Sistem Insurans Pekerjaan: Faedah Yang Sangat Membantu!

Artikel ini terakhir diperbarui September 20, 2021 by Nadhirah Rashid
Sistem Insurans Pekerjaan: Faedah Yang Sangat Membantu!
Bagikan ke Teman:

Untung sebenarnya jadi pekerja di Malaysia ni. Ini kerana hak-hak pekerja sangat dijaga rapi dengan sistem insuran pekerjaan. Korang yang dah bekerja mungkin familiar dengan nama PERKESO. Tapi, tahukah korang perlindungan yang ditawarkan oleh PERKESO? Mungkin ada yang tak perasaan pun gaji korang ditolak sebagai pencarum PERKESO. 

Sebelum kita mendalami lagi topik kita hari ini, jom kita tengok sikit bagaimana wujudnya sistem insurans pekerjaan di Malaysia. Ia mula dicadangkan oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di parlimen Malaysia pada bulan Julai/Ogos 2017.Sistem ini diwujudkan dengan objektif utamanya adalah untuk menolong pekerja dari pelbagai aspek disamping menyumbang kepada PERKESO. Pekerja di Malaysia membuat caruman di PERKESO melalui potongan gaji yang mandatori berdasarkan arahan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta SIP 2017/AKTA 800) yang telah pun berkuatkuasa sejak 1 Januari 2018. Semua majikan swasta diwajibkan mencarum ke Sistem Insurans Pekerjaan jika mempunyai lebih daripada satu pekerja. Walaubagaimana pun, mengikut takrifan Akta Kerja 1955, pekerja asing dikecualikan daripada mencarum dan tidak layak mendapatkan faedah ini. 

Ibarat jaring keselamatan, sistem ini bersedia untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan menyediakan bantuan kewangan sehinggalah mereka menemukan pekerjaan baru. Yang menariknya, bukan sahaja bantuan kewangan yang bakal dinikmati pencarum, malah PERKESO turut menyedia latihan dan bantuan dari segi perundingan, kaunseling dan latihan kemahiran yang boleh meningkatkan kadar kebolehpasaran mereka di industri-industri yang ingin mereka ceburi. Ini bertujuan untuk pencarum mendapatkan pekerjaan dengan lebih cepat dan keluar dari pengangguran.  

Tahukah anda, lebih 800,000 individu kehilangan mata pencarian sejak pandemik virus Covid-19 melanda bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia! Ini disebabkan ramai syarikat terpaksa mengambil keputusan perit itu dengan menghentikan operasi mereka susulan impak pandemik itu. Apabila ramai syarikat terpaksa menggulung tikar, ramai terpaksa menanggung akibatnya. 

Sistem Insurans Pekerjaan pula merekodkan sejumlah 99, 696 pekerja diberhenti antara Januari hingga 27 November 2020 kesan daripada penularan COVID-19. pembuangan pekerja itu termasuk melibatkan golongan berkemahiran tinggi, masing-masing membabitkan kategori pengurus seramai 13,109 orang; profesional (26,079 orang) dan juruteknik serta profesional bersekutu (19,095 orang).

Pada tahun 2020, PERKESO merekodkan seramai 67, 068 orang kehilangan pekerjaan gara-gara pandemik COVID-19. Dalam tempoh yang sama, seramai 33, 341 pencarum dibawah PERKESO telah berjaya kembali bekerja menerusi program penempatan semula.

Bangunan PERKESO
Foto Kredit: Ismail Sadiron Pictures Melalui Shutterstock

Ada dua komponen utama dalam insurans pekerjaan iaitu Active Labour Market Policies (ALMPs) dan insurans pekerjaan (Employment Insurance).

Komponen pertama: Untuk memberi sokongan kepada pencarum dan juga keluarga pencarum semasa mencari pekerjaan baharu, bantuan jenis kewangan sementara akan diberi kepada mana-mana pencarum yang terjejas dengan kehilangan mata pencarian.  

Komponen kedua: Untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang baharu dan sesuai, sokongan dengan program perkhidmatan pekerjaan semula akan diberikan kepada pekerja yang terjejas, sebagai tambahan kepada bantuan kewangan. Kaunseling kerjaya, carian, padanan pekerjaan dan latihan adalah antara bantuan yang diberikan.

Kejap, sebelum kita terus ke jumlah faedah kewangan yang korang boleh dapat, ada baiknya kita tengok dulu syaratnya untuk melayakkan korang mendapatkan faedah-faedah ini. Apabila syarikat korang mencarum insurans ini dan sekiranya korang kehilangan kerja atas sebab-sebab seperti syarikat terpaksa memberhentikan pekerja, terima Skim Pemisahan Sukarela atau Bersama Syarikat (VSS & MSS), bankrap atau penutupan tempat kerja, korang layak untuk menerima faedah-faedah ini dengan syarat utama iaitu boleh dan bersedia untuk bekerja serta aktif mencari kerja baru. 

