7 Tips Pilih Pakej Umrah Terbaik 2022 

7 Tips Pilih Pakej Umrah Terbaik 2022 

Bagaimana cara untuk memilih pakej umrah yang sesuai untuk anda? Memang tidak dinafikan, mencari tawaran pakej Umrah terbaik ini boleh menjadi sangat mencabar kerana banyak faktor-faktor yang perlu diberi perhatian dan dipertimbangkan. Artikel ini akan membantu anda mengenal pasti perkara-perkara penting sebelum anda memilih pakej Umrah terbaik, cara membuat perancangan Umrah dari segi kewangan dan tips memilih pakej Umrah terbaik.

Perancangan Kewangan Umrah, Ikuti 7 Tips untuk Pilih Pakej Umrah 2022

Apa maksud umrah? Secara asasnya, umrah yang juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’ merupakan perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud ziarah. Dari segi syarak pula, ia bermaksud menziarahi Baitullah al-Haram untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.

Setiap tahun, berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia akan mengunjungi tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadah Umrah. Ibadah Umrah boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali pada musim Haji (antara 8 hingga 12 Zulhijjah). Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau MOTAC, harga lantai atau kos minimum untuk menunaikan Umrah adalah sebanyak RM6,900 untuk pakej standard 12 hari 10 malam.

Secara amnya, terdapat  dua cara untuk anda menunaikan ibadah Umrah ini. Pertama, anda boleh menunaikan ibadah Umrah ini dengan membuat perancangan sendiri tanpa bantuan agensi (Umrah DIY). Walau bagaimanapun, untuk memastikan perjalanan di tanah suci berjalan dengan lancar, anda disarankan untuk mengikuti cara yang kedua iaitu mendapatkan perkhidmatan agensi dan menunaikan ibadah ini secara berkumpulan dengan jemaah yang lain. 

Di Malaysia, banyak agensi yang boleh membantu memenuhi hasrat anda untuk menunaikan Umrah. Persoalannya, apa yang perlu anda pertimbangkan semasa membuat perbandingan pakej Umrah dan agensi? Bahagian ini akan membantu anda mengetahui faktor-faktor yang anda patut nilai sebelum membuat pemilihan. Berikut merupakan beberapa perkara yang anda perlu berikan perhatian: 

1. Membuat Perancangan Awal

Anda boleh bermula dengan membuat perancangan lebih awal sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan sebelum anda menunaikan ibadah Umrah. Ini akan memberikan anda masa yang cukup untuk mencari agensi yang menawarkan pakej Umrah yang anda mahukan selain memastikan anda dapat merancang kewangan anda. Selain itu, tempoh masa ini membolehkan anda membuat perancangan yang lebih rapi berdasarkan bajet anda.

2. Mengenal Pasti Servis yang Ditawarkan 

Perkara kedua yang anda perlu kenal pasti apabila memilih agensi adalah servis-servis yang ditawarkan. Periksa dengan teliti semua maklumat di dalam pakej yang ditawarkan. Pastikan agensi-agensi yang anda telah senarai pendek menawarkan servis-servis berikut:

        1. Urusan visa Umrah
        2. Urusan penerbangan untuk pergi dan balik
        3. Jadual perjalanan semasa melaksanakan Umrah
        4. Pengangkutan dan logistik
        5. Itinerari
        6. Insurans perjalanan
        7. Kursus Umrah
        8. Perkongsian ilmu atau pembelajaran sepanjang perjalanan

3. Memeriksa Rekod Agensi Umrah

Ingat, tanggungjawab agensi yang anda pilih adalah untuk memudahkan urusan Umrah anda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memeriksa rekod agensi umrah yang dipilih untuk mengelakkan anda daripada tertipu. Kepakaran agensi dalam mengendalikan jemaah Umrah ini sangatlah penting dan ia merupakan salah satu perkara yang anda perlu pertimbangkan dengan serius. Anda perlu memastikan pakej Umrah, penginapan hotel di Mekah atau Madinah, penerbangan pergi balik dan sebagainya diuruskan dengan baik. Oleh sebab itu, penting untuk anda memahami:

        1. Tanggungjawab agensi pelancongan
        2. Hak anda sebagai musafir dan jemaah Umrah
        3. Syarat pembatalan dan pampasan jika terdapat sebarang pembatalan daripada pihak syarikat atau dari pengembara/jemaah haji

Anda juga perlu memastikan yang agensi yang anda pilih mempunyai reputasi yang baik. Pastikan juga agensi tersebut boleh dipercayai dan mampu menawarkan perkhidmatan yang terbaik tanpa sebarang keraguan.

Zaman sekarang ini sangat mudah untuk menyemak reputasi dan kepakaran sesebuah agensi pelancongan. Anda boleh buat semakan melalui laman web, laman media sosial dan ulasan di Google yang ditulis oleh mereka yang berpengalaman atau pernah menggunakan perkhidmatan agensi-agensi ini. 

