4 Cara Bayar Tunggakan Hutang PTPTN Secara Ansuran untuk Fresh Grad

Kali terakhir diperbaharui Sep 26, 2023 oleh Shafiq Wahab
4 Cara Bayar Tunggakan Hutang PTPTN Secara Ansuran untuk Fresh Grad

Hutang PTPTN adalah satu hutang yang dimiliki ramai orang di Malaysia terutamanya golongan muda yang baru saja menyelesaikan pengajian tahap tinggi. Artikel ini akan menjelaskan cara bayaran balik PTPTN, saluran bayar balik PTPTN, pengecualian bayaran PTPTN dan lain-lain yang anda perlu tahu. 

Saluran Bayaran Balik PTPTN untuk Anda Pilih 

Melainkan anda mendapat pengecualian bayaran balik PTPTN kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda kelas pertama, anda wajib membayar semula hutang PTPTN anda. Antara sebab hutang PTPTN boleh menjadi tertunggak adalah apabila peminjam tidak membayar hutang tersebut pada waktunya.

Sikap melengahkan ini hanya akan merugikan diri sendiri. Sebaiknya, apabila anda mendapat gaji bulanan, anda perlu mengasingkan wang-wang tersebut mengikut keutamaan. Ada pelbagai cara untuk membuat pembayaran hutang PTPTN mengikut keselesaan anda. Berikut adalah panduan khusus buat semua peminjam PTPTN yang sedang keliru tentang cara membayar:

1. Bayaran PTPTN Online

Sekiranya anda tidak mempunyai masa untuk ke mana-mana kaunter PTPTN, cara yang paling mudah adalah dengan membuat online payment PTPTN. Ada beberapa bank yang menyediakan perkhidmatan perbankan atas talian. Sebagai contoh, Maybank, CIMB, RHB, Bank Rakyat dan juga Public Bank. 

Anda juga boleh membuat bayaran hutang PTPTN melalui aplikasi eWallet seperti Touch N Go dan Boost. Kedua-dua kaedah pembayaran ini memerlukan anda untuk mempunyai aplikasi bagi menggunakan kemudahan yang ditawarkan.

2. Bayaran di Kaunter PTPTN

Selain pembayaran melalui perbankkan internet, anda juga boleh buat bayaran PTPTN melalui kaunter cawangan PTPTN berdekatan dengan rumah anda. Ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Pergi ke mana-mana cawangan PTPTN atau senarai bank diatas yang berhampiran.
  2. Ambil nombor giliran.
  3. Isikan borang yang diberikan oleh pegawai kaunter (No. Kad Pengenalan, No. Akaun PTPTN dan No. Kontrak atau No. Bill)
  4. Bagi balik borang tersebut kepada pegawai, kemudian bayar pinjaman.
  5. Selesai.

3. Secara Potongan Gaji

Pembayaran hutang PTPTN juga boleh dibuat secara potongan gaji. Kaedah ini kebiasaannya digunakan oleh penjawat awam. Ini kerana mereka yang menerima pinjaman PTPTN diwajibkan untuk membuat bayaran balik PTPTN. 

Sekiranya anda bukan seorang penjawat awam dan ingin membuat bayaran PTPTN melalui potongan gaji, majikan anda perlu mengemukakan Borang Pendaftaran Majikan (Potongan Gaji PTPTN) yang lengkap kepada Pejabat PTPTN yang berhampiran. Anda sebagai peminjam pula harus menyerahkan Borang Kebenaran Potong Gaji Bagi Bayaran Balik Pembiayaan Pendidikan PTPTN yang lengkap kepada Pejabat PTPTN berhampiran.

Manakala, pihak PTPTN pula akan mengemaskini rekod pemotongan gaji ke dalam sistem dan mengemukakan rekod potongan gaji baharu kepada majikan anda pada setiap akhir bulan. Seterusnya, majikan akan membuat potongan gaji serta mengemukakan data dan bayaran potongan gaji kepada PTPTN sebelum 15 hari bulan pada bulan berikutnya. Akhir sekali, pihak PTPTN akan mengemas kini penyata pinjaman.