Namun, apabila korang hilang pekerjaan atas sebab-sebab seperti sukarela melepaskan jawatan, tamat kontrak, bersara atau dipecat gara-gara salah tingkahlaku, korang tidak boleh mendapatkan faedah-faedah yang termaktub dalam sistem insurans pekerjaan di bawah PERKESO ini walaupun dah lama mencarum. 

BAGAIMANA KADAR CARUMAN SISTEM INSURANS PEKERJAAN INI DIKIRA?

Okay, bagi korang yang tak tahu kadar caruman, formulanya mudah saja! Potongan akan dibuat sebanyak 0.2% dari korang, tambah lagi dengan 0.2% dari majikan, daripada gaji bulanan korang. 

Sebagai contoh, sekiranya gaji korang RM3,500, jadi jumlah caruman adalah sebanyak: 

Caruman korang: 0.2% x RM3,500 = RM6.90

Caruman majikan: 0.2% x RM3,500 = RM6.90

Jumlah caruman bulanan adalah RM13.80.

Dan bagi korang yang berpendapatan lebih RM4,000, kadar caruman yang dikenakan adalah fixed rate, iaitu RM7.90.

Dek kerana penularan virus COVID-19, PERKESO merekodkan peningkatan permohonan bagi program latihan dalam kalangan pekerja yang kehilangan mata pencarian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac 2020 yang lepas. 

Lebih 300 permohonan online telah dibuat di mana 75 adalah kursus latihan yang turut mengadakan penempatan pekerjaan. 

PERKESO turut mengambil langkah proaktif dengan membolehkan pencarum yang telah kehilangan pekerjaan untuk menduduki latihan secara atas talian dari rumah mereka sendiri memandangkan kebanyakan premis penyedia latihan tidak beroperasi dek kerana SOP PKP.

FAEDAH SISTEM INSURANS PEKERJAAN

Buat pengetahuan korang, sistem insurans pekerjaan ini diwujudkan khususnya demi kebajikan pekerja di sektor swasta. Ada banyak faedah yang pekerja swasta boleh dapat daripada sistem insurans pekerjaan ni. Di bawah adalah antara 5 jenis faedah dalam bentuk kewangan yang korang boleh mohon, iaitu:

  • Elaun Mencari Pekerjaan (EMP)

Salah satu faedah dalam sistem insurans pekerjaan di bawah PERKESO adalah Elaun Mencari Pekerjaan atau EMP. 

Misal kata korang kehilangan pekerjaan gara-gara pandemik ini contohnya, korang berhak untuk menuntut elaun ini dalam tempoh masa 30 hari selepas diberhentikan kerja. Untuk menerima faedah ini, korang tidak boleh didapati bekerja walaupun bekerja sambilan atau part time. Bagi pencarum yang telah mencapai umur persaraan minimum, bayaran bagi elaun mencari pekerjaan akan dibayar terus kepada pencarum tersebut jika kehilangan pekerjaan berlaku sebelum umur persaraan minimum. Mana-mana pencarum yang didapati melakukan kesalahan yang boleh disabitkan, korang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali!

Penerima EMP diharuskan mendaftar diri sebagai pencari kerja dan aktif mengikuti program penempatan pekerjaan semula.

Bagaimana pula dengan cara pembayarannya? Elaun akan dikreditkan ke dalam akaun dalam masa pencarian kerja iaitu antara 3 ke 6 bulan. Jumlah yang bakal dinikmati pencarum bergantung kepada peratusan kadar bulanan yang menurun bermula daripada 80%, 50%, 40% dan 30% daripada gaji yang diinsuranskan. Tanpa faedah ini, individu yang kehilangan pekerjaan tidak dapat bertahan dan lambakan penganggur akan meningkat. 

Baru-baru ini (2021), kerajaan Malaysia turut mengumumkan pencari kerja termasuk graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal yang tidak mencarum sistem insurans pekerjaan juga boleh menikmati elaun RM300 melalui Elaun Mencari Pekerjaan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sebagai bantuan dalam krisis pandemik yang melanda seluruh dunia ini. =

  • Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) 

Okay, macam mana pula if dalam tempoh pencarian tu korang dapat rezeki untuk dapat kerja baru dalam masa yang singkat? Berita baik! Korang layak menerima Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA). Elaun ini diwujudkan untuk menggalakkan pekerja yang terjejas mendapatkan kerja dengan lebih cepat. 

