Permohonan Moratorium: Apakah Kesan Pada Jangka Masa Panjang?

Kali terakhir diperbaharui Aug 18, 2023 oleh Shafiq Wahab
Permohonan Moratorium: Apakah Kesan Pada Jangka Masa Panjang?

Frasa permohonan moratorium boleh dikatakan cukup popular dalam kalangan masyarakat dalam tempoh dua tahun (2020-2021) ini apabila kerajaan mengumumkan mengenai moratorium bagi membantu individu yang terjejas dalam pandemik COVID 19 yang melanda dunia.

Permohonan moratorium, atau boleh juga dianggap sebagai permohonan cuti dari pembayaran pinjaman bank dilihat amat membantu terutamanya golongan B40 berikutan ramai diantara mereka yang hilang mata pencarian. Permohonan moratorium yang dibuka merupakan satu inisiatif untuk menangani masalah kewangan yang dihadapi ramai orang, gara-gara pandemik yang melanda. 

Permohonan Moratorium PEMULIH 2021

Moratorium pinjaman terbaru diperkenalkan selaras dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan permohonan dengan kelulusan automatik bermula pada Rabu, 7 Julai 2021.

Jadi jika anda peminjam individu tanpa mengira anda B40, M40 atau T20, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro yang terjejas kerana COVID-19, anda boleh memohon moratorium pinjaman selama ENAM bulan.

Anda hanya perlu memohon dengan bank masing-masing dan kelulusan permohonan diberikan secara automatik.

Apakah Jenis Pinjaman Boleh Dapat Moratorium PEMULIH?

  1. Pinjaman kenderaan
  2. Pinjaman peribadi
  3. Pinjaman perumahan
  4. Pinjaman perniagaan

Apakah Syarat Moratorium PEMULIH?

Permohonan moratorium
Foto Kredit: Nor Sham Soyod Melalui Shutterstock
  1. Permohonan Moratorium PEMULIH hanya untuk pinjaman yang diluluskan SEBELUM 1 Julai 2021.
  2. Anda tidak perlu menyediakan sebarang dokumen untuk membuktikan yang anda terjejas disebabkan COVID-19. Setiap permohonan akan diberikan secara automatik.
  3. Semasa permohonan moratorium PEMULIH dilakukan, anda tidak boleh mempunyai bayaran ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau prosiding muflis/ penggulungan syarikat.
  4. Peminjam yang sudah mempunyai moratorium sebelum ini dan mengikut semua jadual pembayaran semula pinjaman juga boleh memohon moratorium PEMULIH.
  5. Peminjam individu/PKS yang mempunyai tunggakan bayaran lebih 90 hari dinasihati menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat kewangan secara percuma.
  6. Hutang kad kredit tidak boleh memohon moratorium PEMULIH, tetapi anda boleh memohon untuk mengubah hutang kad kredit ini menjadi pinjaman 3 tahun yang membantu anda mengurangkan kadar faedah.

Semua situasi lain masih sama dengan moratorium sebelum ini termasuklah pengenaan faedah terakru (accrued interest), tak menjejaskan CCRIS/CTOS, dan tak menjejaskan peluang anda dapat pinjaman di masa depan.

Cara Memohon Moratorium PEMULIH

Caranya mudah sahaja, anda perlu menghubungi pihak bank yang berkenaan. Anda juga disarankan untuk sentiasa melayari laman web Bank Negara Malaysia dan bank masing-masing untuk mengetahui tentang perkembangan lanjut.

Senarai Bank Yang Terlibat Dalam Moratorium PEMULIH Setakat Julai 2021

Moratorium dan Moratorium Bersasar

Moratorium diberi secara automatik kepada semua individu yang mempunyai pinjaman dengan bank pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, kini moratorium bersasar. Bantuan ini dilanjutkan khas buat pelanggan yang masih menghadapi kesukaran meneruskan pembayaran pembiayaan mereka berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

Konsep asas moratorium ini adalah penangguhan bayaran bulanan. Namun, apabila moratorium yang diberi tamat, segelintir individu masih mengalami kesukaran dalam membuat pembayaran semula. Disini lah wujudnya, moratorium bersasar. 

