Hutang PTPTN: Cara Langsai Dengan Mudah

Artikel ini terakhir diperbarui September 3, 2021 by Nadhirah Rashid
Hutang PTPTN: Cara Langsai Dengan Mudah
Bagikan ke Teman:

Hutang PTPTN atau hutang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional adalah satu hutang atau loan pendidikan yang dimiliki ramai orang di Malaysia terutamanya golongan muda yang baru saja menyelesaikan pengajian tahap tinggi. Tamat sahaja sesi pengajian, ramai graduan tersangkut dalam kesukaran membuat bayaran balik hutang pinjaman PTPTN.

Ramai graduan yang baru bekerja mengatakan mereka mempunyai masalah dalam membuat pembayaran balik. Pada tahun 2019 sahaja, seramai 375, 925 peminjam yang direkodkan, tidak pernah membuat pembayaran balik hutang PTPTN. Antara sikap tidak peduli atau mereka tidak tahu cara menguruskan wang dengan betul bagi membolehkan mereka membayar balik hutang pendidikan tersebut. 

PTPTN ditubuhkan pada 1 Julai 1997 seiring dengan penubuhan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (Akta 566). Namanya pun pinjaman, jadi graduan diberi tanggungjawab untuk membuat pembayaran balik selepas tamat pengajian. Namun, pinjaman ini adalah percuma 100 peratus bagi graduan yang mendapat ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama. Mereka dikecualikan daripada membuat bayaran semula dan pinjaman ini secara automatiknya menjadi biasiswa. 

Tips Bayar Balik Hutang PTPTN

Hutang PTPTN perlu dibayar sebaik sahaja tamat pengajian
Foto Kredit: 99Art Melalui Shutterstock

Adakah pembaca yang sedang membaca kini sedang mengalami masalah membuat bayaran semula? Jangan risau, masih belum terlambat untuk anda memulakan pembayaran balik. Ini tips-tipsnya: 

  • Penstrukturan semula bayaran

Sekiranya anda sudah lama menangguhkan pembayaran, kemungkinan anda boleh menjadi buntu untuk memulakan ia semula. Walau bagaimanapun, anda boleh membuat penstrukturan semula bayaran hutang PTPTN. 

Caranya mudah. Pergi saja ke mana-mana kaunter PTPTN atau cuba hubungi pejabat khidmat pelanggan PTPTN dan menanyakan tentang kaedah penstrukturan semula bayaran balik pinjaman PTPTN. 

Kebiasaannya, pihak PTPTN akan mengesyorkan peminjam untuk membuat penukaran kepada skim ujrah. Sejak tahun 2008, PTPTN telah menukar bentuk pinjaman konvensional kepada skim ujrah iaitu skim pinjaman yang mematuhi syariah. Pertukaran ini lebih menguntungkan kerana ia boleh menjimatkan kos bayaran balik antara 47 sehingga 49 peratus.

Proses pertukaran ini akan melibatkan dua peringkat, iaitu:

  1. Permohonan pinjaman sekali lagi dalam bentuk Pinjaman Ujrah. Peminjam boleh mengunjungi mana-mana kaunter PTPTN seluruh negara untuk tujuan ini. Dokumen tawaran baharu untuk pertukaran akan diberikan dan perlu dikembalikan sebelum tamat tempoh sah laku iaitu dalam masa 14 hari.
  2. Tandatangan dokumen pinjaman baharu dengan jumlah pinjaman yang baharu dan Jadual Bayaran Balik (JBB) baharu juga.