4. Bayar PTPTN Melalui KWSP

Ramai sebenarnya tidak menyedari bahawa pinjaman PTPTN boleh dibayar balik menggunakan wang KWSP yang ada dalam Akaun 2 KWSP. Antara kelebihan menggunakan akaun 2 KWSP untuk membuat bayaran balik PTPTN adalah:

  • Tiada had pengeluaran selagi masih mempunyai baki dalam akaun 2
  • Tiada caj pemprosesan
  • Menikmati penjimatan kos upah/ pentadbiran dan pemendekan tempoh bayaran balik PTPTN

Cara bayar PTPTN guna KWSP adalah seperti berikut:

  1. Daftar dan log masuk i-Akaun
  2. Setelah berjaya log masuk, anda perlu klik ‘Pengeluaran’ di bahagian menu atas.  Kemudian klik ‘Permohonan Pengeluaran Baru’ dan pilih ‘Pendidikan’.
  3. Selepas itu, akan keluar satu ‘pop up’ yang terdapat butang ‘OK’. Klik butang ‘OK’ tersebut. Maka akan keluarlah paparan pilihan Institusi yang terlibat (pilih PTPTN), ruangan bayaran kepada (pilih pemberi pinjaman), ruangan peringkat pengajian dan ruangan permohonan (pilih diri sendiri).
  4. Selepas selesai mengisi segala butiran yang diperlukan, anda cuma perlu klik butang ‘seterusnya’ dan butang ‘terima’. Di sini, anda perlu mengemaskini maklumat diri anda.
  5. Setelah mengemaskini maklumat peribadi, masukkan nombor rujukan matriks semasa pengajian di ruangan maklumat pengeluaran.
  6. Seterusnya, jumlah kelayakan anda akan dipaparkan. Jadi, berdasarkan baki akaun 2 KWSP anda, baki tersebut adalah jumlah maksimum yang ada dalam akaun. Bergantung kepada anda nak bayar banyak mana kepada pihak PTPTN.
  7. Selesai sahaja membuat permohonan, pihak PTPTN akan memproses permohonan tersebut yang mengambil masa kebiasaannya kurang daripada seminggu.
  8. Apabila permohonan berjaya diluluskan, anda akan menerima SMS konfirmasi dari pihak KWSP.
  9. Setelah pihak KWSP meluluskan permohonan anda, anda perlu ke cawangan KWSP terdekat untuk mengambil cop jari (thumb print). Jangan lupa juga untuk membawa dokumen yang diperlukan seperti kad pengenalan, sijil-sijil dan sebagainya.
  10. Selepas itu, proses pembayaran tersebut akan dilakukan dalam masa 16 hari dan boleh membuat semakan di i-akaun KWSP anda. 

Cara Semakan Tunggakan PTPTN dan Teknik Bayar Tunggakan 

Untuk mengetahui jumlah tunggakan PTPTN anda, anda boleh cek tunggakan ptptn anda melalui penyata online PTPTN. Anda akan dapati baki pinjaman terkini, tunggakan, ansuran bulanan dan setiap transaksi bayaran balik yang anda telah lakukan. Ikuti langkah-langkah di bawah:

1. Lawati Portal PTPTN dan klik ‘Semakan Penyata Pinjaman’
2. Masukkan nombor kad pengenalan
3. Login PTPTN dengan masukkan kata laluan
4. Semak penyata dengan klik ‘Penyata Baki’ atau ‘Penyata Baki Terperinci’

Ramai graduan yang baru bekerja mengatakan mereka mempunyai masalah dalam membuat pembayaran balik. Pada tahun 2019 sahaja, seramai 375,925 peminjam yang direkodkan, tidak pernah membuat bayaran balik PTPTN. Antara sikap tidak peduli atau mereka tidak tahu cara menguruskan wang dengan betul bagi membolehkan mereka membayar balik hutang pendidikan tersebut. Namanya pun pinjaman, jadi graduan diberi tanggungjawab untuk membuat pembayaran balik selepas tamat pengajian.

Penstrukturan Semula PTPTN

Sekiranya anda sudah lama menangguhkan pembayaran, anda boleh membuat penstrukturan semula bayaran balik PTPTN. Kebiasaannya, pihak PTPTN akan mengesyorkan peminjam untuk membuat penukaran kepada skim ujrah. Sejak tahun 2008, PTPTN telah menukar bentuk pinjaman konvensional kepada skim ujrah iaitu skim pinjaman PTPTN yang mematuhi syariah.

Pertukaran ini lebih menguntungkan kerana ia boleh menjimatkan kos bayaran balik PTPTN antara 47 sehingga 49 peratus.Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh bertanya pihak PTPTN  tentang kaedah penstrukturan semula bayaran balik PTPTN. Proses pertukaran ini akan melibatkan dua peringkat, iaitu:

  1. Permohonan pinjaman sekali lagi dalam bentuk Pinjaman Ujrah. Peminjam boleh mengunjungi mana-mana kaunter PTPTN seluruh negara untuk tujuan ini. Dokumen tawaran baharu untuk pertukaran akan diberikan dan perlu dikembalikan sebelum tamat tempoh sah laku iaitu dalam masa 14 hari.
  2. Tandatangan dokumen pinjaman baharu dengan jumlah pinjaman yang baharu dan Jadual Bayaran Balik (JBB) baharu juga.

