5 Kesan Muflis, Cara Selesaikan Masalah Bankrap di Malaysia

Kali terakhir diperbaharui Oct 30, 2023 oleh Shafiq Wahab
5 Kesan Muflis, Cara Selesaikan Masalah Bankrap di Malaysia

Apa maksud muflis atau bankrap? Secara asasnya, ia merujuk kepada proses penghutang atau peminjam diisytiharkan muflis berikutan arahan mahkamah kerana peminjam tidak mampu membayar balik hutang berjumlah tidak kurang RM50,000 dalam tempoh masa lebih daripada enam bulan. Prosedur pengisytiharan muflis akan diserahkan melalui iklan di surat khabar atau melalui papan kenyataan di mahkamah.

Kriteria yang Menyebabkan Seseorang Diisytiharkan Bankrap

Sebelum anda mengetahui kesan muflis kepada golongan muda, berikut merupakan kriteria yang menyebabkan anda diisytiharkan muflis untuk rujukan anda:

  • Tidak berupaya melangsaikan hutang berjumlah tidak kurang dari RM50,000;
  • Tidak membayar hutang melebihi tempoh masa enam bulan;
  • Individu bermastautin di Malaysia sekurang-kurangnya selama setahun.

Seseorang individu boleh diisytiharkan muflis melalui dua cara berikut:

  • Petisyen Pemiutang bermaksud petisyen muflis akan dikemukakan oleh pemiutang terhadap penghutang dengan hutang yang melebihi RM50,000;
  • Petisyen Penghutang merujuk pada seseorang individu boleh secara sukarela mengisytiharkan dirinya muflis untuk melindungi dirinya daripada tuntutan pemiutang yang tidak mampu untuk dijelaskan. Biasanya, tiada jumlah minimum untuk mengisytiharkan diri sendiri sebagai muflis. Setelah petisyen dikemukakan, petisyen tidak boleh ditarik balik tanpa kebenaran mahkamah.

5 Kesan Muflis atau Bankrap kepada Golongan Muda

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia, seramai 10,317 individu diisytiharkan bankrap sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia bermula Mac 2020 yang lalu. Selangor merekodkan individu paling ramai direkodkan bankrap iaitu seramai 2,555 orang manakala Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pula merekodkan seramai 1,288 orang bankrap dalam tempoh tersebut. Sekiranya anda diisytiharkan muflis, apa kesan nama blacklist atau kesan bankrap kepada anda? Berikut lima kesan muflis kepada diri anda yang perlu anda tahu:

1. Dibawah Pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi

Individu yang diisytiharkan bankrap atau muflis akan diletakkan di bawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). KPI akan mentadbir dan mengendalikan semua aset yang dimiliki oleh individu tersebut untuk membayar semua hutang yang ada.

2. Had Perjalanan

Individu yang muflis juga tidak akan dibenarkan untuk keluar negara melainkan mendapat kebenaran bertulis dari KPI atau perintah mahkamah yang membenarkannya keluar dari negara.

Semakan Status Perjalanan Imigresen

Jabatan Imigresen telah membangunkan Sistem Aplikasi Elektronik Jabatan Imigresen Malaysia. Ia bertujuan untuk membantu warga Malaysia menyemak status dokumen perjalanan ke luar negara. Anda hanya perlu masukkan nombor kad pengenalan untuk menyemak status perjalanan semasa anda.

3. Kredit Terhad

Selain itu, akaun bank sedia ada akan dibatalkan dan individu muflis dilarang daripada melakukan sebarang pengeluaran wang daripada akaun bank yang sedia ada. Bukan itu sahaja, individu muflis juga tidak dibenarkan untuk membelanjakan wang melebihi RM1,000 menggunakan kad kredit atau mendapatkan kredit lebih dari RM1,000 dari mana-mana pemiutang. Dalam erti kata lain yang lebih mudah, individu bankrap tidak boleh buka akaun bank dan tidak boleh beli kereta.

