Cara Menggunakan Kad Kredit Dengan Bijak

Artikel ini terakhir diperbarui September 8, 2021 by Nadhirah Rashid
Cara Menggunakan Kad Kredit Dengan Bijak
Bagikan ke Teman:

Kad kredit memang sedap untuk digunakan. Tapi, cara menggunakan kad kredit kenalah betul. Jika salah guna, kita pula yang kena jerat. Untuk pengetahuan korang, hutang kad kredit adalah antara penyumbang utama kepada kenapa angka individu muflis yang meningkat. Menurut Bank Dunia, 60% yang diisytihar muflis adalah daripada golongan muda. Golongan milenial ini adalah golongan yang dalam lingkungan usia 25 hingga 44 tahun. Golongan ini juga direkodkan mencatat peningkatan dalam jumlah individu yang diistihar muflis. Laporan itu juga turut mendedahkan individu-individu yang diisytiharkan muflis ini berpunca daripada tabiat berbelanja yang luar daripada kemampuan. 

Kajian Research For Social Advancement (REFSA) turut mendapati 2.2 juta isi rumah di Malaysia dengan pendapatan sebanyak RM1,000 ke bawah dan majoriti mereka tinggal di bandar mempunyai tabiat buruk iaitu berbelanja melebihi pendapatan. 50% daripada mereka adalah pemegang kad kredit berusia bawah 30 tahun.

Kad kredit ni adalah kelebihan dan kekurangannya. Artikel kali ini akan memberikan korang satu pandangan baru mengenai kad kredit dan membuat keputusan yang bijak selepas ini. 

MITOS KAD KREDIT YANG KORANG MUNGKIN TAK TAHU

  • Faedah dicaj serta merta selepas penggunaan

Konsep kad kredit sebenarnya mudah. Apabila korang menggunakan kad kredit, korang sebenarnya sedang meminjam wang daripada pihak bank. Sebenarnya, korang tak akan dicaj faedah serta merta. Hampir seluruh bank di Malaysia menyediakan tempoh bebas caj faedah selama 20 hari untuk korang menggunakan kad kredit. 

Jadi, bila korang akan dikenakan faedah? Apabila tiba waktu pembayaran, korang perlulah membayar jumlah penuh yang dikenakan sepanjang tempoh 20 hari tersebut. Bila korang bayar dengan jumlah yang penuh, korang tak akan dicaj faedah. Apa yang membuatkan korang dikenakan caj faedah ialah apabila korang hanya membuat pembayaran minima. Caj faedah akan dikenakan untuk jumlah baki yang belum dibayar.

  • Satu kad saja sudah memadai 

Ramai berpendapat bahawa mempunyai satu kad kredit sahaja sudah memadai. Memang benar, memiliki lebih daripada satu kad kredit boleh menyukarkan korang untuk track balik perbelanjaan korang. Tapi, mengehadkan pemilikan kad kredit kepada satu kad sahaja juga sebenarnya adalah tindakan yang kurang bijak. 

Ia semua bergantung kepada perbelanjaan dan gaya hidup korang. Sebenarnya, ia akan menjadi lebih menguntungkan jika korang mempunyai kad kredit yang sesuai dengan cara hidup dan perbelanjaan korang. Sebabnya, setiap jenis kad kredit mempunyai ganjaran dan kelebihan yang berlainan. Sebagai contoh, sekiranya korang mempunyai dua kad kredit, khaskan satu kad kredit untuk mengumpul rebat tunai, dan gunakan lagi satu untuk mengumpul Air Miles semasa melancong. 

  • Kad kredit menambahkan beban hutang saja
Foto Kredit: Teerasak Ladnongkhun Melalui Shutterstock

Ramai yang takut nak ambil kad kredit kerana dimomokkan yang konon sesiapa sahaja yang mengambil kad kredit confirm akan ada hutang banyak dan seterusnya muflis. jika anda betul-betul disiplin menggunakan kad kredit, ia sebenarnya tidak menyusahkan anda, malah lebih menguntungkan. Kenapa kami cakap lebih menguntungkan? Korang sebenarnya boleh berjimat jika menggunakan kad kredit dengan cara yang betul. Cara menggunakan kad kredit yang betul adalah korang perlu menggunakan kad kredit yang bersesuaian dengan gaya perbelanjaan harian korang. Contoh,korang boleh mendapatkan manfaat rebat tunai apabila korang membuat bayaran petrol atau bayaran harian. 

