Panduan Lengkap Insurans Takaful, Beza Takaful & Insurans di Malaysia

Kali terakhir diperbaharui Jun 19, 2023 oleh Syazwani Yahya
Panduan Lengkap Insurans Takaful, Beza Takaful & Insurans di Malaysia

Insurans takaful dan insurans konvensional kedua-duanya memainkan peranan penting dalam kehidupan. Ia bertujuan memberikan perlindungan kewangan kepada anda sekiranya berlaku perkara luar jangka seperti kemalangan jalan raya, menghidap penyakit kritikal, mengalami kerugian harta benda atau kematian. Meskipun begitu, terdapat perbezaan antara takaful dan insurans konvensional terutamanya dari aspek konsep, prinsip dan kaedah pelaksanaan di Malaysia.

Secara asasnya, produk takaful boleh dianggap sebagai insurans patuh Syariah yang mesra pengguna Islam. Takaful insurans juga terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada pengguna Islam sahaja – orang bukan Islam boleh mendapatkan perlindungan takaful dan menikmati kelebihan takaful.

Artikel ini akan membantu anda mengenal pasti beza insurans dan takaful, jenis insurans takaful dan maksud takaful dalam Islam dan perkara-perkara lain berkaitan insurance takaful untuk rujukan anda.

5 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Takaful Insurans

Perlindungan takaful memainkan peranan penting dalam meringankan beban terutamanya melibatkan aspek kewangan sekiranya berlaku sesuatu musibah. Qoala menyenaraikan lima perkara yang anda perlu tahu berkaitan takaful insurance seperti berikut:

Apa Itu Insurans Takaful

Insurans Takaful merujuk pada pelan insurance patuh syariah yang berasaskan kerjasama bersama, tanggungjawab dan perlindungan. Dalam erti kata lain, produk takaful memberi perlindungan ke atas diri anda termasuk aset atau harta benda anda sekiranya berlaku sebarang musibah. Apa yang menarik, segala risiko dan dana dalam takaful dikongsi bersama antara pemegang polisi dan syarikat insurans. Ia diperkenalkan sebagai alternatif kepada pengguna terutamanya pengguna Islam untuk memilih insurans yang sesuai dan mengelakkan sebarang unsur riba’ (faedah), al-maisir (perjudian), dan prinsip al-gharar (ketidakpastian).

Ciri-ciri Utama Takaful

Berikut kami kongsikan ciri-ciri utama pelan Takaful untuk membantu anda membuat pilihan yang terbaik.

1. Perkongsian Risiko

Ciri takaful pertama yang anda perlu tahu ialah perkongsian risiko. Selaras dengan maksud insurans takaful, ia menawarkan perkongsian risiko sesama ahli dan semua pihak di bawah takaful tersebut, dan tanggungan risiko tidak hanya terhad kepada syarikat insurans seperti insurans konvensional.

2. Polisi No Claim Cashback

Sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan semasa dalam tempoh perlindungan, anda akan menerima rebat tunai daripada syarikat takaful. Jumlah rebat yang diterima adalah tertakluk pada syarikat takaful, tiada sebarang jumlah tetap ditentukan.

3. Patuh Syariah

Ciri terakhir yang penting dalam perlindungan takaful ialah patuh syariah. Sebagai contoh, insurans takaful tidak dibenarkan terlibat dengan sebarang unsur yang diharamkan seperti riba’, maisir dan gharar.

perbezaan takaful dan insurans di Malaysia

Jenis-jenis Perlindungan dalam Insurans Takaful

Produk takaful yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insurans secara amnya dibahagikan kepada dua kategori iaitu produk Takaful Keluarga dan produk Takaful Am.

Takaful Keluarga

Jenis produk ini terbahagi kepada beberapa kategori seperti berikut:

1. Takaful Keluarga

Polisi ini menawarkan perlindungan dan simpanan jangka panjang untuk individu dan keluarga;

2. Takaful Berkaitan Pelaburan

Bagi produk ini pula, ia menggabungkan pelaburan patuh Syariah dan perlindungan Takaful di bawah satu polisi yang sama;

3. Takaful Perubatan dan Kesihatan

Produk takaful ini menawarkan perlindungan untuk tanggungan kos rawatan dan kemasukan ke wad hospital swasta;

4. Takaful Pendidikan Anak

Pelan Takaful ini bertindak sebagai simpanan jangka panjang untuk menampung kos pengajian pada masa akan datang. Selain itu, polisi ini juga turut menyediakan perlindungan kewangan untuk anak anda sekiranya berlaku kemalangan, kecacatan kekal atau kematian.