Untuk pengetahuan yang lebih jelas, sekiranya korang menerima tawaran pekerjaan dan melaporkan diri untuk bekerja di tempat baru dalam tempoh menerima elaun mencari pekerjaan, korang layak menuntut elaun bekerja semula awal. 

Kadar bayaran bagi elaun ini adalah 25% daripada baki EMP dan akan dibayar secara pukal. 

Contohnya tempoh dapat pekerjaan semula adalah dalam masa 6 bulan, tapi dalam masa 3 bulan korang dah berjaya dapat pekerjaan yang baru. Baki 3 bulan Elaun EMP yang patut dibayar akan diberikan kepada korang.

  • Elaun Latihan (EL)

Elaun Latihan merupakan satu lagi inisiatif di bawah sistem insurans pekerjaan yang memberi peluang kepada pencarum meningkatkan lagi tahap kebolehpasaran dengan cara mendapatkan latihan Latihan Vokasional dan Kemahiran bagi mengukuhkan lagi kepakaran dan pengetahuan pencarum. 

Elaun ini dibayar kepada pencarum bergantung kepada permohonan dan keperluan semasa. Kursus yang disediakan dibiayai sepenuhnya oleh PERKESO sehingga RM4,000. Peserta latihan pula akan menikmati Elaun Latihan sebanyak RM10 ke RM20 sehari untuk tempoh maksimum enam bulan. 

Latihan ini bukan sahaja untuk pencarum yang kehilangan pekerja, malah jika majikan yang mahu menghantar pekerja-pekerja untuk menjalani kursus secara percuma ini turut dialu-alukan.

  • Yuran Latihan

Sistem Insurans Pekerjaan di Malaysia turut menyediakan latihan vokasional percuma sehingga 6 bulan untuk pemohon yang berjaya. Korang tak perlu bayar satu sen pun! Pembayaran yang perlu dibuat kepada penyedia perkhidmatan latihan akan ditanggung oleh pihak PERKESO sehingga RM4,000. Faedah ini sangat beruntung digunakan untuk pencarum yang ini menaiktarafkan kemahiran diri agar lebih memenuhi kehendak pasaran terkini.

  • Elaun Pendapatan Berkurang (EPB)

Elaun Pendapatan Berkurang pula adalah elaun yang khas buat mereka yang ada beberapa pekerjaan, tapi telah kehilangan sekurang-kurangnya satu pekerjaan daripadanya sama ada pada tarikh yang sama atau tidak. Misal kata, jika korang membuat tiga kerja, dan satu daripada tiga kerja korang terjejas, korang layak mendapatkan elaun pendapatan berkurang. Pencarum berhak untuk mendapatkan elaun pendapatan berkurang bagi temph yang hendaklah mengikut syarat kelayak caruman berkenaan. 

Individu ini tidak berhak untuk mendapatkan elaun mencari pekerjaan, elaun latihan atau elaun bekerja semula awal. Bayaran pula akan dibayar secara sekaligus. Walaubagaimana pun, jika pencaru mempunyai dua atau lebih pekerjaan dan telah kehilangan semua pekerjaan itu pada tempoh masa yang sama, dia layak untuk mendapatkan elaun mencari pekerjaan dan juga elaun pendapatan berkurangan. 

Tapi ingat! PERKESO berhak membatalkan faedah-faedah ini daripada korang sekiranya korang didapati mengemukakan butir-butir dokumen yang tidak benar atau palsu sewaktu tuntutan faedah itu dibuat atau korang melanggar mana-mana peruntukan atau peraturan yang termaktub dalam polisi ini. 

SYARAT KELAYAKAN, MEMOHON DAN CARA MEMOHON

Untuk memohon elaun ini ada beberapa syarat, berikut adalah syarat-syarat yang melayakkan pemohon mendapatkan elaun:

Syarat kelayakan: 

  1. Semua pekerja warganegara Malaysia dan pemastautin tetap
  2. Berumur 18 – 60 tahun
  3. Bekerja dalam sektor swasta
  4. Mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan

Syarat memohon: 

  1. Permohonan perlulah dilakukan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh kehilangan pekerjaan
  2. Memenuhi syarat kelayakan caruman: Caruman pekerja telah dicarum mengikut jadual caruman Sistem Insurans Pekerjaan dan mempunyai bilangan bulan minimum dalam tempoh masa yang ditetapkan

Bagaimana pula cara memohon elaun ini? Berikut adalah cara-cara memohon: 

  1. First thing first, korang wajib membuat permohonan dalam tempoh 60 hari dari tarikh hilang kerja. Apa akibatnya kalau terlambat? Bila korang lambat buat permohonan, tuntutan faedah caruman korang tidak dapat diproses. Jadi, jangan tunggu ya. Terus je apply!
  2. Isi borang permohonan dengan betul. Pastikan korang baca dan tulis info-info yang diperlukan dengan betul. Sebarang kesilapan akan menganggu proses tuntutan faedah korang. 
  3. Lampirkan sekali dokumen sokongan. 
  4. Hanya permohonan yang lengkap dan betul sahaja diproses dan disemak mengikut syarat kelayakan am. 
  5. Selepas lulus permohonan, bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun korang
  6. Korang juga wajib laporkan status pekerjaan korang setiap bulan kepada pegawai PERKESO yang ditugaskan kepada korang. Kegagalan korang mengemaskini status akan menyebabkan elaun korang boleh digantung! 

