13 Perkara Berkaitan Deposit Rumah yang Anda Perlu Tahu

Artikel ini terakhir diperbarui August 11, 2022 by Shafiq Wahab
13 Perkara Berkaitan Deposit Rumah yang Anda Perlu Tahu

Berapa jumlah deposit rumah yang perlu anda sediakan sebelum beli rumah? Bagaimana nak kumpul duit dengan mudah untuk bayar downpayment rumah? Ini merupakan antara persoalan biasa yang sering diajukan sebelum buat keputusan beli rumah pertama. Bagi pembeli rumah pertama, proses beli rumah yang paling sukar untuk dilakukan ialah sediakan duit yang mencukupi untuk bayar deposit rumah. Masalah kekurangan wang untuk deposit rumah merupakan antara salah satu sebab yang membantutkan impian ramai orang untuk mempunyai rumah sendiri.

7 Cara Simpan Duit Mudah untuk Bayar Deposit Rumah

Antara persoalan biasa yang sering menyebabkan dilema dalam kalangan pembeli rumah ialah cara nak kumpulkan duit untuk membayar deposit rumah. Artikel ini akan membincangkan cara simpan duit untuk bayar deposit rumah dengan mudah, tips beli rumah tanpa deposit dan amaun yang anda perlukan untuk deposit rumah pertama.

Berikut tujuh panduan cara simpan duit yang boleh anda pertimbangkan untuk membantu anda membayar deposit atau downpayment rumah.

1. Kenal Pasti Keperluan atau Kehendak

Perkara pertama yang anda perlu pertimbangkan ialah kenal pasti perbelanjaan bulanan anda dan perhalusi sama ada wang yang anda belanjakan setiap bulan adalah untuk memenuhi keperluan atau kehendak.

Ambil kira komitmen tetap bulanan anda seperti loan kereta, pinjaman rumah, hutang PTPTN dan sebagainya. Setelah itu, pertimbangkan belanja-belanja lain dan kenal pasti sama ada ia penting atau tidak.

Jika boleh, buang atau kurangkan perbelanjaan bulanan yang tidak perlu seperti bil internet yang mahal; bil elektrik, air dan telefon; langganan hiburan untuk muzik, movie dan drama; rokok atau vape dan sebagainya.

Sebagai contoh, jika rumah anda sudah dilengkapi dengan internet, anda mungkin boleh menukar pelan internet telefon kepada yang lebih murah atau membatalkan langganan siaran berbayar bagi menjimatkan wang dan mengurangkan perbelanjaan bulanan anda.

2. Tetapkan Amaun Perbelanjaan Lain

Selain itu, ada dalam kalangan anda yang suka membelanjakan wang gaji dengan membeli barangan yang tiada dalam senarai atau perancangan dengan alasan “sekali-sekala”. Dalam tak sedar, ia boleh menyebabkan bajet bulanan anda terbabas.

Untuk mengelakkan perbelanjaan sebegini, hadkan amaun untuk perbelanjaan tidak perlu ini. Sebagai contoh, tetapkan kuota untuk kategori ini maksimum RM100 sebulan. Jika anda sudah menggunakan kuota ini, anda perlu menunggu bulan seterusnya untuk membeli barangan lain yang anda perlukan.

3. Rekodkan Perbelanjaan

Anda juga disarankan untuk merekodkan perbelanjaan anda setiap bulan. Dengan cara ini, anda dapat kenal pasti kategori perbelanjaan yang makan duit setiap bulan, kategori yang perlu dikurangkan dan sebagainya.

Meskipun ia kedengaran leceh, ia membantu memudahkan anda untuk merujuk dan mengenal pasti amaun yang telah anda belanjakan. Apabila anda lebih berhati-hati dalam membuat perbelanjaan, ia sekali gus dapat membantu anda mengumpul wang bagi menjelaskan bayaran deposit rumah.

Banyak aplikasi yang anda boleh muat turun di telefon pintar anda bagi membantu merekodkan perbelanjaan harian anda. Aplikasi e-Wallet misalnya mempunyai sejarah perbelanjaan yang direkodkan secara automatik. Ia sekali gus memudahkan anda untuk menyemak perbelanjaan anda sekiranya perlu.

Anda boleh gunakan data ini untuk lihat seberapa banyak duit yang telah anda belanjakan dan merancang perbelanjaan untuk bulan-bulan seterusnya.

4. Tetapkan Target Simpanan

Simpanan yang anda sedang usahakan ini semestinya bermatlamat untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan atau deposit rumah. Bagi memudahkan anda, tetapkan jumlah sasaran yang ingin dikumpulkan dan tempoh masa yang anda perlukan untuk kumpulkan deposit rumah ini.

