Cara Buat Akaun Perniagaan untuk Bisnes Anda

Kali terakhir diperbaharui Mar 6, 2023 oleh Shafiq Wahab
Cara Buat Akaun Perniagaan untuk Bisnes Anda

Bagaimana cara buat akaun perniagaan untuk bisnes anda? Sebenarnya, ramai peniaga yang anggap mereka tidak perlu akaun perniagaan dan memilih untuk terus menggunakan akaun simpanan peribadi untuk segala urusan perniagaan. Artikel ini akan menjelaskan tiga sebab utama anda perlu buka akaun semasa khusus untuk perniagaan dan cara buat akaun perniagaan anda.

Kenapa Perlu Ada Akaun Perniagaan?

Memang tidak dinafikan, pengurusan bisnes ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana terdapat banyak elemen penting yang perlu diuruskan dalam bisnes terutama sekali dari segi kewangan. Oleh sebab itu, anda perlu mengambil langkah bijak dalam menguruskan bisnes anda seperti mengambil peluang bantuan perniagaan atau buka akaun bank khusus untuk segala urusan perniagaan.

Tidak kiralah perniagaan anda masih lagi kecil atau sedang membangun, anda disarankan untuk membuka satu akaun khusus untuk perniagaan anda kerana ia akan memudahkan urusan perniagaan anda. Ingat, perniagaan anda mungkin akan terus berkembang dan ini bermakna akan ada semakin banyak transaksi yang akan dibuat melalui akaun bank. Anda perlu mempertimbangkan untuk buka akaun bank perniagaan sekiranya:

1. Terlalu Banyak Transaksi Keluar dan Masuk di Akaun Simpanan

Tahukah anda, akaun simpanan peribadi anda boleh ditamatkan atau disekat oleh pihak bank sekiranya terdapat terlalu banyak transaksi? Hal ini kerana akaun simpanan ada had transaksi yang tersendiri. Sekiranya berlaku apa-apa transaksi-transaksi dalam sesebuah akaun yang boleh menimbulkan kecurigaan, pihak bank boleh mengenakan sekatan sementara ke atas akaun tersebut. Ini bagi membolehkan penilaian menyeluruh dilakukan bagi memastikan aliran keluar masuk wang bukan daripada aktiviti penipuan scammer atau aktiviti-aktiviti jenayah lain.

2. Mahu Elak Duit Perniagaan Digunakan untuk Kegunaan Peribadi

Duit perniagaan tidak wajar diletakkan dalam akaun yang sama dengan simpanan peribadi anda kerana duit perniagaan ini seharusnya digunakan untuk tujuan perniagaan sahaja seperti tujuan pusingan modal, pembayaran kos, pelaburan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, urusan peribadi anda untuk mohon pinjaman seperti loan rumah atau pinjaman kereta juga boleh menjadi lebih mudah. Kebiasaannya, bank akan meminta slip gaji atau laporan kewangan. Disebabkan ini, anda perlu mengasingkan hasil perniagaan dengan kegunaan peribadi.

3. Pengurusan Kewangan Perniagaan Anda Tidak Sistematik

Dengan adanya akaun bank yang khas untuk perniagaan anda, urusan kewangan berkaitan kos perbelanjaan, kos jualan, untung rugi dan pengurusan cukai perniagaan anda juga boleh dilaksanakan dengan lebih lancar. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin bayar cukai perniagaan, anda boleh merujuk rekod kewangan dan perbelanjaan yang anda sediakan ini. 

Buka Akaun Perniagaan dengan Bank

Pertama sekali, anda perlu buka akaun semasa sebagai akaun perniagaan anda kerana ia akan membantu pengurusan perniagaan anda dengan lebih baik dengan adanya kemudahan cek, kemudahan membayar bil-bil dan juga kemudahan bayar gaji pekerja-pekerja anda.

Kebiasaannya,  jika anda mahu membuka akaun semasa perniagaan, anda memerlukan seorang introducer atau pencadang untuk membuka akaun bank untuk perniagaan anda. Apa itu introducer? Untuk pengetahuan anda, introducer merupakan individu yang wajib ada bersama anda semasa pembukaan akaun perniagaan di bank. Berikut merupakan syarat-syarat yang melayakkan seseorang itu menjadi introducer:

  • Mempunyai akaun bank yang aktif selama sekurang-kurangnya dua tahun.
  • Tidak boleh ada senarai cek ditendang atau sejarah buruk dalam akaun banknya.
  • Wajib ada cop perniagaan yang jelas dan menunjukkan nama perniagaan dan nombor pendaftaran SSM.