Terdapat dua cara moratorium bersasar ni dibuat, iaitu:

  1. Tangguh bayaran ansuran bulanan selama tiga bulan; atau
  2. Kurangkan bayaran ansuran bulanan sebanyak 50% selama enam bulan

Selain tu, semua bank juga akan menawarkan beberapa pilihan lain, termasuklah:

  1. Membenarkan pinjaman membayar hanya faedah pinjaman
  2. Melanjutkan tempoh pinjaman untuk kurangkan bayaran balik bulanan
  3. Menyediakan pelbagai kemudahan lain sehingga peminjam kembali stabil

Semua ni bergantung kepada bank masing-masing. Moratorium bersasar ni juga dilanjutkan lagi sehingga Jun 2021 sejak Januari 2021 bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat terpaksa diumumkan semula sebab lonjakan kes COVID-19.

Namun, timbul persoalan, apakah kesannya pada jangka masa panjang jika kita membuat permohonan moratorium ini? Pertamanya, kita harus lihat, siapa yang digalakkan untuk membuat permohonan moratorium.

Siapa Patut Buat Permohonan Moratorium?

permohonan moratorium_1
Foto Kredit: Abul Husein Photography Melalui Shutterstock

Golongan A

Golongan A mengandungi individu-individu yang mempunyai masalah aliran tunai yang tidak cukup atau hanya cukup-cukup untuk hidup. Cukup-cukup untuk hidup bermaksud tiada lebih wang selepas menolak komitmen dan segala perbelanjaan. 

Golongan ini digalakkan untuk membuat permohonan moratorium. 

Golongan B

Golongan B pula adalah golongan individu yang mempunyai komitmen yang banyak dan juga hutang dengan interest yang tinggi. Antara hutang yang mempunyai interest yang tinggi adalah hutang kad kredit

Bagi mereka yang tidak mempunyai halangan untuk membayar hutang kad kredit dengan jumlah yang penuh, tiada masalah. Namun, ia akan menjadi masalah jika anda tidak dapat membayar dengan jumlah yang penuh berserta dalam tempoh yang ditetapkan. 

Untuk pengetahuan anda, interest yang diletakkan pada kad kredit adalah pada 18 peratus setahun? Sekiranya hutang ini tidak dapat diselesaikan, anda akan sentiasa berada dalam situasi kesempitan wang.

Justeru itu, golongan ini digalakkan untuk membuat permohonan moratorium bagi pinjaman lain agar duit yang ada itu digunakan untuk membayar hutang kad kredit. Setelah mendapat kelulusan moratorium, pastikan anda asingkan duit tersebut bagi menjelaskan hutang-hutang kad kredit anda. 

Golongan C

Manakala individu dalam golongan C pula adalah individu-individu yang tidak mempunyai tabung kecemasan selama tiga bulan pendapatan atau tidak mempunyai simpanan langsung. Walau bagaimanapun, individu-individu dalam golongan C ini masih mempunyai aliran tunai yang baik cuma mereka tidak mempunyai simpanan. 

Sebagai contoh, sekiranya gaji bulanan anda adalah RM5,000, anda seharusnya mempunyai tabung kecemasan sebanyak RM15,000 bersamaan dengan tiga bulan gaji. 

Ini masih bahaya terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Kerana itu, golongan ini juga digalakkan untuk membuat permohonan moratorium. 

Golongan D

Golongan D adalah mereka yang tidak mempunyai apa-apa perlindungan pendapatan atau pun perubatan seperti insurans. Pentingnya insurans ini adalah untuk mengurangkan risiko dan beban ketika apabila kemalangan yang tidak diingini berlaku. 

Apabila mereka tiada apa-apa jenis perlindungan, golongan ini amat digalakkan untuk membuat permohonan moratorium. 

