabiat pemanduan, model serta jenama kereta dan sebagainya. Sebagai pembeli, anda harus mempertimbangkan faktor kadar susut nilai kereta ini dengan serius supaya anda tidak akan mengalami kerugian yang tinggi sekiranya anda mahu menjual kereta anda. Berikut adalah faktor-faktor yang mempengaruhi kadar nilai susut kereta:

1. Mileage Kereta

Apabila anda menggunakan kereta dengan lebih kerap untuk kegunaan harian seperti memandu ke pejabat, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya, ia akan menyebabkan bacaan mileage kereta atau perbatuan kereta tinggi. Ini akan menyebabkan nilai kereta anda menyusut kerana mileage yang tinggi boleh menyebabkan kereta anda perlu diselenggara dengan lebih kerap.

Sekiranya anda menjual kereta anda pada suatu hari nanti, faktor mileage ini akan diambil kira kerana segala kos-kos wear and tear ini akan perlu ditanggung oleh pemilik kereta yang baharu. Secara purata, anggaran perbatuan biasa adalah sekitar 10,000 hingga 12,000 batu setahun.

2. Jenama Kereta & Reputasinya

Susut nilai sesebuah kenderaan adalah berbeza bergantung pada jenis model, jenama dan tahun pembuatan. Sesetengah model kereta mempunyai reputasi yang baik sekali gus menjadikannya jenama kereta yang popular dalam kalangan pembeli kereta. Dengan kata lain, susut nilai kenderaan boleh dipengaruhi oleh kadar kebolehpercayaan pengguna terhadap sesebuah model atau jenama kereta. Contohnya, kereta Myvi merupakan satu kereta yang sangat popular dalam kalangan pemandu di Malaysia dan ia mempunyai kadar susut nilai yang rendah berbanding model kereta lain dalam pasaran.

3. Sejarah Servis Kereta

Apabila pembeli yang berminat untuk beli kereta anda tahu yang anda sentiasa servis kereta mengikut jadual, anda akan dapat menjual kereta anda pada harga yang lebih tinggi. Ia secara tidak langsung menyakinkan pembeli bahawa kereta anda dijaga dengan baik. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk merekodkan jadual penyelengaraan kereta atau simpan resit perbelanjaan dalam buku manual penyelenggaraan kereta anda untuk memudahkan rujukan. 

Penyelenggaraan atau servis kereta secara berkala juga dapat mencegah kereta anda daripada mengalami kerosakan yang teruk pada bahagian enjin kereta, bateri kereta, spark plug kereta, penapis udara dan sebagainya. 

4. Keadaan Kereta

Kerosakan-kerosakan tertentu pada bahagian badan, ruang dalaman atau luaran kereta seperti calar atau kesan kemalangan boleh mengurangkan nilai semasa kereta. Pastikan anda menjaga kereta dengan baik dansentiasa pantau keadaan kereta dari masa ke semasa sama ada terdapat sebarang keganjilan kesan kemik atau warna cat kereta pudar dan sebagainya. 

Contohnya, kalau anda mendapati stereng kereta anda bergegar dengan kerap, anda perlu selesaikan masalah ini dengan segera dan pastikan masalah ini tidak berlarutan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk kepada kereta yang boleh menjejaskan nilai kereta anda.  

5. Tempoh Waranti

Dari perspektif pembeli kereta terpakai, kereta yang dibeli masih mempunyai waranti merupakan satu bonus. Secara umumnya, pengeluar kereta menawarkan tempoh jaminan waranti kereta antara lima hingga tujuh tahun bergantung pada model. Biasanya, nilai kereta yang dijual dalam tempoh waranti tidak akan menyusut dengan begitu tinggi atau ketara.

