Hibah Takaful: Konsep, Jenis dan Kelebihan Hibah Takaful

Artikel ini terakhir diperbarui September 20, 2021 by Nadhirah Rashid
Hibah Takaful: Konsep, Jenis dan Kelebihan Hibah Takaful
Bagikan ke Teman:

Antara perkara yang sedang rancak diperkatakan adalah tentang kelebihan hibah takaful. Namun, masih ramai yang tidak mengerti kenapa wujudnya hibah, kenapa pentingnya hibah, dan kelebihan hibah. Artikel kali ini akan menerangkan pelbagai maklumat mengenai hibah takaful. 

Sebelum kita mendalami topik hibah takaful, korang kena kenali dulu maksud hibah dan maksud takaful. Hibah dan takaful kedua-duanya adalah perkara yang berlainan tapi kedua-dua konsep ini boleh disatukan. 

Maksud dan konsep Takaful

Sama seperti konsep insurans yang lain, takaful adalah sebuah konsep yang di mana kesemua pencarum-pencarum takaful mencarum pada setiap bulan ke dalam sebuah tabung. Apa yang membezakan takaful dengan yang lain-lain adalah, dana yang ada dalam tabung takaful hanya dilaburkan ke dalam pasaran saham yang mematuhi syariah Islam. Konsep ini diwujudkan supaya dapat memberi manfaat dan perlindungan kepada pencarum takaful pada masa akan datang di samping mematuhi syariah. 

Sekiranya pencarum takaful ditimpa sebarang kemalangan sehingga dimasukkan ke hospital gara-gara sakit yang kritikal, hilang upaya, cacat kekal atau mana-mana lagi perkara yang dilindungi oleh syarikat takaful, pencarum akan menerima sejumlah wang pampasan bagi membayar bil-bil hospital dan juga perbelanjaan yang lain. 

Maksud dan konsep Hibah

Hibah pula bermaksud pemberian sesuatu yang dilakukan secara ikhlas oleh si pemberi kepada si penerima. Pemberian ini diberi tanpa mengharapkan balasan dalam bentuk apa sekali pun. Untuk pemahaman lebih jelas, hibah juga memberi maksud ‘hadiah’.

Hibah adalah satu sistem perancangan pengagihan atau pemberian harta yang sah. Islam juga menggalakkan penganutnya untuk menggunakan kaedah ini untuk menggelakkan sebarang perbalahan atau pertingkaian berlaku selepas mana-mana ahli keluarga meninggal dunia. Ia dapat dilihat dalam firman Allah yang membawa maksud

“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’ ayat 4)

“… dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.” (Surah al-Baqarah ayat 177)

Maksud Hibah Takaful

Hibah takaful pula membawa maksud apabila berlaku kematian pemegang polisi takaful, pengagihan duit pampasan daripada syarikat pengeluar takaful kepada waris pemegang takaful boleh dilakukan secara hibah, iaitu secara terus. Melalui hibah takaful, individu tersebut boleh menghibahkan hartanya kepada sesiapa saja, sama ada keluarga atau pun bukan, semasa individu tersebut masih hidup.

Sebagai contoh, sekiranya seorang suami berhasrat ingin menghibahkan keseluruhan manfaat takaful kepada isterinya, isterinya layak mendapatkan manfaat tersebut selepas kematian si suami. 

Syarat pemberi dan penerima hibah

Sebelum korang nak memberi hibah (Al-Wahib), ada beberapa syarat yang korang kena miliki seperti:

  • Pemilik mutlak kepada harta yang ingin dihibahkan
  • Mempunyai kelayakan untuk memberi hibah
  • Berkuasa penuh ke atas harta tersebut

Bagi penerima hibah (Al-Mahwub Lahu), berikut adalah syarat-syaratnya:

  • Jika penerima adalah daripada kalangan kanak-kanak atau orang kurang upaya, boleh dilantik penjaga atau pemegang amanah bagi menjaga harta yang diterima mereka
  • Penerima hibah wujud ketika hibah dilakukan
  • Penerima hibah boleh menguasai jumlah manfaat yang dihibahkan kepadanya

Jenis-jenis hibah

  • Hibah biasa

Definisi asas hibah adalah hadiah. Dalam konteks hibah biasa, pemberi hibah mahu memberikan hartanya kepada seseorang. Harta disini boleh membawa maksud rumah, tanah, ladang, dan sebagainya. Semua sudah maklum, hibah adalah sesuatu yang perlu diberikan sewaktu penerima dan pemberi masih hidup. Ini adalah contoh bagaimana hibah biasa dilakukan.

