Apa Itu Freehold, Leasehold, Lot Bumiputera & Tanah Rizab Melayu?

Kali terakhir diperbaharui Nov 22, 2023 oleh Shafiq Wahab
Apa Itu Freehold, Leasehold, Lot Bumiputera & Tanah Rizab Melayu?

Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum beli rumah antaranya proses beli rumah dan kos pemilikan rumah. Selain itu, ramai dalam kalangan pembeli rumah yang masih keliru dan kurang arif dengan jenis milikan tanah seperti freehold, leasehold, lot Bumiputera dan sebagainya. Oleh sebab itu, penting untuk anda memahami jenis-jenis milikan tanah yang ditawarkan di Malaysia sebelum anda buat keputusan beli rumah idaman anda.

Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang Hartanah Freehold, Leasehold, Lot Bumiputera dan Tanah Rizab Melayu

Secara asasnya, terdapat beberapa jenis milikan tanah di Malaysia antaranya lot Bumiputera, Tanah Rizab Melayu, Tanah Pegangan Bebas (Freehold) dan Pegangan Pajakan (Leasehold). Setiap satunya mempunyai kelemahan dan kelebihan tersendiri. Berikut merupakan penjelasan bagi setiap jenis hak milik tanah secara terperinci untuk rujukan dan panduan anda.

1. Lot Bumiputera

Lot Bumiputera yang turut dikenali sebagai lot Bumi merupakan hak eksklusif golongan Bumiputera (merangkumi Melayu, Sabah dan Sarawak dan juga Muslim bukan Melayu) di Malaysia. Ini bermaksud, golongan bukan Bumiputera tidak boleh memiliki rumah lot Bumi. Secara asasnya, setiap pembangunan hartanah baharu memperuntukkan sejumlah peratusan tertentu kepada kaum Bumiputera. Dalam erti kata lain, ada kuota tertentu yang diperuntukkan kepada kaum Bumiputera bagi setiap pembangunan baharu – sebagai contoh di Kuala Lumpur, setiap hartanah wajib memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus lot Bumiputera.

Peruntukan lot Bumiputera membolehkan golongan Bumiputera mempunyai peluang untuk mengumpul aset dan memperluaskan taburan penduduk Bumiputera. Selain itu, lot Bumi juga biasanya menawarkan diskaun dan rebat eksklusif Bumiputera yang banyak. Ia bertujuan untuk menggalakkan golongan Bumiputera memiliki rumah atau kediaman sendiri. Lot Bumiputera secara amnya sesuai untuk anda yang tidak berniat untuk menjual hartanah dalam tempoh yang singkat. Ini kerana, anda mungkin berdepan beberapa kesukaran sekiranya anda jual Lot Bumiputera:

  • Kekurangan permintaan disebabkan kekangan pasaran (lot Bumi perlu dijual kepada Bumiputera sahaja, hartanah tidak boleh dijual kepada kaum lain);
  • Kenaikan harga hartanah perlahan, penjual mendapat keuntungan yang minimum;
  • Kelulusan untuk menjual kepada bukan Bumiputera sukar diperoleh daripada Pejabat Tanah.

2. Tanah Rizab Melayu

Secara asasnya, Tanah Rizab Melayu merupakan jenis hartanah khusus kepada orang Melayu Islam sahaja. Ini bermaksud, orang asli dari Sabah dan Sarawak dan orang Islam bukan Melayu tidak boleh beli rumah atau hartanah jenis ini. Ia berbeza dengan lot Bumiputera yang dibuka untuk jualan kepada golongan Bumiputera di Malaysia. Selain itu, Tanah Rizab Melayu juga tidak boleh diubah milik atau dijual kepada golongan selain Bumiputera dalam apa keadaan sekalipun, melainkan dibatalkan oleh pihak berkenaan.