Permohonan Moratorium Hanya Tangguh, Bukan Pengecualian

Kita perlu ingat, moratorium merupakan satu bentuk penangguhan pembayaran yang diberikan untuk meringankan beban kewangan peminjam di kala pandemik COVID-19. Permohonan moratorium dibuka bagi memberi waktu kepada peminjam menggunakan wang yang sepatutnya digunakan membayar ansuran bulanan kepada sesuatu yang lebih asas seperti makanan, sewa rumah, simpanan kecemasan dan lain-lain lagi.

Kata kunci yang kita perlu tekankan disini adalah penangguhan. Moratorium yang diberi bukannya percuma dan perlu dibayar balik. 

Tidak dinafikan moratorium membantu golongan yang terjejas, namun peminjam yang mendapat tunai tambahan menerusi moratorium perlu membayar kembali nilai tersebut.

Sama ada perlu atau tidak mengambil moratorium ini, jawapannya ya, bagi sesiapa yang terjejas pendapatan. Moratorium boleh membantu aliran tunai dan sedikit sebanyak mampu meringankan beban kewangan.

Ramai pakar kewangan memberi nasihat kepada yang tidak terjejas tidak perlu buat permohonan moratorium. Jika diteruskan, peminjam perlu menanggung beban pada kemudian hari akibat daripada pertambahan jumlah hutang.

Impak Buat Permohonan Moratorium

  • Tidak jejas skor kredit

Ramai individu menzahirkan rasa gusar apabila mereka membuat permohonan moratorium dan skor kredit mereka terjejas. Ini kerana apabila pinjaman yang kita buat tidak dibayar, ia akan menjejaskan skor kredit. Apabila skor kredit terjejas, banyak perkara yang tidak dapat dibuat. 

Namun, menurut CTOS, penangguhan bayaran tidak dikategorikan sebagai tunggakan pinjaman. Oleh itu, sekiranya permohonan moratorium anda diluluskan oleh pihak bank, skor kredit anda tidak akan terjejas.

  • Tempoh pinjaman lebih lama

Membuat permohonan moratorium juga bermakna anda membuat permohonan untuk memanjangkan tempoh pinjaman dengan lebih lama. Ketika moratorium diberikan secara automatik, tempoh pinjaman ditangguhkan selama enam bulan. Bagi moratorium bersasar pula, ada beberapa situasi yang anda perlu tahu.

Ada beberapa situasi yang boleh anda bincangkan dengan pihak bank tentang pelanjutan tempoh pinjaman yang menyebabkan perubahan ansuran bulanan dan semuanya bergantung kepada kemampuan anda. Lihat contoh di bawah:

Sebelum penangguhan tiga bulan

  1. Ansuran bulanan: RM568/ bulan
  2. Jumlah pinjaman tertunggak: RM40, 795
  3. Tempoh pinjaman yang tinggal: 84 bulan

Situasi 1 – Menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan dan melanjutkan tempoh selama setahun

  1. Ansuran bulanan: RM510/ bulan
  2. Jumlah pinjaman tertunggak: RM40, 795
  3. Tempoh pinjaman yang tinggal: 96 bulan (84 bulan + lanjutan 12 bulan)

Situasi 2 – Menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan dan melanjutkan tempoh selama tiga tahun

  1. Ansuran bulanan: RM425/ bulan
  2. Jumlah pinjaman tertunggak: RM40, 795
  3. Tempoh pinjaman yang tinggal: 120 bulan (84 bulan + lanjutan 36 bulan)
  • Faedah masih ada

Untuk pengetahuan anda, walaupun kadar faedah-atas-faedah (compounded interest) tidak dikenakan, pinjaman anda masih dikenakan faedah atau keuntungan terakru (accrued interest) yang akan dibawa selepas moratorium berakhir.

Sepanjang moratorium automatik, faedah terakru masih berjalan seperti biasa.

  • Jumlah bayaran akhir tinggi?

Jika anda memilih untuk moratorium bersasar dengan tak bayar ansuran bulanan, jumlah terakhir yang anda kena bayar bila pinjaman matang mungkin akan menjadi lebih tinggi.