Langkah-langkah yang perlu dibuat:

  1. Muat turun Borang Kemaskini Maklumat di portal rasmi PTPTN (http://www.ptptn.gov.my) atau boleh ke mana-mana kaunter PTPTN untuk ambil borang.
  2. Hantar Borang Kemaskini Maklumat ke kaunter PTPTN.
  3. Peminjam akan diberikan dua set dokumen tawaran Ujrah. Setiap dokumen ini perlu dilekatkan setem hasil RM10.
  4. Serah semula dokumen lengkap di kaunter PTPTN atau poskan.
  5. Bayaran balik boleh mula dibuat mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB) baharu.
  6. Proses ini perlu dilakukan kerana kedua-dua pinjaman berada di bawah prinsip yang berbeza iaitu konvensional dan syariah.
  • Gabungan pinjaman

Apakah gabungan pinjaman ini? Begini, sekiranya anda membuat pinjaman pendidikan PTPTN untuk pelbagai peringkat pengajian seperti diploma, ijazah sarjana muda atau sarjana, anda boleh menggabungkan pinjaman-pinjaman ini menjadi satu jenis yuran dengan caj pentadbirannya yang lebih menjimatkan. 

Bayangkan lah jika pinjaman diploma sahaja sudah rm20,000 dan ijazah sarjana muda pula RM30,000. Tamat sahaja pengajian anda berdepan dengan hutang RM50,000. Strategi untuk menggabungkan pinjaman ini amat sesuai bagi peminjam yang mempunyai hutang untuk setiap tahap pengajian. 

Untuk lebih menjimatkan, gabungan ini boleh disertai dengan skim ujrah bagi meringankan lagi beban peminjam. 

  • Berunding dengan pihak PTPTN

Pihak PTPTN sentiasa terbuka kepada sebarang perundingan. Sekiranya anda sebagai peminjam mempunyai masalah dengan komitmen kewangan yang membuatkan anda sukar untuk membayar balik hutang PTPTN, pihak PTPTN boleh membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman. Mereka juga menawarkan jumlah bayaran balik serendah RM50 sebulan. 

Sekiranya peminjam mula melakukan pembayaran enam bulan selepas tamat pengajian, mereka boleh mendapat penjimatan kerana dalam jangka masa enam bulan tersebut pembayaran balik tidak dikenakan kadar faedah. Maka mereka boleh mengurangkan pembayaran balik kerana baki yang akan dikenakan kadar faedah sebanyak satu peratus selepas enam bulan telah berkurangan.

  • Bayar pada waktunya

Jangan berlengah. Antara sebab hutang PTPTN boleh menjadi tertunggak adalah apabila peminjam tidak membayar hutang tersebut pada waktunya. Sikap melengahkan ini hanya akan merugikan diri sendiri. Ini kerana kita akan menjadi terbiasa untuk melengahkan bayaran sehingga kadang kala membuatkan kita tidak bayar hutang tersebut. 

Sebaliknya, sebaik sahaja mendapat gaji, anda perlu mengasingkan wang-wang tersebut mengikut keutamaan. 

Kesan Tidak Bayar Hutang PTPTN

Menurut pihak PTPTN, mereka memperuntukkan sebanyak RM5 billion untuk menyediakan dana pendidikan bagi rakyat Malaysia pada setiap tahun. Setakat 29 Februari 2016, badan ini menjangkakan mereka bakal mengutip RM15.8 billion dari peminjam. Walau bagaimanapun, hanya RM7.9 billion bayaran balik diterima. 

Berikut adalah tindakan yang diambil sekiranya peminjam tidak membuat bayaran balik:

  • Skor kredit terjejas

Sekiranya anda mempunyai hutang yang tertunggak dengan PTPTN, anda akan disenarai hitamkan dalam laporan CCRIS. Ini sekali gus akan menyebabkan skor kredit anda terjejas. Kesannya? Anda bakal mengalami kesukaran untuk memohon sebarang pinjaman seperti pinjaman perumahan, loan kereta dan sebagainya daripada pihak bank. Melalui laporan CCRIS, pihak bank boleh mengetahui corak pembayaran balik hutang yang tidak konsisten. 

Sekiranya anda tidak membuat bayaran balik pinjaman PTPTN secara konsisten, anda akan mengalami kesukaran untuk membuat permohonan pinjaman termasuklah permohonan kad kredit daripada pihak bank. 

