Info Lengkap Pinjaman Kereta, Syarat Lulus Loan Kereta

Kali terakhir diperbaharui Feb 13, 2024 oleh Shafiq Wahab
Info Lengkap Pinjaman Kereta, Syarat Lulus Loan Kereta

Loan kereta atau pinjaman kereta merupakan antara kaedah biasa yang dilakukan oleh rakyat Malaysia bagi memiliki kereta idaman. Meskipun begitu, jika tersilap percaturan dan langkah, ia mungkin boleh memberi kesan pada perbelanjaan dan membebankan kewangan anda.

Oleh sebab itu, penting bagi bakal pembeli yang ingin beli kereta pertama misalnya untuk memahami perkara-perkara asas berkaitan pinjaman kereta seperti proses loan kereta, guarantor atau penjamin untuk beli kereta, kadar faedah pinjaman kereta, bayaran downpayment dan sebagainya.

Artikel ini menyenaraikan panduan lengkap berkaitan loan kereta yang perlu anda tahu bagi memudahkan proses pinjaman kereta sama ada untuk beli kereta baru atau beli kereta terpakai pertama anda.

5 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Mohon Loan Kereta

Pembiayaan sewa beli memerlukan pembeli untuk membayar balik pinjaman seperti dipersetujui dalam perjanjian sewa beli. Ini termasuk kadar faedah kepada pihak bank secara ansuran untuk tempoh masa tertentu, biasanya antara tujuh hingga sembilan tahun bergantung pada kemampuan anda. Berikut lima perkara yang perlu diberi perhatian sebelum anda membuat pinjaman untuk pembelian kereta pertama anda

1. Fahami Istilah, Konsep Kewangan Asas

Kebanyakan pembeli kereta terutamanya pembeli kereta pertama cenderung untuk memilih mana-mana produk pinjaman bank yang ditawarkan tanpa berfikir panjang. Secara asasnya, anda perlu menilai dengan terperinci sesuatu produk yang ditawarkan bagi mengelakkan anda daripada terjerat dengan beban hutang dan kadar faedah yang tinggi. Ini kerana, setiap produk yang ditawarkan oleh setiap bank menawarkan kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Selain itu, pemahaman asas tentang konsep pinjaman dan istilah-istilah biasa dalam dokumen pembiayaan sewa beli boleh membantu memudahkan urusan anda dan mengelakkan salah faham pada masa akan datang. Berikut merupakan istilah yang biasa ditemui dalam perjanjian sewa beli:

Margin Pembiayaan (Margin of Financing)

Kebanyakan pinjaman kereta di Malaysia menawarkan margin pembiayaan maksimum sebanyak 90 peratus. Ini bermaksud, anda perlu membayar sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan sebagai bayaran pendahuluan. Meskipun begitu, ada sesetengah institusi kewangan menawarkan margin pembiayaan maksimum sebanyak 100 peratus. Ia biasanya ditawarkan kepada kategori peminjam tertentu berdasarkan faktor-faktor semasa yang lain.

Kadar Faedah Pinjaman Kereta

Kadar faedah di setiap bank adalah berbeza berdasarkan polisi semasa institusi kewangan seperti jumlah pinjaman, tempoh pinjaman, sejarah kredit peminjam serta usia kereta. Biasanya, kadar faedah kereta baru adalah sekitar 2.3 hingga 3.5 peratus, manakala kadar faedah kereta terpakai biasanya antara 3.5 hingga 4.2 peratus. Kadar faedah ini mungkin berubah bergantung pada situasi kewangan semasa.

5 Faktor Mempengaruhi Kadar Faedah Pinjaman Kereta

Berikut lima faktor yang mempengaruhi kadar faedah pinjaman kereta di Malaysia untuk panduan dan rujukan anda:

1. Model Kereta

Harga kereta dan model kereta pilihan (kereta baru atau kereta second hand) boleh mempengaruhi interest rate kereta yang dibeli.

2. Skor dan Sejarah Kredit

Secara asasnya, skor kredit yang baik memberi keyakinan kepada pihak bank dan secara tidak langsung menyatakan kemampuan anda untuk membayar balik pinjaman. Biasanya, kadar interest pinjaman bank lebih tinggi jika skor kredit lemah.

