Apple Pay Malaysia: Cara Guna Apple Pay di iPhone, Apple Watch

Kali terakhir diperbaharui Aug 9, 2022 oleh Hariz Hafiz
Apple Pay Malaysia: Cara Guna Apple Pay di iPhone, Apple Watch

Apple Pay akhirnya tiba di Malaysia setelah sekian lama ditunggu oleh pengguna-pengguna produk Apple di negara ini. Ini merupakan satu berita yang menggembirakan kerana Apple Pay merupakan salah satu cara yang boleh memudahkan urusan pembayaran anda sebagai pengguna produk Apple. Ikuti artikel ini untuk mengetahui cara guna Apple Pay di Malaysia menggunakan iPhone dan Apple Watch anda.

Langkah-langkah Mudah untuk Set-up Apple Pay di Peranti Apple Anda

Sama seperti Samsung Pay, Apple Pay menggunakan teknologi NFC (Near-field communication). Anda hanya boleh menggunakan Apple Pay sekiranya anda menggunakan model iPhone 6 dan ke atas. 

Disebabkan Apple Pay baru sahaja dilancarkan di Malaysia, masih banyak bank atau kedai yang belum lagi menyokong pembayaran Apple Pay. Setakat artikel ini ditulis, Apple Pay hanya menyokong kad yang dikeluarkan oleh AmBank, Maybank dan Standard Chartered.

Cara Masukkan Kad Bank (Debit/Kredit) di iPhone Anda

Sebelum anda mula menggunakan Apple Pay untuk membuat transaksi di kedai-kedai yang anda pergi, anda perlu memasukkan kad debit atau kad kredit anda dalam aplikasi Apple Wallet di iPhone anda terlebih dahulu. Ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Buka aplikasi Wallet di iPhone.
  2. Tekan butang ‘Add’ pada halaman utama atau tekan butang ‘+’ pada bahagian atas sebelah kanan.
  3. Pilih ‘Debit’ atau ‘Credit’.
  4. Kemudian, tekan ‘Continue’.
  5. Scan kad debit atau kredit anda atau masukkan maklumat kad secara manual
  6. Anda akan perlu membuat pengesahan  dengan bank anda. Kebiasaannya, nombor OTP akan diberi oleh pihak bank melalui SMS atau anda akan menerima panggilan telefon daripada bank.
  7. Setelah selesai proses pengesahan, anda kini telah berjaya memasukkan kad anda di Apple Pay.

Cara Tambah Kad Debit atau Kredit di Apple Watch

Sekiranya anda memiliki Apple Watch dan mahu menggunakan Apple Pay, anda perlu memasukkan kad dan membuat proses pengesahan sekali lagi. Namun begitu, hanya model Apple Watch Series 1 dan ke atas sahaja yang menyokong penggunaan Apple Pay buat masa ini. Berikut adalah cara menambah kad pembayaran anda di Apple Watch:

  1. Buka aplikasi Watch di iPhone anda.
  2. Tekan pada butang ‘Wallet’.
  3. Anda akan nampak kad debit atau kad kredit yang anda telah tambah. Kemudian, anda perlu tekan butang ‘Add’.
  4. Masukkan kod sekuriti kad (CVV) anda. Proses pengesahan tambahan bergantung kepada bank anda.
  5. Setelah selesai, anda kini boleh menggunakan Apple Pay di Apple Watch anda.

how to use apple pay

Apple Pay Malaysia: Cara Menggunakan Apple Pay untuk Membuat Transaksi

Sebelum membuat pembayaran, anda perlu pastikan kedai yang anda pergi menerima pembayaran Apple Pay. Bagaimana cara untuk ketahuinya? Untuk pengetahuan anda, kedai yang memaparkan simbol Paywave atau Apple Pay menyokong pembayaran melalui Apple Pay.