Langkah-langkah yang perlu dibuat:

  1. Muat turun Borang Kemaskini Maklumat di portal rasmi PTPTN (http://www.ptptn.gov.my) atau boleh ke mana-mana kaunter PTPTN untuk ambil borang.
  2. Hantar Borang Kemaskini Maklumat ke kaunter PTPTN.
  3. Peminjam akan diberikan dua set dokumen tawaran Ujrah. Setiap dokumen ini perlu dilekatkan setem hasil RM10.
  4. Serah semula dokumen lengkap di kaunter PTPTN atau poskan.
  5. Bayaran balik PTPTN boleh mula dibuat mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB) baharu.
  6. Proses ini perlu dilakukan kerana kedua-dua pinjaman berada di bawah prinsip yang berbeza iaitu konvensional dan syariah.

Gabungan Pinjaman PTPTN

Sekiranya anda membuat pinjaman pendidikan PTPTN untuk pelbagai peringkat pengajian seperti diploma, ijazah sarjana muda atau sarjana, anda boleh menggabungkan pinjaman-pinjaman ini menjadi satu jenis yuran dengan caj pentadbirannya yang lebih menjimatkan. 

Jika pinjaman PTPTN diploma sahaja sudah RM20,000 dan ijazah sarjana muda pula RM30,000, jumlah hutang PTPTN anda selepas sahaja tamat pengajian adalah RM50,000. Strategi untuk menggabungkan pinjaman PTPTN ini amat sesuai bagi peminjam yang mempunyai hutang untuk setiap tahap pengajian. Untuk lebih menjimatkan, gabungan ini boleh disertai dengan skim ujrah bagi meringankan lagi beban peminjam. 

Berunding dengan Pihak PTPTN

Pihak PTPTN sentiasa terbuka kepada sebarang perundingan. Sekiranya anda sebagai peminjam mempunyai masalah dengan komitmen kewangan yang membuatkan anda sukar untuk membayar balik hutang PTPTN, pihak PTPTN boleh membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman PTPTN. Mereka juga menawarkan jumlah bayaran balik serendah RM50 sebulan. 

Sekiranya peminjam mula melakukan pembayaran enam bulan selepas tamat pengajian, mereka boleh mendapat penjimatan kerana dalam jangka masa enam bulan tersebut pembayaran balik tidak dikenakan kadar faedah. Maka mereka boleh mengurangkan bayaran balik PTPTN kerana baki yang akan dikenakan kadar faedah sebanyak satu peratus selepas enam bulan telah berkurangan.

tunggakan ptptn

4 Perkara Wajib Tahu Tentang Bayaran Balik PTPTN

Sebelum anda menjadi peminjam, penting untuk anda fahami perkara penting berkaitan pinjaman PTPTN ini bagi mengelakkan anda mempunyai tunggakan PTPTN banyak.

1. Tempoh Mula Bayaran Balik Hutang PTPTN

Anda secara asasnya bertanggungjawab membayar balik hutang PTPTN selepas setahun atau selepas 12 bulan tamat pengajian. Biasanya, pihak PTPTN akan memberikan notis pembayaran balik pinjaman pada bulan ke-13 bagi mengelakkan hutang PTPTN tertunggak.

2. Pinjaman Ujrah PTPTN

Apa itu Ujrah PTPTN? Secara asasnya, maksud pinjaman Ujrah PTPTN ialah pinjaman pendidikan yang patuh Syariah. Ia berdasarkan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 28 Julai 2008.

Dalam erti kata lain, ujrah ialah upah satu peratus (1%) pada kadar rata yang dikenakan ke atas pinjaman. PTPTN Ujrah ini dikenakan untuk menampung kos-kos mengurus dan menyediakan pinjaman kepada peminjam.

3. PTPTN dan CCRIS

Sekiranya anda tidak melakukan bayaran balik PTPTN, skor kredit atau laporan CCRIS anda mungkin terjejas. Secara asasnya, laporan CCRIS digunakan oleh pihak bank sebagai rujukan untuk menilai skor kredit anda semasa proses kelulusan pinjaman atau kredit.

Jika laporan kredit anda tidak baik, situasi ini mungkin menyukarkan anda untuk mendapatkan pinjaman. Kalau ada tunggakan PTPTN:

      1. CCRIS PTPTN anda mungkin terjejas dan menghalang anda untuk apply loan rumah;
      2. Nama kena blacklist PTPTN tidak boleh beli kereta atau buat loan kereta.

