Permohonan Rumah Mampu Milik di Malaysia 2022

Kali terakhir diperbaharui Jun 23, 2022 oleh Shafiq Wahab
Permohonan Rumah Mampu Milik di Malaysia 2022

Proses beli rumah boleh menelan belanja yang tinggi. Ini kerana, banyak perkara yang perlu diberi perhatian dan banyak kos yang perlu diambil kira seperti deposit rumah dan kos-kos pemilikan rumah yang lain. Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia memilih untuk menyewa berbanding membeli rumah sendiri. Banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi membantu rakyat memiliki rumah pertama sendiri terutamanya golongan berpendapatan rendah antaranya skim rumah mampu milik.

Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang Skim Rumah Mampu Milik?

Apa itu rumah mampu milik? Rumah mampu milik secara umumnya didefinisikan sebagai rumah yang memenuhi keperluan asas dari segi kualiti dan lokasi, mampu dibeli dan pembeli rumah berkenaan masih mempunyai keupayaan kewangan untuk membeli keperluan asas yang lain. Di Malaysia, ada beberapa inisiatif skim projek perumahan mampu milik yang ditawarkan oleh kerajaan negeri. Anda boleh semak senarai di bawah ini.

1. Rumah Mampu Milik Johor

Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) merupakan inisiatif kerajaan Negeri Johor bagi membantu mengurangkan beban dan mencapai impian rakyat untuk memiliki kediaman pada harga mampu milik dan berpatutan. Skim perumahan ini dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Syarat Kelayakan Permohonan RMMJ

Sekiranya anda berminat untuk memiliki kediaman melalui skim ini, berikut semakan status permohonan RMMJ untuk rujukan anda:

  1. Warganegara Malaysia, menetap di Johor sekurang-kurangnya lima tahun dan berumur 18 tahun ke atas;
  2. Berkahwin atau bujang layak memohon;
  3. Pemohon/pasangan yang telah memiliki RKR selama lima tahun ke atas layak memohon rumah kedua iaitu PKJ B;
  4. Hanya satu permohonan bagi pasangan suami isteri;
  5. Permohonan isteri kedua dan seterusnya perlu menggunakan nama isteri ketika memohon;
  6. Pemohon atau pasangan yang telah memiliki PKJ A, PKJ B, RKR, atau RKSR boleh memohon rumah kedua RMMJ;
  7. Pemohon yang memiliki rumah kos sederhana/rumah mewah tidak layak memohon;

Kategori RMMJ

Rumah Mampu Milik Johor menawarkan tiga jenis kategori rumah seperti berikut:

Rumah Komuniti Jenis A Rumah Komuniti Jenis B Rumah Mampu Milik Johor & Kedai Kos Sederhana Rendah
Harga Rumah RM42,000 RM80,000 RM150,000 hingga RM220,000
Had Maksimum Pendapatan RM3,000 RM5,000 RM8,000

Cara Mohon Rumah Mampu Milik Johor

Individu yang berminat untuk memiliki RMMJ, anda perlu membuat pendaftaran akaun baharu terlebih dahulu. Setelah selesai, anda boleh ikuti langkah-langkah seperti berikut:

  1. Log masuk ke portal SUKJ, bahagian perumahan;
  2. Kemas kini maklumat dengan memberikan maklumat diri yang tepat dan betul;
  3. Pilih mukim dan kategori rumah/projek, dan hantar permohonan;
  4. Pemohon perlu menyerahkan dokumen sokongan di kaunter setelah menghantar permohonan sepanjang tempoh pengiklanan;
  5. Pemohon yang layak akan dipanggil untuk proses pengundian.

2. Skim Pinjaman Perumahan iRahman

Kerajaan Negeri Terengganu juga turut menyediakan bantuan permohonan Rumah Mampu Milik Terengganu dan pinjaman perumahan kepada pemohon yang layak. Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai memiliki rumah sendiri pada kos yang lebih murah.

Syarat Kelayakan Permohonan

Sekiranya anda ingin menghantar permohonan melalui sistem online ePerumahan Terengganu, anda disarankan untuk semak syarat kelayakan yang telah ditetapkan seperti berikut:

  1. Anda seorang rakyat Terengganu berumur 21 tahun dan ke atas;
  2. Permohonan anda turut akan dipertimbangkan sekiranya umur pemohon melebihi 50 tahun dengan syarat adik-beradik, isteri, ibu bapa atau anak sanggup menjadi penjamin;
  3. Pemohon sudah berkahwin. Meskipun begitu, jika anda berumur 35 tahun dan ke atas dan masih bujang, anda juga layak untuk memohon;
  4. Gaji bulanan antara RM2,000 hingga RM4,500 sebulan;
  5. Anda masih belum memiliki atau beli rumah sendiri;
  6. Anda tidak menerima mana-mana pinjaman perumahan daripada mana-mana bank di Malaysia;
  7. Anda menetap atau tinggal di negeri Terengganu.

Cara Mohon Skim i-Rahman Terengganu

Skim iRahman diuruskan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Ia menawarkan pinjaman perumahan dan pembiayaan rumah mampu milik di atas tanah sendiri tanpa sebarang faedah kepada pemohon yang layak. Anda boleh ikuti langkah berikut sekiranya anda ingin membuat permohonan skim ini:

  1. Layari laman web ePerumahan Terengganu dan log masuk;
  2. Sekiranya anda masih belum memiliki akaun, anda perlu daftar masuk terlebih dahulu;
  3. Kemudian, pilih kategori sama ada Beli Rumah (anda perlu pilih daerah projek) dan Bina Rumah (anda perlu isi maklumat tanah);
  4. Kemas kini dan isi maklumat pemohon;
  5. Bagi kategori Beli Rumah, permohonan hanya dibuka sekiranya ada iklan dikeluarkan;
  6. Buat Permohonan;
  7. Selesai.