3. Status Kewangan

Biasanya, kadar faedah juga dipengaruhi oleh status kewangan semasa peminjam. Dalam erti kata lain, semakin tinggi pendapatan bulanan, semakin rendah kadar interest bank yang ditawarkan.

4. Polisi Bank

Ada sesetengah bank atau institusi kewangan mengenakan syarat dan peraturan tambahan yang mempengaruhi kadar interest pinjaman kereta anda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk membuat perbandingan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

5. Tempoh Pinjaman

Tempoh pinjaman antara tujuh hingga sembilan tahun turut mempengaruhi kadar faedah. Semakin panjang tempoh pinjaman anda, semakin tinggi interest rate pinjaman kereta anda.

Penjamin Kereta (Guarantor Kereta)

Sekiranya anda tidak mempunyai sumber pendapatan dan sejarah kredit yang stabil atau jumlah pinjaman semasa melebihi peratus pendapatan yang dibenarkan, anda mungkin memerlukan penjamin kereta. Secara asasnya, penjamin (atau gerentor kereta, gerento kereta atau grantor kereta) merujuk pada individu yang bersetuju dan bertanggungjawab untuk menjelaskan bayaran ansuran bulanan yang tertunggak termasuk faedah sekiranya peminjam gagal membayar balik pinjaman.

Syarat Penjamin Pinjaman Kereta

Untuk menjadi penjamin, anda perlu memenuhi syarat penjamin kereta seperti berikut:

            1. Berumur 18 tahun ke atas;
            2. Tidak muflis;
            3. Berfikiran waras dan mempunyai keupayaan mental untuk memahami dokumen jual beli;
            4. Mempunyai rekod pendapatan dan kewangan yang stabil;
            5. Skor dan sejarah kredit yang baik.

Bayaran Pendahuluan (Downpayment Kereta)

Kadar bayaran pendahuluan kereta biasanya sekitar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman. Namun begitu, anda boleh membayar downpayment kereta yang lebih tinggi untuk mengurangkan amaun prinsipal dan faedah. Ada juga sesetengah bank yang menawarkan pinjaman tanpa perlu membayar sebarang bayaran pendahuluan. Namun begitu, anda perlu berhati-hati dengan tawaran sebegini kerana anda mungkin perlu membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi.

Pemilikan Semula (Repossession)

Sekiranya bayaran ansuran gagal dijelaskan selama dua bulan berturut-turut, pihak bank boleh menarik semula kereta anda. Anda perlu menjelaskan jumlah bayaran yang tertunggak sebelum anda boleh mendapatkan kembali kereta anda.

Tempoh Pinjaman

Tempoh pinjaman maksimum untuk kereta terpakai adalah tujuh tahun, manakala tempoh pinjaman maksimum untuk kereta baru adalah sembilan tahun. Secara asasnya, semakin lama tempoh pembiayaan, semakin tinggi kadar faedah yang perlu ditanggung. Dalam erti kata lain, tempoh pembiayaan selama lima tahun mempunyai nilai faedah yang lebih rendah berbanding tempoh pinjaman selama sembilan tahun.

2. Ketahui Jenis Pinjaman & Bandingkan Kadar Faedah

Setiap bank menawarkan kadar faedah, jenis produk, kadar fi dan caj pinjaman kereta yang berbeza. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk membandingkan sekurang-kurangnya tiga institusi kewangan yang berbeza sebelum membuat keputusan bagi mendapatkan kadar faedah terendah. Kadar faedah rata atau flat interest rate merupakan kadar faedah yang biasa digunakan untuk pinjaman peribadi atau pinjaman sewa beli (loan kereta).

3. Sediakan Dokumen Diperlukan

Dokumen-dokumen sokongan penting bagi membantu memudahkan urusan permohonan pinjaman kereta anda. Berikut senarai dokumen untuk beli kereta untuk rujukan dan panduan anda:

