Perbankan Islam: Ini Yang Perlu Anda Ketahui

Artikel ini terakhir diperbarui September 29, 2021 by Nadhirah Rashid
Perbankan Islam: Ini Yang Perlu Anda Ketahui
Bagikan ke Teman:

Perbankan Islam, apakah maksud dan konsep sebenar perbankan Islam ini? Perbankan Islam atau Islam Banking telah lama diperkenalkan di Malaysia. Namun, masih ramai yang keliru dan belum arif tentang konsep yang digunapakai oleh perbankan Islamik. Jangan risau, Qoala hari ini akan berkongsikan segala info yang anda perlu ketahui mengenai perbankan Islam. 

Sejarah Perbankan Islam Di Malaysia

Malaysia adalah salah satu negara yang tidak asinglah dengan konsep dan amalan perbankan Islam. Perbankan Islam di Malaysia turut telah diiktiraf serata dunia. Industri kewangan Islam ini bermula di Malaysia pada tahun 1963 dengan tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (Lembaga Tabung Haji). Setelah itu, pada tahun 1983, Bank Islam pula ditubuhkan dan diikuti dengan tertubuhnya bank komersial yang lain pada tahun 1993. 

Ketika itu, industri kewangan Islam sedang pesat membangun. Bank Negara Malaysia mengambil keputusan untuk menubuhkan Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan mengenai Perbankan Islam pada 1 Mei 1997. Industri kewangan ini bertambah pesat lagi pada tahun 2004 apabila kerajaan ketika itu membenarkan bank asing dan antarabangsa untuk melaksanakan produk dan perkhidmatan perbankan Islamik mereka di Malaysia. 

Perbankan Islam Secara Am

Secara amnya, perbankan Islam adalah sebuah sistem perbankan yang mematuhi undang-undang Islam, iaitu undang-undang yang mematahi syariah.

Kenapa perbankan Islam diperkenalkan?

Perbankan Islam mematuhi syariah Islam
Foto Kredit: Kdonmuang Melalui Shutterstock

Perbankan Islam ditubuhkan dengan satu objektif utama iaitu untuk memberi alternatif dalam khidmat perbankan kepada umat Islam. Ini kerana, sebelum perbankan Islam diperkenalkan, umat Islam hanya mempunyai satu pilihan iaitu perbankan Konvensional. 

Sistem kewangan Islam ini juga ditubuhkan untuk memajukan dan meningkatkan ekonomi serta kewangan Islam dalam arena perbankan dunia. 

Sistem perbankan ini mematuhi undang-undang Syariah yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan Hadis, dari segi transaksi yang dibenarkan dalam Islam iaitu fiqh muamalat.

Antara prinsip asas yang dipatuhi oleh perbankan Islamik ialah:

  • Tidak boleh mengenakan unsur faedah (interest) yang menjurus kepada Riba.
  • Produk dan perkhidmatan mestilah Halal dan patuh Syariah.
  • Tidak menawarkan produk dan perkhidmatan dengan unsur-unsur Haram, Riba, Gharar, Zulm, Ikhtikar dan Maisir.

Unsur-unsur Haram Dalam Perbankan Islam

Industri kewangan Islam tidak menawarkan produk dan perkhidmatan yang berunsur elemen haram seperti di bawah:

Riba

Riba atau juga dikenali sebagai bunga hutang adalah diharamkan dalam Agama Islam. Ini bermakna, segala perniagaan atau sistem yang mematuhi syariah Islam tidak boleh menggunakan sebarang urusan yang mempunyai unsur-unsur Riba. Riba dalam konteks ini adalah seperti caj faedah.

Timbul persoalan beberapa soalan:

“Bagaimana industri kewangan Islam memperoleh keuntungan sekiranya tiada caj faedah yang dikenakan?” 

“Kenapa saya perlu membayar lebih untuk pinjaman sekiranya tiada caj faedah yang dikenakan?”

Sistem Perbankan Islamik menggunakan beberapa konsep penyertaan ekuiti, atau perkongsian keuntungan untuk produk mereka. Sebagai contoh jika anda membuka akaun simpanan, keuntungan yang diterima daripada akaun tersebut akan dikongsi antara anda dan pihak bank dan diberikan sebagai dividen, atau sebagai hadiah (hibah).

