Adakah Anda Patut Buka Simpanan Deposit Tetap?

Kali terakhir diperbaharui Sep 26, 2023 oleh Shafiq Wahab
Adakah Anda Patut Buka Simpanan Deposit Tetap?

Deposit tetap atau turut dikenali sebagai simpanan tetap merupakan sejenis akaun bank yang membolehkan anda melakukan simpanan untuk sesuatu tempoh yang ditetapkan sama ada tiga bulan, enam bulan atau 12 bulan bergantung pada keperluan anda. Secara asasnya, anda bersetuju untuk tidak mengusik atau mengeluarkan dana tersebut untuk jangka masa tertentu dan anda akan menerima satu kadar tetap daripada bank apabila tempoh itu matang sebagai pulangan.

5 Sebab Kenapa Anda Perlu Melabur dalam Deposit Tetap

Pelaburan deposit tetap atau fixed deposit boleh digunakan untuk tujuan kecemasan atau objektif jangka pendek seperti bayar deposit beli rumah, kos pendidikan dan sebagainya. Simpanan wang deposit tetap secara amnya kurang sesuai untuk pelaburan jangka panjang. Sekiranya anda ingin kembangkan dana untuk jangka masa panjang, anda disarankan untuk menyimpan dalam instrumen kewangan lain seperti Unit Amanah Saham atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

1. Akses Wang Lebih Mudah

Pelaburan dalam deposit tetap menawarkan banyak kelebihan. Antara kelebihan melabur dalam deposit tetap ialah anda boleh mengakses wang anda dengan lebih mudah berbanding produk pelaburan lain pada bila-bila masa. Ini kerana, simpanan deposit tetap lebih mudah untuk dicairkan. Ini bermaksud, wang anda boleh dikeluarkan dengan cepat jika ada kes kecemasan seperti kereta rosak tiba-tiba dan memerlukan belanja untuk pembaikan.

Meskipun begitu, anda perlu sedar akan perkara ini – jika anda keluarkan wang simpanan anda lebih awal atau sebelum tempoh matang, anda mungkin akan hilang sebahagian atau kesemua faedah yang sepatutnya anda terima. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk ketahui dan fahami syarat-syarat pengeluaran untuk mengelakkan anda daripada mengalami kerugian akibat kehilangan faedah.

Bahagikan Simpanan Deposit Tetap kepada Beberapa Akaun Lebih Kecil

Sekiranya anda ingin melabur wang simpanan anda dalam deposit tetap, pertimbangkan untuk bahagikannya kepada beberapa akaun yang lebih kecil. Sebagai contoh, jika anda ingin menyimpan sebanyak RM10,000 untuk tempoh enam bulan, anda boleh menyimpan RM2,000 dalam lima akaun yang berbeza.

Dengan cara ini, anda boleh selamatkan pulangan atau faedah baki simpanan anda dalam empat akaun lain jika anda membuat keputusan untuk keluarkan sebahagian daripada wang simpanan untuk tujuan kecemasan.

2. Tidak Memerlukan Pengetahuan yang Mendalam

Meskipun anda tidak mempunyai pengetahuan kewangan asas, anda masih boleh melabur dalam deposit tetap. Ini kerana, pelaburan deposit tetap membolehkan anda menikmati pulangan modal yang dijamin. Namun berbeza dengan pelaburan saham atau unit amanah, anda perlu memiliki ilmu dan pengetahuan mencukupi selain perlu buat kajian teliti bagi mengenal pasti prospek yang memberikan keuntungan maksimum. Jika tersilap langkah, anda mungkin mengalami kerugian.

3. Kadar Pulangan Lebih Baik

Jika dibandingkan pulangan deposit tetap dengan pulangan akaun simpanan biasa, deposit tetap menjanjikan kadar pulangan yang lebih tinggi. Namun begitu, ia tertakluk pada situasi dan syarat-syarat tertentu. Anda perlu biarkan wang tersebut tanpa diusik mengikut tempoh masa yang telah dipersetujui bagi memaksimumkan pulangan. Jika anda ambil keputusan untuk keluarkan simpanan anda sebelum tempoh matang, anda boleh mengalami kehilangan faedah.