4. Perbandingan Pakej Umrah

Anda perlu membandingkan kos bagi memilih pakej Umrah terbaik. Semak sekurang-kurangnya empat hingga lima agensi Umrah berdaftar sebelum membuat keputusan. Terdapat persaingan yang besar dalam pasaran agensi Umrah dan pelancongan di Malaysia. Justeru, anda boleh memilih agensi yang menawarkan pakej terbaik seperti harga murah hotel dekat dan sebagainya. Berikut merupakan antara pakej Umrah daripada beberapa agensi Umrah di Malaysia yang boleh dipercayai:

        1. Pakej Umrah Tabung Haji 
        2. Umrah Andalusia
        3. Felda Travel
        4. Emraz Travel

Kebiasaannya, harga pakej Umrah bergantung pada faktor seperti:

        1. Jarak dari Masjidil Haram di Mekah atau Masjid Nabawi ke hotel. Tempat penginapan yang jauh dari masjid biasanya ditawarkan pada harga yang lebih murah. 
        2. Jenis penerbangan sama ada kelas bisnes atau kelas ekonomi juga mempengaruhi harga pakej yang ditawarkan. 
        3. Waktu puncak (peak season) seperti bulan Ramadhan dan cuti sekolah juga boleh menyebabkan harga pakej Umrah meningkat.

Perlu juga diingatkan, jangan mudah terpengaruh dengan pakej-pakej Umrah yang ditawarkan pada harga murah yang tidak masuk akal. Besar kemungkinan ia merupakan penipuan. Ramai yang telah menjadi mangsa penipuan scammer dan baru-baru ini ada kes jemaah Umrah mengamuk di KLIA kerana ditipu agensi Umrah tidak berdaftar. Insiden ini telah menyebabkan bakal jemaah kehilangan wang simpanan yang sangat banyak sehingga beratus ribu ringgit. 

5. Memilih Pakej Mengikut Keperluan

Ambil pakej berdasarkan keperluan dan elakkan daripada  ambil pakej yang anda tidak perlu. Contohnya, anda tidak perlu membelanjakan wang secara berlebihan dengan membeli tiket penerbangan kelas perniagaan. Penerbangan kelas ekonomi pun sudah memadai. Namun begitu, sekiranya anda mempunyai bajet lebih dan mahukan perjalanan yang lebih selesa, anda boleh memilih pakej yang sesuai mengikut citarasa anda.

6. Mengenal Pasti Cara Pembayaran 

Biasanya, pembayaran boleh dibuat secara tunai atau melalui transaksi dalam talian. Agensi pelancongan wajib mengeluarkan resit yang mengandungi butiran pakej serta butiran anda selepas pembayaran dilakukan. Simpan resit pembayaran daripada agensi pelancongan untuk rujukan pada masa hadapan. Selain itu, pastikan transaksi online yang dibayar dikreditkan kepada akaun agensi pelancongan dan bukan dilakukan kepada syarikat pihak ketiga. Jika terdapat sebarang keraguan, anda dinasihatkan untuk jangan teruskan transaksi dan cari agensi lain.

7. Dapatkan Itinerari Umrah

Biasanya, perjalanan Umrah akan mengambil masa sekitar 10 hari hingga 12 hari. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan salinan jadual perjalanan supaya anda boleh merancang perjalanan anda dan juga mengetahui tempat-tempat yang bakal anda kunjungi. Dengan maklumat-maklumat seperti ini, anda boleh merancang perbelanjaan anda di sana dengan lebih baik. 

syarat umrah 2022

Membuat Perancangan yang Terbaik Akan Memudahkan Urusan Anda

Selain ibadah Haji, Umrah adalah salah satu ibadah terbaik yang boleh dilakukan oleh umat Islam. Sekiranya anda diberi kesempatan mengerjakan Umrah, anda hendaklah sentiasa bersyukur kerana diberi peluang keemasan ini untuk menjadi tetamu Allah SWT. Anda perlu ingat faktor-faktor seperti bajet anda dan agensi yang anda pilih memainkan peranan yang sangat penting apabila anda menunaikan ibadah Umrah. 

Dari segi perbelanjaan, anda perlu kenal pasti jenis-jenis perbelanjaan yang anda bakal tanggung dan proses yang perlu dihadapi seperti kos insurans perjalanan, proses permohonan visa, pengangkutan, bilik hotel dan sebagainya. Selain itu, anda juga perlu membeli barang keperluan menunaikan umrah seperti telekung, stokin, jubah, ihram, tshirt putih, tali pinggang dan lain-lain. Malah, kos ini mungkin bertambah sekiranya ibadah Umrah dilakukan pada musim sejuk.

P.S Anda tengah cari insurans kereta terbaik di Malaysia? Tak perlu cari jauh-jauh, dapatkan insurans kereta anda dengan Qoala!  Selain insurans kereta, anda juga boleh mendapatkan insurans motor dan insurans rumah di Qoala.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60