Sebagai contoh, seorang bapa ingin menghibahkan sebidang tanah kepada anaknya. Bapanya terus ke pejabat tanah dan menukar nama pada geran. Bapa tersebut menghibahkan sebidang tanah itu kepada anaknya supaya anaknya tidak perlu risau mengenai faraid kerana namanya sudah termaktub untuk sebidang tanah tersebut. 

  • Hibah amanah

Hibah amanah pula adalah sebuah pemberian secara terus kepada penerima hibah. Namun, apa yang berbeza di sini adalah penerima hibah masih belum ataupun tidak berkelayakan untuk menerima harta tersebut. Apabila ada situasi ini berlaku, badan berkuasa akan merangkul menjadi pemegang amanah sehinggalah penerima hibah tersebut sudah layak menerima hibah tersebut. 

Contoh yang kita boleh tengok dekat sini adalah apabila penerima hibah adalah seorang kanak-kanak yang berumur 10 tahun. Hibah tersebut secara automatik akan dipegang oleh pemegang amanah bagi melindungi harta tersebut sehingga kanak-kanak tersebut mencecah 18 tahun.  

  • Hibah bersyarat 

Hibah bersyarat adalah sebuah hibah yang khusus dan istimewa untuk takaful sahaja. Ini bermakna, hibah bersyarat tidak boleh diwartakan untuk harta seperti rumah, tanah dan sebagainya. 

Hibah bersyarat wajib untuk mempunyai tiga perkara di bawah: 

  1. Pemberi hibah iaitu empunya sijil takaful
  2. Penerima hibah, tuntutan kematian
  3. Pampasan takaful iaitu barang hibah. 

Apa yang menariknya mengenai hibah bersyarat ni ialah, ia mempunyai keistimewaan tersendiri dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Hibah bersyarat adalah satu sistem atau instrumen untuk harta pusaka supaya keluarga boleh mendapatkan wang tunai dalam tempoh masa yang singkat. Ia jauh lebih mudah berbanding pengurusan harta seperti kereta atau rumah. Akta itu melindungi keluarga yang terkesan dimana syarikat takaful wajib membayar pampasan dalam masa paling lama 60 hari. 

Kelebihan hibah takaful

Sekiranya korang masih ragu-ragu sama ada untuk memiliki hibah takaful atau pun tidak, ini adalah beberapa kelebihan hibah takaful :

  • Penerima Mutlak

Apabila pemilik polisi hibah takaful meninggal dunia, individu penerima hibah yang telah ditetapkan semasa pemilik hibah hidup, akan menerima segala manfaatnya kerana ia merupakan hak mutlak si penerima hibah. Penerima hibah, atau dipanggil juga sebagai waris, tidak perlu khuatir dan takut jika manfaat tersebut diambil oleh orang lain, kerana syarikat takaful tersebut hanya boleh memberi pampasan kepada nama yang telah ditetapkan oleh pemilik polisi hibah takaful.

Ini berdasarkan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang menyatakan dengan jelas bahawa hibah takaful tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak yang lain. 

  • Wang tunai boleh didapati dengan cepat

Foto Kredit: Watchara Ritjan Melalui Shutterstock

Kelebihan hibah takaful seterusnya adalah waris boleh menerima wang tunai dengan cepat. Untuk pengetahuan korang, duit pampasan boleh didapati oleh penerima hibah dalam jangka masa tujuh sehingga 30 hari sahaja. Tempoh ini boleh dikatakan sangat pantas kalau nak dibandingkan dengan proses mendapatkan surat kuasa pembahagian kuasa sehingga boleh memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya. Apabila proses wang pampasan ini dilakukan dengan cepat, ia memberi ruang dan memudahkan urusan si penerima manfaat untuk meneruskan hidup. 