6. Bahan Api Kereta

Kereta tidak makan minyak atau kereta yang mempunyai teknologi penjimatan bahan api biasanya mempunyai resale value yang lebih tinggi berbanding model kereta yang tidak cekap penggunaan bahan api. Bukan itu sahaja, ia juga satu pilihan yang popular dalam kalangan pembeli kereta terpakai. Di Malaysia, terdapat banyak model kereta yang mempunyai ciri mod eco atau ciri jimat minyak di jalan raya seperti Perodua, Toyota dan sebagainya. 

Secara umumnya, kereta yang mempunyai ciri ini mempunyai kadar susut nilai yang rendah. Selain itu, turun naik harga pasaran minyak atau bahan api juga turut boleh mempengaruhi nilai jualan semula kereta anda. 

7. Saiz Kereta

Seterusnya, saiz kereta juga mampu mempengaruhi susut nilai kereta. Kebiasaannya, kereta yang mempunyai saiz yang lebih besar seperti MPV atau SUV akan mengalami susut nilai yang lebih tinggi berbanding kereta saiz kecil. Hal ini kerana, kereta bersaiz besar memerlukan perbelanjaan yang lebih besar untuk menampung kos penyelenggaraan kereta, alat ganti dan penggunaan bahan api yang lebih tinggi.

8. Bilangan Pemilik

Sekiranya anda membeli kereta terpakai, anda perlu mengambil kira faktor seberapa ramai pemilik yang pernah memiliki kenderaan tersebut sebelum anda menjualnya semula. Ini kerana, nilai semasa kereta anda dipengaruhi oleh bilangan pemilik –semakin ramai pemilik bertukar tangan, semakin rendah nilai semasa kereta anda.

susut nilai kenderaan

Kadar Susut Nilai Kenderaan yang Anda Perlu Tahu Sebelum Membeli Kereta Baru

Banyak faktor yang mempengaruhi kadar susut nilai sesebuah kenderaan. Kereta baru secara amnya mengalami susut nilai lebih cepat berbanding kereta terpakai tanpa mengira model atau jenama kereta yang anda miliki. Berikut merupakan kadar susut nilai kenderaan yang anda boleh jangkakan selepas membeli kereta baru anda:

Selepas Anda Mula Memandu

Apabila anda bawa kereta yang anda baru beli keluar dari pusat jualan kereta, nilai kereta anda akan mula menyusut sekitar 10 peratus. 

Selepas Satu Tahun

Kereta akan mengalami susut nilai terbesar dalam tempoh satu tahun atau 12 bulan yang pertama iaitu sekitar 15 hingga 35 peratus. Selepas setahun, kereta anda mungkin mengalami pengurangan sehingga 20 peratus daripada harga pembelian.

Selepas Dua hingga Lima Tahun

Nilai kereta anda akan menurun dalam lingkungan 15 hingga 25 peratus setiap tahun sehinggalah tahun kelima.

Selepas Lima Tahun

Selepas lima tahun, anda mungkin akan mendapati kereta anda mungkin bernilai dalam 40 peratus sahaja daripada harga pembelian anda. Selepas lima tahun, kereta baru biasanya akan kehilangan sekitar 60 peratus daripada nilai asalnya.

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, Qoala akan berkongsikan satu jadual anggaran susut nilai kenderaan. Dalam jadual ini, Proton Saga 1.3 Premium AT akan dijadikan contoh untuk panduan anda. Harga bagi tahun 2022 bagi model ini adalah sebanyak RM39,300.

Tahun Peratus Susut Nilai (%) Susut Nilai (RM)
Selepas Membeli 10 35,370
Selepas Satu Tahun  20 31,440
Selepas Lima Tahun 60 13,720

pengiraan susut nilai kereta

Tips Memastikan Kadar Susut Nilai Kenderaan Tidak Terlalu Tinggi

Tiada perkara yang boleh menghalang kereta anda daripada menyusut. Namun begitu, terdapat beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk meminimumkan kadar susut nilai kereta anda. Ikuti tips-tips berikut:

1. Memandu dengan Selamat

Kemalangan jalan raya terutama sekali kemalangan yang besar sehingga menyebabkan kerosakan struktur kereta boleh menyebabkan kereta mengalami susut nilai yang tinggi. Apabila anda terlibat dalam kemalangan, sebarang claim kemalangan atau pembaikan yang dilakukan oleh syarikat insurans kereta akan dicatat dalam rekod kenderaan anda.

