9 Dokumen untuk Beli Rumah untuk Pekerja Swasta

Kali terakhir diperbaharui Nov 3, 2023 oleh Shafiq Wahab
9 Dokumen untuk Beli Rumah untuk Pekerja Swasta

Proses beli rumah tidak kiralah sama ada rumah subsale, rumah baharu atau rumah lelong bukanlah suatu proses yang mudah, lebih-lebih lagi jika anda baru pertama kali ingin beli rumah idaman anda. Banyak dokumen untuk beli rumah diperlukan dan keperluan dokumen ini berbeza bergantung pada jenis hartanah yang anda ingin beli. Artikel ini akan membantu anda khususnya pembeli rumah yang pertama kali terlibat dalam proses pembelian rumah.

Pinjaman Perumahan: Senarai Dokumen untuk Beli Rumah yang Anda Perlu Tahu

Meskipun ramai beranggapan proses permohonan pinjaman perumahan sangat rumit, ia sebenarnya boleh menjadi sangat mudah dan lancar terutamanya jika anda sediakan semua dokumen untuk beli rumah dengan lengkap. Secara asasnya, proses permohonan loan rumah di Malaysia biasanya lebih mudah jika anda mempunyai pendapatan tetap (pekerja full-time) berbanding jika anda bekerja sendiri atau bekerja bebas (freelancer). Berikut merupakan dokumen sokongan yang diperlukan untuk beli rumah untuk rujukan dan panduan anda:

1. Salinan Kad Pengenalan

Pinjaman atau loan perumahan biasanya terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas. Oleh sebab itu, salinan kad pengenalan atau MyKad merupakan salah satu dokumen wajib yang diperlukan bagi membuktikan taraf kewarganegaraan setiap pemohon yang ingin mendapatkan pinjaman perumahan. Selain pastikan gambar pada salinan kad pengenalan adalah jelas, anda juga perlu pastikan maklumat pada kad pengenalan dikemas kini dengan maklumat terbaharu.

2. Penyata Gaji (Tiga atau Enam Bulan Terkini)

Pemohon yang ingin memohon pinjaman perlu menyediakan dokumen-dokumen penting seperti slip gaji atau penyata pendapatan. Bagi individu yang bekerja dengan majikan, masalah tiada slip gaji atau dokumen tidak lengkap biasanya tidak banyak terjadi. Masalah dokumen tidak lengkap ini sering berlaku kepada individu yang bekerja sendiri yang tidak menyimpan rekod pendapatan dan perbelanjaan dengan teratur.

Penyata gaji merupakan dokumen penting untuk beli rumah dalam membuktikan jumlah pendapatan anda. Ia secara tidak langsung memudahkan pihak bank memproses sama ada anda layak atau tidak mendapatkan permohonan tersebut. Biasanya, pihak bank akan meminta penyata gaji tiga bulan terkini (jika pendapatan tetap berdasarkan gaji pokok) atau enam bulan terkini (jika ada pendapatan tidak tetap seperti elaun kerja lebih masa, komisen dan sebagainya).

Oleh itu, pastikan anda menyimpan semua dokumen berkaitan supaya permohonan pinjaman perumahan anda lebih mudah untuk diluluskan oleh pihak bank.

3. Penyata Akaun Bank (Akaun Gaji)

Selain itu, pihak bank juga biasanya memerlukan penyata bank akaun gaji untuk tempoh tiga bulan atau enam bulan terkini bergantung pada situasi – tiga bulan terkini untuk gaji pokok sahaja dan enam bulan terkini untuk gaji pokok termasuk komisen. Maklumat penyata bank ini diperlukan bagi membantu pihak bank mendapatkan kesahihan gaji yang dikreditkan ke dalam akaun bank adalah sama seperti yang dinyatakan dalam slip gaji.

4. Penyata KWSP Terkini

Sebelum memohon apa-apa pinjaman tidak kiralah pinjaman perumahan atau pinjaman lain seperti pinjaman peribadi, salah satu dokumen yang perlu diserahkan bersama permohonan anda ialah penyata akaun KWSP terkini anda. Penyata KWSP secara asasnya menunjukkan rumusan sumbangan bulanan daripada anda dan pihak majikan dalam Akaun 1 dan Akaun 2 KWSP. Ia secara tidak langsung membuktikan tahap kewangan dan kestabilan pendapatan yang diterima oleh anda. Ini juga untuk mengelakkan anda daripada berdepan masalah sekiranya perlu membayar balik pinjaman yang diluluskan.