Untuk pinjaman Islamik pula, pihak institusi kewangan Islamik menggunakan beberapa prinsip Syariah yang mengelakkan Riba iaitu Gharar, Zulm, Ikhtikar dan Maisir.

Gharar

Apa pula Gharar ni? Gharar adalah sebuah konsep yang meluas dan tidak dapat dijelaskan secara spesifik. Para ulama turut mempunyai kata bulat yang mengatakan bahawa Gharar secara umum adalah sesuatu yang tidak diketahui akibatnya, atau keraguan yang boleh menimbulkan syak wasangka. 

Meski pun begitu, para Ulama juga berpendapat tidak semua jual-beli berunsur Gharar dilarang. Seperti yang dijelaskan sebelum ini – konteks Gharar adalah sangat luas dan kompleks.

Zulm

Zulm atau zulum pula merujuk kepada penindasan atau aktiviti yang kejam, zalim yang dilakukan oleh manusia. Oleh kerana Zulm dilarang di dalam Islam, perbuatan ini juga harus dielakkan dalam Sistem Perbankan Islamik.

Maisir

Seterusnya adalah Maisir. Maisir adalah sebuah aktiviti yang mempunyai unsur perjudian. Perjudian ini bermaksud di mana pertandingan atau pertaruhan antara dua pihak akan mengakibatkan kerugian kepada salah satu pihak. 

Ia adalah lebih spesifik daripada Qimar. Qimar pula adalah lebih umum. Ia juga merangkumi segala bentuk pertaruhan. Manakala Maisir lebih kepada pertaruhan yang jelas menggunakan nasib dan kemahiran. 

Perjudian adalah salah satu aktiviti yang sama sekali haram di sisi agama Islam. Oleh itu konsep perbankan Islamik akan mengelakkan aktiviti, produk dan perkhidmatan yang mempunyai unsur Maysir/Maisir.

Perbezaan Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional

Ramai yang masih keliru dengan perbezaan perbankan Islam dan juga Perbankan Konvensional. Walaupun sekali pandang nampak macam sama, namun kedua-dua sistem ini mempunyai perbezaan yang besar. 

Perbezaan Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional Dari Sudut Prinsip

Perbankan Islam

Seperti yang kita ketahui, prinsip utama yang ditekan dalam perbankan Islam adalah bebas unsur riba. Ini bermakna, semua produk dan perkhidmatan yang dilaksanakan perlu bebas dan tidak melibatkan elemen haram seperti Riba, Gharar, Zulm, Ikhtikar dan Maisir. 

Secara amnya, asas utama perbankan Islam secara ringkas ialah sebuah perniagaan yang dijalankan dengan berlandaskan akidah Islam, berdasarkan iman dan takwa, mengambil kira pahala dan dosa, dan mencari keredaan Tuhan dalam setiap urusniaga yang dijalankan. 

Perbankan Konvensional

Perbankan Konvensional pula sebuah perniagaan yang berasaskan mencari keuntungan dengan maksimum. Tidak ada akidah, pahala atau dosa, dan juga perniagaan perbankan konvensional tidak perlu mencari reda Allah di dalam urusan perniagaan yang berlangsung.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud sistem perbankan konvensional adalah sistem yang buruk. Cuma, perbezaan prinsip antara perbankan Islam dan perbankan konvensional adalah begitu ketara jika di buat perbandingan.

Perbankan Islam VS Perbankan Konvensional: Operasi & Tadbir Urus

Apabila prinsip sudah berbeza, sudah tentu cara operasi, pengurusan dan pentadbiran juga berbeza. Berikut adalah perbezaannya:

Pemantauan

Majlis Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Audit Syariah bertanggungjawab untuk memantau segala urusan dalam perbankan Islam bagi memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mengikut landasan Syariah Islam. 

Manakala bagi perbankan konvensional, tiada badan yang ditubuhkan untuk pemantaun dan tidak perlu patuh kepada undang-undang syariah dalam operasi, produk dan juga perkhidmatan yang ditawarkan.