Malah, proses penukaran hak milikan Tanah Rizab Melayu juga sangat kompleks. Ia memerlukan hartanah lain dengan nilai dan saiz yang sama perlu diumumkan sebagai ganti, berbanding lot Bumiputera yang boleh ditukar status kepada lot bukan Bumiputera dan boleh dijual kepada kaum bukan Bumiputera mengikut syarat dan kriteria tertentu. Berikut merupakan ciri tambahan yang membezakan antara Tanah Rizab Melayu dengan Lot Bumiputera:

  • Pemilik bumiputera tidak dibenarkan menyewakan hartanah Tanah Rizab Melayu kepada bukan Melayu;
  • Semua aktiviti perniagaan yang dijalankan di atas Tanah Rizab Melayu mestilah dimiliki oleh orang Melayu;
  • Syarikat yang diniagakan secara awam mestilah memiliki pemegang saham Melayu sahaja.

3. Pegangan Bebas (Freehold)

Hartanah pegangan bebas atau lebih dikenali sebagai hartanah freehold merupakan status pemilikan tanah tanpa had tempoh atau dalam erti kata lain, milikan rumah yang dibeli boleh dimiliki untuk selama-lamanya. Hartanah ini merupakan jenis hartanah yang paling popular dalam kalangan pembeli rumah kerana pemilikan rumah boleh dipindah milik kepada generasi seterusnya tanpa halangan dari pihak berkuasa, Kerajaan Persekutuan atau Negeri.

Walau bagaimanapun, meskipun hartanah ini berstatus tanpa had, pihak kerajaan masih boleh menuntut semula tanah tersebut untuk tujuan pembangunan milik kerajaan seperti jalan raya, sistem pengangkutan awam atau apa-apa projek awam lain. Pemilik hartanah biasanya perlu menjual perumahan mereka kepada pihak kerajaan mengikut harga pasaran tanpa diberi apa-apa pampasan.

Meskipun begitu, hartanah freehold masih lagi menjadi pilihan ramai dalam pasaran kerana hartanah jenis ini terbuka kepada semua kaum, mudah untuk dijual dan menawarkan profit dan margin keuntungan (nilai jualan semula, kenaikan nilai modal serta pulangan sewaan) yang lebih tinggi apabila anda jual semula hartanah yang dimiliki.

4. Pegangan Pajakan (Leasehold)

Hartanah leasehold pula merujuk pada hartanah yang ditempatkan di atas tanah pajakan yang dipajak atau disewa dari pihak kerajaan. Dalam erti kata lain, tanah tersebut merupakan hak milik sementara dan hanya dianggap milik pemilik rumah selagi tempoh pajakan masih sah. Biasanya, tempoh pajakan untuk jenis hartanah ini adalah sekitar 99 tahun dengan pajakan paling pendek selama 30 tahun. Setelah tempoh ini tamat, kos sewaan untuk hartanah leasehold dianggap terbazir kerana pemilik tidak akan menerima sebarang pampasan sebaik sahaja tempoh pajakan tersebut tamat.

Meskipun begitu, pemilik masih boleh melanjutkan pajakan tersebut dengan memohon di Pejabat Tanah, namun tertakluk kepada sejumlah bayaran premium mengikut lanjutan tahun yang anda inginkan. Kadar premium biasanya ditentukan mengikut jenis hartanah (kediaman, komersial, pertanian dan sebagainya). Hartanah pegangan pajakan atau leasehold boleh dikatakan sebagai jenis hartanah yang berisiko. Ini kerana, besar kemungkinan permohonan melanjutkan pajakan akan ditolak sekiranya pihak kerajaan ada merancang atau bercadang untuk membangunkan kawasan perumahan yang anda diami tersebut.

beza leasehold dan freehold

Semoga perkongsian mengenai jenis hartanah ini boleh membantu memudahkan urusan pembelian rumah pertama anda. Selain itu, anda juga boleh layari laman web Qoala untuk info lanjut berkaitan insurans rumah. Qoala merupakan platform beli insurans yang mudah, telus dan pantas dengan tawaran harga yang kompetitif dan berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60