  • Tidak boleh ke luar negara

Jika anda mempunyai hutang ptptn yang tertunggak, anda tidak dibenarkan merentas negara
Foto Kredit: DimaBerlin Melalui Shutterstock

Selain itu, sekiranya anda tidak menjelaskan hutang PTPTN, anda juga akan disekat daripada ke luar negara. Pinjaman PTPTN akan dimasukkan dalam senarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekiranya didapati tidak membuat bayaran balik atau mempunyai hutang yang tertunggak. Bukan sahaja anda dilarang ke luar negara, anda juga tidak boleh memperbaharui passport atau memohon passport yang baru. 

Terdapat kes dimana peminjam menghubungi kami (PTPTN) setelah mereka sedar bahawa mereka dihalang untuk ke luar negara apabila berada di kaunter imigresen di lapangan terbang. Namun apabila pihak PTPTN meminta mereka melakukan pembayaran supaya dilepaskan dari sekatan ke luar negara, mereka mampu untuk lakukan pembayaran tersebut.

Oleh itu, peminjam disarankan untuk melangsaikan tunggakan pembayaran pinjaman bagi mengelakkan sebarang sekatan dikenakan di lapangan terbang atau di sempadan negara. 

  • Boleh didakwa

Ya, anda juga boleh didakwa di mahkamah sekiranya anda gagal membuat bayaran balik. Pihak PTPTN akan mengeluarkan dua notis peringatan bayaran balik dan juga notis tuntutan sekiranya anda tidak membuat bayaran balik. Sekiranya anda masih tidak melakukan pembayaran atau melakukan sebarang perundingan, PTPTN akan mendakwa anda di mahkamah. Sehingga tarikh 29 Februari 2016, terdapat 115,279 peminjam PTPTN yang telah didakwa di mahkamah dengan jumlah pinjaman tertunggak sebanyak RM9.8 juta.

Cara Buat Pembayaran Balik

Ada pelbagai cara untuk membuat pembayaran hutang PTPTN mengikut keselesaan anda. Berikut adalah panduan khusus buat semua peminjam PTPTN yang sedang keliru tentang cara membayar:

  • Secara online

Sekiranya anda tidak mempunyai masa untuk ke mana-mana kaunter PTPTN, cara yang paling mudah adalah dengan membuat pembayaran secara atas talian. Ada beberapa bank yang menyediakan perkhidmatan perbankan atas talian. Sebagai contoh, Maybank, CIMD, RHB, Bank Rakyat dan juga Public Bank. 

Anda juga boleh membuat bayaran hutang PTPTN melalui aplikasi eWallet seperti Touch N Go dan Boost. Kedua-dua kaedah pembayaran ini memerlukan anda untuk mempunyai aplikasi bagi menggunakan kemudahan yang ditawarkan.

Jika anda sudah memuat turun aplikasi Touch’n Go, ini langkah-langkah yang perlu anda lakukan:

  1. Langkah pertama adalah pergi ke bahagian ‘Services’ dan pilih ‘Bills’. 
  2. Kedua, pilih jenis bayaran pinjaman. 
  3. Isikan Nombor Pinjaman dan Jumlah Bayaran. 
  4. Pilih ‘Next’ dan sistem akan meminta anda untuk memasukkan 6 digit PIN yang dihantar melalui nombor telefon bimbit yang berdaftar pada aplikasi ini. 
  5. Tunggu sehingga pembayaran selesai dan transaksi berjaya dilakukan.

Untuk langkah pembayaran melalui aplikasi Boost pula: 

  1. langkah pertama adalah anda perlu klik ikon ‘Bills & Payment’ pada bahagian ‘Do More’.
  2. Seterusnya pilih ‘Add New Bill Account’. 
  3. Kemudian pilih jenis pembayaran yang ingin anda lakukan. Dalam kes ini pilih PTPTN.
  4. Langkah seterusnya isikan maklumat yang diperlukan. 
  5. Masukkan 6 digit PIN anda. 
  6. Selesai!
  •  Secara potongan gaji

Pembayaran hutang PTPTN juga boleh dibuat secara potongan gaji. Kaedah ini kebiasaannya digunakan oleh penjawat awam. Ini kerana mereka yang menerima pinjaman PTPTN diwajibkan untuk membuat bayaran balik. 