3. Rumah Mampu Milik, Rumah Selangorku

Dasar Perumahan Negeri Selangor diperkenalkan untuk merealisasikan matlamat Satu Keluarga Satu Kediaman Sempurna. Perumahan Mampu Milik atau affordable homes ini bertujuan untuk memastikan setiap keluarga memiliki kediaman yang baik, selesa dan selamat. Di Selangor, rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah, rumah kos sederhana dan rumah mampu milik ini dikenali sebagai Rumah Selangorku.

Syarat-syarat Pemilikan dan Kelayakan Pendapatan

Sekiranya anda berminat untuk memohon Rumah Selangorku, berikut merupakan syarat-syarat kelayakan utama yang perlu dipenuhi:

  1. Warganegara Malaysia;
  2. Tidak memiliki sebarang jenis kediaman di Selangor;
  3. Berumur 18 tahun dan ke atas pada tarikh pendaftaran;
  4. Pendapatan bulanan seisi rumah (pemohon dan pasangan) tidak melebihi RM15,000.
Jenis Rumah Keluasan (kps) Harga Jualan Syarat Kelayakan Pendapatan
Rumah Selangorku Jenis A 700
  • RM42,000
  • Tidak melebihi RM3,000
Rumah Selangorku Jenis B 750
  • 100,000 hingga 250,000
  • Harga tertakluk pada kelulusan MMKN
  • Tidak melebihi RM10,000
Rumah Selangorku Jenis C 800
900
18’ x 60’
Rumah Selangorku Jenis D 1,000
20’ x 60’

rumah mampu milik di Malaysia

4. Permohonan eRumah Pulau Pinang

Sama seperti skim perumahan yang lain, Rumah Mampu Milik Penang atau permohonan eRumah Pulau Pinang ditawarkan kepada rakyat Pulau Pinang yang berhasrat untuk memiliki rumah sendiri terutamanya isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Pendaftaran eRumah Pulau Pinang Online

Secara asasnya, eRumah adalah portal permohonan Rumah Kos Rendah (KR), Kos Sederhana Rendah (KSR), Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mampu Milik Penang. Portal ini secara tidak langsung membolehkan proses permohonan dilakukan secara online. Jika anda berminat, anda boleh lakukan permohonan online menerusi portal ini. Selain secara dalam talian, anda juga boleh membuat permohonan rumah mampu milik secara manual dengan mengisi borang yang disediakan.

Syarat Kelayakan eRumah Penang 2022

Sekiranya berminat, anda boleh menyemak syarat kelayakan skim Rumah Mampu Milik di Pulau Pinang terlebih dahulu untuk memudahkan proses permohonan anda:

  1. Permohonan terbuka kepada rakyat Malaysia yang beralamat di Pulau Pinang atau bermastautin selama sekurang-kurangnya lima tahun;
  2. Pemohon mestilah berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan ke atas;
  3. Gaji pemohon tidak melebihi RM750 sebulan, atau pendapatan isi rumah tidak melebihi RM1,500 sebulan.

5. Rumah Mampu Milik Sarawak

Skim Rumah Mampu Milik Sarawak turut ditawarkan oleh kerajaan negeri bagi memudahkan rakyat Sarawak mendapatkan pinjaman perumahan di negeri Sarawak. Ia menawarkan beberapa skim bantuan rumah mampu milik antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Pinjaman Rumah Panjang, Sri Pertiwi, Spektra Permata (RSP) dan bantuan sewa.

Syarat Kelayakan

Sekiranya anda berminat, berikut merupakan syarat kelayakan permohonan Skim Rumah Mampu Milik di Sarawak yang boleh anda pertimbangkan:

  1. Anda merupakan warganegara Malaysia yang sah;
  2. Anda sedang bermastautin di Sarawak;
  3. Kad pengenalan anda tertera status K;
  4. Nama anda tersenarai dalam senarai sistem Portal Pembasmian Kemiskinan eKasih;
  5. Gaji dan pendapatan isi rumah anda tidak melebihi RM2,131 sebulan.

Dokumen Sokongan

Selain itu, anda juga perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti berikut bagi menyokong dan memudahkan proses permohonan anda:

  1. Dokumen sokongan yang membuktikan anda penerima eKasih;
  2. Salinan sijil kahwin atau sijil cerai;
  3. Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan;
  4. Salinan sijil lahir atau mykad anak yang berada di bawah tanggungan dan tinggal bersama pemohon;
  5. Penyata gaji yang menunjukkan pendapatan kasar bulanan ketua isi rumah atau pasangan;
  6. Salinan kad OKU (bagi pemohon OKU);
  7. Perjanjian sewa yang ditandatangani dan dimatikan setem hasil (jika berkaitan);
  8. Persetujuan pemilik premis untuk membenarkan penyewa menyertai Skim Bantuan Sewa Rumah Sarawak (SRAS) (jika berkaitan);
  9. Gambar premis yang disewa (jika berkaitan).

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans rumah terbaik untuk rumah baharu anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia yang menyediakan insurans hartanah dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2022 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60