Tabung Korban Hari Raya Haji, Serendah RM2 Sehari 1 Bahagian?

Artikel ini terakhir diperbarui July 4, 2022 by Shafiq Wahab
Tabung Korban Hari Raya Haji, Serendah RM2 Sehari 1 Bahagian?

Ramai yang berhajat untuk buat ibadah korban sempena Hari Raya Haji namun terpaksa melupakan hasrat tersebut disebabkan kekangan kewangan lebih-lebih lagi dengan mengambil kira kos operasi perternak yang meningkat sejak kebelakangan ini di antara 35 hingga 40 peratus. Meskipun begitu, ia tidaklah bermaksud anda tidak boleh melakukan ibadah korban – jika kena dan betul caranya, anda boleh mengambil bahagian dalam mengerjakan ibadah haji.

Cara Simpan Duit untuk Korban Hari Raya Haji Setiap Tahun

Setiap individu yang berkemampuan disunatkan untuk melaksanakan ibadah korban setiap kali Hari Raya Haji. Hari Raya Haji atau turut dikenali sebagai Hari Raya Korban dan Aidiladha diraikan oleh umat Islam diseluruh dunia sehingga ke hari ini bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap Allah S.WT.

Rentetan daripada peristiwa ini, umat Islam menyembelih binatang-binatang korban setiap tahun ketika perayaan Aidiladha lalu mengagihkan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Panduan berikut boleh membantu anda dalam merancang kewangan anda untuk menyimpan duit bagi membuat sembelihan korban.

1. Sediakan Tabung Khas

Bagi membantu anda mencapai matlamat melaksanakan ibadah korban, anda boleh sediakan tabung khas untuk menyimpan duit sama seperti anda menyediakan tabung pendidikan untuk anak-anak anda. Anda boleh sediakan tabung fizikal di rumah (tabung buluh atau sebagainya) atau memperuntukkan satu akaun khas seperti tabung MAE Maybank untuk tujuan tersebut. Bagi anda yang mungkin tidak biasa dengan tabung MAE Maybank, anda boleh ikuti cara simpan duit dalam tabung MAE seperti berikut:

Cara Simpan Duit Ibadah Korban dalam Tabung MAE Maybank

Secara asasnya, MAE Maybank merupakan aplikasi yang memudahkan pengguna khususnya pengguna Maybank tentang perkara-perkara yang melibatkan urusan kewangan seharian. Selain pengurusan kewangan, MAE juga membolehkan anda melakukan transaksi menggunakan QR Pay, melakukan pembayaran bil, transfer duit, tambah nilai dan sebagainya dengan mudah. Malah, ia juga memudahkan anda untuk memantau perbelanjaan harian dan bulanan anda. Berikut merupakan panduan lengkap cara menggunakan tabung MAE Maybank untuk rujukan dan panduan anda:

i. Kenal Pasti Tujuan Simpanan

Pertama, anda perlu tahu tujuan simpanan anda – dalam kes ini, anda perlu menyimpan untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban Hari Raya Haji. Log masuk akaun MAE anda, kemudian pilih Create Tabung dan pilih daripada pilihan yang tersedia. Anda juga boleh letak nama tabung anda sendiri mengikut kesesuaian seperti “Ibadah Korban Lembu Hari Raya Haji”.

ii. Tetapkan Tempoh

Kemudian, pilih tarikh mula dan tarikh jangkaan tabung penuh. Aplikasi MAE akan kirakan amaun yang perlu diperuntukkan setiap bulan bagi membantu anda mencapai sasaran yang ditetapkan. Sebagai contoh, andaikan satu bahagian lembu berharga RM750, amaun bulanan yang perlu diasingkan daripada gaji (simpanan gaji) anda adalah lebih kurang RM62.50 sebulan untuk tempoh 12 bulan, atau kira-kira RM2.08 sen sehari.

iii. Mula Menabung

Anda boleh pilih sama ada untuk menyimpan dalam tabung anda sendiri atau tabung orang lain. Tabung orang lain sesuai sekiranya anda merancang untuk melakukan ibadah korban bersama ahli keluarga anda yang lain. Senang cerita, anda bertindak sebagai bendahari dan semua ahli keluarga yang ingin mengambil bahagian akan menyimpan dalam tabung yang sama. Anda juga boleh pilih sama ada untuk auto deduct duit secara terus dari akaun anda atau masukkan sendiri ke dalam tabung ikut kesesuaian dan bajet anda sehingga tabung penuh.

2. Masukkan dalam Bajet Perbelanjaan Tahunan/Bulanan

Cara paling mudah untuk menyimpan duit bagi melaksanakan ibadah korban setiap tahun adalah dengan menjadikannya salah satu daripada perbelanjaan wajib tahunan atau bulanan. Jika sebelum ini anda hanya memperuntukkan bajet tahunan untuk renew insurans kereta atau insurans motor, roadtax kereta, zakat dan sebagainya sahaja, inilah masanya untuk anda menambah satu lagi dalam senarai bajet tahunan atau bulanan yang perlu dibayar.

Di pasaran, harga seekor lembu pada tahun 2022 meningkat sehingga RM5,200 seekor berbanding tahun lalu di bawah RM5,000 seekor. Ini bermaksud, harga satu bahagian lembu korban tahun ini dianggarkan sekitar RM750 hingga RM850. Anda boleh ambil kira harga pasaran lembu semasa dalam menentukan bajet yang perlu diperuntukkan setiap tahun. Ini kerana, harga seekor lembu berubah mengikut keadaan ekonomi semasa setiap tahun.

3. Buat Potongan Gaji

Jika anda kurang berdisiplin dalam menabung, anda boleh buat potongan gaji secara automatik ke akaun khas setiap bulan. Sebagai contoh, anda boleh buat potongan gaji setiap bulan ke akaun Tabung Haji anda. Apabila tiba musim ibadah korban, anda boleh keluarkan sebahagian daripada simpanan tersebut untuk melaksanakan ibadah korban.

hari raya haji aidiladha

Semoga panduan ini dapat membantu anda merancang kewangan anda dengan lebih baik untuk berpeluang melaksanakan ibadah korban setiap tahun. Secara asasnya, ibadah korban merupakan salah satu cara untuk menzahirkan rasa syukur atas nikmat dan rezeki yang diberikan sepanjang tahun.

Selain itu, sekiranya anda merancang untuk memperbaharui insurans kereta anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala menyediakan pelbagai pilihan insurans kereta daripada pelbagai syarikat insurans terbaik di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang mudah, cepat dan selamat.

Kongsi:
Shafiq Wahab
Bukan berjiwa kelajuan dan suka berangan, banyak menghabiskan masa lapang dengan tidak berbuat apa-apa.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