Sekiranya anda bukan seorang penjawat awam dan ingin membuat bayaran PTPTN melalui potongan gaji, majikan anda perlu mengemukakan Borang Pendaftaran Majikan (Potongan Gaji PTPTN) yang lengkap kepada Pejabat PTPTN yang berhampiran. Anda sebagai peminjam pula harus menyerahkan Borang Kebenaran Potong Gaji Bagi Bayaran Balik Pembiayaan Pendidikan PTPTN yang lengkap kepada Pejabat PTPTN berhampiran.

Manakala, pihak PTPTN pula akan mengemaskini rekod pemotongan gaji ke dalam sistem dan mengemukakan rekod potongan gaji baharu kepada majikan anda pada setiap akhir bulan. Seterusnya, majikan akan membuat potongan gaji serta mengemukakan data dan bayaran potongan gaji kepada PTPTN sebelum 15 hari bulan pada bulan berikutnya. Akhir sekali, pihak PTPTN akan mengemas kini penyata pinjaman.

  • Melalui KWSP

Ramai sebenarnya tidak menyedari bahawa pinjaman PTPTN boleh dibayar balik menggunakan wang KWSP yang ada dalam Akaun 2 KWSP. Antara kelebihan menggunakan akaun 2 KWSP untuk membuat bayaran balik adalah:

  1. Tiada had pengeluaran selagi masih mempunyai baki dalam akaun 2
  2. Tiada caj pemprosesan
  3. Menikmati penjimatan kos upah/ pentadbiran dan pemendekan tempoh bayaran balik

Langkah-langkahnya mudah sahaja:

#1 Daftar dan Log Masuk i-Akaun

Langkah pertama adalah anda perlu mendaftar i-Akaun terlebih dahulu. Selepas berjaya mendaftar, anda perlu mengaktifkan pula akaun tersebut.

Apabila akaun dah siap dan dah aktif, barulah anda boleh log masuk di laman web KWSP dan masukkan kata laluan sementara yang diterima.

#2 Memohon Pembayaran Baru

Setelah berjaya log masuk, anda perlu klik ‘Pengeluaran’ di bahagian menu atas.  Kemudian klik ‘Permohonan Pengeluaran Baru’ dan pilih ‘Pendidikan’

Selepas itu, akan keluar satu ‘pop up’ yang terdapat butang ‘OK’. Klik butang ‘OK’ tersebut. Maka akan keluarlah paparan pilihan Institusi yang terlibat (pilih PTPTN), ruangan bayaran kepada (pilih pemberi pinjaman), ruangan peringkat pengajian dan ruangan permohonan (pilih diri sendiri).

#3 Periksa Jumlah Kelayakan

Selepas selesai mengisi segala butiran yang diperlukan, anda cuma perlu klik butang ‘seterusnya’ dan butang ‘terima’. Di sini, anda perlu mengemaskini maklumat diri anda. Setelah mengemaskini maklumat peribadi, masukkan nombor rujukan matriks semasa pengajian di ruangan maklumat pengeluaran.

Seterusnya, jumlah kelayakan anda akan dipaparkan. Jadi, berdasarkan baki akaun 2 KWSP anda, baki tersebut adalah jumlah maksimum yang ada dalam akaun. Bergantung kepada anda nak bayar banyak mana kepada pihak PTPTN.

#4 Proses Bayaran PTPTN Akan Dilakukan Oleh Pihak PTPTN

Selesai sahaja membuat permohonan, pihak PTPTN akan memproses permohonan tersebut yang mengambil masa kebiasaannya kurang daripada seminggu. Apabila permohonan kita berjaya diluluskan, anda akan menerima SMS konfirmasi dari pihak KWSP. 