  • Bayaran minima sahaja sudah mencukupi

Mungkin istilah bayaran minima ini boleh mengelirukan. Kebanyakkan pemegang kad kredit menyangkakan bahawa bayaran minima itu adalah jumlah hutang mereka dengan bank. Ada juga yang berpendapat membuat bayaran minima saja sudah mencukupi.  Untuk pengetahuan korang, ini boleh mendatangkan kesan buruk. Ini kerana korang akan dikenakan caj faedah. Bukan itu sahaja, bayaran balik hutang juga akan menjadi lama untuk menyelesai hutang yang tertunggak ini. Akibatnya? Beban hutang masa singkat makin tinggi. 

Okay dah cerita pasal mitos, jom ketahui pasal fakta-fakta kad kredit pula.

FAKTA-FAKTA MENGENAI KAD KREDIT

  • Pelan ansuran tanpa faedah

Pengguna kad kredit juga diberikan kemudahan pembayaran balik secara ansuran. Pembayaran jenis ansuran ini akan dikenakan kepada pemegang kad kredit secara bulanan. Menggunakan kad kredit ini bermakna anda berhutang dengan bank, dan wajib dibayar secara ansuran mengikut deadline yang diberikan. 

Sekiranya anda membuat bayaran tepat pada masa dan jumlah yang penuh, anda tidak akan dikenakan faedah. Anda akan dikenakan faedah, jika anda berbuat sebaliknya. Macam mana faedah dikenakan? Jika bayaran balik bulanan yang dikenakan ke atas kad kredit tidak dibayar dengan tempoh masa yang ditetapkan, kadar faedah akan dikenakan berdasarkan baki hutang kad kredit. 

  • Skor kredit
Foto Kredit: REDPIXEL.PL Melalui Shutterstock

Lagi satu kelebihan kad kredit ni, ia boleh membantu korang merekodkan rekod kewangan atau skor kredit yang mantap. Kenapa pentingnya rekod kewangan kad kredit ni? Rekod kad kewangan kad kredit boleh dilihat pada rekod CCRIS dan CTOS sebagai rekod yang baik sekiranya korang membuat pembayaran balik setiap bulan. Kegagalan mempunyai rekod kewangan yang baik atau tidak mempunyai rekod kewangan langsung akan menyukarkan korang untuk membuat pinjaman dengan bank seperti pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan sebagainya. 

Sekiranya, korang menggunakan kad kredit pada kadar dan tahap yang sesuai dengan income, dan membayar keseluruhan baki hutang tepat pada masa yang ditetapkan, tahniah! Korang berjaya menjaga rekod kewangan dengan baik. 

  • Ganjaran

Sesetengah kad kredit datang dengan tawaran mata ganjaran dan juga cashback. Dengan setiap penggunaan kad kredit, korang boleh mengumpul mata ganjaran dan nikmati hadiah-hadiah menarik yang boleh ditebus!

Kalau korang seorang pengguna kad kredit yang menggunakan kad kredit untuk mengisi petrol, terdapat beberapa kad kredit petrol yang menawarkan ganjaran dan cashback serta diskaun dari stesen-stesen minyak yang terpilih. Contohnya seperti kad kredit Maybank Petronas dan juga Public Petron. 

  • Kadar faedah hutang

Kebiasaannya, pengguna kad kredit akan menerima bil penyata kad kredit yang mempamerkan ringkasan transaksi oleh pihak bank pada setiap bulan. Dalam penyata ini, akan dinyatakan sekali baki hutang akhir bulan beserta bayaran minimum yang harus dijelaskan. Korang akan diberi tempoh masa pembayaran balik lebih kurang 20 hari. Kalau korang bayar dengan jumlah yang penuh, tiada sebarang caj faedah akan dikenakan. Baki hutang juga akan direkodkan kosong. 

Walaubagaimana pun, kalau korang lambat bayar, atau hanya membayar bayaran minima, baki hutang akan dikenakan dengan kadar faedah yang tinggi iaitu sekitar 13 hingga 18 peratus.

  • Faedah tidak dicaj pada hujung bulan

Selalunya, bil eletrik, bil air, sewa rumah semua kita bayar pada hujung bulan. Tapi, ianya lain bagi pengguna kad kredit. Kitaran bil kad kredit tidak diletakkan pada hujung bulan. Apa yang korang kena buat is, korang kena jelaskan bayaran sebelum tarikh akhir pembayaran. Gagal melakukan pembayaran mengikut tarikh yang ditetapkan akian menyebabkan korang dicaj dengan faedah yang mengoyak poket. Lagi satu, payment due ni tak semestinya pada tarikh yang sama, korang kena rajinkan diri untuk semak dekat penyata kad kredit.