5. Borang EA Terkini

Borang EA atau EA Form merujuk pada Penyata Saraan Tahunan untuk pekerja swasta. Ia merangkumi maklumat penting tentang gaji anda untuk tahun sebelumnya termasuk bonus dan insentif tambahan lain yang diterima.

dokumen untuk beli rumah: penyata gaji

6. Cukai Pendapatan – Borang B/BE Terkini

Bagi anda yang berdaftar dengan LHDN dan sudah membuat taksiran cukai pendapatan (sekurang-kurangnya untuk dua tahun terkini), anda perlu mengemukakan borang B atau borang BE terkini dengan bukti penerimaan pembayaran. Jika anda menggunakan e-filling, anda boleh sediakan slip pengesahan penerimaan e-B bagi tahun taksiran dan bukti pembayaran. Penyata cukai pendapatan membolehkan pihak bank mengenal pasti jumlah untung bersih dan jumlah cukai pendapatan yang telah dikeluarkan setiap tahun.

7. Dokumen Sokongan Tambahan

Selain itu, dalam sesetengah kes, anda mungkin perlu memberikan dokumen sokongan seperti pendapatan sewa, penyata deposit tetap, simpanan ASB, Tabung Haji atau Bon (jika ada) untuk beli rumah. Ia bertujuan untuk menunjukkan anda mempunyai dana kecemasan yang kuat sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap sumber kewangan anda seperti kehilangan kerja atau sebagainya.

8. Surat Pemetakan

Jika anda menempah hartanah dalam pembinaan (under construction), anda biasanya akan menerima surat tempahan pembelian rumah daripada pemaju atau lebih dikenali sebagai surat pemetakan (allotment letter). Surat ini biasanya mengandungi maklumat berkaitan unit, pilihan pembayaran dan sebarang caj tambahan yang mungkin perlu dibayar termasuk caj penyelenggaraan dan kemudahan tambahan.

Selain itu, surat pemetakan ini juga mengandungi maklumat seperti jadual pembinaan, pelan rumah, tarikh anggaran penyerahan dan liabiliti pemaju sekiranya rumah tidak berjaya disiapkan mengikut jadual atau rumah yang dibeli menghadapi masalah-masalah lain. Biasanya, pihak bank memerlukan dokumen ini untuk memproses pinjaman untuk beli rumah idaman anda.

9. Surat Perjanjian Jual Beli

Dokumen Perjanjian Jual Beli (SPA) menyenaraikan semua jenis maklumat tentang hartanah – terma dan syarat, tarikh pemilikan, pelan pembayaran, spesifikasi dan butiran kawasan dan kemudahan umum dan sebagainya. Dokumen ini perlu dikemukakan dalam salinan asal kepada pihak bank bagi proses mendapatkan pinjaman rumah.

Rancang Kewangan Anda, Elakkan Berbelanja Melebihi Kemampuan Kewangan

Selain dokumen untuk beli rumah yang dinyatakan di atas, anda juga perlu rancang pengurusan kewangan anda untuk kurangkan risiko yang boleh menyebabkan permohonan loan ditolak. Elakkan berbelanja atau berhutang kad kredit lebih daripada separuh had kredit maksimum yang ditetapkan. Sebagai contoh, jika had maksimum kad kredit anda ialah RM8,000, pastikan belanja anda tidak berbelanja melebihi RM4,000 kerana bank akan beranggapan anda terlalu bergantung pada hutang. Ini secara tidak langsung boleh menyebabkan skor kewangan anda menjadi tidak cantik dan bank akan mengenakan kadar faedah yang tinggi untuk pinjaman anda.

Selain itu, sekiranya anda sedang mempertimbangkan insurans rumah terbaik dan komprehensif untuk kediaman baru anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia yang menyediakan pelbagai jenis insurans rumah dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

One comment

  1. Boleh ke kita share payslip (3 bulan)pada agent perumahan melalui applikasi Whatapps bagi tujuan semakan kelayakan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60