Kategori Pinjaman (Loan Kereta) Dokumen Beli Kereta
Penjawat Awam/Kakitangan Kerajaan
  1. Salinan kad pengenalan (MyKad);
  2. Salinan lesen memandu;
  3. Penyata akaun bank gaji (bergantung pada bank);
  4. Salinan slip gaji (3 bulan terkini).
Pekerja Swasta
  1. Salinan kad pengenalan (MyKad);
  2. Salinan lesen memandu;
  3. Penyata akaun bank gaji (bergantung pada bank);
  4. Salinan slip gaji (3 bulan terkini);
  5. Penyata KWSP.
Individu Bekerja Sendiri/Peniaga
  1. Salinan kad pengenalan (MyKad);
  2. Salinan lesen memandu;
  3. Penyata akaun bank (6 bulan terkini);
  4. Salinan pendaftaran syarikat (SSM).
Skim Graduan
  1. Salinan kad pengenalan (MyKad);
  2. Salinan lesen memandu;
  3. Surat tawaran pekerjaan (bagi pemohon yang baru berkhidmat kurang daripada 3 bulan);
  4. Salinan transkrip ijazah atau diploma yang disahkan;
  5. Salinan slip gaji (3 bulan terkini bergantung pada bank);
  6. Penyata akaun bank terkini (bergantung pada bank).
Pelajar
  1. Salinan kad pengenalan (MyKad);
  2. Salinan lesen memandu;
  3. Kad pelajar;
  4. Dokumen penjamin atau guarantor kereta (ibu, ayah, saudara terdekat yang masih bekerja).

4. Ketahui Risiko Loan Kereta

Penting untuk anda menilai kemampuan kewangan dengan teliti atau kemungkinan risiko yang boleh berlaku sebelum memohon loan kereta. Komitmen bulanan yang tinggi dan tidak terkawal boleh menyebabkan anda terbeban dengan perbelanjaan yang tinggi yang boleh meningkatkan risiko bankrup atau muflis. Selain itu, kenal pasti risiko-risiko lain seperti bayaran tambahan, penalti, kemungkinan kenderaan ditarik balik atau dilelong sekiranya peminjam tidak dapat menjelaskan bayaran seperti yang dijadualkan dan sebagainya.

5. Kenal Pasti Syarat Kelayakan & Skor Kredit

Pastikan anda menyemak syarat kelayakan seperti gaji pokok dan sebagainya dengan institusi kewangan anda sebelum memohon pinjaman. Selain itu, semak skor kredit sebelum membuat permohonan pinjaman. Skor kredit yang rendah boleh memberi kesan pada kadar faedah dan amaun kelayakan anda. Secara asasnya, setiap aktiviti dan sejarah pembayaran kredit pengguna di Malaysia dimasukkan ke dalam laporan kredit CCRIS dan CTOS. Laporan ini akan digunakan sebagai rujukan oleh pihak bank sekiranya anda membuat permohonan kredit baharu. Oleh sebab itu, penting untuk peminjam memastikan bayaran balik dilakukan secara konsisten supaya rekod kredit ini berada dalam keadaan baik.

loan kereta atau pinjaman kereta

Syarat Lulus Loan Kereta 2024, Kelayakan Gaji Beli Kereta

Bagi memudahkan urusan permohonan pinjaman kereta anda, Qoala turut menyediakan lima syarat loan kereta untuk panduan dan rujukan anda seperti berikut:

1. Cara Kiraan Gaji Beli Kereta

Setiap bank secara asasnya menetapkan syarat gaji minimum yang berbeza untuk setiap permohonan pinjaman. Namun biasanya, pemohon yang ingin membuat pinjaman bank perlu memiliki gaji bulanan minimum sekurang-kurangnya RM1,500 (dan ke atas) serta berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi umur persaraan semasa tempoh pembiayaan tamat. Berikut formula beli kereta mampu milik untuk rujukan anda:

Harga Kereta Tidak Melebihi Gaji Tahunan

Anda disarankan untuk beli kereta dengan harga yang tidak melebihi jumlah pendapatan tahunan anda. Jika anda bergaji RM2,700 sebulan, harga kereta yang dibeli mestilah tidak melebihi RM32,400.

Ansuran Bulanan Tidak Melebihi 15 Peratus

Selain itu, ansuran bulanan juga disarankan tidak melebihi 15 peratus daripada pendapatan bulanan anda. Jika lebih rendah lebih bagus. Sebagai contoh, jika gaji anda ialah sebanyak RM2,700 sebulan, ansuran bulanan yang sesuai untuk anda ialah sebanyak RM405 sebulan.

Beli Kereta Ikut Keperluan

Jika gaji anda besar, ia tidak bermaksud anda perlu membeli kereta jenama mahal dan mewah. Memadai bagi anda membeli kereta yang sesuai dengan keperluan anda yang tidak makan minyak, dan boleh memudahkan pergerakan anda dari satu destinasi ke destinasi lain dengan mudah.

