OPR Naik Lagi, Apa Kesan Kenaikan OPR kepada Peminjam?

Kali terakhir diperbaharui Sep 8, 2022 oleh Shafiq Wahab
OPR Naik Lagi, Apa Kesan Kenaikan OPR kepada Peminjam?

Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR Malaysia) merupakan salah satu bahagian penting dalam dasar monetari di Malaysia. Ia memainkan peranan penting dalam mencapai kestabilan nilai wang, merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan inflasi. Kadar OPR Malaysia boleh memberi kesan langsung terhadap pelbagai langkah kewangan penting seperti kadar deposit, kadar pinjaman, kadar tukaran asing dan faedah pinjaman perumahan.

OPR Malaysia: 3 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang OPR Bank Negara Malaysia

Kadar faedah bank secara asasnya ditentukan oleh OPR bagi memastikan keseluruhan institusi kewangan mempunyai bekalan tunai yang stabil dan mencukupi. OPR Malaysia bukan sahaja memberi kesan kepada kadar pinjaman, tetapi turut memberi impak kepada keseluruhan komponen dalam sistem ekonomi negara seperti kadar pengangguran dan inflasi harga barangan.

1. Apa Itu OPR Bank Negara Malaysia?

OPR atau Kadar Dasar Semalaman merujuk pada kadar faedah semalaman yang ditetapkan oleh bank pusat atau Bank Negara Malaysia (BNM). Ia merupakan kadar faedah yang perlu dibayar oleh sesebuah institusi kewangan yang meminjam daripada bank yang lain.

Setiap bank di Malaysia mempunyai tahap rizab tunai yang berbeza-beza bergantung pada aktiviti pemberian pinjaman oleh bank dan deposit serta pengeluaran pelanggan. Sebagai contoh, jika setiap pelanggan mengambil keputusan untuk mengeluarkan wang simpanan pada hari yang sama, bank mungkin perlu meminjam daripada bank lain untuk menyimpan atau memastikan rizab tunai berada pada tahap yang selamat.

Secara asasnya, kadar OPR yang lebih tinggi atau lebih rendah akan menyebabkan kesan domino yang setara. Sebagai contoh, kadar OPR yang rendah akan menyebabkan kadar faedah pinjaman menjadi lebih rendah. Ia bertujuan untuk menggalakkan pengguna untuk berbelanja, membuat pinjaman bank serta merangsang ekonomi negara.

Kadar OPR yang lebih tinggi pula akan menyebabkan kadar faedah pinjaman menjadi lebih tinggi. Ia sekali gus menyebabkan kadar pinjaman perumahan atau pinjaman perniagaan menjadi lebih mahal untuk mengalakkan pengguna untuk menyimpan dalam deposit tetap dan sebagainya.

2. Perubahan OPR Malaysia

Turun naik kadar OPR di Malaysia boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Biasanya, kadar OPR turun disebabkan oleh faktor-faktor seperti ekonomi Malaysia sedang mengalami kemerosotan atau kuasa beli dalam kalangan rakyat Malaysia menurun.

Selain itu, OPR naik pula biasanya dikaitkan dengan faktor-faktor seperti ekonomi Malaysia sudah menampakkan tanda-tanda pemulihan, inflasi Malaysia meningkat dan memerlukan tindakan segera daripada BNM sebelum bertambah buruk selain menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membuat simpanan kerana kenaikan kadar faedah bank menyebabkan pulangan meningkat.

Pada Januari 2020, Jawatankuasa Dasar Monetari atau Monetary Policy Committee (MPC) BNM menetapkan untuk mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas (basis points) kepada 2.75 peratus. Ia disusuli dengan satu lagi pemotongan OPR pada Mac 2020 sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus.

Tarikh Kadar OPR Malaysia (%)
Sept 2022 – Terkini 2.50
Julai 2022 2.25
Mei 2022 2.0
Julai 2020 1.75
Mei 2020 2.0
Mac 2020 2.5
Januari 2020 2.75
November 2019 3

Dalam tempoh dua bulan selepas pengurangan kedua, OPR dikurangkan sekali lagi pada Mei 2020 kepada dua peratus bagi mengalakkan peminjaman semasa wabak Covid-19 melanda. Pada Julai 2020, OPR BNM dikurangkan sekali lagi untuk kali keempat dalam masa tujuh bulan sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus, paling rendah dalam sejarah OPR di Malaysia.