Namun, jika anda memilih pengurangan ansuran bulanan, jumlah terakhir yang anda kena bayar tidak meningkat. 

Permohonan Moratorium dan Hutang Kad Kredit

Berbeza dengan hutang pinjaman perumahan dan kereta, anda tidak boleh mendapatkan penangguhan untuk kad kredit. Walau bagaimanapun, sekiranya hutang kad kredit anda mempunyai jumlah yang besar, anda akan diberi pilihan untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman bertempoh supaya anda boleh memohon untuk mendapatkan enam bulan penangguhan bayaran.

Sekiranya anda tidak dapat membayar minimum kad kredit selama tiga bulan berturut-turut pun, pengeluar kad akan menukarkan baki yang terkumpul kepada pinjaman bertempoh yang tak lebih tiga tahun dengan faedah efektif tak lebih daripada 13 peratus setahun.

Untuk soalan lazim lain berkaitan pakej penangguhan atau penukaran kad kredit, anda boleh dapatkannya di laman web rasmi BNM.

Moratorium Cukai Jalan, Lesen Dilanjut Sehingga 31 Disember 2021

Tempoh moratorium lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dilanjutkan hingga 31 Dis ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, katanya pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah dan menunjukkan sijil perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan.

Sebelum ini, tempoh pembaharuan LKM dan LMM ditetapkan hingga 30 Sept ini dan boleh diperbaharui melalui kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia Bhd, MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Mulai 6 Sept juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian. Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter mesti telah mendapat vaksinasi lengkap dan menunjukkan status risiko rendah COVID-19 dalam aplikasi MySejahtera.

Orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ atau melalui khidmat Pos Malaysia, MyEG, Puspakom untuk membuat apa-apa transaksi JPJ yang berkaitan. Ini bertujuan mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ dan memberi kemudahan dan kesenangan kepada orang ramai memperbaharui LKM dan LMM.

Soalan Lazim Berkaitan Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman

Di bawah adalah antara soalan lazim yang dikongsi oleh BNM.

Soalan Lazim

Jawapan

Apakah kriteria kelayakan penangguhan? Semua pinjaman yang dibuat oleh individu dan PKS dengan institusi kewangan yang dikawal selia BNM.

* Penangguhan tak diberikan untuk hutang kad kredit

Apakah yang perlu dibuat oleh peminjam? Anda tak perlu membuat apa-apa kerana penangguhan adalah automatik. Jika anda tak perlukan penangguhan, sila beritahu pihak bank.
Bolehkah saya melanjutkan penangguhan lebih dari enam bulan? Penangguhan hanya untuk 6 bulan. Jika akan perlukan tempoh yang lebih lama, sila hubungi pihak bank.
Bank manakan yang menawarkan pakej penangguhan ini? Semua bank berlesen, bank Islam berlesen dan institusi kewangan pembangunan (IKP) yang ditetapkan dan dikawal oleh BNM.
Adakah pakej penangguhan dikenakan kepada pinjaman yang baru diluluskan / dikeluarkan? Pakej penangguhan boleh digunakan untuk semua pinjaman/pembiayaan yang belum dijelaskan setakat 1 April 2020.
Saya mempunyai pinjaman/pembiayaan yang dipotong secara automatik daripada gaji. Adakah saya layak? Ya. Sila beritahu syarikat anda untuk menghentikan potongan gaji jika anda mahu bayaran balik ditangguhkan, dan maklumkan juga pada pihak bank.

Semoga artikel kali ini dapat menjawab persoalan-persoalan anda tentang permohonan moratorium dan kesannya.

Sedang mencari insurans kereta? Mudah, renew saja di Qoala. Pantas dengan harga yang berpatutan. Cuba lah sekarang!

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

One comment

  1. Selepas 6 bulan menggunakan moratirium penuh adakah selepas itu potongan bayaran bulanan; masih sama atau meningkat jumlah bayarannye?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60