Kontrak dan Transaksi

Kontrak dan transaksi adalah satu aktiviti utama dalam mana-mana sistem kewangan. Bagi perbankan Islam, segala kontrak dan juga transaksi yang berlaku perlu mematuhi syariat Islam yang mempunyai prinsip seperti Wadi’ah, Wakalah, Tawarruq dan sebagainya. 

Apa itu Wadi’ah, Wakalah, dan Tawarruq?

Wadi’ah: Wadi’ah pula adalah sebuah konsep yang digunakan dalam produk akaun simpanan, khidmat pemegang amanah dan peti simpanan deposit. 

Konsep ini memberikan ruang kepada individu untuk mendepositkan dana dalam bentuk wang tunai atau sebarang aset kepada institusi kewangan islamik. Institusi kewangan pula berperanan sebagai penyimpan atau pemegang amanah untuk dana tersebut.

Wakalah: Wakalah secara ringkas adalah kontrak di mana satu pihak mewakilkan atau memberi kuasa kepada satu pihak yang lain untuk melaksanakan tugasan tertentu yang patuh Syariah, secara sukarela atau dengan imbuhan/upah.

Konsep ini diaplikasikan secara meluas oleh bank yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islamik. Dalam situasi ini, pelanggan melantik pihak bank sebagai wakil untuk melakukan urus niaga atau perkhidmatan yang dipersetujui. Bank kemudiannya akan menerima upah dengan jumlah yang dipersetujui setelah selesai perkhidmatan tersebut.

Tawarruq: Tawarruq adalah konsep jual beli aset secara Murabahah atau Musawamah daripada penjual kepada pembeli. Ini bermakna, aset atau komoditi tersebut dijual secara tunai kepada pihak ketiga untuk mendapatkan tunai. 

Konsep Tawarruq ini boleh dilihat apabila konsep perbankan Islam yang lain tidak dapat digunakan transaksi jual beli. Sebagai contoh konsep ini digunakan secara meluas untuk produk perbankan Islam seperti pembiayaan peribadi Islamik dan kad kredit Islamik.

Perbankan konvensional pula tidak perlu mematuhi akad dan kontrak seperti yang terdapat di dalam perbankan Islamik. Boleh dikatakan hampir kesemua urusan jual-beli untuk Sistem Perbankan Konvensional melibatkan riba.

Untung Vs Riba

Bagi pelanggan yang menggunakan sistem perbankan Islamik, mereka tidak akan dikenakan caj faedah atau juga dikenali sebagai interest. Namun, ia akan berkongsi kadar keuntungan hasil daripada urusan jual beli yang mematuhi hukum syariah. 

Bagi perbankan konvensional pula, caj kadar faedah akan dikenakan. Caj tersebut adalah riba dan diharamkan dalam prinsip kewangan Islam. 

Denda dan Penalti

Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan caj ganti rugi yang dibenarkan iaitu pada kadar satu peratus daripada jumlah tunggakan. Garis panduan ini diikuti sistem kewangan Islam di Malaysia. Begitu juga dengan perbankan konvensional. 

Namun, yang membezakan perbankan Islam dan perbankan konvensional adalah, walaupun caj atau ganti rugi masih mengikut garis panduan yang telah ditetapkan BNM, perbankan konvensional tetap mengenakan caj tambahan sekiranya pelanggannya lewat bayar. Hasilnya? Ia menambahkan beban kepada pelanggan. 

Zakat

Perbankan Islam menggalakkan zakat
Foto Kredit: Moma okgo Melalui Kad Kredit

Sistem perbankan Islam menitik-beratkan tanggungjawab pembayaran zakat selari dengan tanggungjawab sebagai penganut agama Islam.

Sistem perbankan konvensional pula tidak perlu mengambil berat perkara berkaitan sumbangan dan bayaran zakat.

Perbezaan Produk Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional

Jika dilihat pada sekilas pandang, produk-produk di antara perbankan Islamik dan perbankan konvensional seakan sama. Namun, sebenarnya, ada banyak bezanya.