Namun begitu, kini, kebanyakan bank seperti Maybank, CIMB dan beberapa lagi bank tidak lagi memerlukan introducer terutama sekali bagi perniagaan milikan tunggal atau enterprise. Ini bermakna syarat telah pun dilonggarkan dan anda tidak perlu lagi mencari seorang introducer untuk membuka akaun semasa perniagaan anda. Berikut adalah antara bank yang membenarkan anda buat akaun perniagaan tanpa introducer:

Jenis Bank Deposit Minimum untuk Akaun Semasa Perniagaan
Maybank RM1,000
CIMB RM1,000
Alliance Bank RM500
AmBank RM500
Bank Islam RM1,000

Cara Buka Akaun Semasa Perniagaan Tanpa Introducer

Selepas anda telah memilih bank untuk membuka akaun perniagaan, anda boleh mula membuat pendaftaran. Perlu diingatkan, langkah pendaftaran bagi setiap bank mungkin berbeza-beza dari aspek-aspek tertentu. Contohnya, bagi akaun Maybank, anda perlu ke cawangan Maybank dalam masa 10 hari untuk aktifkan akaun selepas membuat pendaftaran online manakala CIMB pula memberi masa 30 hari untuk anda membuat pendaftaran di cawangan mereka selepas anda telah isi borang secara online.

Oleh itu, anda disarankan  untuk menghubungi bank anda untuk mendapatkan kepastian. Secara amnya, berikut adalah langkah-langkah cara buat akaun perniagaan di bank:

  1. Layari laman web ‘perniagaan’ bank pilihan anda.
  2. Isi semua butiran yang bank perlukan seperti nombor pendaftaran SSM dan sebagainya.
  3. Anda akan menerima kod pengesahan melalui SMS selepas melengkapkan butiran.
  4. Bank anda akan memberikan butiran dan nombor rujukan (reference ID). Anda perlu memastikan anda bawa dua perkara ini semasa melawat cawangan bank.
  5. Akhir sekali, anda dikehendaki untuk pergi ke cawangan bank anda dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh bank anda.

Selepas selesai pendaftaran online, anda perlu pergi ke bank untuk melengkapkan pendaftaran akaun perniagaan anda. Sebelum melawat cawangan bank, anda perlu sediakan dokumen-dokumen berikut:

  1. MyKad
  2. Sijil pendaftaran SSM
  3. Borang A SSM
  4. Maklumat perniagaan SSM
  5. Cop perniagaan anda (Ada nama perniagaan dan nombor pendaftaran SSM)
  6. Deposit RM1,000 (Deposit boleh dikeluarkan semula)
  7. Nombor rujukan atau reference ID anda

Jika semua dokumen anda lengkap, anda boleh terus pergi ke cawangan bank pilihan anda. Ikuti langkah-langkah berikut semasa anda berada di sana:

  1. Pergi ke kaunter dan tunjukkan nombor rujukan.
  2. Serahkan semua dokumen yang diperlukan.
  3. Pegawai bank akan aktifkan akaun perniagaan anda.
  4. Anda akan diberi akses akaun perniagaan anda.

cara buat akaun perniagaan

Kesimpulannya, anda disarankan untuk membuka akaun perniagaan terutama sekali jika perniagaan sedang berkembang. Selepas anda membuka akaun semasa perniagaan, sebarang masalah seperti mendapat surat amaran daripada bank kerana terdapat terlalu banyak transaksi atau surat amaran daripada pihak LHDN kerana tidak menjelaskan sumber pendapatan akan dapat dielakkan.

Semoga artikel ini dapat membantu anda untuk buka akaun bank yang khusus untuk kegunaan syarikat anda. Selain itu, sekiranya anda ingin renew insurans kereta online, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala menyediakan rangkaian perkhidmatan insurans terbaik mengikut keperluan dan bajet anda. Minta sebut harga insurans sekarang!

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60