Oleh sebab itu, anda disarankan untuk menetapkan tempoh pelaburan bergantung kepada kesesuaian dan kemungkinan anda akan menggunakan duit simpanan dalam tempoh tersebut. Dalam erti kata lain, pilih tempoh pelaburan yang anda yakin anda tidak perlu mengeluarkan wang simpanan tersebut lebih awal.

Beza Akaun Simpanan vs Akaun Simpanan Tetap

Secara asasnya, akaun simpanan tetap adalah sama seperti akaun simpanan biasa – kedua-duanya merupakan pelaburan risiko rendah. Namun begitu, perbezaan paling utama antara kedua-dua simpanan ini ialah kadar faedah. Akaun fixed deposit menawarkan kadar faedah tahunan yang lebih tinggi biasanya sekitar 1.4 peratus hingga 2.4 peratus. Manakala, akaun simpanan biasa pula menawarkan kadar faedah tahunan antara 0.2 peratus hingga 1.5 peratus.

Meskipun begitu, ada sesetengah akaun simpanan yang menawarkan kadar faedah yang sama (atau lebih tinggi) berbanding akaun fixed deposit dengan syarat anda perlu menyimpan amaun simpanan yang tinggi, menggunakan akaun anda untuk pembayaran bil tertentu atau membayar jumlah minimum menggunakan kad kredit atau debit setiap bulan. Anda boleh rujuk bank anda untuk info lanjut.

4. Keuntungan Deposit Tetap Dijamin

Sekiranya anda seorang yang memiliki tahap toleransi risiko yang rendah atau inginkan pulangan hasil yang pasti, deposit tetap merupakan antara pilihan pelaburan yang tepat untuk anda. Ini kerana, anda tidak perlu takut mengalami kerugian atau risau akan sebarang risiko pelaburan. Anda dari awal-awal lagi boleh ketahui anggaran jumlah pulangan yang anda bakal terima bergantung pada jangka masa pelaburan yang anda pilih. Pihak bank biasanya mempamerkan struktur kadar faedah yang diterima di laman web mereka.

Biasanya, kadar faedah yang dinyatakan ditulis berdasarkan pengiraan faedah secara tahunan (% setahun). Ini bermaksud, anda perlu bahagikan dengan 12 dan darab dengan bilangan bulan wang anda dilaburkan untuk ketahui anggaran pulangan yang mungkin diterima. Meskipun jumlah pulangan yang diterima mungkin lebih rendah daripada hasil pelaburan dalam pasaran saham, tetapi sekurang-kurangnya keuntungan adalah terjamin dan anda tidak perlu ragu-ragu dengan sebarang risiko kerugian atau sebagainya.

5. Pelaburan Dilindungi

Selain itu, simpanan dalam deposit tetap atau fixed deposit merupakan pelaburan bebas risiko. Ini bermaksud, modal yang anda laburkan dijamin oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000. PIDM ialah sebuah pertubuhan kerajaan yang akan membuat bayaran balik kepada pendeposit sekiranya bank tidak mampu membuat bayaran balik.

Oleh sebab itu, sekiranya anda ingin memasukkan wang lebih daripada RM250,000 dalam deposit tetap, anda disarankan untuk buka akaun deposit tetap daripada bank yang berlainan. Ini kerana, setiap satu akaun bank tersebut layak mendapat perlindungan sehingga RM250,000. Dengan cara ini, ia dapat mengurangkan risiko anda kehilangan wang anda sekiranya bank menjadi muflis atau tidak berupaya membuat pembayaran kepada pendeposit.

Selain itu, sekiranya anda merancang untuk mendapatkan insurans kereta terbaik di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah, anda boleh layari laman web Qoala, platform insurans kereta murah di Malaysia untuk info lanjut.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60