4. Aset Dirampas

Selepas diisytiharkan muflis, kesemua aset-aset yang dimiliki oleh individu yang muflis akan dikendalikan oleh KPI. Sebagai contoh, mana-mana rumah atau kereta milik individu yang muflis tersebut akan diambil dan diuruskan oleh KPI bagi digunakan untuk membayar hutang-hutang yang ada.

5. Had Pekerjaan

Ada sesetengah profesion tertentu di Malaysia seperti peguam, juru ukur, akauntan dan doktor tidak dibenarkan untuk bekerja atau mempunyai sekatan terhadap individu yang muflis oleh persatuan profesional atau pihak berkuasa. Selain itu, individu yang muflis juga tidak boleh dilantik sebagai pengarah syarikat atau memiliki perniagaan atau menjadi sebahagian daripada pemilik perniagaan.

Apakah punca-punca seseorang itu diisytihar bankrap?

3 Punca Rakyat Malaysia Diisytiharkan Muflis

Kebanyakan rakyat Malaysia yang paling ramai diisytiharkan bankrap berusia dalam lingkungan umur 35 hingga 44 tahun (32.25 peratus). Ia diikuti dengan individu berusia antara 25 hingga 34 tahun dengan 22.52 peratus. Dalam erti kata lain, golongan muda lebih berisiko tinggi untuk muflis jika tidak merancang perbelanjaan dari awal. Apa yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia muflis? Berikut antara punca muflis berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia untuk panduan anda:

1. Pinjaman

Kebanyakan kes muflis di Malaysia berlaku disebabkan oleh tunggakan pinjaman kenderaan yang tidak dijelaskan. Selain itu, ada juga kes bankrap berlaku disebabkan oleh kegagalan peminjam untuk membayar balik pinjaman perumahan, hutang peribadi dan hutang perniagaan.

Pinjaman Kereta

Tidak dinafikan, kereta telah menjadi salah satu keperluan zaman kini. Namun begitu, ia tidaklah bermaksud anda perlu memiliki kereta mewah yang melebihi kemampuan kewangan anda. Ramai individu terutamanya golongan muda yang silap percaturan semasa beli kenderaan sehingga diisytiharkan bankrap kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan. Menurut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, sebanyak 23,191 kes muflis yang dicatatkan di Malaysia berpunca daripada kegagalan menjelaskan hutang pinjaman kereta atau kira-kira 27.18 peratus daripada punca keseluruhan kes muflis.

Pinjaman Perumahan

Kita sering didedahkan dengan pemilikan rumah adalah perkara penting yang perlu diutamakan dan pemilikan rumah yang terbaik adalah semasa dalam usia muda. Namun begitu, beli rumah secara tergopoh-gopoh boleh menjadi punca muflis dalam usia muda. Ini kerana, anda terikat dengan sistem yang akan mengikat anda dalam tempoh yang lama kira-kira 30 tahun atau lebih. Berdasarkan rekod, pinjaman perumahan mencatatkan sebanyak 26 peratus daripada jumlah keseluruhan kes muflis di Malaysia dan merupakan kategori kedua tertinggi selepas pinjaman kereta. Oleh sebab itu, rancang pembelian rumah anda untuk mengelakkan anda terbeban dengan beban kewangan yang tinggi dalam usia muda.

Pinjaman Peribadi

Ramai individu yang mengambil keputusan untuk membuat pinjaman peribadi bagi mendapatkan wang segera. Masalah menjadi lebih serius sekiranya anda tidak mempunyai ilmu dan cara pengurusan kewangan yang betul sekali gus menyebabkan anda terjerat dengan komitmen bulanan yang tinggi. Sebagai contoh, ada individu yang sanggup berhutang pinjaman peribadi hanya semata-mata untuk menanggung kos kahwin bagi membuat majlis perkahwinan idaman. Untuk rekod, pinjaman peribadi mencatatkan kira-kira 24 peratus daripada punca keseluruhan kes bankrap.