  • Kebebasan menukar nama penerima hibah

Jangan risau, dengan hibah takaful, korang bebas untuk menukar nama penerima hibah kepada orang pada bila-bila masa. Mungkin ada yang tak beberapa faham kenapa perlu ada kelebihan hibah takaful jenis ini. Tengok situasi di bawah: 

En Ahmad memiliki polisi hibah takaful. En Ahmad meletakkan nama isterinya, Pn Siti untuk menjadi pemilik mutlak manfaat hibah takaful selepas kematian En Ahmad. Akan tetapi, jodoh En Ahmad dan Pn Siti tidak panjang. En Ahmad berkahwin lagi sekali dengan Pn Robi. Kini, En Ahmad boleh menukarkan nama penerima manfaat hibah takaful daripada Pn Siti kepada Pn Robi, isterinya. 

Mudah kan, begini?

  • Polisi tidak dibekukan

Selepas kematian suami, ramai isteri tidak dapat menggunakan wang-wang yang ditinggalkan oleh suami kerana sebaik saja kematian berlaku, segala akaun bank akan dibekukan. Ianya dilakukan sebegitu oleh pihak bank sehinggalah waris dapat mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan sebagai bukti untuk mengeluarkan duit-duit tersebut. Namun, proses untuk unfreeze akaun si mati ini mengambil masa yang lama. Dengan hibah takaful, polisi ini tidak akan dibekukan. 

Penerima yang telah termaktub dalam polisi tersebut berhak untuk mendapatkan jumlah yang sudah ditetapkan dalam polisi tersebut. 

  • Pengganti pendapatan

Selepas kematian ahli keluarga, pendapatan isi rumah boleh terjejas. Ahli keluarga yang dimaksudkan disini tidak semestinya seorang suami. Ia boleh jadi sesiapa saja yang memikul tanggungjawab itu. Kehilangan yang tidak disangka-sangka ini bukan saja memberi kesan sedih pada hati, malah ia turut memberi kesan kepada pendapatan sara diri dan nafkah bulanan kepada keluarga yang ditinggalkan. Nafkah tersebut boleh jadi nafkah kepada ibu bapa, adik beradik dan juga pasangan. 

Kehidupan turut berubah selepas kematian. Jika si suami yang meninggal dunia, kini menjadi tanggungjawab si isteri pula untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup. 

Manfaat hibah takaful boleh memberi kemudahan dalam bentuk kewangan untuk waris menyara diri selepas kematian. Antara kelebihan hibah takaful yang lain adalah waris tidak perlu melalui proses pengagihan harta yang amat rumit dan menyusahkan. Dengan adanya hibah takaful ini, korang sebenarnya telah menghadiahkan wang tersebut secara terus kepada waris korang.

  • Tiada kos guaman

Lagi satu kelebihan hibah takaful ini adalah ia tidak mempunyai apa-apa kos guaman atau pun kos-kos tersembunyi. Penerima akan menerima jumlah manfaat perlindungan takaful seperti yang sudah ditetapkan dalam polisi takaful tersebut. Untuk dijadikan contoh, jika polisi korang mempunyai nilai sebanyak RM400,000, RM400,000 lah yang akan diterima oleh si waris tanpa perlu membayar kos apa-apa.

  • Menyelesaikan hutang

Hutang adalah satu perkara yang amat dititikberatkan dalam Islam. Ia sangat penting sehingga waris wajib menguruskan hutang si mati sebelum mengagih-agihkan harta si mati. Walaubagaimana pun, tidak semua yang meninggal, meninggalkan harta. Ada yang meninggalkan hutang. Kalau hutang hanya sebanyak RM100 hingga RM200, ia mungkin tidak jadi masalah. Tapi bagaiman jika hutang yang ditinggalkan mencecah ribuan ringgit? Apa yang si waris ini boleh buat?

Sabda Rasulullah S.A.W;

“Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali HUTANG.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lainnya;

“Sesungguhnya Roh orang mukmin itu tergantung dengan sebab hutangnya. Sehinggalah hutangnya dijelaskan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Tirmizi)

Inilah pentingnya hibah takaful. Sesiapa saja berpotensi memiliki hutang sama ada persendirian atau pun hutang daripada bank contohnya pinjaman perumahan, kereta dan lain-lain. Dengan adanya hibah takaful, ia boleh memudahkan waris untuk melangsaikan dan menguruskan hutang dengan baik. 