Lebih baguS kalau ada aplikasi-aplikasi daripada bank seperti Maybank2u ataupun CIMB Clicks. Dengan memuat turun aplikasi ini, ia akan memudahkan hidup korang. Selain tarikh akhir pembayaran, korang boleh check had kredit yang tinggal dan juga jumlah hutang yang harus dibayar pada bulan berkenaan. 

Sebenarnya, tak kisahlah korang nak gunakan cara apa sekali pun, yang penting korang kena bayar dengan jumlah yang penuh sebelum tarikh akhir pembayaran. 

  • Grace period

Apa itu grace period? Dia macam ni, sebelum tarikh akhir pembayaran, akan ada satu tarikh yang dipanggil sebagai statement date, atau juga dikenali sebagai closing date. Dalam statement date tersebut, pihak bank pengeluarkan kredit tersebut akan mengira semua transaksi yang dilakukan dan dimasukkan ke dalam bil terkini. Mana-mana transaksi yang berlaku selepas itu akan direkodkan ke dalam bil seterusnya. Tempoh di antara statement date dan tarikh akhir pembayaran dinamakan sebagai grace period. Yang menariknya, dalam tempoh grace period ini, korang tak akan dicaj dengan faedah. 

Untuk memahami dengan lebih jelas, ikuti contoh ini:

Billing cycle: 21 Januari sehingga 21 Februari

Tarikh akhir pembayaran: 11 Mac

Tempoh dari 21 Februari sehingga 11 Mac tersebut dinamakan grace period. 

Sekarang dah tahu mengenai fakta dan mitos mengenai kad kredit, masa untuk ketahui cara menggunakan kad kredit yang betul. Ingat, kad kredit memang menyenangkan, tapi jika salah guna, alamatnya memang membebankan diri! 

CARA MENGGUNAKAN KAD KREDIT

Ramai pengguna kad kredit, terutamanya golongan millenial yang baru saja mendapatkan kad kredit tidak tahu fungsi penuh kad kredit serta cara menggunakan kad kredit yang betul. Kalau korang baru nak pakai kad kredit, atau bercadang untuk memohon kad kredit, ini cara menggunakan kredit yang betul yang perlu korang tahu. 

  • Ganjaran kad kredit ada tempoh luput

Ada sesetengah kad kredit menawarkan mata ganjaran apabila korang berbelanja mengguna kad kredit. Disebabkan itu, ramai yang gemar mengumpul mata ganjaran untuk menebus pelbagai hadiah atau baucar. Tapi, apa yang ramai tak tahu adalah mata ganjaran tersebut mempunyai tempoh luput. Sedar-sedar nanti dah tak boleh guna rewards yang ada. Sebab tu, korang dinasihatkan untuk semak tarikh luput dan rancang penggunaan mata ganjaran tersebut. Seeloknya semak mata ganjaran pada setiap tahun dan tebus untuk barangan atau baucar yang mempunyai nilai tertinggi. So, dengan cari ni, mata ganjaran yang korang kumpul tu tak akan dibazirkan dengan sia-sia saja.

  • Jangan buat kad kredit sebagai sumber pinjaman

Asal usul kad kredit ini diwujudkan adalah untuk memberikan kemudahan kepada pengguna dari segi pembayaran dan juga penjimatan extra melalui mata ganjaran atau cashback. Namun, ada beberapa pengguna kad kredit mengambil kesempatan dan menggunakan kad kredit sebagai pembayaran cepat untuk menyelesaikan masalah-masalah kewangan yang mereka hadapi. 

Kalau korang ada masalah kewangan, lebih baik korang memohon pinjaman pribadi yang hanya mengenakan antara enam sehingga lapan peratus secara purata. Jauh lebih jimat daripada faedah yang dikenakan bila korang menggunakan kad kredit iaitu sehingga 18 peratus. 