#5Bawa Dokumen Yang Diperlukan Ke Cawangan KWSP Terdekat Apabila Permohonan Lulus

Setelah pihak KWSP meluluskan permohonan anda, andaperlu ke cawangan KWSP terdekat untuk mengambil cop jari (thumb print). Jangan lupa juga untuk membawa dokumen yang diperlukan seperti kad pengenalan, sijil-sijil dan sebagainya.

Selepas itu, proses pembayaran tersebut akan dilakukan dalam masa 16 hari dan boleh membuat semakan di i-akaun KWSP anda.

  • Inisiatif Bayaran Balik PTPTN

Anda juga disarakan untuk merebut inisiatif-inisiatif bayaran balik yang disediakan oleh pihak PTPTN. Pihak PTPTN menggalakkan usaha bayaran balik para peminjam dengan menawarkan beberapa tawaran menarik yang wajar direbut, seperti:

  1. Diskaun 15% bagi penyelesaian penuh hutang PTPTN
  2. Diskaun 10% bagi bayaran minimum 50% daripada jumlah pinjaman dengan sekali bayaran
  3. Diskaun 10% bagi bayaran secara potongan gaji berjadual/direct debit

Pengecualian Bayaran

Ijazah Sarjana Muda terbahagi kepada 4 kelas. Ianya bergantung kepada universiti dan program pengajian, secara umumnya seperti dibawah):

Kelas Pertama (CGPA 3.50 – 4.00)

Kelas Kedua Atas (CGPA 3.00 – 3.49)

Kelas Kedua Bawah (CGPA 2.20 – 2.99)

Kelas Ketiga (CGPA 2.00 – 2.19)

Sekiranya anda seorang graduan ijazah sarjana muda baik daripada IPTA atau pun IPTS, dan memperoleh CGPA 3.50 sehingga 4.00 (ijazah kelas pertama), anda layak untuk mendapatkan pengecualian daripada membayar balik hutang PTPTN. 

Berikut adalah syarat-syaratnya: 

  1. Dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama ( Rujuk nota di bawah) oleh IPT.
  2. Mengikuti peringkat pengajian Ijazah secara sepenuh masa.
  3. Menamatkan pengajian dalam tempoh yang telah ditetapkan mengikut dokumen tawaran pinjaman PTPTN.
  4. Pinjaman pendidikan PTPTN tidak bertindih dengan sebarang penajaan lain.
  5. Kursus yang diikuti oleh peminjam di telah memperolehi Sijil Perakuan Akreditasi daripada MQA.
  6. Permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada PTPTN dalam tempoh dua belas (12) bulan daripada tarikh pengijazahan semasa konvokesyen.

Berikut pula adalah dokumen yang perlu anda sediakan:

  1. Akuan Peminjam yang telah lengkap diisi.
  2. Salinan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya yang disahkan
  3. Salinan transkrip keputusan peperiksaan yang disahkan.
  4. Salinan Sijil Perakuan Akreditasi daripada MQA yang disahkan (Bagi peminjam IPTS).
  5. Surat pengesahan Kelas Pertama (jika tidak dicatatkan perkataan “Kelas Pertama” pada Ijazah).

Hutang PTPTN adalah satu tanggungjawab yang besar kepada peminjamnya. Oleh itu, sebagai peminjam, kita haruslah berusaha untuk membayar hutang-hutang tersebut demi kebaikan generasi akan datang yang akan memerlukan peruntukan PTPTN. Kalau anda mempunyai masalah, jangan simpan dan jangan tangguh. Sebaliknya berbincanglah dengan pihak PTPTN agar kedua-dua pihak dapat  mendapatkan kata sepakat demi menyelesaikan masalah.

Sampai disini sahaja apa yang dapat Qoala kongsikan. Semoga bermanfaat!

Oh ya, kalau anda nak buat pembaharuan road tax dan insurans kereta, anda boleh klik di SINI.

 

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