Berapa lama nama clear CCRIS PTPTN? Untuk baiki rekod CCRIS PTPTN anda, ia bergantung kepada tempoh tunggakan atau jumlah bulan anda tak bayar. Jika ada tunggakan PTPTN untuk tempoh enam bulan, maka anda kena tunggu enam bulan untuk baiki rekod kredit anda.

4. Penangguhan dan Pengecualian Bayaran Balik PTPTN

Secara asasnya, kerajaan ada menawarkan kemudahan penangguhan kepada individu yang berdepan masalah kewangan. Anda boleh semak laman web rasmi PTPTN untuk info lanjut. Sekiranya layak, anda boleh mohon penangguhan bayaran balik PTPTN.

Selain itu, jika anda memperolehi keputusan yang cemerlang, anda boleh memohon Pengecualian Bayaran Balik PTPTN. Inisiatif Pengecualian Bayaran Balik diwujudkan sebagai satu bentuk penghargaan kepada peminjam PTPTN yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang.

Apa Kesan Jika Tidak Bayar PTPTN atau Hutang PTPTN Tertunggak?

PTPTN memperuntukkan sebanyak RM5 bilion dana pendidikan bagi rakyat Malaysia setiap tahun. Setakat 29 Februari 2016, PTPTN menjangkakan bakal mengutip bayaran balik sebanyak RM15.8 bilion daripada peminjam. Walau bagaimanapun, hanya RM7.9 bilion bayaran balik diterima. Apa kesan tak bayar PTPTN?

1. Skor Kredit Terjejas

Sama seperti dinyatakan di atas, tunggakan bayaran PTPTN boleh menyebabkan nama anda disenaraihitamkan oleh pihak PTPTN. Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada skor kredit anda.

Melalui laporan CCRIS, pihak bank boleh mengetahui corak bayaran balik PTPTN anda yang tidak konsisten (ada tunggakan, bayaran lambat dan sebagainya).

Sekiranya anda tidak membuat bayaran balik PTPTN secara konsisten, anda boleh berdepan kesukaran untuk memohon sebarang pinjaman seperti pinjaman perumahan, loan kereta atau pinjaman peribadi.

2. Anda Disenarai Hitam atau Tidak Dibenarkan Ke Luar Negara

Biasanya, peminjam yang tidak bayar balik pinjaman atau ada tunggakan hutang PTPTN akan kena blacklist oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Ia sekali gus akan menghalang anda daripada ke luar negara, renew pasport atau memohon pasport baharu.

Peminjam PTPTN perlu jelaskan tunggakan PTPTN bagi elakkan sekatan di lapangan terbang atau pintu sempadan negara. Jika ada tunggakan bayaran PTPTN, ia perlu dilangsaikan atau anda juga boleh berunding dengan pihak PTPTN tujuh hari sebelum ke luar negara.

3. Boleh Didakwa dan Dikenakan Tindakan Undang-undang

Anda juga boleh didakwa di mahkamah sekiranya anda gagal membuat bayaran balik tunggakan PTPTN. Pihak PTPTN akan mengeluarkan dua notis sekiranya anda tidak membuat bayaran balik;

      1. Notis peringatan bayaran balik PTPTN; dan
      2. Ntis tuntutan.

Sekiranya anda masih lagi tidak melakukan sebarang pembayaran atau rundingan dengan pihak PTPTN, anda boleh didakwa atau dikenakan tindakan undang-undang.

Anda disarankan untuk membayar hutang PTPTN mengikut jadual supaya anda tidak akan menghadapi sebarang masalah tunggakan bayaran PTPTN. Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta, insurans motor atau insurans rumah terbaik, layari laman web Qoala untuk info lanjut.

Qoala merupakan platform perbandingan insurans di Malaysia dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

5 comments

  1. Assalamualaikum Nadhirah,

    Terima kasih atas sokongan dan penulisan yang menarik mengenai PTPTN. Walaubagaimana pun terdapat sebahagian maklumat yang kurang tepat dan telah tidak dilaksanakan oleh PTPTN. Mohon Untuk Puan hubungan saya bagi tujuan tersebut bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan maklumat kepada pelanggan PTPTN.

    Sekian, terima kasih.

  2. Bagaimana pula Jika kita da bayar ikut masa yang ditetapkan secara online Tapi Pihak ptptn masih juga tambah interest Di dlm Acc ptptn kita.

  3. Sekiranya lama tertangguh. Kemudian buat bayaran semula. Bila kredit score akan jadi okay?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60