  • Elak kad kredit dicuri

Cara menggunakan kad kredit yang seterusnya adalah dengan menjaga kad kredit korang dengan baik. Ada banyak kes penipuan yang dilaporkan dalam dada-dada akhbar. Ribuan ringgit telah lesap dan ribuan orang juga telah menjadi mangsa sindiket penipuan kad kredit ini. Kadang-kadang kes ini berlaku disebabkan kecuaian pemegang kad kredit itu sendiri. Apabila korang tidak berhati-hati semasa menggunakan kad kredit,  orang-orang yang berniat jahat di sekeliling korang boleh mengintip kod pin dan mencuri kad kredit dengan pantas. Kadang-kadang, korang boleh jadi tak sedar yang kad kredit korang telah dicuri. Memang betul, korang boleh menghubungi pihak bank untuk membekukan akaun, tapi lebih baik mencegah daripada merawat kan? Simpan kad korang betul-betul dan jangan sesekali berkongsi atau membenarkan sesiapa pun mengambil gambar kad kredit tersebut. 

  • Bayar apa yang anda guna sahaja

Jadilah pengguna yang bijak, dan elakkan sama sekali dikenakan caj faedah. Cara nak elakkan faedah? Mudah saja. Elakkan bayar lambat daripada tarikh akhir pembayaran dan korang hanya perlu bayar apa yang korang guna sahaja. Untuk dijadikan contoh, jika korang beli barang berharga RM100, apabila penyata bank dikeluarkan, korang hanya perlu bayar RM100 je. Dengan syarat, bayar dalam tempoh yang telah ditetapkan. Kalau lebih daripada tarikh yang ditetapkan, barulah korang dikenakan faedah setinggi 18 peratus. 

  • Selesaikan hutang kad kredit secepat mungkin

Cara menggunakan kad kredit dengan bijak yang seterusnya ialah bayar hutang kad kredit secepat mungkin. Tolong jadikan tabiat untuk membayar hutang kad kredit dengan cepat kerana pembayaran balik hutang kad kredit adalah satu perkara paling penting sekali bila korang menggunakan kad kredit. Kegagalan buat bayaran balik dengan tempoh yang ditetapkan akan buat korang menangis. Bukan sebab apa, tapi sebab dek kerena faedah yang dicaj amat tinggi. Kalau korang anda pendapatan tetap, korang dinasihatkan untuk membuat debit secara automatik. Ini cara yang paling ideal untuk mengelakkan daripada korang terlambat bayar daripada tempoh yang ditetapkan, atau lebih teruk terlupa nak bayar.

  • Hadkan bilangan kad

Sesetengah memerlukan lebih daripada satu kad kredit. Ianya bergantung kepada keupayaan pengguna untuk menguruskannya. Jumlah kad kredit yang banyak ni kadang-kadang boleh menjerat anda, merosakkan rekod kredit dan juga menambah bebanan hutang. Kalau korang seorang pengguna kad kredit yang bijak dan bertanggungjawab, mempunyai kad kredit lebih daripada satu adalah bukan satu permasalahan. 

  • Gunakan kad kredit untuk kecemasan

Korang juga dinasihatkan menggunakan kad kredit untuk tujuan kecemasan. Misal kata terjadi satu situasi dimana memerlukan perbelanjaan yang tidak disangka, korang boleh menggunakan kad kredit untuk selesaikan situasi kecemasan itu tadi. Tapi kena ingat, korang kena kenal pasti dulu keutamaan korang dan kendalikan kewangan korang dengan berhemah. 

  • Pemilihan kad kredit

Mungkin ramai yang tak tahu tentang cara menggunakan kad kredit yang lagi satu ni; iaitu memilih kad kredit yang sesuai dengan diri. Bukan semua kad kredit itu bagus. Ia bergantung kepada cara kita berbelanja. Sebelum nak apply untuk kad kredit, pastikan korang tahu tujuan utama korang untuk menggunakan kad itu. Adakah korang memang betul memerlukan atau sekadar mengikuti trend kerana kawan-kawan semua ada? Kad kredit bukan satu keperluan pun, tapi ia boleh membantu korang menguruskan kewangan. 

Setiap perkara mempunyai kelebihan dan kebaikannya. Termasuklah kad kredit. Kita sebagai pengguna haruslah bijak membuat keputusan dan jangan biarkan diri terjerat dengan hutang. Pastikan korang berbelanja mengikut keperluan. Bukan kemahuan ye. Lagi satu, jangan diikutkan sangat trend. Kadang-kadang apa yang sedang trending tu kita tak perlukan pun. Semoga artikel yang kami kongsikan kali ini memberi manfaat dan oh ya, siapa dekat sini ada kereta? Jangan lupa untuk check out artikel mengenai insurans kereta yang kami kongsikan! 

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.