Deposit/Akaun Simpanan

Kedua-dua sistem perbankan ini menawarkan produk deposit seperti akaun simpanan dan akaun semasa.

Deposit Islamik: Ia berteraskan konsep kontrak Qard. Qard adalah sejenis bayaran dengan jaminan. Menariknya, konsep Qard ini adalah sebuah konsep di mana pemberi pinjaman meminjamkan wang kepada peminjam. Pihak bank akan membayar semula wang tersebut apabila dikehendaki oleh pelanggan dengan jumlah yang sama mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh bank. Pihak bank juga boleh memberi hadiah atau Hibah, bergantung kepada budi bicara bank.

Deposit konvensional: Manakala dengan deposit konvensional, pelanggan yang telah membuka akaun deporit dijanjikan dengan pulangan tertentu bagi simpanan yang telah dibuat. Anda mungkin tertanya-tanya, bagaimana pihak bank boleh membuat keuntungan? Institusi kewangan bank yang mengamalkan perbankan konvensional akan menggunakan aset atau duit yang disimpan untuk menjalankan sebarang aktiviti perniagaan untuk mendapatkan keuntungan. Konsep yang digunakan ini adalah riba secara langsung, iaitu pulangan yang dijamin.

Bagi melihat perbezaan yang lebih jelas, lihat rajah dibawah:

Sistem Perbankan IslamikSistem Perbankan Konvensional
ProdukAkaun Simpanan/SemasaAkaun Simpanan/Semasa
KonsepKontrak QardTiada
PulanganHadiah atau Hibah (Bergantung kepada budi bicara institusi kewangan/bank)Pulangan tetap (faedah dijamin)
ProdukAkaun Simpanan/SemasaAkaun Simpanan/Semasa

Pembiayaan & Pinjaman

Untuk pengetahuan anda, produk pinjaman Islamik tidak menggunakan istilah pinjaman. Sebaliknya, ia menggunakan istilah pembiayaan. Ini kerana dari segi konsep yang digunakan, institusi kewangan tidak memberikan pinjaman kepada individu, Manakala produk konvensional pula menggunakan istilah pinjaman kerana konsep yang digunakan adalah peminjam meminjam wang daripada pemberi pinjaman.

Bagi pemahaman yang lebih jelas, teruskan membaca.

Pembiayaan Islamik

Seperti yang kita tahu, institusi kewangan yang mematuhi syariah Islam mengharamkan riba. Sebaliknya, ia menggunakan konsep kewangan seperti Bai’ Al-Inah dan Tawarruq. Melalui konsep ini, proses yang terhasil adalah urusan kontrak jual beli yang menghasilkan hutang.

Walau bagaimanapun, hutang tersebut bukanlah daripada pinjaman. Ia adalah daripada urusan jual beli. Sebagai contoh, pihak bank membeliu aset bagi pihak peminjam dan menjualnya semula kepada peminjam dengan satu kadar keuntungan (profit rate) yang telah dipersetejui oleh kedua-dua pihak.

Caj lewat bayar turut dikenakan. Ia dianggap sebagai satu kos rugi daripada pembiayaan yang dihadapi oleh institusi kewangan atau bank kerana pelanggan tidak dapat menjelaskan hutangnya.

Pinjaman Konvensional

Bagi perbankan konvensional, urusan pinjaman adalah satu situasi di mana peminjam meminjam wang daripada institusi kewangan atau bank. Peminjam juga akan dikenakan caj kadar faedah (interest rate) daripada jumlah prinsipal bagi memberi keuntungan kepada institusi kewangan tersebut.

Dari segi jumlah pinjam yang perlu dibayar, ia boleh berubah mengikut Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate – BLR). Manakala bagi caj lewat pula, perbankan konvensional mengenakan faedah kompaun yang membebankan peminjam.