  • Dana pendidikan anak-anak

    Foto Kredit: ESB Professional Melalui Shutterstock

Apabila si suami sudah meninggal dunia, kesan ini terjadi pada seluruh keluarga termasuklah anak-anak kita. Bukan sahaja dari segi fizikal, tapi dari segi masa depan mereka juga. Bagi memastikan mereka mempunyai masa depan yang baik, pendidikan adalah amat penting buat mereka. 

Sudah pastinya kita mahukan anak-anak kita untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading, untuk mencapai cita-citanya. Namun, ketiadaan kita boleh menyebabkan impian ini terbantut dan berlalu begitu sahaja. Tapi, dengan adanya hibah takaful, kita boleh meneruskan impian tersebut walaupun sudah tiada lagi di muka bumi ini.

Sebab-sebab hibah takaful boleh terbatal

Hibah takaful memang banyak manfaatnya. Walaubagaimana pun, hibah takaful boleh terbatal disebabkan enam perkara ini. 

  • Kematian yang disebabkan sakit sedia ada

Jika korang baru menyertai takaful contohnya baru tiga hari, dan tidak disangka-sangka meninggal disebabkan sakit sedia ada, hibah takaful boleh terbatal. Ianya tertakluk kepada pengecualian sijil. 

  • Mati dalam tempoh menunggu

Setiap pelan hibah takaful ada tempoh menunggu yang tersendiri. Kebiasaanya, tempoh menunggu kematian disebabkan kemalangan ialah 24 jam. Dan tempoh menunggu untuk penyakit dan semula jadi pula ada 30. Korang kena semak balik polisi masing-masing. 

  • Tidak konsisten

Caruman tidak dibayar secara terus atau konsisten sehingga menyebabkan masalah tempoh matang sijil.

Ini adalah antara punca-punca utama mengapa hibah takaful korang boleh terbatal. Untuk mengelakkan ia daripada berlaku, korang kena sentiasa semak polisi insurans yang korang carum untuk pastikan ia kekal aktif. 

Hibah kepada penerima bukan Islam

Berbeza dengan konsep sedekah, hibah adalah sebuah konsep yang lebih kepada pemberian kerana tujuan kasih sayang. Pemilik harta mempunyai kuasa dan berhak menghibahkan hartanya kepada sesiapa sahaja yang dimahukan asalkan tidak melanggar hukum syarak yang telah ditetapkan. 

Perbezaan hibah dan faraid

Masih ramai lagi sebenarnya yang keliru antara maksud hibah dan faraid, yang juga adalah pembahagian harta mengikut syarak. 

Faraid adalah pembahagian harta ataupun pusaka yang mengikut perundangan Islam kepada waris yang sah dan layak. Ini bermakna, sekiranya seseorang individu itu tidak meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat atau pun hibah, semua hartanya akan dinamakan sebagai harta pusaka yang bakal dibahagikan mengikut hukum faraid. 

Manakala hibah pula adalah hadiah kepada si pewaris yang telah ditetapkan namanya oleh si pemegang hibah, sewaktu masih hidup dan tidak boleh dicabar mana-mana pihak.

Bolehkah hibah dicabar?

Ada beberapa situasi yang membolehkan hibah untuk dicabar di Mahkamah Syariah. Ia untuk mempertikaikan sudut sahnya mengikut syarat atau terdapat waris yang tidak bersetuju dengan kandungan hibah itu.

Telah ada banyak kes sebegini wujud di Mahkamah Syariah dan masing-masing mempunyai situasi yang berbeza-beza. Jika korang perlu ke Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan isu ini, pastikan korang bincang dengan peguam Syariah terlebih dahulu untuk mendapatkan khidmat nasihat. 

Secara konklusinya, kelebihan hibah takaful dapat diberi kepada pemberi dan juga penerima hibah. Memang betul, ajal dan maut itu di tangan tuhan. Oleh itu, kita kena sentiasa bersedia dari segi amalan, dan apa yang kita bakal tinggalkan sebelum meninggalkan bumi ini. Kita sendiri tidak mahu melihat keluarga yang kita tinggalkan sengsara selepas peninggalan kita. 

Jangan lupa juga tentang perlindungan semasa kita di sini. Malang sesungguhnya memang tidak berbau! Untuk perlindungan diri sendiri dan juga keluarga, korang boleh mencarum insurans kenderaan yang boleh meminimakan kos kerugian korang. Untuk ketahui lebih lanjut mengenai insurans kenderaan, korang boleh check out dekat sini

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