2. Lesen Memandu

Memiliki lesen memandu yang sah merupakan antara kelayakan minimum untuk memohon pinjaman kenderaan. Meskipun begitu, ada sesetengah bank menawarkan loan kereta tanpa lesen memandu dengan syarat gaji pokok melebihi RM3,000. Rujuk bank anda untuk info lanjut.

3. Penjamin Kereta

Jika gaji atau pendapatan bulanan anda kurang daripada syarat minimum ditetapkan, anda mungkin memerlukan penjamin atau guarantor untuk menyokong permohonan pinjaman anda. Siapa boleh jadi penjamin kereta? Penjamin kereta mestilah dalam kalangan ahli keluarga atau pasangan, dengan syarat gaji penjamin melebihi RM2,000 sebulan.

4. Penyata Bank atau Penyata KWSP

Selain itu, penyata bank atau penyata KWSP mungkin diperlukan bagi membuktikan pendapatan bulanan anda adalah betul dan mengenal pasti kemampuan anda untuk membayar balik pinjaman mengikut jadual yang dipersetujui.

5. Dokumen Lengkap

Sediakan dokumen lengkap seperti salinan kad pengenalan, lesen memandu, slip gaji, penyata KWSP dan salinan pendaftaran syarikat (SSM), jika berkaitan bagi mengelakkan permohonan pinjaman anda ditolak.

macam mana nak tahu loan kereta lulus atau tidak

Loan Kereta Tak Lulus: 7 Tips untuk Elakkan Pinjaman Kereta Ditolak

Macam mana nak tahu loan kereta lulus atau tidak merupakan persoalan yang sering diajukan oleh pemohon. Pihak bank menetapkan kriteria yang sangat ketat sebelum sesuatu permohonan pinjaman diluluskan. Oleh itu, jangan terkejut sekiranya permohonan loan kereta anda ditolak oleh pihak bank. Biasanya, loan kereta akan ditolak sekiranya permohonan anda tidak menepati syarat beli kereta seperti berikut:

1. Laporan Kredit CCRIS dan CTOS

Skor kredit secara asasnya penting untuk menilai kesihatan kewangan anda. Sebagai contoh, jika anda memiliki kad kredit, bank akan menilai rekod pembayaran sama ada terdapat bayaran tertunggak, lambat bayar dan sebagainya yang secara tidak langsung memberi impak terhadap skor kredit anda. Skor kredit yang baik biasanya tidak menjadi masalah untuk pihak bank meluluskan pinjaman anda. Namun begitu, skor kredit CCRIS yang buruk mungkin akan menyukarkan pinjaman bank anda untuk lulus. Anda boleh mendapatkan maklumat kedudukan kredit semasa anda dengan hadir sendiri ke Bank Negara Malaysia (BNM) atau membuat semakan kredit secara online melalui sistem eCCRIS.

2. Tiada Rekod Hutang

Selain itu, tiada rekod hutang juga boleh memberi masalah kepada anda kerana pihak bank tidak boleh menilai sejarah dan skor kredit anda kerana tiada rekod. Bagi anda yang tidak mempunyai sebarang pinjaman sebelum ini dan ingin memohon loan kereta, anda boleh mempertimbangkan untuk memohon kad kredit terlebih dahulu dan membayar hutang kad kredit mengikut jadual bagi mewujudkan rekod bayaran dan sejarah kredit baik untuk memudahkan proses.

3. Kelayakan Gaji Beli Kereta

Sesetengah bank menetapkan kelayakan gaji bersih minimum RM1,500 dan ke atas untuk pembelian kereta. Bagi pemohon Skim Graduan pula, kelayakan gaji yang dikira mestilah tidak kurang daripada RM1,000 selepas ditolak bayaran ansuran bulanan termasuk caruman KWSP dan SOCSO. Jika permohonan loan yang dilakukan tidak setara dengan kelayakan gaji, besar kemungkinan permohonan akan ditolak. Di Malaysia, setiap bank menetapkan gaji minimum tertentu seperti berikut:

  • Loan Kereta Maybank – RM2,500 dan ke atas;
  • AmBank Loan Kereta – RM3,000 dan ke atas;
  • Loan Kereta Public Bank – RM2,500 dan ke atas;
  • Pinjaman Kereta BSN – RM2,000 dan ke atas.