Mitos Pembiayaan Islamik

Seperti yang kita ketahui, dalam perbankan Islamik, tiada istilah pinjaman Islamik. Ia dikenali sebagai pembiayaan, bukannya pinjaman. Namun, ada pelbagai mitos yang masih berlegar-legar dalam kalangan masyarakat. Berikut adalah mitos-mitosnya:

Pembiayaan Islamik Hanya Untuk Muslim

Sebenarnya, bukan penganut Islam sahaja yang boleh menggunakan produk dan servis daripada perbankan Islamik. Meski pun dikenali sebagai pembiayaan Islamik dan ditawarkan oleh Bank Islamik, produk pembiayaan ini adalah untuk semua masyarakat tanpa mengira Agama. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah institusi kewangan yang meletakkan syarat bahawa produk pembiayaan Islamik yang mereka tawarkan hanya boleh digunakan untuk urusan patuh Syariah. Jadi kegunaan untuk urusan yang haram seperti judi, arak dan sebagainya adalah tidak dibenarkan.

Mudah Lulus Berbanding Konvensional

Pembiayaan Islamik masih mengambil kira faktor-faktor seperti skor kredit, rekod kredit, risiko pemohon dan sebagainya bagi menentukan sama ada permohonan lulus atau tidak. Mungkin terdapat sedikit berbeza dari segi dokumen yang perlu disediakan, namun secara amnya, hampir tiada perbezaan antara pembiayaan Islamik dan juga pinjaman konvensional dari segi aspek kelulusan.

Lebih Menguntungkan Kerana Tidak Perlu Bayar Faedah

Pembiayaan Islamik sememangnya tidak mengenakan caj kadar faedah seperti yang dilakukan dengan pinjaman konvensional. Namun, ia masih mengenakan caj perkongsian kadar keuntungan atau juga dikenalikan sebagai profit rate.

Banyak Caj Tersembunyi

Benar terdapat caj yang dikenakan sekiranya permohonan pembiayaan anda lulus. Tetapi caj seperti caj Wakalah atau upah agensi ini hanya sekitar RM30 hingga RM50 sahaja, dan akan ditolak daripada pembiayaan yang lulus. Caj ini juga tidak meningkatkan jumlah pembiayaan, jadi caj kadar keuntungan yang perlu dibayar tidak berubah.

Bagi penerangan lebih jelas, rujuk rajah di bawah:

Sistem Perbankan IslamikSistem Perbankan Konvensional
IstilahPembiayaan Peribadi / Kenderaan / Perumahan / PerniagaanPinjaman Peribadi / Kenderaan / Perumahan / Perniagaan
KonsepBerlandaskan prinsip SyariahKonsep pinjaman (hutang)
KeuntunganPerkongsian keuntungan daripada jualanFaedah yang dikenakan atas jumlah pinjaman
AsetAset yang dibenarkan hukum SyarakTiada kekangan
Amaun bayaranTetap sepanjang tempoh pembiayaanBoleh berubah berdasarkan BLR
Pemilikan asetDimiliki oleh penjualTiada
Caj lewat bayarAkan dikenakan ganti rugi (Ta’widh)Faedah terkompaun
Perlindungan InsuransTakafulKonvensional

Jika kita lihat pada rajah di atas, ada menyebut mengenai perlindungan insurans. Takaful bagi perbankan Islamik dan Konvensional bagi perbankan konvensional.

Apa itu insurans takaful?

Takaful ini adalah satu konsep insurans yang berlandaskan hukum Syariah. Secara asasnya konsep takaful adalah berteraskan kerjasama, tanggungjawab, perlindungan atau erti kata lain ia memberikan perlindungan ke tas aset bersama dan menawarkan perkongsian risiko sesama ahli. Buat pengetahuan korang, syarikat takaful pertama di Malaysia ditubuhkan pada tahun 1985 selepas penggubalan Akta Takaful 1984.

Syarikat Takaful berperanan sebagai alternatif lain untuk anda menjauhi insurans konvensional yang mempunyai unsur riba, maisir dan gharar. Untuk pengetahuan, sistem takaful bukan sahaja memberi manfaat kepada umat Islam (Muslim) tetapi juga memberi manfaat kepada semua ahlinya tanpa mengira agama yang mereka anuti.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai insurans dan takaful di laman web syarikat insurans. Jangan lupa anda boleh membeli produk insurans di Qoala!

Sampai disini sahaja perkongsian Qoala pada hari ini. Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda.

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