Target simpanan yang tetap sebegini membantu anda merancang, kekal berada dalam landasan yang betul dan lebih berdisiplin. Katakanlah anda ingin menyimpan RM10,000 dalam masa setahun, anda perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM800 sebulan atau lebih bergantung pada perancangan anda.

5. Rancang Hutang Kad Kredit

Jika anda mempunyai kad kredit, anda disarankan untuk mengawal dan merancang hutang kad kredit dengan baik. Ini kerana, hutang kad kredit merupakan penyebab utama ramai dalam kalangan anak muda bankrap.

Kebanyakan institusi kewangan mengambil kesempatan ke atas pemilik kad kredit dengan menawarkan amaun pembayaran minimum setiap bulan sekali gus memberi kelonggaran kepada pemilik untuk membayar hutang sedia ada.

Jika pemilik kad kredit tidak berdisiplin, ia boleh menyebabkan pemilik terjerat dengan hutang kad kredit yang lebih tinggi. Oleh sebab itu, jika anda membayar pembelian anda dengan menggunakan kad kredit, anda disarankan untuk membayar hutang tersebut dengan segera dalam jumlah yang penuh. Ia bagi mengelakkan anda dikenakan caj pembayaran lambat atau caj pembayaran minimum.

Elakkan membuat pembelian yang tidak perlu menggunakan kad kredit atau jika anda tiada duit yang mencukupi (dalam akaun simpanan) untuk membayarnya. Ia akan memupuk tabiat pembelian yang tidak baik yang boleh memakan diri.

Jadilah pengguna kad kredit yang bijak. Sekiranya hutang kad kredit anda terlalu tinggi, ia akan menyukarkan anda untuk membuat pembayaran semula dan boleh menjejaskan potensi anda untuk membuat apa-apa pinjaman terutamanya pinjaman perumahan.

deposit rumah pertama

6. Keluarkan KWSP Akaun 2 untuk Rumah

Mungkin ramai dalam kalangan pembeli rumah pertama yang tidak tahu bahawa anda boleh membuat pengeluaran KWSP akaun 2 untuk beli rumah sebelum usia 50 atau 55 tahun. Anda boleh semak kelayakan dan syarat pengeluaran akaun 2 bagi membantu memudahkan urusan anda.

Bagi urusan permohonan pengeluaran akaun 2 KWSP, anda perlu hadir ke pejabat KWSP berhampiran anda bagi urusan pengecaman cap jari dan memastikan permohonan dibuat oleh pemilik akaun sendiri.

7. Gunakan Dividen ASBF

Selain itu, anda boleh sertai pelbagai pelaburan risiko rendah yang ditawarkan di Malaysia antaranya ASB Financing. ASB Financing membolehkan anda membuat pinjaman daripada bank untuk melabur dalam Amanah Saham Bumiputra dengan jumlah pelaburan maksimum sebanyak RM200,000.

Sekiranya anda memilih pelaburan ini, anda disarankan untuk tetapkan tempoh pelaburan yang anda inginkan tanpa membuat sebarang pengeluaran dividen. Jika dividen ASB terkumpul telah mencukupi untuk bayaran downpayment rumah, anda boleh tamatkan pembiayaan tersebut dan guna duit yang diperoleh untuk bayar deposit bagi beli rumah idaman anda.

Selain ASB, anda juga boleh pertimbangkan pelaburan risiko rendah lain seperti Tabung Haji, pelaburan Takaful dan sebagainya.

Beli Rumah Tanpa Deposit: Skim MyDeposit dan MyHome di Malaysia

Sudah semestinya menjadi impian semua orang untuk memiliki rumah sendiri. Namun, realitinya proses beli rumah tidak semudah yang disangkakan dan banyak aspek yang perlu dipertimbangkan seperti lokasi rumah, kemudahan, jarak dan sebagainya.

Proses beli rumah tanpa deposit bukanlah bermaksud tidak melibatkan bayaran pendahuluan. Anda masih memerlukan tunai di tangan untuk membayar wang cagaran, baki deposit apabila menandatangani perjanjian jual beli, fi peguam serta duti setem.

Anda bakal terima semula deposit yang telah anda bayar melalui KWSP atau margin pinjaman 100 peratus selepas proses pembelian selesai. Berikut antara skim yang boleh membantu anda membuat pemilikan rumah tanpa perlu deposit:

1. Skim MyDeposit

Skim MyDeposit merupakan insentif kerajaan bagi membantu bakal pembeli menyediakan deposit 10 peratus daripada harga jualan hartanah bawah RM500,000.