Pada 11 Mei 2022, BNM mengumumkan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada dua peratus. OPR naik lagi sekali pada 6 Julai 2022 sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus bagi menyokong pembukaan semula ekonomi dan menggalakkan pemulihan aktiviti ekonomi.

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus. Ia merupakan kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu.

Menurut Penganalisis Bank Negara Malaysia, BNM akan menormalkan lagi kadar dasarnya pada masa hadapan dan secara berperingkat menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR Malaysia) kepada 3.00 peratus menjelang tahun depan.

3. OPR Bank: Apakah Kesan Kenaikan OPR kepada Pinjaman Perumahan Anda?

Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus baru-baru ini. Anda mungkin tertanya-tanya apa kesan kenaikan tersebut kepada pinjaman seperti loan rumah atau loan ASB anda?

Bayaran Ansuran Bulanan yang Lebih Tinggi

Kadar OPR di Malaysia akan mempengaruhi Kadar Asas (Base Rate) dan Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate) sesebuah bank. Ini bermaksud, turun atau naik Kadar Asas dan Kadar Pinjaman Asas biasanya dipengaruhi oleh kadar OPR.

Secara asasnya, peningkatan OPR secara tidak langsung akan menyebabkan kos pinjaman menjadi lebih tinggi. Ia sekali gus menyebabkan bayaran ansuran bulanan turut meningkat. Bagaimana cara kira loan rumah selepas OPR BNM naik? Andaikan baki hutang pinjaman perumahan semasa adalah sebanyak RM250,000. Anda boleh rujuk formula pengiraan berikut:

RM250,000 (baki hutang semasa) x 0.025% ÷ 100% ÷ 12 bulan = RM50 sebulan.

Ini bermakna, kenaikan OPR sebanyak 0.25 peratus memerlukan anda untuk menambah kos perbelanjaan sebanyak RM600 setahun untuk baki pinjaman perumahan berjumlah RM250,000. Jika anda memiliki lebih daripada satu rumah dan tidak memiliki aliran tunai yang baik, anda mungkin akan terjejas dengan kenaikan OPR ini.

Tempoh Pinjaman yang Lebih Lama (Jika Kadar Ansuran Lama Dikekalkan)

Selain itu, OPR naik juga bermaksud tempoh pembayaran balik akan menjadi lebih lama terutamanya jika anda mengekalkan kadar bayaran ansuran bulanan yang lama.

Sebagai contoh, jika pinjaman perumahan anda berjumlah RM500,000 pada kadar faedah semasa 3.83 peratus untuk tempoh 30 tahun dengan ansuran bulanan sebanyak RM2,367.

Apabila OPR naik sebanyak 0.25 peratus, kadar faedah bank akan dinaikkan kepada 4.18 peratus. Jika anda ingin kekalkan jumlah ansuran semasa, tempoh pinjaman perumahan akan meningkat sebanyak dua tahun menjadi 32 tahun.

Kesan Kenaikan OPR di Malaysia

OPR Naik: OPR Malaysia Naik Kali Ketiga Tahun Ini, 25 Mata Asas kepada 2.50 Peratus

Keputusan Bank Negara Malaysia untuk menaikkan kadar faedah pinjaman bank bertujuan untuk memastikan kestabilan harga dan kemampanan pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan permintaan dalam negeri yang berlebihan yang boleh menambah tekanan inflasi.

Umumnya, kesan kenaikan kadar faedah disebabkan OPR naik di Malaysia tidak memberi kesan yang drastik kepada peminjam terutamanya kumpulan berpendapatan rendah kerana OPR hanya beri kesan kepada bayaran balik pinjaman kadar terapung seperti pinjaman perumahan.

Meskipun kenaikan OPR Malaysia boleh beri kesan kepada peminjam melalui bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi, kadar yang lebih tinggi juga boleh memberi manfaat kepada penyimpan melalui pulangan deposit yang lebih baik, sekali gus menggalakkan individu menyimpan.

Selaian itu, jika anda sedang mencari insurans rumah terbaik untuk kediaman baharu anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans terbaik di Malaysia yang menawarkan proses beli insurans yang mudah, cepat dan selamat.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60