Cara pembayaran bergantung kepada model Apple yang anda gunakan. Ikuti langkah-langkah di bawah untuk menggunakan Apple Pay untuk transaksi pembayaran:

1. Apple Pay Menggunakan iPhone dengan Face ID

Model iPhone yang menggunakan Face ID adalah iPhone X, iPhone XS, iPhone 11, iPhone 12 dan iPhone 13. Sekiranya anda menggunakan salah satu daripada model yang telah disebut di atas, anda boleh menggunakan Face ID untuk menggunakan Apple Pay:

  1. Pastikan kedai yang anda pergi menyokong pembayaran PayWave atau Apple Pay.
  2. Tekan dua kali (double-click) pada power button sebelah kanan.
  3. Kad anda akan dipaparkan pada skrin iPhone dan anda perlu membuat pengesahan Face ID.
  4. Bawa iPhone anda dekat dengan Reader Screen.
  5. Transaksi selesai.

2. Apple Pay Menggunakan iPhone dengan Touch ID

Jika anda menggunakan model iPhone yang menggunakan Touch ID seperti iPhone 6, iPhone 7, iPhone 8 dan iPhone SE, ikuti langkah-langkah di bawah:

  1. Pastikan kedai yang anda pergi menyokong pembayaran PayWave atau Apple Pay.
  2. Tekan dua kali (double-click) pada home button.
  3. Kad anda akan dipaparkan pada skrin iPhone.
  4. Bawa iPhone anda dekat dengan Reader Screen.
  5. Transaksi selesai.

3. Apple Pay Melalui Apple Watch

Bagi anda yang menggunakan Apple Watch, ikuti langkah-langkah di bawah:

  1. Pastikan kedai yang anda pergi menyokong pembayaran PayWave atau Apple Pay.
  2. Tekan dua kali (double-click) pada side button jam anda.
  3. Kad anda akan dipaparkan pada skrin Apple Watch.
  4. Bawa Apple Watch anda dekat dengan Reader Screen.
  5. Transaksi selesai.

4. Apple Pay untuk Pembelian Online

Selain kedai fizikal, Apple Pay juga boleh digunakan pada aplikasi serta laman web yang disokong. Apple Pay menjadikan pembayaran dalam talian lebih lancar tetapi ia lebih selamat. Ini kerana, aplikasi dan laman web yang anda beli hanya menerima kod keselamatan dinamik dan bukan maklumat kad kredit anda yang sebenar. Ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Pastikan ada logo Apple Pay pada halaman check-out.
  2. Tekan dua kali (double-click) pada home atau power button anda.
  3. Kad anda akan dipaparkan pada skrin.
  4. Anda perlu melalui proses pengesahan.
  5. Transaksi selesai.

apple pay malaysia maybank

Adakah Apple Pay di Malaysia Selamat Digunakan?

Jawapan ringkasnya, ya. Transaksi melalui Apple Pay boleh dikategorikan sebagai satu medium transaksi yang selamat. Hal ini kerana, sebelum setiap pembayaran dilakukan, pengguna perlu membuat pengesahan Face ID atau Touch ID.

Katakanlah iPhone anda dicuri atau hilang, tiada seorang pun yang boleh membuat pembayaran dengan menggunakan Apple Pay anda kerana identiti Face ID atau Touch ID anda tidak sepadan dengan individu tersebut. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengeluarkan kad anda daripada iPhone anda sekiranya dicuri atau hilang.

Jika anda mengeluarkan kad, anda boleh menambahkannya semula sekiranya anda sudah beli iPhone baru atau jumpa semula iPhone anda yang hilang. Untuk keluarkan kad anda daripada Apple Pay, lakukan langkah-langkah berikut:

  • Pada Mac atau PC: Log masuk ke akaun Apple ID anda. Dalam bahagian ‘Devices’, klik pada iPhone anda yang hilang. Di bawah senarai kad, klik ‘Remove’ untuk keluarkan kad anda.
  • Pada iPhone, iPad atau iPod touch: Pergi ke ‘Settings’ > [ nama anda ], pilih iPhone yang hilang, kemudian klik ’Remove All Cards’ yang terletak di bawah Apple Pay.
  • Hubungi pengeluar kad kredit/debit anda.

Diharapkan artikel ini dapat membantu anda menggunakan Apple Pay di Malaysia. Kemudahan ini merupakan satu berita gembira bagi ramai pengguna iPhone di negara ini. 

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta, insurans motor atau insurans rumah terbaik dan komprehensif, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60