Pinjaman Perniagaan

Selain itu, pinjaman perniagaan pula menyumbang kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan kes muflis. Biasanya, ramai individu yang baru ingin memulakan perniagaan memilih untuk memohon pinjaman perniagaan. Namun begitu, cara ini berisiko kerana jika perniagaan yang diusahakan tidak berjaya, anda masih perlu membayar komitmen bulanan seperti dijadualkan. Oleh sebab itu, lebih baik untuk anda menggunakan modal yang ada di tangan anda jika anda ingin memulakan perniagaan untuk mengelakkan anda menanggung hutang yang tinggi dan mengalami kerugian yang lebih serius.

2. Menjadi Penjamin

Ada juga kes individu diisytiharkan muflis kerana menjadi penjamin kepada orang lain. Biasanya, pihak bank akan menuntut hutang daripada penghutang terlebih dahulu. Namun sekiranya penghutang tidak boleh melangsaikan atau lari daripada membayar hutang tersebut, pihak bank akan menuntut daripada individu yang menjadi penjamin kepada peminjam. Secara asasnya, penjamin terlibat secara langsung sekiranya peminjam tidak membayar balik pinjaman kerana penjamin turut menandatangani surat jaminan persetujuan menanggung liabiliti bersama bagi pihak peminjam jika peminjam gagal membayar balik pinjaman.

3. Penggunaan Kad Kredit

Memang tidak dinafikan kad kredit banyak memberi kelebihan yang tersendiri. Namun begitu, jika kad kredit digunakan tanpa kawalan dan disiplin yang tinggi, ia boleh menjerat diri. Ramai yang terlupa bahawa kadar faedah kad kredit boleh menjadi sangat tinggi jika ada tunggakan yang tidak dibayar. Oleh sebab itu, anda perlu praktikkan cara guna kad kredit dengan betul untuk elakkan anda daripada menanggung beban hutang yang tinggi. Menurut statistik, sebanyak lima peratus daripada masalah bankrap adalah berpunca daripada penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.

Keluar dari Bankrap, Cara Selesaikan Masalah Bankrap Anda Perlu Tahu

Penting untuk anda mengetahui status kewangan semasa anda untuk mengelakkan anda daripada gagal membayar balik pinjaman dan berhutang melebihi kemampuan anda. Jika anda diisytiharkan muflis, nama anda akan disenarai hitam dan anda tidak lagi boleh ke luar negara, beli kereta atau membuat sebarang pinjaman kredit daripada mana-mana bank. Sekiranya anda disenarai hitam, ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk membantu anda keluar dari bankrap. Berikut antara cara yang boleh anda pertimbangkan:

1. Bayar Semua Hutang

Setelah diisytiharkan bankrap, anda perlu berbincang dengan Jabatan Insolvensi Malaysia. Daripada situ, anda boleh mengetahui jumlah yang perlu dibayar setiap bulan bergantung pada aset yang anda ada dan juga pekerjaan anda. Anda disarankan untuk mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan bagi membantu anda menjelaskan hutang dengan lebih cepat.

2. Buat Permohonan kepada Mahkamah

Anda boleh memohon pelepasan daripada status muflis di Mahkamah Persekutuan. Biasanya, pihak mahkamah akan mempertimbangkan permohonan anda dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya bayaran dilakukan tepat pada masa atau anda tidak melanggar apa-apa peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh tersebut. Setelah mendapat pelepasan, anda kini boleh membuka akaun bank sendiri, melancong ke luar negara dan melakukan perkara yang tidak dibenarkan semasa muflis.