2. Pastikan Bacaan Mileage Kereta atau Perbatuan Rendah

Seperti yang telah dinyatakan pada awal tadi, lebih tinggi bacaan mileage atau semakin kerap kereta anda dipandu, lebih tinggi kemungkinan kereta anda akan menghadapi masalah-masalah tertentu. Dengan mengekalkan bacaan perbatuan kereta anda serendah mungkin, anda boleh meminimumkan kadar susut nilai kenderaan anda. 

3. Elakkan Pengubahsuaian Kereta Berlebihan

Sebelum anda tambah aksesori kereta seperti turbo kereta sport atau memasang sistem bunyi dengan pembesar suara pada bahagian bonet, anda perlu tahu yang ini boleh menyebabkan kereta mengalami penurunan harga dengan lebih ketara. Namun begitu, ia tidak bermaksud anda tidak boleh lakukan sebarang pengubahsuaian pada kereta anda – anda boleh modified kereta tetapi tidak berlebihan dan mematuhi standard yang dibenarkan oleh JPJ. Pastikan pengubahsuaian dilakukan pada tahap minimum untuk memastikan kereta anda tidak susut nilai semata-mata kerana pilihan peribadi anda.

4. Kerap Melakukan Servis

Pastikan kereta anda diservis mengikut waktu yang disyorkan pengeluar dan simpan resit. Rekod lengkap penyelenggaraan terdahulu boleh meyakinkan pembeli dan memberi ketenangan fikiran kepada bakal pembeli.

5. Membeli Kereta Terpakai

Secara amnya, apabila anda membeli kereta terpakai, anda akan dapat beli kereta dengan harga murah. Selain itu, kereta terpakai tanpa mengira model atau jenama kereta yang anda miliki biasanya mengalami susut nilai yang lebih rendah berbanding kereta baru. 

6. Memilih Warna Kereta yang Popular

Walaupun pemilihan warna yang menarik ini subjektif dan bergantung pada individu, anda boleh membuat sedikit kajian atau bertanyakan soalan kepada jurujual kereta tentang pilihan warna kereta popular bagi model yang anda inginkan. Ada sesetengah warna mungkin menarik di mata anda, tetapi boleh membuatkan pihak pembeli berfikir banyak kali.

7. Kajian Menyeluruh

Buat tinjauan sebelum membeli kereta baru dan kenal pasti kadar susut nilai untuk model atau jenama kereta yang anda ingin dapatkan. Pastikan anda membuat pilihan terbaik apabila membeli kereta. Dapatkan nasihat daripada ahli keluarga atau kenalan yang mahir dalam bidang automotif sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta tertentu. 

Anda mungkin akan jual kereta yang anda miliki dalam masa beberapa tahun akan datang tidak kiralah sama ada disebabkan pertambahan ahli dalam keluarga atau sebab-sebab tertentu yang lain. Dengan mengetahui anggaran nilai pasaran kereta anda untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, anda dapat membuat keputusan yang lebih strategik dan mengelakkan anda daripada membeli kereta dengan kadar susut nilai yang tinggi. 

Anda disarankan untuk mengambil kira faktor susut nilai kenderaan sebelum ambil keputusan beli kereta. Ia secara tidak langsung dapat mengelakkan anda daripada mengalami kerugian yang besar sekiranya anda mahu menjual kereta anda nanti.  Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik di Malaysia, layari laman web Qoala untuk nikmati tawaran harga insurans kereta murah. Jangan tunggu lama-lama, jom lindungi kereta anda dengan Qoala!  

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60