Permohonan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang layak dan boleh dibuat secara online melalui laman web Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Melalui skim MyDeposit, kerajaan akan membayar deposit bagi pihak anda dan melakukan pemantauan projek dari semasa ke semasa.

2. Skim MyHome

Bagi Skim MyHome pula, ia menyasarkan golongan berpendapatan rendah dan membantu menyediakan perumahan kos rendah mampu milik bagi individu yang ingin beli rumah pertama di Malaysia.

Skim MyHome ini membolehkan bakal pembeli untuk tidak membayar deposit 10 peratus yang biasanya perlu dijelaskan semasa beli rumah di Malaysia kerana telah ditanggung atau disubsidikan oleh kerajaan.

Meskipun begitu, berdasarkan laman web rasmi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), permohonan skim ini sudah ditutup mulai November 2020.

3. Skim Rent-To-Own (Sewa Beli Rumah)

Selain skim deposit, ada juga skim sewa beli rumah yang diperkenalkan bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki hartanah sendiri. Ia membolehkan anda menyewa rumah terlebih dahulu dalam tempoh masa tertentu, dengan pilihan untuk membelinya kelak pada harga yang ditetapkan.

Jadi anda tak perlu bayar downpayment rumah. Secara asasnya, sewa bulanan adalah lebih tinggi daripada harga pasaran. Ini kerana, sebahagian daripada bayaran bulanan dimasukkan ke dalam tabung untuk membeli rumah. Skim ini sesuai bagi anda yang tidak mempunyai simpanan untuk membayar deposit rumah.

Berapa Deposit Rumah Pertama: Downpayment Rumah Subsale, Lelong dan Undercons?

Berapa deposit rumah pertama? Seperti yang diketahui, kebanyakan bank hanya membenarkan margin pinjaman sebanyak 90 peratus daripada keseluruhan harga rumah. Ini bermakna, anda perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membayar deposit 10 peratus daripada harga rumah.

Sebagai contoh, jumlah deposit yang perlu dibayar jika beli rumah pertama berharga RM500,000 ialah 10 peratus atau kira-kira RM50,000. Bagi rumah ketiga dan seterusnya, kadar margin pembiayaan ialah sekitar 70 peratus dengan kadar downpayment sebanyak 30 peratus.

beli rumah tanpa deposit

1. Deposit Rumah Lelong

Bagi rumah lelong, tiada kompromi untuk downpayment rumah lelong, kadar deposit biasanya ditetapkan 10 peratus. Malah, jika gagal dapatkan pembiayaan atau selesaikan bayaran penuh, besar kemungkinan bayaran downpayment hangus begitu sahaja.

Bagi rumah lelong, anda mungkin memerlukan tambahan modal tunai lain untuk menampung kos guaman, pindah milik, tunggakan, pembaikan dan lain-lain bergantung kepada rumah yang dibida.

2. Deposit Rumah Subsale

Kadar downpayment untuk rumah subsale adalah sama seperti rumah lelong iaitu 10 peratus jika margin pembiayaan 90 peratus. Biasanya, bayaran downpayment 3.18 peratus dikenakan semasa booking, diikuti dengan 6.82 peratus semasa tandatangan perjanjian jual beli.

Meskipun begitu, kadar downpayment biasanya bergantung kepada situasi tertentu. Ada sesetengah tuan rumah yang memulangkan semula sebahagian downpayment rumah (selepas full disbursement) sebagai diskaun kepada pembeli.

3. Deposit Rumah Undercons

Rumah dalam pembinaan biasanya menawarkan banyak rebat dan diskaun. Ia mengamalkan konsep yang sama seperti rumah subsale. Namun berbeza dengan diskaun rumah subsale yang diterima daripada pemilik asal, diskaun dan rebat ini diterima secara terus daripada pemaju biasanya sekitar sembilan peratus bergantung pada pemaju. Ini bermaksud, anda mungkin membayar satu peratus sahaja untuk deposit rumah.

Semoga perkongsian tentang deposit rumah ini boleh membantu anda merancang simpanan untuk beli kediaman pertama anda. Selain itu, anda juga boleh layari laman web Qoala untuk info lanjut berkaitan insurans rumah. Qoala merupakan platform beli insurans yang mudah, telus dan pantas dengan tawaran harga yang kompetitif dan berpatutan.

Kongsi:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.
Dapatkan Insurans Kereta Terbaik Hari Ini!