Takaful Am

Bagi Takaful Am pula, produk ini terbahagi kepada beberapa kategori seperti berikut:

1. Takaful Kenderaan

Insurans Kereta Takaful Pihak Ketiga melindungi anda daripada sebarang kerugian atau kerosakan yang berlaku ke atas kenderaan pihak ketiga yang disebabkan oleh kemalangan, kecurian atau kebakaran. Ia juga melindungi pemegang polisi sekiranya berlaku sebarang kecederaan atau kematian. Pelan Insurans Takaful Komprehensif pula menawarkan perlindungan menyeluruh yang melindungi pemegang polisi dan pihak ketiga daripada sebarang risiko kecederaan akibat kemalangan, kecurian atau kebakaran.

2. Takaful Rumah

Insurans takaful rumah terdiri daripada dua jenis iaitu Takaful Rumah (House Owner) dan Takaful Isi Rumah (House Holder). Takaful Rumah secara amnya melindungi struktur rumah daripada sebarang risiko kerosakan dan kerugian disebabkan oleh banjir, kebakaran, atau bencana lain. Takaful Isi Rumah pula melindungi isi rumah seperti perabot, barangan rumah, peralatan elektrik dan lain-lain daripada sebarang kerosakan dan kerugian.

3. Takaful Kemalangan Diri

Insurans nyawa takaful pula memberi perlindungan kepada anda dan keluarga dengan menyediakan pampasan sekiranya berlaku kematian, kecederaan atau kecacatan yang disebabkan oleh kemalangan.

Sebab Insurans Konvensional Tidak Diterima dalam Islam

Islam mewajibkan setiap penganutnya mencari yang halal dalam setiap perkara dan telah menjadi kewajipan umat Islam untuk menggunakan produk perlindungan yang berteraskan Islam seperti takaful. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) telah memutuskan semua jenis insuran konvensional adalah tidak diharuskan atas sebab-sebab berikut:

  1. Insurans itu sendiri mengandungi unsur gharar (ketidakpastian). Sekiranya tidak berlaku sebarang musibah, wang premium yang dibayar kemungkinan hangus begitu sahaja. Dalam erti kata lain, satu pihak mendapat keuntungan, satu pihak lagi mendapat kerugian;
  2. Syarat barang yang ditetapkan syarak tidak dipenuhi;
  3. Insurans mengandungi unsur riba;
  4. Terdapat perbezaan nilai wang (muamalah antara wang dengan wang mestilah mempunyai nilai yang sama).

Perbezaan Takaful dan Insurans Konvensional

Walaupun takaful dan insurans konvensional memberi manfaat yang hampir sama, kedua-duanya mempunyai perbezaan yang ketara. Secara asasnya, insurans takaful mewakili prinsip Islam manakala insurans konvensional merupakan produk komersial.

Takaful Insurans Insurans Konvensional
Tertakluk pada Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFDA) 2013 Tertakluk pada Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013
Peserta memberikan sumbangan berasaskan konsep Tabarru’ (derma dan sumbangan) Pemegang Polisi membayar premium untuk nilai perlindungan berlandaskan konsep jual beli
Pengendali Takaful ialah Pengurus Dana Syarikat Insurans ialah Pemilik Risiko
Penyertaan dalam pelan Takaful berasaskan kontrak jaminan bersama antara peserta Insurans ialah kontrak jual beli antara Syarikat Insurans dan Pemegang Polisi
Jawatan Kuasa Syariah ditubuhkan untuk memastikan transaksi Pengendali Takaful dilaksanakan mengikut Prinsip Syariah Tidak perlu membentuk Jawatan Kuasa Syariah
Tiada unsur maisir (perjudian) dan riba’ (faedah). Namun begitu, unsur gharar (ketidaktentuan) wujud dalam takaful tetapi pada tahap yang boleh diterima di bawah kontrak Tabarru’ (derma) Kewujudan gharar (ketidaktentuan), Maisir (perjudian) dan riba’ (faedah)
Wang sumbangan dilaburkan di platform patuh Syariah Wang premium tidak wajib dilaburkan di platform patuh Syariah
Manfaat takaful boleh dihibahkan atau diagihkan secara faraid kepada waris Hanya jumlah yang pernah dibayar boleh diwarisi, selebihnya menjadi milik baitulmal

insurans takaful terbaik di Malaysia

Sebab Utama Wajib Mempunyai Takaful Sebagai Perlindungan

Secara amnya, takaful insurance terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada orang Islam sahaja. Namun begitu, ramai yang tersalah anggap dan beranggapan produk takaful hanya terbuka untuk orang Islam sahaja sedangkan ia terbuka untuk semua, dan pengguna boleh memilih alternatif lain yang ditawarkan selain insurans konvensional. Berikut merupakan antara sebab utama anda perlu miliki takaful sebagai perlindungan.