4. Komitmen Bulanan

Kadar DSR yang terlalu tinggi boleh menyebabkan permohonan anda ditolak meskipun anda mempunyai skor kredit yang baik dan sumber pendapatan yang stabil. Apa itu DSR? DSR merupakan singkatan bagi Nisbah Perkhidmatan Kredit atau Debt Service Ratio yang merupakan penanda aras bagi pihak bank untuk memberikan pinjaman kepada anda. Kadar DSR dikira berdasarkan jumlah komitmen sedia ada dengan pihak bank berbanding jumlah pendapatan anda.

Kebiasaannya, bank akan menilai komitmen bulanan bagi mengetahui kemampuan dan keupayaan anda untuk membayar balik pinjaman. Kadar DSR yang ideal bergantung pada bank dan jumlah pendapatan anda. Anda disarankan untuk mengekalkan kadar DSR tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan termasuk permohonan pinjaman baharu bagi mengelakkan mana-mana permohonan pinjaman anda ditolak.

5. Status Pekerjaan

Status jawatan sama ada tetap atau kontrak merupakan salah satu faktor yang dipertimbangkan oleh pihak bank sebelum memproses permohonan pinjaman anda. Sekiranya jawatan anda berstatus kontrak, sambilan atau sementara, sukar bagi pihak bank untuk meluluskan permohonan anda. Ini kerana, pihak bank beranggapan status jawatan atau pekerjaan menggambarkan tahap kestabilan kewangan pemohon dan pemohon mungkin akan mengalami kesukaran untuk membuat bayaran balik.

6. Baru Mula Bekerja

Sekiranya anda baru mula bekerja, besar kemungkinan loan kereta anda akan ditolak. Ini kerana, kebanyakan bank memerlukan slip gaji dan penyata KWSP untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan gaji bagi memastikan anda mempunyai sumber pendapatan yang stabil dan berkemampuan untuk membayar balik hutang pinjaman. Meskipun begitu, anda boleh mempertimbangkan Skim Graduan sekiranya anda baru mula bekerja dan ingin memiliki kereta. Anda boleh rujuk bank yang mengambil bahagian untuk info lanjut.

7. Penjamin Tidak Cukup Kukuh

Biasanya, bank turut akan menolak loan kereta anda jika status penjamin yang dikemukakan oleh anda tidak cukup kukuh. Secara asasnya, penjamin kereta turut terlibat secara langsung sekiranya peminjam tidak membayar balik pinjaman mengikut jadual ditetapkan kerana penjamin turut menandatangani surat jaminan yang menyatakan persetujuan menanggung liabiliti bersama bagi pihak peminjam. Oleh sebab itu, faktor kewangan penjamin turut dititikberatkan kerana ia melibatkan risiko lain yang mungkin berlaku jika peminjam gagal membayar balik pinjaman.

Semoga perkongsian lengkap tentang pinjaman kereta ini dapat membantu memudahkan urusan permohonan loan kereta bagi mendapatkan kereta idaman anda. Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan insurans kereta untuk kereta baharu anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia yang menjanjikan tawaran harga insurans murah dan terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

9 comments

  1. Salam. Maaf saya nak bertanya, saya apply loan kereta perodua tapi disebab kan kereta belum dapat.. Loan saya kena renew, adakah loan yg renew boleh lulus or tak?

    1. Lulus atau gagal. Bank nak check status terkini anda. Masih bekerja atau tidak atau sudah tukar kerja atau gaji pada jumlah yang sama.

  2. Hi cik , saya ada satu soalan. Saya sebagai grantor ada kesan tak dari segi skor kredit kalau grantee bayar ansuran tidak mengikutkan masa yang ditetapkan untuk loan kedai motorsikal.

    Adakah skor kredit hanya memberi kesan kepada grantee sahaja bukan grantor ? Terima kasih Cik kerana menjawab persoalan saya.

  3. Pinjaman pembelian kereta tidak lulus kerana ada legal suit. Boleh saya tahu apa itu “legal suit”?. Bagaimana saya caranya untuk saya selesaikan masalah legal suit ini?

  4. Loan dh lulus…..kerata 8bln belum sampai….adakah loan kena renew semula….brp tempoh loan lulus sehingga kereta dapat?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60