Berikut adalah dokumen-dokumen yang perlu ada untuk membuat permohonan

  1. Salinan kad pengenalan
  2. Salinan surat pemberhentian kerja. (Yang ini wajib ada. Kalau tiada, sila maklumkan kepada pegawai sumber manusia syarikat korang)
  3. Salinan akaun bank
  4. Salinan slip gaji enam bulan sebelum diberhentikan kerja. 

Lebih mudah, korang juga boleh membuat permohonan ini di laman web PERKESO dengan memuatnaik dokumen-dokumen seperti di atas.  

Okay bagaimana pula jika anda baru nak mula bekerja dan belum mendaftar Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan PERKESO?

Caranya mudah saja! Untuk mendaftar akaun, sila klik pada link ini dan muat turun borang Sistem Insurans Pekerjaan yang diperlukan. Korang perlu lengkapkan 2 borang iaitu; borang SIP 1A dan SIP 2A. Sekiranya korang adalah majikan, dan mempunyai pekerja baharu yang belum pernah menyumbang kepada PERKESO (Graduan Baharu), korang perlu mengisi borang SIP 2 dan hantar borang yang telah diisi dengan lengkap di mana-ana cawangan PERKESO yang berhampiran.

SENARAI BANK

Pastikan korang ada mana-mana akaun bank daripada senarai bank dekat bawah ni kerana bayaran elaun akan dikredit melalui bank-bank ini saja. Kalau tidak, terlepas pula elaun-elaun tu! 

(1) AFFIN BANK

(2) AGRO BANK

(3) AL RAJHI BANK

(4) ALLIANCE BANK

(5) AM BANK

(6) BANK ISLAM

(7) BANK MUAMALAT

(8) BANK OF AMERICA

(9) BANK OF TOKYO MITSUBISHI (M) BHD

(10) BANK PERTANIAN MALAYSIA

(11) BANK RAKYAT

(12) BANK SIMPANAN NASIONAL

(13) BNP PARIBAS MALAYSIA

(14) CIMB BANK

(15) CITIBANK

(16) DEUTSCHE BANK (M) BHD

(17) HONG LEONG BANK

(18) HSBC BANK

(19) IND & COM BANK OF CHINA

(20) J.P. MORGAN CHASE

(21) KUWAIT FINANCE HOUSE

(22) MAYBANK

(23) MIZUHO CORPORATE BANK (MALAYSIA) BERHAD

(24) OCBC BANK

(25) PUBLIC BANK

(26) RHB BANK

(27) ROYAL BANK OF SCOTLAND

(28) STANDARD CHARTERED BANK

(29) SUMITOMO MITSUI BANK

(30) UNITED OVERSEAS BANK

Kalau korang ada pertanyaan atau perkara untuk dibincangkan, hubungi talian khidmat pelanggan di 1300-22-8000 atau layari laman web PERKESO.

Pelbagai implikasi yang terjadi apabila berlakunya pandemik yang melanda seluruh dunia ini. Dari segi kesihatan fizikal, kesihatan mental, perniagaan, pekerjaan dan banyak lagi. Walaupun vaksin sudah mula digunakan oleh banyak negara, tetapi kes-kes COVID-19 masih tinggi di beberapa negara. Apabila kita kehilangan pekerjaan, ia memberi impak bukan sahaja pada diri kita, malah kepada orang-orang terdekat seperti keluarga kita.

Sistem insurans pekerjaan ini memang hanya bersifat sementara, tapi sekurang-kurangnya ia mampu membantu meringankan bebanan kewangan yang dialami. Dalam saat getir ini, pelbagai initiatif-initiatif yang disediakan dalam Sistem Insurans Pekerjaan yang mampu meringankan beban pelbagai pihak. 

Untuk korang yang terpaksa diberhentikan kerja dan hilang mata pencarian, jangan lupa untuk memohon faedah-faedah ini. Semoga bermanfaat untuk semua! Oh ya, jangan lupa untuk check out artikel-artikel lain di Qoala untuk pelbagai lagi informasi berfaedah! 

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