1. Risiko yang Tidak Dijangka

Secara asasnya, pemilikan takaful penting sebagai alat perlindungan sekiranya berlaku sebarang risiko yang tidak dijangka seperti kemalangan, kecederaan dan sebagainya. Dalam erti kata lain, takaful bertindak sebagai payung yang melindungi anda semasa hujan. Anda akan mendapat perlindungan atau pampasan yang sewajarnya bergantung pada polisi anda sekiranya anda ditimpa musibah.

2. Melindungi Harta dan Aset

Selain melindungi diri anda, takaful juga berperanan melindungi harta benda anda daripada sebarang musibah – takaful berfungsi sebagai perlindungan dan mengelakkan anda daripada mengeluarkan belanja yang tinggi sekiranya anda berdepan masalah. Sebagai contoh, sekiranya kereta anda dilindungi insurans banjir, anda tidak perlu risau sekiranya berlaku banjir kilat yang menenggelamkan kereta anda.

3. Kerjasama Bersama untuk Membantu Orang Lain

Secara asasnya, konsep takaful insurans adalah berteraskan kerjasama bersama. Ini bermaksud, pemilik Takaful bukan sahaja melindungi diri mereka sendiri apabila ditimpa musibah, tetapi turut memberi bantuan dalam meringankan beban yang ditanggung oleh peserta Takaful yang lain. Berdasarkan kontrak Takaful, perjanjian yang dibuat adalah berlandaskan konsep Ta`awun iaitu kerjasama dan tolong-menolong sesama ahli.

Panduan Beli Insurans Takaful Terbaik

Selain itu, Qoala turut menyediakan beberapa tips dan panduan yang boleh anda ikuti sekiranya anda merancang untuk beli insurans takaful seperti berikut:

1. Selidik Sama Ada Ejen Berdaftar di Bawah MTA

Untuk pengetahuan anda, semua ejen syarikat yang menawarkan perkhidmatan insurance takaful perlu berdaftar dengan MTA (Malaysian Takaful Association) sebelum boleh mengiklankan dan menjual produk Takaful. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk melakukan semakan terlebih dahulu bagi mengelakkan kes penipuan oleh individu yang menyamar sebagai ejen Takaful. Anda boleh semak status pendaftaran ejen takaful melalui laman web MTA.

2. Kenal Pasti Jumlah Perlindungan Diperlukan

Anda disarankan untuk mengenal pasti jumlah perlindungan yang sesuai untuk keperluan anda. Biasanya, jumlah perlindungan yang diperlukan adalah berbeza bergantung pada keperluan setiap individu. Menurut Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Life Insurance Association of Malaysia, LIAM), anda disarankan untuk mendapatkan perlindungan sekurang-kurangnya 10 kali ganda daripada pendapatan tahunan anda. Sebagai contoh, jika pendapatan tahunan anda sebanyak RM40,000, maka anda disarankan untuk mengambil jumlah perlindungan dalam lingkungan RM300,000 atau lebih bergantung pada kemampuan anda.

3. Pilih Polisi Perlindungan yang Sesuai

Sekiranya anda ingin mendapatkan perlindungan takaful, anda perlu pastikan semua manfaat asas dilindungi seperti kematian, kecacatan, penyakit kritikal dan harta benda anda. Secara asasnya, sukar untuk dapatkan satu pelan perlindungan yang merangkumi semua perlindungan. Oleh sebab itu, anda perlu pilih polisi perlindungan insurans takaful yang sesuai dengan keperluan anda. Sebagai contoh, anda boleh pilih pelan takaful hayat dan keluarga sekiranya anda sedang mencari polisi yang memberi manfaat selepas kematian. Selain itu, anda juga boleh menambah perlindungan tambahan dan pertimbangkan perkara-perkara lain seperti simpanan, pelaburan dan lain-lain.

Semoga perkongsian ini boleh membantu anda mendapatkan insurans kereta takaful dan insurans nyawa takaful terbaik di Malaysia. Anda juga boleh menggunakan platform Qoala yang menyediakan pelbagai pelan perlindungan takaful terbaik daripada pelbagai syarikat insurans popular di Malaysia. Minta sebut harga sekarang!

Kongsi:
About Writer
Shafiq Wahab
Seorang penterjemah dan penulis berpengalaman, kini berazam untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sedar dan berpengetahuan tentang kewangan.

3 comments

  1. Saya nk tanya ada insurans akan cover jika ahli terlibat dgn kesalahan jalanraya…atau terlibat dgn jenayah…yg melibatkan kematian atau kecederaan…mohon penjelasan

  2. Adakah insuran akan cover jika ada ahli terlibat dgn kesalahan kemalangan atau jenayah…yg melibatkan kecederaan atau kematian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60