3. Tunggu 3 Tahun

Kerajaan telah melakukan beberapa pindaan terhadap peraturan bankrap sedia ada. Berdasarkan pindaan baharu, anda boleh mendapat pelepasan secara automatik, namun begitu tertakluk pada syarat-syarat tertentu seperti berikut:

  • Diisytiharkan muflis selepas 6 Oktober 2017;
  • Telah mengisi borang Pernyataan Hal Ehwal, borang permohonan dan aku janji;
  • Telah menfailkan penyata pendapatan bagi tempoh enam bulan;
  • Dalam pemantauan untuk mencapai sasaran sumbangan selama tiga tahun;
  • Mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

Anda akan dilarang daripada keluar negara apabila diisytihar bankrap.

Tips Elakkan Diri daripada Diisytiharkan Muflis

Meskipun ada cara untuk membantu anda keluar daripada bankrap, ia memakan masa yang lama untuk pulihkan kewangan anda dan keluarkan diri anda daripada senarai muflis setelah diisytiharkan muflis. Oleh sebab itu, elakkan diri anda daripada diisytiharkan muflis dan dapatkan bantuan daripada organisasi profesional. Berikut empat tips yang boleh anda pertimbangkan:

1. Dapatkan Bantuan Profesional

Jika anda berdepan masalah dalam melangsaikan hutang pinjaman, anda boleh dapatkan pertolongan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan kaunseling kewangan, program pengurusan hutang dan pendidikan kewangan secara percuma.

2. Refinance Pinjaman

Kebanyakan bank bersikap terbuka untuk merunding semula syarat pinjaman bagi mengelakkan dan mengurangkan kecenderungan berlakunya situasi pinjaman tidak berbayar (non-performing loan). Oleh sebab itu, sekiranya anda menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman, berbincang dengan pihak bank dan lakukan refinance pinjaman atau rumuskan aliran pembayaran balik yang anda mampu dan dipersetujui oleh semua pihak.

3. Nilai Semula Aset dan Komitmen

Selain kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, anda juga disarankan untuk mempertimbangkan simpanan atau keluarkan wang daripada mana-mana pelaburan yang anda ada untuk melangsaikan hutang. Jika anda memiliki beberapa aset, anda boleh jual aset tersebut dan gunakan wang yang diperoleh untuk jelaskan hutang dan pinjaman anda. Cara ini boleh membantu mengelakkan anda daripada diisytiharkan muflis dan semestinya lebih baik berbanding anda diisytiharkan muflis dan kesemua aset anda diambil.

4. Langsaikan Hutang dengan Teknik Overlap

Teknik overlap pinjaman peribadi juga merupakan salah satu teknik popular untuk kurangkan komitmen bulanan dan terima ‘cash in hand’ tanpa menambah jumlah hutang yang sedia ada. Namun begitu, cara ini tidaklah terlalu ideal kerana beban hutang masih ada dan mungkin akan meningkat jika peminjam tidak berdisiplin dalam membayar hutang tersebut.

Semoga perkongsian ini boleh membantu mengelakkan anda daripada diisytiharkan bankrap. Selain itu, sekiranya anda mencari insurans kereta, insurans motor, insurans rumah dan insurans kesihatan dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah, layari laman web Qoala, platform insurans terbaik di Malaysia untuk info lanjut.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

3 comments

  1. maaf bertanya bagaimana pula kes sekiranya individu terbabit dalam kes scam,dan tidak mampu membuat bayaran balik pada bank dan terpaksa menanggung hutang pinjaman tersebut?
    bolehkah penghutang terus ke pejabat KPI untuk mengisytiharkan diri sebagai muflis?
    dan bolehkah bekerja seperti biasa di sektor swasta?

  2. saya seorang bankrupsi…namun masih ada hutang tertunggak di money lender { berlesen} .. setiap bulan saya diminta membayar hutang tersebut. adakah cara lain untuk saya uruskan hutang di money lender ini.

  3. saya seorang bankrupsi namun masih ada hutang tertunggak denga pihak money lamder (berlesen).. setiap bulan saya diminta untuk membayar sejumlah baki hutang yang masih ada.. bolehkah saya memasukkan money lander tersebut kedalam senarai pemiutang dengan pihak jabatan insolvensi? mohon pencerahan…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60